Sunday, November 28, 2010

Kisah Seorang Suami Yang Setia & Pesanan Isteri ^_^


Alhamdulillah syukur...akhirnya masuk ke fasa ke 2 peperiksaan akhir bagi semester ni...baru saja lepas 3 subjek fasa pertama minggu lepas...untuk minggu ni ada 3 lagi subjek menanti...yang paling tak suka 1 hari 2 subjek..pecah kepala nak 'study'...bosan-bosan asyik tengok buku saja terbaca satu kisah kt satu blog. Tajuknya amat menarik, sekali baca rupanya agak kelakar. Ingatkan cerita sedih la mula-mula. Kalau para pembaca nak baca kisah tu boleh la baca kat bawah ni..jangan menangis pula hehe...satu lagi saya nak berkongsi dengan para pembaca semua sebuah lagu nasyid dari kumpulan Wildan...sangat 'best' sila hayati liriknya ya buat semua isteri dan bakal-bakal isteri...suami pun boleh juga kalau nak hayati tak salah. Jangan taksub sudah la..


Teringat pula zaman sekolah dulu saya sangat suka nasyid. Kalau kat rancangan Nasyid Minggu Ini (NMI) yang ke udara setiap hari Ahad jam 6 petang kat RTM1 tu mesti tak 'missed'nya la...kalau 'missed' pun sanggup tengok siaran ulangan dia jam 6.30 pagi hari Isnin sebelum pergi sekolah. Sampai 2 kali juga la emel saya dibacakan dalam rancangan tu. Peminat setia kononnye...lagi-lagi kumpulan nasyid In-Team.. memang minat sangat la masa tu..Ingat tak kalau zaman-zaman sekolah kan meja-meja 'student' dalam kelas tu akan dibalut dengan kertas bunga-bunga la lepas tu dibalut lagi dengan plastik untuk elak dari basah dan kononnye untuk diselitkan nota-nota ke kat atas meja tu, sekali meja saya pula penuh dengan gambar kumpulan nasyid In-team dengan lirik lagu nasyid dia sekali. Ada pula budak-budak asrama ni yang dengki, bila 'time prep' petang duduk-duduk 'study' kat meja orang tangan tu gatal sangat usik-usik gambar atas meja tu yang paling geram siap ade yang ambil a.k.a curi la...

Sekarang ni,saya masih lagi minat dengar nasyid tapi tak la 'gila' macam kat sekolah dulu. Sekarang ni lebih suka kat lagu-lagu macam Maher Zain..Samy Yusuf...nasyid yang taraf 'international' sikit la. Mana tak nya, kat rumah adik pasang Maher Zain..naik kereta pun Maher Zain...bukak radio Hot.fm pun ade Maher Zain...kat kolej pun Maher Zain lagi...macam-macam...okla selamat membaca cerita kat bawah ni. Rugi tau tak baca..Nak sambung 'study' ni...doakan saya cemerlang dalam 'Final Exam' kali ini. Yang penting doakan saya jadi rajin...sebab saya memang malas nak 'study'. Ok ilal liqa' =)

........................................................................................................................................

Al kisah bermula...

Seorang suami baru kematian isteri yang amat dikasihinya. Ketika suasana kesedihan di tanah perkuburan, sesudah imam membaca talkin, si suami terus menyiram air mawar, bukan satu cerek atau satu jar seperti kebiasaan orang, malah terus satu baldi.

Para hadirin merasakan tindak tanduk itu membayangkan betapa kasihnya suami ini kepada isterinya. Ramai yang menitiskan air mata melihat senario romantik itu. Tak kurang juga ramai daripada para hadirin yang berbisik di hati masing-masing betapa bernasib baik arwah mendapat suami yang begitu setia dengan kasih sayang yang sedemikian solid.

Namun bagi kenalan rapat, tindak tanduk si suami ini mula menimbulkan tanda tanya apabilasetiap pagi, tengahari dan malam si suami itu masih menyiram air di pusara arwah isterinya, bukannya secerek malah masih sebaldi serta ditaburkan baja. kadang-kadang mereka mendapati beliau membawa kanta sambil meninjau dengan penuh teliti seolah-olah membuat kajian di atas tanah tersebut. Malah beberapa hari kemudian mereka telah melihat beliau memasang sprinkler di atas tanah perkuburan tersebut.

Apabila sudah masuk dua minggu amalan aneh ini berterusan, maka ada yang membuka mulut bertanya dan sekali gus ingin menasihati kerana bimbang taku-takut si suami ini semakin hilang akal lantaran kerinduan yang teramat sangat.

Apabila ditanya, si suami menjawab :

"Arwah isteriku telah berpesan, jika beliau meninggal dunia, janganlah kahwin lain sehingga rumput atas kuburnya tumbuh. Itulah sebabnya aku terpaksa siram sedemikian rupa untuk memastikanb rumput agar cepat tumbuh".

Saturday, November 6, 2010

Prosedur Permohonan Sijil Faraid MSWPKL


Undang-undang asas yang terpakai kepada agihan pusaka orang-orang Islam di Malaysia adalah tertakluk kepada hukum Syarak. Ini adalah kerana Mahkamah yang berhak menentukan kesahihan agihan sesuatu pusaka itu ialah mahkamah Syariah. Bcgitu juga Akta-akta yang berkaitan dengan pembahagian Pusaka seperti Akta Pengagihan Pusaka 1958 serta Akta Wasiat 1959 tidak terpakai kepada orang-­orang Islam. Namun begitu beberapa pengecualian bolch diberikan terutama kepada pembahagian tanah adat di Ncgeri Sembilan dan pembahagian tanah rancangan FELDA yang tertakluk kepada undang­-undang tertentu yang mungkin berbeza dengan hukum Syariah.[1]


Namun begitu dari segi pentadbiran dan pengurusan agihan harta pusaka orang Islam itu tertakluk kepada beberapa peruntukan undang-­undang seperti Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (pernbahagian) 1955. Mahkamah Syariah hanya berperanan mengesahkan siapakah waris-waris kepada si mati dan bahagian-bahagian mereka sahaja. Pihak yang berkuasa untuk Pengagihan pusaka ialah pentadbir harta pusaka dan mahkamah sivil. Sungguhpun undang-undang di alas membenarkan masyarakat umum mentadbir harta-harta pusaka, namun lazimnya harta tersebut ditadbir oleh pemegang amanah raya atau peguam yang dibayar bayaran tertentu kerana proses tuntutan yang agak rumit.[2]


Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes penentuan waris dan bahagian setiap orang waris yang dikeluarkan dalam “Sijil Faraid“. Ini berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri atau Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta505). Di samping itu Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dalam hal berkaitan wasiat, hibah, wakaf, sah taraf anak, perkahwinan, harta sepencarian dan nasab yang mana semua ini mempunyai kaitan rapat bahkan keputusan Mahkamah Syariah berkaitan perkara-perkara di atas mempengaruhi pembahagian harta pusaka.[3]


Sijil Faraid atau perakuan ahli waris ialah satu sijil atau perakuan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri berhubung dengan harta pusaka si mati orang Islam. Sijil ini, antara lain mengandungi senarai nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian mereka masing-masing. Sijil faraid dikeluarkan apabila ada permohonan daripada waris-waris atau pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk membahagikan harta pusaka mengikut syarak (faraid).[4]


Menurut peruntukan undang-undang yang ada di Malaysia, Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Faraid. Umpamanya di bawah Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhak menentukan bahagian dan orang-orang yang berhak mendapat harta pusaka[5].



Ahli waris atau pihak-pihak tertentu yang berhak boleh membuat permohonan sijil faraid untuk membahagikan harta pusaka si mati yang beragama Islam mengikut hukum syarak. Prosedur ini bertujuan untuk menguruskan pengiraan dan pengeluaran Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid supaya memenuhi kehendak hukum syarak. Prosedur permohonan ini bermula dari prosedur pendaftaran sehingga Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid dikeluarkan iaitu suatu akuan rasmi yang mengandungi maklumat pembahagian harta pusaka kepada waris-waris si mati (orang Islam) yang telah dikira dan disahkan.


Prosedur bermula dengan ahli waris mengemukakan borang permohonan di Mahkamah Syariah dengan melampirkan dokumen-dokumen yang diperlukan iaitu:


  1. Salinan Surat Mati pewaris-pewaris/Surat Akuan Sumpah.
  2. Salinan Kad Pengenalan/Sijil Kelahiran waris/ Surat Akuan Sumpah.
  3. Salinan Surat Nikah/ Akuan Sumpah (jika berkenaan).
  4. Salinan geran tanah/ rumah/ Perjanjian Jual beli/ penyata bank/ insuran/ Tabung Haji (yang mana berkenaan)


Petugas kaunter akan menyemak borang permohonan berkenaan untuk memastikan sekiranya borang permohonan tersebut tidak lengkap atau tidak tepat. Sekiranya perkara tersebut terjadi, maka borang permohonan itu akan dikembalikan semula kepada pemohon untuk diperbetulkan dan dilengkapkan.


Seterusnya, petugas kaunter akan mendaftarkan kes dalam komputer dan menetapkan tarikh sebutan iaitu dalam tempoh 21 hari daripada permohonan diserahkan termasuk hari cuti. Apabila fi telah diterima, resit dan notis kehadiran akan diserahkan kepada pemohon. Pada masa yang sama, petugas kaunter akan menyediakan dan melengkapkan fail kes dengan maklumat-maklumat seperti berikut:


  1. Nombor kes dan tarikh daftar
  2. Jenis kes
  3. Nama pemohon dan si mati
  4. Tarikh sebutan
  5. Catatan tanda terima bayaran
  6. Kertas minit


Selepas itu, petugas kaunter akan menyerahkan fail kes tersebut kepada Pembantu Hakim.


Apabila Hakim telah menerima fail kes tersebut,satu siasatan dan perbicaraan akan dijalankan ke atas pemohon. Sekiranya siasatan memerlukan kepada keterangan daripada ahli waris atau bukti-bukti tambahan, siasatan akan ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan baru akan ditetapkan semula. Jika pemohon dan ahli waris yang tidak mahu hadir dan tidak ingin memberikan kerjasama, kes tersebut akan ditutup dan ditolak. Sebaliknya jika masalah itu tidak terjadi, maka hakim akan membuat pengiraan apabila selesai semua siasatan.


Kemudiannya, Pembantu Hakim akan mengeluarkan Sijil Faraid atau menjana Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian Faraid dalam tempoh masa 7 hari selepas pembahagian hak waris dilakukan. Setelah itu, Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian Faraid akan dikemukakan oleh kepada Hakim untuk ditandatangani. Hakim seterusnya akan menyemak sijil faraid tersebut dan pembetulan akan dibuat sekiranya terdapat sebarang kesilapan.


Pembantu Hakim juga memainkan peranan untuk menguruskan penyerahan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid kepada pemohon dan memfailkan satu salinan sijil atau perintah tersebut ke dalam fail kes dan fail itu disimpan. Seterusnya, mengemaskini segala maklumat di dalam e-syariah.


Manakala akan berlaku pembatalan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid apabila ada waris-waris si mati yang mendakwa seseorang ahli waris yang tertera dalam sijil faraid tersebut bukan dari kalangan ahli waris atau terdapat ahli waris yang berhak tetapi tidak disenaraikan atau tertinggal dan sekiranya terdapat apa-apa kecacatan pada Sijil Faraid yang telah dikeluarkan. Pihak mahkamah akan mengarahkan ahli waris tersebut supaya membuat surat membatalkan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid tersebut dan mengemukakan permohonan yang baru.


Kemudian, Hakim atau Pembantu Hakim akan menyemak semula permohonan baru tersebut dan tindakan yang sama seperti yang telah diterangkan sebelumnya akan dijalankan. Jika mendapat persetujuan daripada pemohon dan ahli waris untuk membatalkan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid tersebut dengan cop ‘BATAL’, maka ianya akan disimpan di dalam fail dan sijil baru akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah.


Namun begitu, jika terdapat pemohon atau waris-waris yang tidak bersetuju, mereka akan diarahkan untuk memfailkan kes mal sabitan waris berdasarkan PKU-MSWP-01.


Antara kes-kes menarik berkenaan pembahagian pusaka orang Islam anda boleh merujuk kepada laporan kes Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary dan juga kes Allahyarham Tan Sri SM Nasimudin.






[1] Ahmad Hidayat Buang (2000), Bagaimana Pusaka Diagihkan?.Kuala Lumpur : Jabatan Syariah dan Undang-Undang UM, h. 19.

[2] Ibid.

[3] Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun ,“Isu-Isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam Konteks Perundangan Malaysia”, http://www.islam.gov.my/portal/pdf/2009/artikel/pusaka.pdf, 26 Oktober 2010.

[4] Mohd Zamro Muda, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan Di Malaysia,Bangi : Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, h. 235.

[5] Ibid.

Erti Sebenar Sebuah Perkahwinan


Hampir seluruh perkahwinan mengalami pertengkaran meskipun ramai orang yang malu untuk mengakuinya. Sebenarnya dalam sebuah perkahwinan tanpa pertengkaran ianya ibarat cendol tidak bergula...Syurga rumahtangga itu fitrah hati Naluri semulajadi yang pinta diisi...


Kerananya jejaka rela menjadi suami

Kerananya perawan rela menjadi isteri

Masing-masing dengan harapan

Agar rumahtangga membawa kebahagiaan

Matlamat yang satu tapi jalannya berliku

Destinasinya sama tapi kaedahnya berbeza

Lalu bermacamlah jalan ke sana

Ada yang mengatakan bahagia itu pada harta..

Diukir dari intan permata

(Wah , suamiku seorang jutawan)

Tidak kurang merasakan bahagia itu pada rupa..

Ditempa oleh wajah rupawan

( Wah, isteriku seorang celebrity)

Ramai juga yang merasakan bahagia itu pada kuasa

Dituai oleh pangkat dan jawatan

( Wah, suamiku seorang negarawan)

Pelbagai jalan menimbulkan dilema

Mencari yang benar mempelai tersasar

Kalaulah bahagia itu pada harta

Kalaulah bahagia itu pada nama

Kalaulah bahagia itu pada rupa

Kalaulah bahagia itu pada kuasa

Kenapa Charles dan Diana berpisah

Kenapa Elvis dan Priscilla berpecah

Kenapa Onassis dan Jackie bertelagah.



Bahagia itu dari dalam hati..Kesannya zahir rupanya maknawi..Terpendam bagai permata dalam hati..Terbenam bagai mutiara disalut nurani..


Bahagia itu pada HATI

Bertakhta di kerajaan diri

Bahagia itu pada JIWA

Mahkota di singgahsana rasa

Bahagia itu KESABARAN

Bila susah tak gelisah

Bila miskin tak pemarah

Bila gagal tidak resah


Hakikatnya bahagia itu ketenangan di saat hati mengingati tuhan..


Ketahuilah dgn mengingati Allah itu memberi ketenangan pada hati suami isteri, sama-sama mengerti maksud tersemi takdir ilahi itulah zikir yg hakiki.


Binalah rumahtangga atas tapak iman

Tuluskan niat dan luruskan matlamat

'suamiku, kaulah pemimpin menuju ilahi'

'isteriku, kaulah permaisuri hati.....'

penyeri Islamku nanti muktamadlah akad

sahlah nikah dengan ijab dan kabul

gerbang perkahwinan pun terserlah

Di atas tapak iman dirikanlah hukum tuhan

Iman itu tujuan

Syariat itu jalan

Tempat merujuk segala permasalahan

Tempat mencari semua penyelesaian

- isteriku, taatilah hukum Allah....

- suamiku, patuhilah sunnah Rasululah s.a.w

Binalah hidup di neraca maaruf

Rumah jadi sambungan madrasah...

Seninya kerana solat...

Indahnya oleh munajat

Tapaknya ....iman

Jalannya ....syariat

Natijahnya.....akhlak

Tiga penjamin segala kunci kebahagian rumahtangga dan terciptalah:

'setia dan penyayang suami'...'cinta dan kasih isteri'

lalu berbuahlah mahmudah demi mahmudah yang melahirkan..Soleh dan solehah.


Semoga Allah melimpah Segala anugerah kebahagiaan rumahtangga solehah...