Monday, December 19, 2011

Analisis Kes Tort : Tort Kecuaian (Negligence)

PENDAHULUAN

Tajuk kajian kes bagi tugasan subjek Undang-undang Tort (IUEL3303) ialah Kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police [1991] 4 All ER. Secara amnya, kes ini mengandungi prinsip tort yang berkaitan dengan kecuaian iaitu pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diingini kepada plaintif. Sebagaimana yang diketahui,terdapat 3 elemen kecuaian iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage). Kajian kes ini terbahagi kepada  lima bahagian iaitu:

1)      Fakta
2)      Isu Kes
3)      Prinsip Tort
4)      Alasan Penghakiman
5)      Keputusan Kehakiman

Plaintif 
Alcock and others

Defendan
Chief Constable of the South Yorkshire Police

Hakim
Lord Keith of Kinkel, Lord Ackner, Lord Oliver of Alymerton, Lord Jauncey of Tullichettle and Lord Lowry


FAKTA KES

Pada 15 April 1989,  satu perlawanan bola sepak telah diadakan di Stadium Hillsborough, Sheffield di antara Liverpool dan Nottingham Forest yang merupakan perlawanan separuh akhir Piala FA. Pasukan polis South Yorkshire merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengawal penonton yang terlalu ramai pada perlawanan yang mana mereka telah membenarkan sejumlah besar bilangan penonton  yang melebihi had untuk memasuki Leppings Lane, iaitu  kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Mereka berasak-asak ke dalam pen 3 dan 4, di bawah Stand Barat Stadium Hillsborough dan menyebabkan 95 orang terbunuh dan lebih daripada 400 telah cedera dari segi fizikal. Tragedi ini telah disiarkan secara langsung di televisyen dari semasa ke semasa ketika kejadian berlaku dan rakaman tragedi itu juga disiarkan.

 Ketua Konstabel South Yorkshire (Chief Constable of the South Yorkshire Police) mengakui bahawa beliau menanggung liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku. Enam belas tindakan yang berasingan dibawa terhadapnya oleh orang-orang yang tiada seorang pun yang hadir di kawasan di mana bencana berlaku, walaupun empat daripada mereka berada di tempat lain sewaktu kejadian. Semua plaintif menuntut ganti rugi bagi kejutan saraf yang menyebabkan mereka mengalami penyakit psikiatri yang disebabkan oleh tragedi tersebut.

Seramai 16 orang plaintif telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Konstabel Polis South Yorkshire yang mana 13 orang yang menuntut terdiri daripada saudara mara dan sahabat mereka yang terbunuh. Manakala 2 orang lagi adalah saudara mara dan sahabat mereka yang tercedera serta seorang lagi adalah mangsa yang dapat menyelamatkan diri sewaktu berlakunya tragedi tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa 10 sahaja daripada pihak plaintif telah menang dalam tuntutan ini.

Kemudian, defendan yang tidak berpuashati telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap 9 plaintif yang berjaya, dan 6 pihak plaintif yang kalah juga membuat rayuan. Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan defendan dan telah menolak rayuan daripada pihak plaintif.

Disebabkan tidak berpuashati terhadap keputusan ini, pihak plaintif telah membuat rayuan ke Mahkamah Agung.





ISU KES

  1. Samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock).
  2. Samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan


PRINSIP TORT

Prinsip tort yang wujud dalam kes ini adalah prinsip kecuaian yang mana di dalam prinsip ini, wujudnya tiga elemen iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Di dalam kes ini,Ketua Konstabel Polis South Yorkshire menanggung liabiliti dalam elemen kecuaian yang pertama iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care) yang mana beliau bertanggungan terhadap tugasnya untuk memastikan keselamatan para penonton sewaktu perlawanan. Beliau mengakui akan liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku akibat tragedi tersebut.

Elemen kecuaian yang kedua iaitu pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty), yang mana pasukan polis South Yorkshire yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal bilangan kemasukan penonton ke dalam stadium, telah melakukan pelanggaran kewajipan iaitu dengan membenarkan sejumlah besar penonton memasuki Lane Leppings iaitu suatu kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Seterusnya, elemen kecuaian yang ketiga turut dipenuhi yang mana di dalam tragedi ini, 95 orang telah terbunuh dan menyebabkan lebih 400 orang lagi tercedera akibat daripada pelanggaran kewajipan berjaga-jaga yang telah dilakukan oleh pasukan polis South Yorkshire.

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang defendan itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap plaintif iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.   


ALASAN PENGHAKIMAN

Berdasarkan kepada isu yang pertama iaitu samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock), pihak plaintif tidak berhak untuk mendapat gantirugi atas kejutan saraf kerana tidak wujud hubungan yang rapat antara plaintif dengan mangsa utama. Hubungan mereka dengan mangsa juga tidak begitu dekat bagi membolehkan tuntutan ini diterima. Berkenaan dengan kelas orang, iaitu kemungkinan hubungan yang paling rapat dalam keluarga ialah antara ibu bapa dan kanak-kanak atau suami dan isteri. Sebagai contoh, di dalam kes ini, Robert Alcock telah kehilangan adik iparnya, Catherine Jones juga telah kehilangan adiknya dalam tragedi ini, Brian Harrison kehilangan kedua-dua saudaranya, Brenda Hennessey pula kehilangan abangnya, Denise Hough juga kehilangan abangnya, Stephen Jones pula kehilangan saudaranya, Joseph Kehoe kehilangan cucunya dan Alexander Penk pula kehilangan tunangnya. Tetapi, hanya Encik dan Puan Copoc yang kehilangan anak mereka. Akan tetapi, hal ini belum dapat meyakinkan mahkamah bagi  membenarkan tuntutan plaintif terhadap kes ini.

Bagi isu yang kedua iaitu samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan. Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja.


KEPUTUSAN KEHAKIMAN

House of Lords (Mahkamah Agung) memutuskan bahawa Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif juga tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja. Hubungan mereka kepada mangsa juga tidak menunjukkan cukup dekat untuk membolehkan rayuan mereka diterima. Oleh itu, Mahkamah menolak rayuan daripada plaintif.


KESIMPULAN

Berdasarkan kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police, bagi membuktikan seseorang itu telah melakukan kecuaian, ia hendaklah memenuhi tiga elemen kecuaian iaitu mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap pihak lain iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.  


*Baru tahu fakta baru hari ini bila ada sahabat present kes berkenaan suami / isteri tidak boleh menyaman pasangan mereka atas kesalahan tort berdasarkan seksyen 9 (2) Akta Perempuan Bersuami 1957.

Monday, November 21, 2011

Mock Trial Acara Mal 2011 : Kes Tuntutan Harta Sepencarian & Sijil Faraid

Dijemput untuk menyaksikan Mock Trial bersempena subjek 
Undang-undang Acara Mal IUEL 3102
 yang akan berlangsung pada 
24 November - 15 Disember 2011 
bertempat di 
Moot Court Aras 1 Blok A, APIUM...
yang mana melibatkan kes syariah iaitu tuntutan Harta Sepencarian oleh plaintif Muna Safi dan juga permohonan Sijil Faraid si mati Mawla Ghais oleh pihak defenden Hudu'ul Ain....



KRONOLOGI & FAKTA KES

          Sebelum berkahwin dengan Mawla Ghais muna safi berkerja sebagai guru tadika dan mempunyai simpanannya sendiri.Setelah berkahwin pada 14 Februari 1982 dia tetap meneruskan pekerjaanya.Dalam tempoh perkahwinan tersebut dia telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan sempurna walaupun perkahwinan tersebut tidak diserikan dengan cahaya mata. Dalam tempoh perkahwinan mereka Mawla Ghais mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan mengusahakan ternakan ikan air tawar dan juga tanaman kelapa sawit. 

          Sebagai isteri dia menyokong penuh apa yang dilakukan oleh suaminya. Kadang-kadang dia juga menghulurkan modal kepada suaminya apabila suaminya kesempitan wang dalam perniagaanya. Muna safi tidak kisah asalkan dia dapat membantu dan meringankan beban suaminya. Berkat ketekunan suaminya dan semangat yang ditiup oleh muna safi buat suaminya perniagaan Mawla Ghais makin meningkat dari hari ke hari. Dari rumah papan yang yang dihuni pada awal perkahwinan bertukar kepada rumah, batu dari motosikal bertukar kepada kereta. Setiap hasil keuntungan perniagaan yang diperolehi akan disimpan ke dalam Akaun Tabung Haji. Sebagai pelaburan untuk masa depan Mawla Ghais telah membeli beberapa lot tanah antaranya :

i) Sebuah hartanah beralamat di No.21 Jalan 3/9 Sunway Rahman Putra,Sg.Buloh 
ii) Sebuah hartanah beralamat di No.1 Jalan Desa 8/6 Cofield Rahman Putra, Sg. Buloh.

iii) Ladang Kelapa Sawit seluas 300 hektar yang berada di Sitiawan, Perak
iv) Tanah seluas 1 ekar di Kg. Abdulullah Hukum, Kuala Lumpur

          Namun panas yang disangka sampai ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Dalam diam Mawla Ghais main kayu tiga dengan wanita lain. Hatinya hancur saat mengetahui kecurangan suaminya, dirasakan segala pengorbannya selama ini tidak dihargai. Hanya sahabat baiknya sahaja tempat untuk dia mengadu dan meluahkan rasa. Akhirnya rumahtangga yang dibina selama ini runtuh hanya dengan sekali lafaz di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Februari 1990 . Muna safi membawa hatinya yang hancur ke negeri lain. Baginya biarlah duka semalam berkubur disitu, tidak mahu di ungkit lagi.

          Selepas bercerai dengan muna safi Mawla Ghais telah bernikah dengan Hudu’ul Ayn pada tahun 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Insaful Qabul bin Mawla Ghais yang dilahirkan pada 19 november 1991. Perkahwinan mereka bahagia, namun dalam tempoh perkahwinan tersebut Hudu’ul Ayn tidak mengetahui bahawa suaminya pernah berkahwin sebelum berkahwin dengannya. Perniagaan Mawla Ghais semakin maju sehingga dia menjadi seorang ahli perniagaan yang Berjaya. Dari perniagaan yang berasaskan ternakan, Mawla Ghais mula melebarkan perniagaannya dengan mengeksport produk keluarannya sendiri ke negara-negara jiran

          Pada 14 Jun 2011 Mawla Ghais telah meninggal dunia. Berita kematian Mawla Ghais disiarkan dalam akhabar. Takdir allah Muna Safi terbaca mengenai berita tersebut. Meskipun 20 tahun telah berlalu namun dia tahu masih ada sesuatu yang belum selesai antara dia dengan Mawla Ghais, sesuatu yang sepatutnya menjadi haknya. Sesuatu yang sepatutnya dia tuntut 20 tahun dahulu. Muna safi merasakan bahawa dia layak untuk mendapatkan sebahagian daripada harta peninggalan Mawla Ghais walaupun tindakannya untuk menuntut harta tersebut agak terlamabt.


         Muna safi menganggap tanpa pertolongannya dahulu terhadap Mawla Ghais mana mungkin Mawla Ghais mampu membina empayar perniagaanya. Langkah yang di ambil oleh muna safi ialah berjumpa dengan peguam syarie untuk mendapatkan khidmat nasihat dan menuntut sebahagian dari harta tersebut. Antara yang menjadi tuntutan muna safi ialah tanah-tanah yang dibeli oleh Mawla Ghais, wang simpanan akaun tabung haji dan juga dua buah kereta. Kesemua asset-aset tersebut adalah diperolehi dalam tempoh perkahwinan mereka sebelum bercerai melainkan dua buah kereta tersebut. Bagi muna safi kereta tersebut adalah miliknya walaupun ianya diperolehi bukan dalam tempoh perkahwinannya kerana tanpa usaha dan sumbangan modal yang diberi kepada Mawla Ghais mana mungkin Mawla Ghais mampu memiliki kereta tersebut dan juga aset-aset lain.

Adab-adab Walimah

PENDAHULUAN

Allah S.W.T menjadikan makhluk-makhluk-Nya khususnya manusia yang mana fitrahnya suka kepada ketenangan (sakinah) dengan kehidupan suami isteri dan berkeluarga. Hidup berkeluarga ini pada dasarnya, lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.[1] Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Perkahwinan merupakan salah satu sunnah dan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengannya dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai. Al-Baihaqi R.A meriwayatkanhadis daripada Rasulullah S.A.W bermaksud :

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

Galakan supaya berkahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki bagi mereka. Ini diperkuatkan oleh hadis Nabi S.A.W :
من ترك التزويج مخافة العيلة فليس منا
Maksudnya : “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.” [2]

TAKRIF & HUKUM WALIMAH

Dari segi bahasa : perkataan ‘al-Walimah’ berasal sari kata terbitan ‘al-Walm’ yang bermaksud berkumpul, kerana pada waktu itu suami isteri akan berkumpul. Istilah di dalam kamus, ‘al-Walimah’ bermaksud makanan acara majlis perkahwinan yang disediakan kepada para tetamu yang hadir.[3]

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim: Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus.[4]
Hukum mengadakan walimah atau majlis perkahwinan menurut jumhur ulama’ adalah sunat mu’akkadah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Abdul Rahman bin Auf :

أولم ولو بشاة
Maksudnya : “Adakan walimah, sekalipun dengan hanya seekor kambing.”[5]

Manakala, hukum menghadiri walimah adalah wajib bagi orang yang diundang ke majlis tersebut. Dari Ibnu Umar, Rasulullah S.A.W bersabda :

إذا دعي أحدكم إلى وليمة ، فاليأتها
Ertinya : “Jika salah seorang kalangan kamu diundang untuk menghadiri acara walimah, hendaklah dia menghadirinya.”[6]


ADAB – ADAB MENGADAKAN WALIMAH

1.      Walimah dilaksanakan setelah pasangan suami isteri terbentuk dan dilakukan selama tiga hari sepertimana yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.W. Diriwayatkan dari Anas R.A berkata :

بنى رسول الله صلى الله عليه وسلم بامرأة، فأرسلني فدعوت ر جالا على الطعام
Maksudnya : “Tatkala Rasulullah S.A.W menikahi seorang perempuan, beliau mengutus saya untuk mengundang orang-orang untuk makan.”[7]

Diriwayatkan dari Anas juga :

تزوج اانبي صلى الله عليه وسلم صفيةن وجعل عتقها صداقها، وجعل الوليمة ثلاثة آيام
Ertinya : “Tatkala Nabi S.A.W menikahi Shafiyyah, beliau menjadikan pembebasan dirinya sebagai mahar. Beliau mengadakan walimah selama tiga hari.”[8]

2.      Hendaklah mengundang orang-orang soleh, baik mereka yang miskin mahupun kaya. Ini merujuk sabda Rasulullah S.A.W :

لا تصاحب إلا مؤمنا، ولا يأكل طعامك إلا تقي
Maksudnya : “Bersahabatlah kamu dengan orang mukmin dan usahakanlah makananmu hanya dimakan oleh orang yang bertakwa.”[9]

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...”[10]

3.      Melaksanakan dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing, boleh juga lebih bilangan jika ada kelapangan rezeki. Dari Anas R.A meriwayatkan maksudnya:

“Saya tidak menyaksikan walimah yang diadakan oleh Rasulullah S.A.W ketika beliau menikahi isteri-isterinya seperti walimah ketika beliau menikahi Zainab. Beliau menyembelih seekor kambing.”[11]

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048).

4.      Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i  menjelaskan waktu mengadakan walimah ialah apabila selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama. Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”.[12]

5.      Dalam memeriahkan pernikahan, boleh menabuh rebana dan menyanyikan lagu-lagu yang tidak memuji-muji kecantikan seseorang atau yang tidak mengandungi pelanggaran syariat. Dari Abu Balaj iaitu Yahya bin Salim berkata, saya pernah menikahi dua orang wanita. Tidak satu pun acara pernikahan saya yang dimeriahkan dengan menabuh rebana. Muhammad bin Yathrib menyahut, Rasulullah S.A.W pernah bersabda mafhumnya:

“Pemisah antara acara yang halal dengan yang haram adalah suara rebana”[13]

6.      Majlis walimah tidaklah sewajarnya diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[14]

Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini yang dapat penulis sebutkan adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam persandingan, menghambur-hambur harta (membazir) untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin dan seumpamanya.

Hal ini dilihat meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah. Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.”[15]


ADAB – ADAB MENGHADIRI WALIMAH

1.      Mendoakan orang yang mengundang setelah selesai makan. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W :

اللهم اغفرلهم، وارحمهم، وبارك لهم فيما رزقتهم
Maksudnya : “Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka, dan berilah berkah pada makanan yang telah engkau berikan kepada mereka”[16] 

2.      Mendoakan kedua mempelai agar mendapat kebaikan dan keberkatan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bila memberi ucapan selamat kepada seseorang yang telah menikah beliayu berdoa :

بارك الله لك، وبارك عليك، وجمع بينكما في حير
Ertinya : “Semoga Allah member berkat kepadamu dalam kesenangan mahupun kesusahan dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”[17]




3.      Tidak membezakan undangan, baik undangan itu datangnya dari orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam.  Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya jika ia hanya berpuasa sunat. Ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah, tetapi jika ia berpuasa wajib seperti qadak, maka tidaklah ia boleh berbuka. Dalam sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri tang bermaksud:

“ Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu”[18]

5.      Menolak undangan jika diketahui makanan yang dihidangkan itu dari barang syubahat dan haram, ataupun dalam majlis hiburan yang diharamkan oleh syarak. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik yang halal telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepada-Nya"[19]

Merujuk juga kepada hadis Nabi s.A.W mafhumnya :

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?.Beliau menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[20]

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” [21]

6.      Janganlah mengambil makanan secara berlebihan, biarlah dan janganlah makan terlalu banyak jika tidak mendapat keredhaan tetamu yang makan bersama-sama dalam satu hidangan. Wajib bersikap adil terhadap tetamu lain umpamanya jangan makan dua biji tamar atau dua biji anggur sekaligus, melainkan tetamu yang bersama mengizinkannya. Perkara ini disebutkan oleh Abdullah bin Umar R.A:

"Jangan kamu makan secara Qiran (dua biji kurma sekali suap ke mulut) kerana Nabi Sallahu Alaihi Wassalam melarang Qiran. Kemudia dia (Abdullah) berkata: Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersama)"[22]


KESIMPULAN

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni.

Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Ingatlah pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Oleh itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran. 

Hindarilah perkara-perkara tokok tambah yang kian menjadi darah daging dalam diri masyarakat kita. Tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:


“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”[23]


Begitu juga di dalam beberapa hadis yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” [24]



[1] Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat, Kuala Lumpur:Telaga Biru, hlm. 186.
[2] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab galakan supaya berkahwin, 4779,  Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud dalam kitab nikah, bab sunat berkahwin bagi mereka yang ingin berkahwin, 1400.
[3] As-sayyid Sabiq, Terjemahan Fiqh Sunnah, Jil IV, 2009. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publication, hlm.321.
[4] Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, Jil. II, Bab Nikah, Kuala Lumpur : Pustaka Ibnu Katsir, hlm.310.
[5] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab memakai pakaian warna kuning bagi orang yang hendak berkahwin, Jil VII, hlm.27.
[6] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab walimah adalah suatu hak, Jil VII, hlm.30.
[7] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (IX/189-194), al-Baihaqi (VII/260) dan lainnya.
[8] Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad Hassan sebagaimana dijelaskan dalam Kitab al-Fath(IX/199).
[9] Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi, al-Hakim (IV/128) dan Ahmad (III/38). Al-Hakim berkata sanad hadis ini shahih.
[10] Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177.
[11] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, bab walimah walaupun dengan seekor kambing, no 4872.
[12] Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, Jil. II, Bab Nikah, Kaherah : Darus Sunnah, hlm.727.
[13] Diriwayatkan oleh an-Nasai (II/91), at-Tirmizi (II/170). Tirmizi berkata hadis ini Hassan.
[14] Surah an-Nuur, 21.
[15] Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani.
[16] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (XII/158/1-2).
[17] Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dalam kitab Sunannnya (522).
[18] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari.
[19] Al-Baqarah, 172.
[20] Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf.
[21] Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi.
[22] Riwayat Al-Imam Al-Bukhari.
[23] Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097.
[24] Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607.