Thursday, October 28, 2010

WAHAI SUAMI...SIAPAKAH ISTERI ANDA?


Assalamualaikum kepada semua...untuk kali ini saya berminat untuk berkongsi satu 'entri' yang ringkas dan menarik untuk dibaca yang saya ambil dari blog pensyarah saya sendiri iaitu Prof.Madya Dr.Ruzman Mohd Noor. Pada semester lepas, beliau merupakan pensyarah saya bagi subjek Sistem Kehakiman Islam. Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah Ijazah Tinggi Akademi Pengajian Islam UM. Nasib lah.. disebabkan semester ini saya telah mengambil 2 subjek berkenaan kekeluargaan iaitu Fiqh al-Usrah dan Undang-undang Keluarga Islam,maka 'post' di blog saya pun banyak membincangkan berkenaan kekeluargaan. Ok lah..saya nk sambung 'study' semula..1 hb November ni ada 'test' Undang-undang Kontrak.Masa 'study week' ni lah baru nak ada 'test'...nak buat macam mana...jawab je la nanti...Wish me luck ok! ^^,

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Kalau saya tanya pada anda selaku suami soalan di atas, apa agaknya reaksi anda? Mungkin jawapannya, saya dah bercinta 2 tahun sebelum kahwin, saya dah mula tertarik pada dia sejak tahun satu di Universiti, kami ada kaitan saudara, kami dah berkawan sejak tadika lagi dll , maka sudah sudah tentu saya kenal isteri saya seperti saya kenal diri saya sendiri.

Ada juga pasangan yang ditemukan jodoh oleh ibu bapa, namun pasti mendakwa mengenali isterinya sekurang-kurangnya dalam tempoh pertunangan. Bahkan kalau ditemubual masa nak kahwin atau baru kahwin, tentu lelaki itu akan kata, dia dah bertemu pasangannya yang akan sehidup semati, orang yang paling sesuai dan sehati sejiwa dengannya, dan lain-lain ungkapan yang menggambarkan pasangan ini sangat rapat dan mengenali antara satu sama lain. Ada pasangan yang semasa bertunang sudah meluahkan semua maklumat peribadinya kepada pasangan masing-masing hingga bila dah kahwin tak ada lagi maklumat yang nak disampaikan. Begitu sekali suami pasti akan mendakwa benar-benar kenal isterinya.

Secara teorinya pasangan suami-isteri mengambil masa antara 1 hingga 5 tahun untuk benar-benar mengenali pasangan masing-masing. Dengan sebab itu kadar perceraian paling tinggi dalam tempoh berkenaan. Kalau melepasi tempoh berkenaan, biasanya OK. Mengenali bakal isteri dalam tempoh percintaaan, sebenarnya hanya mengenali separuh dari isteri, sementara itu sebahagian lagi akan dikenali bilamana lelaki tadi sudah menjadi suami yang datang bersama-samanya tanggongjawab sebagai suami. Semasa kursus perkahwinan, perkara ini pasti telah disentuh oleh penceramah. Namun begitu, antara teori dan pelaksanaan, banyak bezanya.


Kalau seorang suami dikatakan tak kenal isterinya tentu dia marah, rasa tercabar dan egonya akan membakar. Lelaki dikatakan memiliki ego yang dikaitkan dengan kemampuan untuk memimpin. Al-Quran dengan jelas meletakkan status pemimpin kepada lelaki dalam rumahtangga. Tetapi, status ini bukanlah sesuatu yang datang dengan percuma dan secara ‘warisan’. Peranan dan jawatan ini datang bersama-sama tanggungan yang berat dan menuntut si suami melengkapkan diri dengan ciri-ciri kepimpinan. Kalau nak dakwa sebagai pemimpin semata-mata atas gelaran suami, itu muka tak malu namanya. Ada suami yang tak menunaikan nafkah dengan sempurna, bahkan ada yang sanggup memukul isteri pada siang hari dan pada malam hari ingin bersama dengan isterinya. Isteri kena juga taat kerana itu tanggungjawabnya selagi tidak disuruh melakukan sesuatu yang menderhakai Allah. Kalau gaduh sikit-sikit itu masih boleh diterima sebagai asam garam rumahtangga. Kalau seseorang suami benar-benar kenal isterinya, ia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang buruk keatas isterinya. Kalau pasangan ini sudah tidak serasi lagi maka jalan akhir yang perlu ialah bercerai, itupun dilakukan dengan baik.

Sebenarnya, terdapat dua aspek yang perlu diketahui oleh suami sebalum ia dikatakan benar-benar kenal isterinya. Kedua-dua aspek itu adalah seperti berikut:
1. Mengenali status dan kedudukan isteri
2. Mengenali isteri itu secara luar dan dalamnya secara peribadi

Sunday, October 24, 2010

WANITA Status Sosial & Undang-undang Islam


Untuk 'posting' kali ini saya lebih berminat untuk berkongsi dengan para pembaca sekalian tentang satu buku yang ringkas dan amat menarik untuk dibaca.

Semasa berjalan-jalan di Masjid India untuk membeli buku untuk dijadikan hadiah kelahiran buat insan tersayang terjumpa pula satu buku yang tajuknya agak menarik karya Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail yang merupakan bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Melihat tajuknya yang amat menarik dan harganya hanyalah RM10.00 sahaja jadi rasa rugi pula kalau tak membelinya=)

Buku ini bertajuk WANITA Status Sosial & Undang-undang Islam dan ia dibahagikan kepada 11 Bab yang mengandungi perbincangan dan huraian-huraian tentang persoalan berkenaan Wanita yang dibuat secara ringkas dan mudah difahami. Antara bab-bab yang terdapat di dalam buku ini adalah seperti Aurat Wanita:Konsep dan Hukum Mengenainya, Status Wanita Dalam Undang-undang Jenayah Islam,Hukuman Qisas Bagi Kes Yang Melibatkan Wanita dan lain-lain lagi.

Cara penulisan buku ini dimulakan dengan kenyataan-kenyataan daripada al-Quran dan Sunnah berkaitan hal ehwal wanita. Kemudian, diikuti satu ulasan yang menekankan soal penyesuaian antara prinsip syariah dan pandangan para fuqaha. Perbincangan seterusnya memperlihatkan pandangan para ulama kontemporari tentang wanita. Dan akhir sekali. ia menyentuh persoalan sebenar tentang wanita dan dibincangkan satu per satu mengikut susunan yang dirasakan sesuai. Buku ini juga dilengkapi nota kaki sebagai rujukan para pembaca.

Bab yang paling saya minati ialah Bab 8 yang membincangkan tentang Pelaksanaan Hukuman Sebat ke Atas Wanita. Yang mana dalam bab ini dibincangkan secara ringkas tentang peruntukan sebat,fleksibiliti hukuman sebat,kadar bilangan sebat,kadar maksimum dan minimum bagi Sebat Takzir,jenis alat sebatan,sifat dan cara pelaksanaannya ke atas wanita. Sebelum ini, kita telah dihebohkan tentang kes Kartika. Melalui bab ini kita dapat memahami sedikit sebanyak cara sebenar pelaksanaan sebat yang diperuntukkan berdasarkan hukum syarak.

Jadi tak rugilah rasanya kalau nak beli buku ini. Berbaloi-baloi !

Sesungguhnya, ALLAH menciptakan
wanita bukan dari kepala untuk dijunjung.
Dan bukan pula dari kaki untuk dipijak,
tetapi dari rusuk lelaki untuk disayangi.


Monday, October 18, 2010

Syarat-syarat Poligami

Merujuk entri sebelum ini ada membincangkan tentang kes berkenaan poligami. Di mana para pembaca dapat mengetahui alasan penghakiman yang dibuat oleh Y.A.A Tuan Mohd Shukor Bin Sabudin HMTS. Untuk ‘posting’ kali ini saya ingin berkongsi tentang syarat-syarat untuk berpoligami yang dipetik dari ‘assignment’ Undang-undang Keluarga Islam saya bernombor kod subjek IUEL 2103. Terima kasih kepada sahabat saya saudari Amalina & Nasuha atas penat lelah bersama-sama membanting tenaga menyiapkan 'assignment' 51 muka surat tersebut. Kepada yang berhasrat untuk berpoligami silalah penuhi syarat-syarat berikut ya :


1. Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya.


Syarat ini telah disebutkan oleh Allah (SWT) dengan firman-Nya [1]:


"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat."

(Al-Qur'an, Surah an-Nisa’ ayat 3)


Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa Allah telah menetapkan seseorang itu berkahwin tidak boleh lebih dari empat orang isteri. Jadi, Islam membatasi kalau tidak beristeri satu, boleh dua, tiga atau empat sahaja.[2]


Pembatasan ini juga bertujuan membatasi kaum lelaki yang suka dengan perempuan agar tidak berbuat sesuka hatinya. Di samping itu, dengan pembatasan empat orang isteri, diharapkan jangan sampai ada lelaki yang tidak menemukan isteri atau ada pula wanita yang tidak menemukan suami. Mungkin, kalau Islam membolehkan dua orang isteri saja, maka akan banyak wanita yang tidak menikah. Kalau pula dibolehkan lebih dari empat, mungkin terjadi banyak lelaki tidak memperolehi isteri.[3]


2. Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya. [4]


Misalnya, berkahwin dengan kakak dan adik, ibu dan anaknya, anak saudara dengan emak saudara baik sebelah ayah mahupun ibu.


Tujuan pengharaman ini ialah untuk menjaga silaturrahim antara anggota-anggota keluarga. Rasulullah (s.a.w.) bersabda, maksudnya;


"Sesungguhnya kalau kamu berbuat yang demikian itu, akibatnya kamu akan memutuskan silaturrahim di antara sesama kamu."

(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)


Kemudian dalam hadis berikut, Rasulullah (s.a.w.) juga memperkuatkan larangan ini, maksudnya;


Bahawa Ummu Habibah (isteri Rasulullah) mengusulkan agar baginda menikahi adiknya. Maka beliau menjawab; "Sesungguhnya dia tidak halal untukku."

(Hadis riwayat Bukhari dan Nasa'i)

Seorang sahabat bernama Fairuz Ad-Dailamy setelah memeluk agama Islam, beliau memberitahu kepada Rasulullah bahawa beliau mempunyai isteri yang kakak beradik. Maka Rasulullah menyuruhnya memilih salah seorang di antara mereka dan menceraikan yang satunya lagi. Jadi telah disepakati tentang haramnya mengumpulkan kakak beradik ini di dalam Islam.[5]


3. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri


Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri. Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian nafkah kepada isteri iaitu :


i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,

ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurutkesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.


Dalam hal ini pendapat kedua adalah lebih sesuai dan menepati konsep keadilan memandangkan dalam banyak keadaan seseorang suami itu mempunyai isteri yang datang dari berbagai-bagai status kedudukan yang berbeza. Abu al- ‘Aynayn berpandangan[6] bahawa sebarang penambahan boleh diberikan kepada salah satu isteri dalam soal pemberian nafkah. Walaupun begitu ia tidak boleh diamalkan jika boleh membawa kepada perselisihan dan tidak puas hati di antara isteri.


4. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri


Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir. Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 129 :


Mafhumnya :


“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.


4.1. Adil Dalam Menyediakan Kediaman


Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri. Menurut ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar[7] ; “pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama. Walaubagaimanapun dari segi psikologi, menempatkan isteri-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan”.


4.2. Adil Dalam Giliran Bermalam


Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain. Walaubagaimanapun ‘Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar berpandangan kelonggaran boleh diberikan pada malam-malam awal perkahwinan dengan isteri baru tanpa perlu diqadha balik kepada isteri tua. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas r.a. dengan katanya :


حدثنا يحيى بن يحيى اخبرنا هشيم عن خالد عن قلابة عن انس بن مالك قال : اذا تزوج البكر على الثيب اقام عندها سبعا واذا تزوج الثيب على البكر اقام عندهاثلاثا


Mafhumnya :

Di antara sunnah ialah apabila seorang lelaki berkahwin dengan anak dara lalu dia bermalam dengannya selama tujuh malam. Sekiranya janda, selama tiga malam ”.

(Riwayat Muslim)


Di samping itu keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari al-Bukhari:


ان سودة بنت زمعة وهبت يومها لعاءشة وكان النبي الله عليه وسلم يقسم لعاءشة بيومها ويوم سودة

Mafhumnya :

Sawdah telah memberikan giliran beliau kepada Aisyah dan Rasulullah telah bermalam bersama Aisyah dengan giliran beliau dan Sawdah ”.


Bagi suami yang mempunyai isteri lebih daripada seorang wajib melakukan giliran di antara isteri-isteri secara yang adil berdasarkan firman Allah S.W.T:


Mafhumnya :

Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya

(an-Nisa’: 3)


Melakukan giliran siang atau malam di antara isteri-isteri yang merdeka wajib atas suami walaupun isteri itu ada keuzuran seperti haid, farajnya sempit disebabkan ketumbuhan daging (qarn) atau disebabkan tulang (ratq) atau ihram, kerana matlamat giliran bermalam itu untuk bermesra-mesra. Kalau suami itu mempunyai isteri yang merdeka dan hamba, maka giliran untuk isteri yang merdeka dua malam sementara isteri yang bertaraf hamba satu malam sahaja. Kecuali jika isteri itu nusyuz seperti keluar rumah tanpa izin suami, atau tidak buka pintu untuk suami memasuki rumah atau tidak mahu menyerah diri kepada suami. Maka ia tidak berhak mendapat giliran sama seperti nafkah juga ia tidak berhak memperolehinya.


Ø Giliran Malam Hari


Asas pada giliran bagi mereka yang bekerja di siang hari ialah malam, kerana itu waktu tenang, siang hari sebelum atau selepasnya dikira sebagai ikutan kerana ia waktu mencari rezeki,


sebagaimana firman Allah S.W.T :


Mafhumnya :

“ Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang benderang ( supaya kamu berusaha)…

(Yunus : 67)


Bagi mereka yang bekerja di malam hari seperti pengawal keselamatan, maka asas gilirannya ialah siang hari kerana baginya itulah waktu tenang, sementara malam hari dikira sebagai ikutan, kerana malam baginya waktu bekerja mencari rezeki. Kalau seseorang itu bekerja sekali malam dan sekali siang maka ia tidak boleh menggilirkan bagi seorang isteri satu malam ikutan dan siang hari yang kena ikut, sementara isteri yang satu lagi sebaliknya.


Suami yang asas gilirannya malam hari, ia tidak boleh masuk pada siang hari ke rumah isteri yang bukan gilirannya tanpa hajat, maka haram hukumnya kerana perbuatan itu membatalkan hak isteri yang punya giliran, kerana kalau ia lakukan juga dan lama pun berhentinya di situ maka wajib ia menggantikan untuk isteri yang punya giliran sekadar masa diamnya itu.


Sekiranya masuk kepada isteri yang bukan gilirannya itu kerana hajat tertentu seperti kerana menghantar barang-barang keperluan atau mengambilnya, atau menyerah nafkah atau memberitahu perkhabaran maka hukumnya adalah harus dan tidak perlu ia qhada’ walaupun panjang masanya. Sekiranya masuk pada malam hari hukumnya adalah haram menurut pendapat yang rajih walaupun kerana hajat, kerana ia meliputi hak isteri yang punya giliran melainkan kerana darurat seperti sakit yang ditakuti, pendarahan yang banyak, takut jenayah rompakan dan kebakaran. Akan tetapi jika panjang masa berada di situ pada urufnya wajiblah ia qadha’ bagi isteri yang digilirkan selama masa semestinya, kerana hak manusia tidak gugur dengan uzur. Kalau tidak panjang tidaklah wajib qadha’ kerana sedikitnya dan berdosa suami yang sengaja masuki rumah itu walaupun pendek masanya.


Demikian juga jika ia bersetubuh dengan isteri yang bukan gilirannya, hukumnya berdosa walaupun singkat masanya dan kerana darurat sekalipun. Menurut Imam al-Haramain; yang wajar dipastikan bahawa bersetubuh itu tidaklah disifatkan dengan haram tetapi haram itu dipalingkan melakukan maksiat, bukan kepada perkara yang jatuh maksiat dengannya. Kesimpulannya bahawa pengharaman persetubuhan bukan keranan diri persetubuhan itu tetapi kerana faktor luar ,hanya ia perlu qadha’ tempoh masa persetubuhan sahaja bukan persetubuhan itu sendiri, dan tidak perlu qadha’ jika pendek masanya.


Wajib qadha’ itu selagimana isteri yang mazluma itu masih dalam pernikahannya, tetapi hanya kalau ia mati dengan sebabnya maka tiada lagi wajib qadha’, kerana hak itu terlepas pergi kepada isteri-isteri yang lain. Namun begitu jika ia menceraikan isteri yang mazlumah itu maka tidak dapatlah hendak di qadha’’. Adapun suami yang asas gilirannya siang hari maka malamnya seperti siang hari orang lain, siangnya seperti malam orang lain dalam semua perkara yang telah lalu bagi orang yang bermukim. Adapun orang yang musafir, maka asas gilirannya ialah waktu berhenti atau sampai tempat yang ditujui, sama ada malam atau siang, sedikit atau banyak. Demikianlah pendapat al-Nawawi dalam al-Raudhah.


Paling kurang tempoh giliran bagi suami bermukim yang berkerja di siang hari ialah satu malam dan tidak boleh dibahagi-bahagikan malam keranan boleh mencelarukan waktu mencari rezeki dan sukar mempastikan bahagian-bahagian malam dan juga tidak boleh dibahagikan giliran itu dengan satu malam setengah.


Ø Giliran Siang Hari


Suami yang asas gilirannya siang hari seperti pengawal di malam hari, maka juga tidak boleh dibahagi-bahagikan siang hari itu seperti dibahagikan malam bagi mereka yang gilirannya malam hari. Namun demikian boleh jadi harus kiranya mudah mempastikan, tetapi melakukan giliran satu malam bagi setiap orang isteri lebih baik daripada melebihi satu malam, keranan mengikut amalan Rasulullah s.a.w dan supaya sentiasa berhampiran dengan mereka.


Harus dilakukan giliran dua atau tiga malam setiap orang tanpa keredhaan isteri-isteri, tetapi tidak harus melebihi tiga malam tanpa keizinan walaupun mereka berada dibeberapa negeri, supaya tidak membawa kepada tinggal meninggal dan kesunyian bagi yang baki dengan sebab lama bermukim dengan seseorang isteri, dan boleh jadi mati suami dalam masa bermukim yang panjang itu maka luputlah hak mereka.


Apabila suami hendak memulakan giliran dengan seorang daripasa isteri-isteri itu, wajiblah ia mengundi di antara mereka ketika tiada redha mereka, kerana mengelak dariapa berlaku pilih kasih sedangkan hak-hak mereka sama sahaja, maka bermulalah giliran dengan isteri yang keluar undinya. Kemudian apabila habis gilirannya hendaklah dicabut undi pula di antara isteri yang baki, kemudian di antara isteri dua isteri yang terakhir. Apabila tamat pusingan pertama hendaklah ia meraikan tertib giliran pertama dan tidak perlu lagi undian baru. Lainlah jika ia memulakan giliran tanpa undian maka hendaklah diundikan di antara isteri-isteri yang baki, kemudian apabila tamat pusingan giliran itu hendaklah mengundi lagi bagi melakukan giliran pula.


Ø Pengantin Baru Dalam Poligami


Apabila suami berkahwin dengan isteri yang baru wajiblah ia bermalam dengan isteri yang dara itu tujuh malam berturut-turut dan tidak wajib qadha’ bagi isteri-isteri yang sedia ada. Tetapi jika isteri baru itu janda hendaklah ia bermalam dengannya tiga malam berturut-turut.


4.3. Adil Dalam Musafir


Munurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri sekiranya beliau menginginkan salah seorang dari mereka menemaninya bermusafir. Dengan itu suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri, suami wajib mengqadha giliran bermalam kepada isteri yang tidak memperolehi haknya pada masa musafir tersebut. Perkara berkenaan undian ini disebut oleh Aishah r.a. menerusi hadis riwayat al-Bukhari :


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم اذا اراد سفرا اقرع بين ازوا جه

Mafhumnya :

Nabi SAW apabila keluar bermusafir, baginda akan menjalankan undian di antara isteri-isterinya ”.


Bagaimanapun mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.


Kalau salah seorang isteri menghibah gilirannya kepada isteri yang lain hukumnya harus hibah itu, namun demikian suami tidak mesti meredhai pemberian itu, kerana isteri tidak boleh menggugurkan hak suami untuk beristima’ dengannya. Maka jika suami redha dengan hibah itu sedangkan tersebut menghibah gilirannya kepada isteri yang tertentu hendaklah ia bermalam dengan isteri yang dihibah kepadanya itu dua malam.[8]


5. Tidak menimbulkan huru-hara di kalangan isteri mahupun anak-anak.


Jadi, suami mesti yakin bahawa perkahwinannya yang baru ini tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya. Kerana, diperbolehkan poligami dalam Islam adalah untuk menjaga kepentingan semua pihak. Jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa. [9]




[1] http://www.islam.gov..my/portal/pdf/PoligamiPPUU.pdf

[2] Ibid.

[3] http://www.islam.gov..my/portal/pdf/PoligamiPPUU.pdf

[4] http://dokterbantal.tripod.com/f_artikel_islam/syarat-syarat%20poligami%20dalam%20islam.htm

[5] Ibid.

[6] Kitab al-Ziwaj wa al Talaq fi al-Islam.

[7] Buku Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah.

[8] Ibrahim al-Bajuri, Hasyaiah al-Bajuri ‘Ala Ibn Qasim al-Ghazzi, jld: 2, m/s : 131-133.

[9] http://dokterbantal.tripod.com/f_artikel_islam/syarat-syarat%20poligami%20dalam%20islam.htm

Poligami : Madu ke Hempedu??


Bila dibangkitkan tentang isu poligami pasti kaum adam dan hawa semuanya ingin meluahkan pendapat masing-masing tak kiralah sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak setuju. Bayangkanlah kalau diadakan pertandingan debat antara kaum adam dan hawa tentang isu poligami ni mesti 'hot' punya lah...
Saya pula sering dikaitkan dengan isu Poligami terutamanya bila tajuk 'assignment'kebanyakannnya berkisar tentang isu ini. Bermula dari tugasan subjek TITAS diiikuti subjek Undang-undang Keluarga Islam dan baru ini proposal untuk subjek Maktabah Syariah pun berkisar tentang poligami. Sampaikan ada pelajar dari fakulti lain yang buat 'assignment' TITAS tentang poligami juga datang menemui saya untuk bertanyakan tentang isu ini..Fuhh...dah macam 'pakar' poligami pula rasanya. Tak dapat saya bayangkan satu hari nanti bila satu-satunya suami saya yang tercinta datang menghampiri saya untuk mendapatkan kebenaran dari saya untuk berpoligami. Bila mulut bercakap tentang poligami mungkin mudah tapi bila benar-benar berlaku pada diri-sendiri barulah tahu bagaimana keadaan sebenar poligami itu sendiri.

Bak kata orang isteri yang ingin dipoligamikan bukanlah REDHA tapi PASRAH. Nak buat macam mana tak akan kerana itu ingin bercerai dan meninggalkan suami tercinta? Bagaimana dengan anak-anak? Nak tak nak...iya kan saja...PASRAH...apa-apa pun si suami yang ingin berpoligami silalah berlaku ADIL dan jalankan lah tanggungjawab anda dengan sebaiknya. Jangan ingat seronok saja, kat akhirat nanti akan dituntut segala perbuatan si suami yang tidak berlaku adil dan menyakiti hati isteri-isterinya. Apa yang penting jangan menipu! Nanti pecah tembelang. Teringat lagu cerita Madu Tiga yang menjadi 'background music' kami sewaktu pembentangan TITAS dulu.."mesti pandai berbohong...mesti pandai temberang...oh tetapi jangan sampai hai pecah tembelang".

Pada minggu lepas, saya,'coursemate' dan pensyarah Dr.Mashitoh Mahamood telah membuat lawatan ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSWPKL) untuk mengkaji tentang Prosedur Sijil Faraid. Dalam lawatan tersebut kami telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk menyaksikan prosiding kes di kamar yang berbeza. Kumpulan saya tidak bernasib baik pula sebab sewaktu prosiding ingin dimulakan di kamar kami, kami telah dipanggil untuk ke
luar dan pergi ke bilik mesyuarat untuk perbincangan tentang faraid. Melepas la untuk tengok kes tuntutan fasakh. Ada kawan-kawan saya yang berada di kamar yang lain menceritakan ada satu kes di mana suami tersebut melafazkan talak ke atas isterinya dengan syahdu sekali (sambil menangis). Tak pastila pula itu kes fasakh ke atau kes cerai. Biasala suami isteri, bila masa manis semuanya terbaik. Bila dah pahit nak telan pun dah tak sanggup. Padahal orang kata yang pahit itu kena ditelan kerana yang pahit itu ubat. Orangla kata...bukan saya yang kata.

Sebenarnya saya ingin berkongsi satu laporan kes tentang poligami. Semasa lawatan ke MSWPKL kami semua diberikan satu buletin MSWPKL. Tertarik dengan laporan kes di halaman 26 hingga 29 yang membicarakan tentang Poligami. Berikut adalah laporan kes tersebut. Harap maaf saya tiada masa nak menaip laporan ni sebagai 'posting' sebab panjang sangat. Kalau nak baca sila tekan pada gambar ya. Rasanya macam kena 'save' dulu baru boleh baca. Baca...jangan tak baca. Rugi...lagi-lagi yang berminat nak berpoligami.