Saturday, July 16, 2011

Menjadi Isteri Kedua...


*Semoga bacaan ini dapat mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap POLIGAMI...tidaklah disyariatkan sesuatu itu andai ianya negatif...apa yang penting cukup didikan agama & keperluan yang diberikan suami terhadap isteri-isterinya :)

Saya tidak pernah termimpi untuk menjadi isteri kedua. Ya, siapakah antara kita yang memasang cita-cita untuk terus-terus berada di alam poligami…? Berkahwin dengan suami orang…?

Baguslah jika ada di antara kalian yang bujang, positif menerima dan bersedia berpoligami, kerana mungkin kalian telah nampak kebaikan dan kepentingan melaksanakan syariat ALLAH yang satu ini. Dan sebenarnya, kebaikan syariat poligami ini jauh lebih baik dari yang kita sangkakan. Alhamdulillah.

Pertama kali dikhabarkan oleh kakak isteri pertama, bahawa suaminya ingin menjadikan saya isteri kedua, saya terasa amat berat mencucuk fikiran. Ya ALLAH, moga ini hanya mimpi. Namun, terjaga dari tidur, saya ‘terpaksa’ memikirkannya kerana ternyata ini adalah ujian nyata yang ALLAH datangkan dalam hidup yang sementara.

Saya juga sama seperti kalian, ingin bernikah. Ingin menjadi isteri yang pertama. Bukan sekadar menjadi isteri pertama, tapi saya juga ingin menjadi satu-satunya isteri.

Saya tidak ingin suami saya mencintai dan menyayangi wanita lain. Saya tidak mampu. Kerana saya dibesarkan dalam lingkungan masyarakat dan arus media yang sangat mendokong monogami, menyisihkan poligami.

Tapi ternyata ketidakmampuan saya sangat sedikit berbanding kehebatan ALLAH mengatur setiap salur galur urusan makhluknya.

[ Malah kini saya suka kalau suami saya dan para suami lain diberi kemampuan untuk memiliki lebih dari satu isteri...opss, nanti kita kupas pasal ni..]

Melalui kakak isteri pertama, saya mendapat info dan sedikit sebanyak pengenalan mengenai suami saya (bakal suami waktu itu). Dan seterusnya setelah saya bersemuka dengan bakal suami bersama isterinya, saya menghadapkan lamaran itu kepada mak dan abah.

Ya, mak dan abah amat sukar untuk menerima. Kata abah, perkahwinan itu sendiri terlalu banyak cabaran dan ranjaunya, apatah lagi hidup di alam poligami. Saya terlalu mentah untuk menghadapi semua itu, abah mengingatkan.

“Mak pula macam mana ya…?” tanya saya pada mak.

“Mak ni, kalau boleh biarlah bukan suami orang. Saudara mara kita tak pernah ada yang bermadu… tapi kalau dah jodoh tu, mak terima je lah..” mak menjawab dari persepsi seorang ibu.

Mak sempat juga berkongsi, tentang seorang kawannya, “ Dulu dia bercerai sebab tak boleh terima suaminya nak berkahwin lagi…tapi sekarang, dia pun dah berkahwin semula dengan suami orang lain”.Maksud mak, kadang-kadang perkara yang kita tak nak dan tak terfikir, akan datang juga kepada kita.

Waktu itu, saya berusaha mencari isteri yang berpoligami, ingin meminta pandangan mereka. Ada dua orang isteri, yang bergelar isteri kedua, yang memberi pandangan kepada saya. Mereka menasihatkan saya supaya tidak menjadi isteri kedua atas sisi-sisi negatif kehidupan poligami yang mereka lalui.

Namun setelah difikir-fikir semula, sisi negatif itu bukan kerana mereka berpoligami, tapi itu adalah konflik lumrah yang berlaku dalam perkahwinan monogami sekalipun. Apapun, saya tetap menghargai pandangan mereka berdua.

Selain mereka berdua, saya tidak ada contoh rujukan yang lain dari kalangan yang berpoligami. Namun saya bersyukur, beberapa orang yang saya minta pandangan, memberi nasihat yang sangat menenangkan iaitu– Kembalikanlah semua ini kepada ALLAH. Kuatkanlah hubungan dengan ALLAH. Persiapkanlah diri menghadapai ujian-ujian rumahtangga yang pasti, samaada bermadu ataupun tidak.

Menghadapi pula sebahagian pandangan insan sekeliling yang lain, ternyata inilah yang membuatkan tak ada orang yang terdorong untuk berpoligami.

Untuk yang ingin menjadi isteri kedua - bersedialah dengan kata-kata yang tidak enak didengar. Atau dilabel perampas dan pengacau.

“ Dah tak ada orang lain ke.. orang bujang kan ramai lagi…”

“Dah desperate sangat ke…??”

“Kenapa mengganggu kebahagiaan orang lain..??”

Ya ALLAH, ampunilah mereka..sesungguhnya mereka tidak mengetahui…

Sedangkan para isteri pertama pula dikatakan tidak pandai menjaga suami, dan segala cakap-cakap lain yang mengganggu kesediaan dan ketenangan para isteri untuk meraikan alam poligami.

Para suami tidak kurang hebatnya dikecam, ‘gatal’ dan ‘miang’ gelaran biasa bagi suami yang berusaha membina rumahtangga seterusnya.

‘Kahwin kerana nafsu’.. kata sebahagian orang pada para suami yang berhasrat bernikah lagi. Apakah kita  dan kalian semua yang berkahwin kali pertama, baik lelaki atau perempuan, bukan kerana didorong nafsu dan perasaan ? Tak apa.. yang ni pun boleh buka topik lain :p

Moga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita yang mudah melabel, berprasangkan buruk dan mengeluarkan kata-kata yang seandainya kita tahu redha dan murka ALLAH atas perkataan yang disebut, nescaya kita memilih untuk mengunci lidah dari berbicara.

CEMBURU

“Tak cemburu ke…..????” inilah persoalan yang kerap diajukan kepada para isteri yang bermadu.

Duhai teman, jika anda seorang perempuan yang normal, anda akan cemburu. Bukan cemburu sikit-sikit, boleh jadi cemburu sangat-sangat. Kadar cemburu setiap orang itu berbeza-beza…

Dan saya adalah perempuan normal itu :P

Cemburu saya memuncak sebelum saya bernikah. Menghampiri tarikh pernikahan, saya tak dapat membayangkan kelak suami saya punya isteri lain yang diberi perhatian, yang disayangi, yang dirindui… dan macam-macam bayangan yang menjadikan hati saya tidak kuat untuk menampung rasa cemburu itu.

Saya pun terus menulis emel panjang lebar kepada bakal suami, bahawa saya ingin membatalkan lamaran yang diterima atas beberapa sebab-sebab, satu sebab sahaja yang saya tak tulis…bahawa saya sangat cemburu..saya tak mampu….. Terima kasih melamar saya menjadi isteri kedua.

Tapi saya tak sempat tekan butang ‘send’. Saya termenung di hadapan komputer. Ya ALLAH.. . betulkah tindakan ku ini..? Hanya kerana rasa cemburu, saya ingin membatalkan pernikahan yang dirancang. Adakah PERASAAN saya yang akan membuat keputusan, bukan petunjuk keimanan dan pemikiran yang matang dan waras..?

Airmata saya menitis, saya teringat bahawa saya selalu mengingatkan teman yang sudah bertunang dan mendekati pernikahan, jangan semudahnya memutuskan pertunangan hanya kerana cabaran-cabaran yang datang, hanya kerana ragu-ragu yang mencuit-cuit hati..hanya kerana perasaan yang bertukar-tukar dan tak tenang.

Fa’iza ‘azamta, fa tawakkal ‘alallah. (Setelah kamu bertekad, bertawakkal lah kepada ALLAH.) Rujuk Surah Ali Imran:159.

Saya delete emel untuk memutuskan lamaran itu, bismillah, saya tidak fikir lagi tentangnya. Saya hanya berdoa moga ALLAH permudahkan pernikahan kami.

Ya...memang takut sebenarnya, melangkah ke alam pernikahan bernama poligami, kerana ia sesuatu yang janggal dan masih belum diterima di hati-hati kita semua.

Saya meluah perasaan kepada seorang bapa saudara, abang kepada ibu saya,

“Paklang.. nanti kalau saya kahwin jadi isteri kedua, nanti esok kalau jadi apa-apa, macam mana saya nak hadapi..? Nanti orang kata – sape suruh jadi isteri nombor dua..???????”

Jawab Paklang, “Tak payah kita ramal-ramal masa depan ni.. Kita tak tahu. Memanglah risau kalau fikir macam-macam.. tapi sekarang ni kita buat dengan cara elok. Dia (bakal suami) pun dah datang jumpa mak abah dengan cara elok.. orang nya pun nampak elok.. Tak payah fikir sangat benda yang kita tak nampak”

Paklang nasihatkan - perlu bersedia menghadapi hidup berumahtangga, dalam masa yang sama, jangan keterlaluan memikirkannya, hingga kita takut untuk melangkah.

Yang saya kongsikan di sini, hanya tentang secebis kisah cemburu dan pandangan insan lain tentang poligami. Banyak lagi cabaran lain yang menduga, dan banyak lagi bentuk cemburu lain yang menjelma sepanjang pernikahan..namun ALLAH lah sebaik-baik Pemelihara.

Gamabar hiasan saja..

Justeru, rasa cemburu, ragu-ragu, sedih, kecewa, takut, bimbang dan macam-macam rasa yang kalian lalui untuk menuju ke arah pernikahan, serahkan lah ia kepada ALLAH. ALLAH lah yang memegang hati kita… dan dengan rahmat ALLAH lah, perasaaan itu mampu kita terjemahkan dengan akhlak yang diredhainya.

Akan bersambung, moga perkongsian ini menjadi peringatan untuk menambah keimanan...


Dipetik dari blog Ukhti Nurul Adni Adnan 

Tuesday, July 12, 2011

Tamatnya Berpraktikal

6 minggu berlalu di sini...

Menimba pelbagai pengalaman & kenangan di sini...


Adakah aku bakal duduk di sini suatu hari nanti?
Boleh ke WANITA menjadi HAKIM SYARIE???



TERIMA KASIH buat semua warga MRS SB...
KELUARGA TERCINTA...
PENSYARAH...
RAKAN-RAKAN...
Jazakumullahu khairan kathira...=)

Friday, July 1, 2011

BERSIH??

Dengarkan nasihat berkenaan Isu Demonstrasi Bersih 2.0 daripada ilmuan Salafi seperti disenaraikan:

1. Ustaz Idris Sulaiman
2. Ustaz Muhammad Asrie Sobri
3. Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya
4. Dr Fadlan Mohd Othman
5. Dr Azwira Abdul Aziz
6. Prod Madya Dr Mohamad Sabri Haron
7. Ustaz Rasul Dahri
8. Prod Madya Dr Sulaiman Noordin

Isra' & Mikraj

Peristiwa al-Isra’ wal Mikraj adalah peristiwa yang sangat penting yang mengandungi pengajaran besar bagi Umat Islam khasnya dan manusia amnya. Isra’ dan Mikraj membuktikan kebesaran Allah Jalla wa ‘Ala, oleh itu amat wajarlah kisah Isra’ dan Mikraj ini diimani dengan sandaran yang sahih sahaja. Dalam Risalah ringkas ini kami akan membentangkan secara ringkas peristiwa ini berdasarkan sumber-sumber yang sahih, insya-Allah.
 
Peristiwa al-Isra’ 

Al-Isra’ bermaksud memperjalankan pada waktu malam. Peristiwa Isra’ bermaksud: Diperjalankan Nabi Muhammad S.A.W oleh Allah S.W.T pada waktu malam dari Makkah al-Mukarramah menuju ke Baitul Muqaddas di Palestin. Dalilnya firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 1(maksudnya): 

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” 

Peristiwa al-Mikraj
 

Al-Mikraj maksudnya naik ke tempat tinggi. Maksud al-Mikraj dalam istilah adalah naiknya baginda Nabi S.A.W ke langit seterusnya ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah Jalla wa 'Ala, Tuhan yang bersemayam di atas 'Arasyh. Dalilnya sabda Nabi S.A.W yang maksudnya: 'Kemudian aku dimikrajkan ke langit dunia...'-[al-Bukhari]. 

Rentetan Peristiwa
 

Setelah kewafatan Saidatina Khadijah R.Ha dan Abu Tolib kemudian kegagalan baginda berdakwah di Thaif, baginda Nabi S.A.W mengalami perasaan sedih dan dukacita. Oleh itu, Allah S.W.T berkehendak untuk menenangkan hati baginda, menguatkan semangat baginda dan memberi anugerah istimewa buat baginda dan umatnya.
 
Ketika baginda sedang tidur di Hijr Ismail dalam Masjidil Haram, datanglah Malaikat Jibril A.S bersama dua lagi malaikat dalam bentuk lelaki kemudian membelah dada baginda serta mencuci hati baginda dengan air zamzam kemudian diisi dengan hikmah dan iman lalu dimasukkan semula. Baginda berada dalam keadaan antara sedar dan tidak. 

Kemudian dibawakan kepada baginda Buraq yang langkahnya seluas mata memandang. Baginda S.A.W menunggang Buraq tersebut. Perjalanan baginda ditemani oleh Jibril A.S. Baginda kemudian tiba di Baitul Muqaddas lalu menambat buraq di tempat yang biasa para Nabi menambat tunggangan mereka dan solat di Masjid dua rakaat mengimamkan sekalian nabi dan Rasul terdahulu. Jibril kemudian membawa dua gelas air satu berisi susu dan satu lagi berisi arak. Baginda mengambil susu lalu meminumnya. Tindakan baginda dipuji Jibril dan dikhabarkan kepada baginda bahawa Umat baginda akan terus berada atas fitrah. 

Kemudian baginda S.A.W dimikrajkan ke langit dunia. Sebaik tiba, malaikat penjaga langit akan bertanya; siapakah kamu? Jibril menjawab: Jibril. Mereka bertanya pula: Siapa denganmu. Jibril menjawab: Muhammad. Mereka bertanya pula: Sudahkah dia diutuskan? Jawab Jibril: Ya. Kemudian dibuka pintu langit dan para malaikat menyambut kedatangan baginda S.A.W. Demikianlah di setiap tingkat langit mereka ditanya dan menjawab. Di langit pertama baginda S.A.W bertemu Nabi Adam A.S lalu Adam A.S mengucapkan: 'Selamat datang anakku yang soleh lagi nabi yang soleh'. Di kanan Adam terdapat ruh-ruh apabila dia melihatnya dia ketawa, di kirinya ada ruh-ruh hitam apabila dia melihatnya dia menangis. Jibril memberitahu baginda Nabi S.A.W bahawa ruh di sebelah kanan adalah manusia ahli syurga dan di sebelah kiri adalah ahli neraka. 

Di langit kedua Nabi S.A.W bertemu dengan Isa dan Yahya Alaihimassalam. 

Di langit ketiga Nabi S.A.W bertemu dengan Nabi Yusuf A.S. Kemudian di langit keempat baginda bertemu dengan Nabi Idris A.S dan di langit kelima dengan Nabi Harun A.S. 

Di langit keenam baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. Apabila Nabi S.A.W hendak bergerak ke langit ke tujuh Nabi Musa A.S menangis. Apabila ditanya kepadanya dia menjawab: "Aku menangis kerana seorang muda diutus menjadi Nabi selepasku tetapi umatnya lebih banyak masuk ke syurga berbanding umatku". 

Di langit ketujuh baginda S.A.W berjumpa dengan Nabi Ibrahim A.S lalu dia menyambut baginda dengan katanya: "Selamat datang anakku yang soleh dan Nabi yang soleh". Ibrahim A.S. sedang bersandar di Baitul Makmur, tempat malaikat tawaf. Baginda Ibrahim A.S berpesan: "Wahai Muhammad, sampaikan salamku pada umatmu dan beritahu pada mereka syurga itu elok tanahnya, lazat airnya dan rata tanahnya tiada berpokok, tanamannya adalah Subhanallah, wal hamdulillah, walailahaillallah wallahuakbar". 

Kemudian baginda naik ke Sidratul Muntaha, sebuah pokok bidara yang sangat besar, daunnya bagaikan telinga gajah. Di sini baginda melihat Jibril A.S dalam rupanya yang asal. 

Kemudian baginda naik berseorangan ke bawah 'Arasyh bertemu dengan Allah S.W.T. Allah S.W.T mendekat kepada Rasulullah S.A.W sehingga jarak baginda dengan Allah sekadar panjang anak panah atau lebih dekat. Allah S.W.T memfardhukan 50 waktu solat tetapi apabila baginda turun, Nabi Musa A.S menasihatkan baginda berjumpa Allah untuk dikurangkan waktu solat itu. Baginda berulang-alik sehingga Allah memfardhukan 5 waktu solat dan setiap 1 waktu solat diberi ganjaran 10 kali ganda sehingga 5 waktu solat itu menyamai 50 waktu solat. Diberi juga penutup surah al-Baqarah dan pengampunan dosa-dosa besar kepada mereka yang tidak melakukan syirik. 

Dalam peristiwa ini juga baginda S.A.W diperlihatkan azab mereka yang mengumpat iaitu dijadikan kuku mereka daripada tembaga lalu mereka mencakar wajah dan badan mereka. 
Baginda turut melihat orang-orang yang menggunting lidah mereka iaitulah mereka yang mengajar manusia kebaikan tetapi tidak melakukannya. 

Baginda juga melihat 70,000 umatnya yang akan masuk ke syurga tanpa hisab. 

Baginda juga melihat al-Kauthar iaitu telaga baginda dalam syurga serta empat buah sungai, dua buah daripadanya mengalir ke dalam syurga dan dua lagi di luar syurga iaitu Nil dan Furat. 
Baginda turut melihat Dajjal si pembawa fitnah di akhir zaman dan melihat pokok Zaqqum yang tumbuh dalam neraka serta melihat Malaikat Penjaga Neraka. 

Setiap kali baginda berjumpa dengan malaikat mereka akan berpesan: 'Wahai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam'. 

Ketika berjumpa dengan Allah S.W.T baginda dapat melihat cahaya-Nya sahaja, adapun zat Allah, tidak dapat dilihat. Baginda S.A.W pernah melihat Allah dengan hatinya dalam mimpi. 
Baginda diisra' dan dimikrajkan pada malam yang sama dengan ruh dan jasad baginda berdasarkan pendapat jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi ulama' tidak dapat menetapkan tarikh berlakunya peristiwa ini selain selepas kewafatan Khadijah dan Abu Talib. 

Kemudian baginda turun semula ke dunia pada waktu subuh. Kaum musyrikin tidak mempercayai kisah ini lalu Allah S.W.T menampakkan baginda al-Masjid al-Aqsa sehingga baginda menceritakan rupa bentuknya kepada mereka. Abu Bakar as-Siddiq sebaik sahaja mendengar berita itu daripada kaum musyrik terus beliau berkata: "Jika lebih dari itu pun aku tetap membenarkan Muhammad kerana aku membenarkan perkhabaran langit". Semenjak itu beliau digelar as-Siddiq. 

Pengajaran 

Antara pengajaran kisah al-Isra' dan al-Mikraj adalah : 
• Keimanan terhadap perkara gahib merupakan asas aqidah Islam. 
• Keimanan bahawa Allah S.W.T benar-benar bersemayam di atas Arasyh di atas langit ketujuh. 
• Pentingnya solat lima waktu dan mulianya kedudukannya kerana Nabi S.A.W mengambilnya langsung dari Allah S.W.T. 
• Mulianya kedudukan Nabi S.A.W dan umat baginda berbanding umat terdahulu. 
• Baitul Muqaddas adalah hak milik Umat Islam, bukan milik bangsa Arab, Yahudi, dan lain-lain bangsa.
• Dosa mengumpat dan tidak beramal dengan apa yang dikatakan termasuk dosa besar. 
• Amalan berzikir dengan cara disyariatkan membawa kepada kebahagiaan akhirat. 
• Berbekam adalah sunnah. 
Peringatan 
Terdapat cerita-cerita dalam Isra' dan Mikraj ini berdasar sumber yang tidak sahih yang perlu dijauhi kerana Isra' dan Mikraj termasuk perkara Usuluddin (Asas Agama) dan mereka yang mengingkarinya menjadi kufur. Wajib perkara aqidah itu disandar pada hadis-hadis yang sahih sahaja. Antara cerita dogeng yang sering didengari adalah: 
• Nabi S.A.W berhenti di beberapa tempat dalam perjalanan menuju ke Baitul Muqaddas dan bersolat di situ seperti di Beit al-Lahm. 
• Kepercayaan bahawa batu besar di bawah Kubah (Dome of The Rock) memiliki keistimewaan sama ada dikatakan Nabi S.A.W menambat Buraq di situ atau batu itu hendak mengikut baginda Mikraj kedua-duanya adalah dogeng dan karut demikian juga Nabi memulakan mikraj dari batu itu adalah dusta. 
• Pendapat yang mengatakan pada malam Isra' itu baginda tidur di rumah sepupu baginda Ummu Hani' adalah dogeng yang boleh mencemarkan imej Rasulullah S.A.W 
• Rasulullah S.A.W diajarkan azan pada malam mikraj 
• Apabila sampai di Sidratul Muntaha dan baginda hendak berjumpa Allah tiba-tiba keluar dari sebalik hijab (iaitulah cahaya yang mendinding antara Allah dan makhluk-Nya) seorang malaikat yang Jibril sendiri tidak pernah kenal. Ini adalah dusta. 
• Nabi melihat di tiang arasyh yang kanan tertulis: "Muhammad Rasulullah, Aku kuatkannya dengan Ali dan Aku bantunya dengan Ali" ini adalah khurafat Syiah. 
• Nabi Melihat di Arsyh ada tertulis: "Muhammad Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Faruq, Usman Zun Nurain dibunuh secara zalim". Ini adalah khurafat. 
• Nabi melihat Malaikat Maut dan Jibril menyatakan namanya Izrail dan Izrail memberitakan kehebatan Ali. Ini adalah dusta. Tidak tsabit Izrail adalah nama Malaikat Maut. 
• Nabi S.A.W menanti Allah Taala kerana Allah sedang bersolat, ini dusta yang dahsyat. 
• Nabi S.A.W melihat adanya di bawah Arasyh ayam jantan dan Naga. 
• Nabi S.A.W melihat umur dunia dalam rupa wanita tua 
• Nabi S.A.W bertemu qafilah kehilangan unta dan meminum air sebuah qafilah. 
• Nabi S.A.W terdengar panggilan Iblis di perjalanan Isra' dan Mikraj. 
• Allah mendudukkan Nabi S.A.W di atas Arasyh. 

Rujukan: 
- Tafsir at-Tabari 
- Tafsir Ibn Kathir 
- Sahih al-Bukhari 
- Sahih Muslim 
- Sunan at-Tarmizi Takhrij al-Albany 
- Sunan Abu Daud Takhrij al-Albany 
- Musnad Ahmad Takhrij al-Arnauth 
- Al-Isra' wal Mikraj oleh al-Albany 
- As-Sirah an-Nabawiyah as-Sahihah oleh Dr. Akram Diya' al-Umari 
- As-Silsilah ad-Dhaifah wal Maudhuah oleh al-Albany 
- Al-Maudhu'at oleh Ibnul Jauzy 
- Tazkirah al-Maudhu'at oleh al-Fatni 
- Artkel dari: www.islamweb.net 


Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani.