Friday, December 26, 2014

Honey on the moon @ USS Singapore

Last 20 Sept 2014 akhirnya berjaya jugak nak pi honeymoon.
Honeymoon la sangat.
Padahal tak rancang apa2 pun.
Nasib dah buat pasport 1 week before kat aloq setaq.
Dapatlah ikut my Mr.H ke singapore alang2 dia ada kerja kat sana.
Paling kesian my sis la..
Petang jumaat 19 Sept tu baru dia sibuk buat pasport kat UTC sentul
nasib baik sempat siap jam 8.30 malam tu...
(Kitorang sebenarnya bukannya pi honeymoon pun haha sebab pi 3 orang baru meriah) 

 Vacation kitorang ni memang tak plan pun sebab my Mr.H busy sangat.
Nak tnya... Nak plan pun takut...
takut kena marah sebab dia macam stress je dengan workload dia.
Tapi before tu memang dia ada ajak nak pi USS.
Tapi plan nak gerak nye tu haa...bila entah.
Kitorang ni sejak kawen memang nak pi mana2 susah nak plan.
Kalau plan selalu tak jadi.

So, On that 19 Sept dengan balik kerja lewat sampai rumah jam 9.00pm.
Dapat whatsapp dari my sis yang dia baru nak balik Shah Alam dari UTC Sentul.
Aku pun habak mai kat Mr.H yang pasport my sis dah siap.
Dia terus kata jom gerak malam ni.
Aku pun iyekan jela...
sebab kalau tak gerak malam ni
macam mana nak naik bas ke singapore yang geraknya jam 7.00pm dari JB.

Terus whatsapp my sis get ready & packing2 semua 
jam 11.00pm terus gerak ke JB after ambil dia kat Shah Alam.
Nasib baik tiga2 orang boleh drive memang tukar2 la.
Ngantuk kot semua.
Dengan balik kerja lambat + my sis ada kelas pagi tu then bertapa kat UTC.
Alhamdulillah jam 4.30 am kitorang pun sampai kat Tune Hotel JB.
Sampai2 terus check in sebab semua pakat mengantuk.
tak recommend sangat la kalau check in Tune Hotel 
kitorang  ni pun sebab 1st time trip ke USS ni 
tahu Tune Hotel je sebab ada shuttle bus dari JB ke USS kat sini.

Lebih baik check in hotel2 bajet lain yang ada dekat area Tune Hotel ni yang lagi murah
sebab Tune Hotel ni semua benda dia nak caj.
Cantik memang la cantik
tapi tak berbaloi la kalau setakat nak rehat2 kejap.
Sebab nya jam 7.00am dah kena naik bas.

Esok paginya jam 6.30am terus beriya pi kaunter tiket dekat sebelah 7E bawah Tune Hotel tu.
Nasib la boleh beli tiket on the spot itu pun lepas kena bebel dengan sales tu.
Better lepas ni kalau nak pi USS baik beli online guna Mastercard ada discount or booking awal2 dari ejen2 tiket yang berdaftar.
Siap ada pakej yang boleh naik cable car + jalan2 seluruh Pulau Sentosa lagi.

Memang nasib kitorang ada tiket.
 sebab kalau weekend memang ramai yang nak ke sana.
Pagi tu je jam 7.00am memang ramai dah yang menunggu shuttle bus kat bawah Tune Hotel tu.
Tiket kitorang amik yang ada pakej shuttle bus
bertolak 7.00am & balik 7.00pm + 5$ meal coupon + tiket masuk USS jumlah semua dah nak RM400.00 ++ 
Nasib Mr.H belanja hihi.
Selain pasport korang akan dapat sekali white card.
Nanti masa dalam bas diorang explain macam mana nak isi white card tu. 

Satu lagi nak suggest kalau nak pi Singapore cepat2 la beli simkad singapore
sebab lepas je imigresen kat woodlands terus tak dapat line
melainkan korang buat roaming yang mahal itu.

Paling tak syok trip kitorang ni ialah kat tempat imigresen.
Yang mana kitorang kena turun bas jalan kaki naik ke tempat nak scan + cop pasport
Pastu kena turun balik cari bas yang korang naik tadi.
No plat bas kena ingat ye..dekat white card jangan lupa tulis no plat bas.
white card & pasport benda paling penting korang kena keep safe.
Sebab nanti balik pun kena ulang prosedur yang sama.
Pasni kalau nak pi sana lagi better pi naik kereta sendiri la kot.

Sampai je dekat USS tempat yang mesti wajib ambik gambar mestila kat sini
.................................


Eh kenapa ada Captain America pulak ni??

Dah habis posing2 kat globe ni baru tau semuanya kelaparan sebab tak sarapan lagi.
Kat sini nak cari makanan HALAL dont worryla ok...
Ada banyak stall nak makan mamak, malay, chinese semua ada pandai2 la pilih yang HALAL...




Overall kat sini memang best la... paling best dekat tempat Transformer...
Mostly permainan dia banyak yang ala2 roller coaster + 3D
Aku kalau tak kena paksa main memang x main la...
Nasib masa kitorang pi tu roller coaster besar & paling adventure tu tak bukak.
Tak tahula kenapa...



Disebabkan banyak sangat benda nak main 
kitorang tak dapat main 1 je..
Jurassic Park
sebab waktu tu dah petang + hujan lagi
bila dah petang orang pun ramai Q.



Yang bestnya USS ni walaupun korang kena beratur untuk main
tapi tak boring 
sebab otw tengah beratur tu korang kena jalan sepanjang lorong yang disediakan
sepanjang lorong tu ada jalan2 cerita dia..ada sound effect...
kalau korang rajin dengar la betul2 apa suara2 tu bercakap...
sebab setiapa apa yang dia cakap tu ada arahan & mission yang korang kena setelkan bila dah naik kereta transformer 3D tu nanti.





    

Kalau korang rasa teringin nak tengok Castle macam kat Disneyland
Kat USS pun ada castle jugak
besar & cantik
Princess Fiona's Castle
Far Far Away !!
Kat dalam ni kitorang dapat tengok cerita Shrek 4D
Siap ada effect sentuh2 lagi kaki & kena renjis dengan air liur Donkey lagi..





Ok la malas dah nak taip...layan gambar je la ye...
BTW just nak remind tempat solat ada kat dalam theme park je tau.
Make sure kalau nak solat...pi solat dulu sebelum check out 
Kalau dah keluar tak boleh masuk balik.







Kat dalam ni nak beli souvenir memang macam2... geram..
dekat setiap tempat main tu ada jual souvenir.
Nampak macam murah fridge magnet satu $3 tapi cuba convert jadi RM huhu...
Hari tu kitorang balik jam 7.00pm bas yang sama pick up & turun dekat Tune Hotel balik.
Malam tu sempat la jugak jalan2 window shopping kat JPO
& big thanks to my bro sebab bagi kitorang check in rumah dia kat Kulai...
Jimattt tak payah check in hotel dah hihi >_<










Thursday, December 25, 2014

Mahkamah = Peguam

Assalamualaikum kepada semua pelawat & pembaca blog saya.
Dah lama rasanya tak menulis hal-hal peribadi kat post dalam blog ni.
Sekarang dah sampai bulan Disember 2014 lagi sikit lagi kita akan masuk tahun baru 2015.
Bulan lepas genap setahun berkerja di mahkamah.
Orang ramai bila sebut kerja kat mahkamah orang pasti akan kata kerja PEGUAM eh?
So, aku buat kesimpulan bila sebut MAHKAMAH fomulanya jadi macam ni :

MAHKAMAH = PEGUAM

Sepatutnya yang aku rasa mahkamah tu lebih sinonim dengan Hakim.
Entah... agaknya dekat cerita2 kat tv memang yang obvious sekali kalau dalam court memang lawyer kot.
Kalau nak tengok dari sudut berkarisma & nampak macho / smart memang lawyer.
Hakim ni menakutkan je especially yang garang2.. oupss...


My SOHO


BTW, mahkamah mana boleh ada peguam.
Nanti namapak bias lah.
Peguam dari Jabatan Bantuan Guaman pun tak boleh pejabatnya di Mahkamah.
Nanti orang fikir berat sebalah.

So, bila sebut kerja mahkamah.
Kiranya kakitangan kerajaan lah kan (goverment servant).
Peguam ni swasta.
Ada Firm (pejabat guaman) sendiri.
Melainkan Peguam dari Jabatan Bantuan Guaman yang aku sebut kat atas tadi.
Haa...yang tu Peguam kerajaan..tu pun tempatnya bukan di mahkamah.
Nak daftar kes & bawak kes baru la pergi mahkamah.

Kesimpulannya,
Aku bukan Peguam...
So, bila orang kata aku kerja mahkamah jadi lawyer aku iakan ajela.
Sebabnya aku malas nak jawab.
Kalau sebut je jawatan hakiki aku confirm lagi banyak soalan diorang nak tanya.
HAHA


Gambar masa jadi lawyer tipu2 time study dulu...


Sebenarnya, dulu masa belajar memang cita2 nak jadi peguam.
Tapi disebabkan jalan nak ke arah tu sangat payah.
Dan aku tak sanggup nak hadapinya.
Tambah2 lagi bila dah berumah tangga.
Maka, cukuplah dengan kerja aku yang ada sekarang ni.

ALHAMDULILLAH

Terima kasih atas rezeki yang ENGKAU beri.
Terima kasih atas kurniaan Bos2 yang banyak mendidik.
Terima kasih atas kurniaan colleague2 yang sporting.
Semoga peroleh KEBERKATAN atas segala nikmat kurniaanMu.



Wednesday, December 17, 2014

Isteri Nusyuz boleh tuntut mut'ah?

Hak mut’ah adalah suatu pemberian dari bekas suami kepada bekas isterinya yang diceraikan. Ia adalah wajib bagi seorang bekas suami yang telah menceraikan isteri samada isterinya telah disetubuhi ataupun tidak, sama ada telah ditentukan mahar (maskahwin) ataupun tidak. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab, ayat 28 iaitu :

Bermaksud :
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (saguhati), dan Aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya”



Juga di dalam firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 241 yang  berbunyi :

Bermaksud :
“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mut’ah (pemberian  saguhati) dengan cara yang patut sebagai cara tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa”.


Hak seseorang perempuan yang diceraikan untuk memohon mut’ah telah diulas melalui nas atau pendapat muktabar, antaranya dinyatakan oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar Bin Muhammad Al-Husaini di dalam kitab Kifayatul Akhyar, Juzu’ 2, hlm. 42 menyatakan :

المتعه وهى اسم للمال الدى يدفعه الرجل إلى امرأته لمفارقته إياها
Bermaksud :
“Mut’ah ialah nama bagi harta yang dibayar atau diberikan oleh seseorang lelaki kepada isteri disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu”.


Menurut Dr. Wahbah al Zuhaili, dalam kitabnya Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Juzuk 7, halaman 316 menjelaskan bahawa pengertian mut’ah adalah :

بأنها مال يجب على الزوج دفعه لامرأته المفارقة في الحياة بطلاق وما في معناه بشروط ...
Maksudnya :
“…harta yang wajib ke atas lelaki membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup dengan talaq dengan beberapa syarat yang tertentu…


Manakala menurut peruntukan seksyen 2 EUUKIS 2003 pula menafsirkan maksud mut’ah seperti berikut :

“Mut’ah” ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang ‘diceraikan.


Menurut undang-undang bertulis yang terdapat di Negeri Selangor, hak isteri untuk menuntut mut’ah diperuntukkan berdasarkan seksyen 58 EUUKIS 2003 iaitu :

Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.


YA Tuan Abu Bakar Bin Ahmad di dalam kes Faridah Binti Sulaiman lwn. Mohd. Noh Bin Othman, JH 19 (1), hlm. 135, di mana Y.A Hakim merujuk kepada prinsip yang digariskan di dalam kes Noorbee lwn. Ahmad Sanusi, JH 1 (2), hlm.63 menyatakan bahawa :

“Mut’ah adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri dengan sebab iksar suami (suami tidak mampu beri nafkah) atau aib yang ada pada dirinya. Ia bukan diwajibkan kerana kehilangan kasih sayang sahaja kerana mut’ah itu juga diwajibkan dalam keadaan di mana isteri menebus talaq dari suami. Mut’ah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri dan menghindarkan fitnah serta sebagai asas untuk memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang diceraikan akan merasa malu dan mungkin akan menerima prasangka buruk daripada masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang isteri itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya maka lazim mut’ah diwajibkan ke atas suami”


Berdasarkan panduan di atas jelas sekali mut’ah adalah hak isteri dan ia tidak akan gugur sekalipun isteri dalam keadaan nusyuz disebabkan tiada halangan    seperti itu dinyatakan di dalam perbahasan ayat al-Quran, kitab fiqh dan kes yang   dirujuk sebelum ini. Selain itu, di dalam kes Piah Binti Said lwn. Che Lah Bin Awang, JH 3 (2), hlm. 220, Kadi Besar dalam keputusannya menyatakan bahawa :

“...dalam kes ini jelas perceraian itu berlaku dengan talaq oleh suami terhadap isterinya sekalipun ada tanda-tanda nusyuz. Tetapi nusyuz tidak menafikan hak mut’ah sekiranya ia berlaku”.


Mahkamah  merujuk kepada kes  Zawiyah lwn. Ruslan, JH 1 (2), hlm. 102, Kadi   Besar telah memerintah Pihak Kena Tuntut membayar mut'ah sebanyak RM700.00 dan beliau ada menyatakan di dalam penghakimannya :

“Mut'ah menurut takrif di dalam kitab Kifayatul Akhyar ialah nama bagi harta yang diberikan seseorang lelaki kepada isterinya disebabkan perceraian dengannya. Perceraian yang kena dibayar mut'ah ialah setiap perceraian daripada suami tidak dari sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada diri perempuan itu, atau perempuan memfasakh nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah atau sebagainya. Dalam kes ini perceraian berlaku bukan kerana kecacatan yang ada pada diri perempuan, dan tidak pula dengan sebab perempuan memfasakh nikah. Yang Kena Tuntut mendakwa bahawa perceraian ini disebabkan oleh perangai pihak isteri tetapi tidak membuktikan apa-apa kesalahan, yang didakwanya dilakukan oleh pihak isteri yang boleh menggugurkan hak mut'ah ini. Pada asal syarak, mut'ah digalakkan tetapi jika berlaku pertikaian mengenai kadar mut'ah maka hendaklah diselesaikan oleh Mahkamah. Asas penentuan yang mesti diikuti ialah panduan ayat 230 : Surah Al-Baqarah yang bermaksud : “Dan berilah mut'ah mengikut kadar yang kaya menurut kekayaannya dan yang susah mengikut kesusahannya”. Pasangan dalam kes ini adalah pasangan yang sederhana”


Berdasarkan rujukan nas syarak dan kes-kes yang telah diputuskan sebelum ini, gugurnya hak mut’ah seseorang perempuan yang diceraikan hanyalah merujuk kepada faktor-faktor yang telah dijelaskan sebelum ini dan sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah al-Talibin, Juzu’ 3, hlm. 406 yang dapat disimpulkan seperti berikut  :

 فراق حاصل بغير سببها: أي وبغير سببهما وبغير سبب ملكه لها، وذلك كطلاقه وإسلامه وردته ولعانه، بخلاف ما إذا كان الفراق حصل بسببها كإسلامها وردتها وملكها له وفسخها بعيبه وفسخه بعيبها أو بسببهما: كأن ارتدا معا أو بسبب ملكه لها بأن اشتراها بعد أن تزوجها فلا متعة في ذلك كله (قوله: وبغير موت أحدهما) معطوف على بغير سببها: أي وفراق حاصل بغير موت أحد الزوجين: أي أو موتهما معا

Secara kesimpulannya bermaksud :
a.      Perceraian disebabkan isteri telah masuk Islam.
b.      Perceraian disebabkan isteri telah keluar dari Islam.
c.       Apabila suami isteri menjadi murtad serentak.
d.      Semasa perceraian isteri masih status hamba kepada suami.
e.       Semasa perceraian suami masih status hamba kepada isteri.
f.        Perceraian fasakh disebabkan aib suami.
g.      Perceraian fasakh disebabkan aib isteri.
h.      Perceraian dengan kematian salah satu pihak suami isteri atau keduanya sekali.”  

Sunday, December 14, 2014

Tatacara Prosiding Permohonan Pengkomitan Mahkamah Syariah

Bagi mencerahkan perlaksanaan prosiding pengkomitan ini, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah telah memberikan garis panduan atau tatacara yang diadaptasikan dari Aturan 52  Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003 sebagaimana yang diputuskan dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal(2012) 35 Bhg. 2 JH 250 dan juga kes Zetty Binti  Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob(2013) 36 Bhg. 1 JH 161.



Berpandukan dua kes tersebut dan adaptasi Aturan 52  Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Tatacara pengkomitan di Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003 diterjemahkan oleh Mahkamah ini seperti berikut :

Permohonan perintah pengkomitan dibuat secara ex-parte dan disokong dengan Affidavit Sokongan Pemohon yang mengandungi butiran diri Pemohon, butiran diri orang hendak dikomitkan (Responden) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut).

Apabila kebenaran diberikan, suatu Notis Tunjuk Sebab hendaklah dikeluarkan kepada Responden dan diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama dengan Perintah Kebenaran Pengkomitan.

Penyampaian tersebut hendaklah dibuat 8 hari sebelum tarikh pendengaran kes tersebut. Sekiranya Responden tidak hadir pada mana-mana tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah, suatu waran tangkap boleh dikeluarkan kepadanya. Tempoh masa penyerahan Notis Tunjuk Sebab yang digariskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan  ini agak mengelirukan terutamanya dalam bab penyampaian saman atau notis berdasarkan peruntukan seksyen 45 ETMMS 2003 iaitu :

  1. Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. 
  2. Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.


Oleh itu Mahkamah berpendapat bahawa tempoh penyerahan tersebut adalah sesuai dengan mengikut peruntukan seksyen 45 (2) ETMMS 2003 iaitu 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes.

Prosiding  pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali :

  1. Jika melibatkan sebahagian atau keseluruhan kes hak jagaan dan pengangkatan anak dan tanggungan (nafkah) atau akses kepada seorang kanak-kanak ; atau
  2. Jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah bagi kepentingan pentadbiran keadilan.


Pada tarikh yang ditetapkan, pembelaan Responden boleh dibuat secara lisan ataupun secara Afidavit dan kandungannya hendaklah berkisar kepada pembelaan terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut.

Sekiranya Responden hendak membela dirinya secara lisan, maka Hakim Bicara hendaklah menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”. Namun begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan Responden disoal oleh Pemohon dan/atau Peguamnya sendiri.

Sekiranya Responden ingin memfailkan pembelaannya melalui Afidavit Pembelaan maka Hakim Bicara boleh membenarkannya dan disoal-balas dan disoal-semula oleh pihak-pihak termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.

Hakim Bicara boleh menangguhkan prosiding dari masa ke semasa mengikut keperluan. Jika kehadiran Responden berdasarkan waran tangkap, maka suatu jaminan wajar dikeluarkan kepada Responden untuk mempastikan kehadirannya pada tarikh yang akan datang.

Selepas sesi pembelaan oleh Responden selesai, Hakim Bicara hendaklah memutuskan sama ada :

  1. Responden melanggar, mengingkari dan/atau cuai perintah/ penghakiman atau tidak;dan
  2. Responden mempunyai alasan yang munasabah atau tidak dari pembelaannya terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut. 


Oleh itu jika ;

Pembelaan Responden diterima, maka ia hendaklah hendaklah dilepaskan tanpa syarat atau sebaliknya ; atau

Pembelaan Responden ditolak, maka ia hendaklah dikomitkan ke penjara berdasarkan tempoh yang akan ditentukan oleh Hakim Bicara mengikut budi bicaranya.

Hakim Bicara boleh mengarahkan melalui perintah menggantung pelaksanaan pengkomitan atas apa-apa terma atau syarat yang dipersetujui oleh pihak-pihak.

Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman dan Responden telah dipenjarakan, ia boleh dilepaskan jika penunaian hutang tersebut telah dibuat.

Bagi perlaksanaan perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan hendaklah diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat permohonan dan Afidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun 2006.

Setelah kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran Notis Tunjuk Sebab beserta Affidavit Sokongan yang mengandungi butiran diri Responden, butiran diri orang hendak dikomitkan (Responden) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah dipohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana di Mahkamah Tinggi Syariah setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah.

Oleh itu, tempoh masa pemenjaraan ini adalah dengan merujuk kepada bidang kuasa asal jenayah dan jika terbukti bahawa Responden gagal mengemukakan pembelaan yang sewajarnya di dalam kes ini, Mahkamah ini atas budi bicaranya  boleh melaksanakan pengkomitan ke penjara selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun. Bagi Mahkamah Rendah Syariah, tempoh masa pemenjaraan yang dibenarkan adalah tidak melebihi dua tahun.

Mahkamah berpendapat bahawa tujuan pengkomitan ini adalah di atas keengganan Responden melaksanakan perintah namun jika ianya telah dilaksanakan maka pengkomitan itu tidaklah perlu diteruskan lagi. Ini berasaskan kepada kefahaman Mahkamah terhadap satu pandangan yang dinukilkan di dalam Kitab Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili, Jilid 7, muka surat 5592 dan 5593, terjemahan Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VI, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, muka surat 209 dan 210 iaitu :

“Penahanan diharuskan dalam lapan keadaan;

  1. Ditahan penjenayah kerana mangsanya tidak ada, supaya orang yang akan menjalani hukuman qisas tidak terlepas daripada hukuman.
  2. Ditahan hamba yang lari selama setahun sebagai menjaga kehilangan harta dengan harapan dapat diketahui tuannya.
  3. Ditahan orang yang enggan menunaikan haknya sebagai paksaan ke atasnya supaya ia ditunaikan.
  4. Ditahan meteka yang diragui kedudukannya dalam sama ada kepayahan ataupun kesenangan untuk mengetahui keadaannya. 
  5. Ditahan penjenayah sebagai hukuman takzir atau mencegah daripada berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.
  6. Ditahan mereka yang terhalang daripada menjalankan tanggungjawab wajib yang tidak boleh diganti oleh orang lain. 
  7. Orang yang membuat pengakuan mengenai sesuatu yang tidak diketahu sama ada benda ataupun dalam tanggungan dan ia tidak dapat menentukannya. 
  8. Ditahan orang yang enggan menunaikan hak Allah S.W.T yang tidak boleh diganti seperti puasa.”



Al-Qarafi berkata, selain lapan sebab ini, tidak harus seseorang diletakkan dalam tahanan dan tidak harus ditahan seseorang pada satu hak sekiranya pemerintah mampu menyempurnakannya.

Thursday, December 4, 2014

Ujian Hidup

Alhamdulillah.. setelah sekian lama tak menulis di blog ini, hari ini diberi kesempatan untuk menulis sedikit pesanan dan perkongsian buat peringatan diri saya sendiri dan semoga peroleh manfaat buat para pembaca sekalian. Apa yang saya ingin kongsikan adalah berkenaan dengan "Ujian" Cuba kita lihat ke dalam diri kita sendiri. Bila kita ditimba apa2 musibah ataupun ujian, kita mesti akan rasa down.. stress.. dan selalu rasa diri kita ini serba kekurangan. Tapi kita lupa, bila kita lihat sekeliling kita, ada lagi orang lain yang hidup lebih susah, ditimpa ujian lebih besar, hidup dalam kesempitan dan peperangan. Surah al Baqarah ayat 286 yang bermaksud  :

Sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya...

Kita kena ingat, ujian itu datang pada diri kita sebab Allah sayang kat kita. Allah nak beri peringatan pada diri kita supaya jangan lalai. Bila kita ditimpa ujian/musibah secara tak langsung kita akan berdoa memohon kepada Allah supaya dipermudahkan. Semakin banyak ujian yang kita hadapi, semakin dekat kita pada Allah, inshaAllah. Kita juga kena ingat disebalik kesusahan ujian yang kita hadapi pasti akan ada kesenangan selepas itu seperti Allah berfirman yang bermaksud :

Oleh itu, maka percayalah bahawa sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Bahawa sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.


Sebagai seorang Muslim, bila kita ditimpa sebarang ujian/musibah kita tak boleh duduk diam sahaja dengan meratapi perasaan sedih akibat ditimpa ujian tersebut. Kita kena berusaha, berdoa, bertawakkal dengan berserah kepada Allah supaya dipermudahkan segala urusan dan keluarkan diri kita dari ujian tersebut.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri...

Semoga dengan sedikit perkongsian saya dberikan ini mendapat keberkatan dan dapat dijadikan panduan untuk kita sama-sama menghadapi ujian yang menimpa diri kita disepanjang kehidupan kita di dunia ini. Jadilah seorang muslim yang bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tapi juga bermanfaat kepada orang lain dan kepada sekalian ummah Islam secara keseluruhannya.  

Saksikan video berikut karya iProduction. Semoga peroleh manfaat & selamat beramal ;)