Monday, April 13, 2015

Wanita Yang Haram Dinikahi (Sementara) - Kitab al-Muktamad


Rujukan : Al-Ustaz Dr. Muhammad al-Zuhaily (2011) Kitab Al-Muktamad Fi Fiqh al-Syafi’i, Juz 4, Cet. Ketiga, Damsyik : Dar al-Qalam. Hlm. 36-40.


Bahagian Kedua : Pengharaman Sementara

Ia adalah pengharaman sementara iaitu apabila terhasilnya sebab daripada pelbagai sebabnya atau terdapatnya halangan. Maka, apabila hilang sebab atau halangan tersebut, hilanglah pengharaman dan ia menjadi halal. Sesungguhnya apabila selesai akad pernikahan sebelum hilang sebab pengharaman atau sebelum hilang halangan maka akad pernikahan menjadi batal.

Perempuan yang diharamkan dengan pengharaman sementara terdapat dalam tujuh bentuk iaitu :




1- Mengumpulkan di antara dua saudara perempuan.

Haram mengumpulkan dua orang saudara perempuan di dalam satu pernikahan, sama ada keduanya sama daripada sudut nasab atau susuan, juga keduanya daripada saudara perempuan seibu sebapa atau salah satunya, dan ia haram mengumpulkan antara keduanya di dalam satu akad pernikahan secara bersama-sama atau di dalam dua akad tapi di dalam waktu yang sama. Maka akad pernikahan tersebut menjadi batal. Sesungguhnya akad pernikahan dengan yang pertama adalah sah dan akad pernikahan yang kedua batal. Apabila mati yang pertama atau diceraikan dengan talak raj’ie, dan selesai iddahnya halal baginya untuk bernikah dengan saudara perempuannya, 

Firman Allah s.w.t : { dan diharamkan mengumpulkan dalam pernikahan dua orang perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang } Surah al-Nisa’ : ayat 23. Maka sekiranya diceraikan isterinya dengan talak bain, maka dia boleh bernikah dengan saudara perempuan isterinya dalam tempoh iddahnya.


2- Megumpulkan di antara perempuan dengan ibu saudara sebelah ibu atau bapanya.

Diharamkan ke atas seorang lelaki di dalam satu pernikahan dengan mengumpulkan di antara seorang perempuan dengan ibu saudara sebelah ibunya atau sebelah bapanya, sepertimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : (( dilarang mengumpulkan di antara wanita dengan ibu saudara sebelah ibunya dan juga sebelah bapanya )).

Haram mengumpulkan di antara wanita dengan anak perempuannya kakaknya atau anak perempuan abangnya, sepertimana dinyatakan di dalam hadis, sama ada perempuan-perempuan sebelah ibu atau perempuan-perempuan sebelah bapa dari nasab atau susuan.

Diharamkan mengumpul di antara perempuan dengan anak perempuannya sepertimana telah dinyatakan sebelum ini, dan di antara perempuan dengan anak perempuan kepada anak lelakinya (cucu perempuan), atau anak perempuan kepada anak perempuannya (cucu perempuan), dan berikutan pengharaman pengumpulan tersebut ialah pengharaman mengumpulkan di antara semua dua orang perempuan yang mana di antaranya adalah kerabat atau adik beradik susuan atau salah satu daripada keduanya adalah untuk menghormati pernikahan di antara mereka.


3- Isteri yang kelima.

Diharuskan bagi seorang lelaki untuk berkahwin dua, tiga dan empat seperti mana yang telah sedia maklum. Diharamkan ke atasnya mengahwini yang kelima ketika mana dia memiliki empat orang isteri. Haram ke atasnya bernikah dengan lima orang isteri dalam satu akad. Maka tidak sah pernikahan ke atas kesemua isterinya itu. Dan apabila dia bernikah dengan berturutan maka batal nikahnya dengan yang kelima. Pengharaman itu kekal sehinggalah mati salah satu daripada isteri-isterinya atau diceraikan dengan talak bain atau setelah selesai tempoh iddah isteri yang telah diceraikan dengan talak raj’i. 

Seperti mana diriwayatkan oleh Qais Bin al-Harith r.a, berkata : Aku telah memeluk Islam dan aku memilik lapan orang wanita, berkatanya kepada Nabi s.a.w, maka Rasulullah s.a.w bersabda : (( pilihlah daripada mereka empat orang )). Kerana ayat al-Quran telah mengehadkan ke atas empat orang isteri maka haram sekiranya berlaku penambahan ke atasnya. Seperti mana firman Allah s.w.t : { Maka bernikahlah kamu dengan perempuan lain yang kamu senangi dua, tiga dan empat } Surah al-Nisa’ : ayat 3.


 4- Orang musyrik penyembah berhala.

Diharamkan ke atas orang Islam untuk menikahi orang kafir yang bukan terdiri daripada ahli kitab samawi seperti paganisme, majusi, ibahiah dan segala mazhab kepercayaan kafir, maka apabila mereka memeluk Islam menjadi halal untuk menikah dengannya dan harus menikahinya. Seperti mana firman Allah s.w.t : { dan jangan kamu menikahi perempuan-perempuan musyrik sehingga mereka beriman, hamba sahaya perempuan yang beriman lebih baik daripada orang perempuan musyrik meskipun dia memikat hati kamu } al-Baqarah : ayat 221.


 5- Wanita yang berkahwin.

Tidak diharuskan bagi seorang lelaki untuk bernikah dengan wanita yang masih wujud suaminya sehingga suaminya itu meninggal dunia atau menceraikannya dan selesai iddahnya, firman Allah s.w.t : { dan diharamkan bagimu menikahi perempuan-perempuan yang bersuami } al-Nisa’ : ayat 24, ayat ini bermaksud wanita-wanita yang bersuami adalah haram untuk menikahinya, apabila meninggal dunia suaminya atau diceraikannya dan selesai tempoh iddahnya maka tibalah waktu (iaitu : tiada suami bagi perempuan tersebut) dan halal untuk menikahinya. Seperti mana firman Allah s.w.t : { dan nikahilah orang-orang bujang dikalangan kamu } al-Nur : ayat 32.


6- Wanita yang sedang beriddah.

Tidak berhak bernikah dengan wanita yang sedang beriddah kerana iddah dalah lanjutan kehidupan perkahwinannya dan kewajipan untuk menjaga nasab keturunan supaya tidak bercampur nasab. Maka tidak diharuskan bagi seorang lelaki untuk bernikah dengan perempuan tersebut sehinggalah berlalu tempoh iddahnya sama ada iddahnya daripada talak raj’ie ataupun talak bain serta iddah kematian. Apabila berlalu iddahnya maka menjadi harus untuk menikahinya. Firman Allah s.w.t : { dan janganlah kamu menetapkan akad nikah sebelum habis masa iddahnya } al-Baqarah : ayat 235. Ia bermaksud : sehingga sampai waktu yang telah ditetapkan di dalam tempoh iddah iaitu had yang telah ditetapkan oleh syarak sepertimana ditetapkannya tempoh iddah itu.


 7- Wanita yang ditalak tiga.

Allah telah menetapkan talak sehingga tiga kali talak sepertimana yang telah sedia maklum. Maka apabila seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak satu atau talak dua maka dia masih berhak untuk merujuk isterinya dengan kerelaannya dan lafaz darinya sendiri semasa dalam tempoh iddah. Sekiranya selepas tempoh iddah hendaklah dia bernikah dengan wanita itu dengan akad yang baru. Jika diceraikan dengan talak tiga sekali gus atau pada kali ketiga ditalakkan maka ia menjadi haram ke atasnya haram yang bersifat sementara. Maka tidak boleh dia kembali kepada wanita itu walaupun dengan kehendaknya sendiri dalam tempoh iddah. Dan juga tidak boleh dia bernikah dengan wanita itu dengan akad yang baru sehinggalah wanita itu bernikah dengan orang yang lain terlebih dahulu dengan pernikahan yang syarie, sah dan berlaku persetubuhan. Kemudian jika diceraikan perempuan tersebut oleh suami keduanya dan berlalu iddahnya, maka harus bagi suami pertamanya untuk bernikah dengannya dengan akad yang baru. 

Firman Allah s.w.t : { kemudian jika dia menceraikannya (setelah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sebelum dia bernikah dengan suami yang lain. Kamudian, jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak berdosa bagi kedua-duanya (suami pertama dan bekas isterinya) untuk bernikah kembali jika mereka berpendapat akan menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah ketentuan Allah yang diterangkan-Nya kepada orang-orang yang berpengetahuan} al-Baqarah : ayat 230.

Wednesday, January 28, 2015

Main Masak-masak : Resepi Shepherd Pie Mudah dari Mahmudah

Bahan-bahan :
 
1 peket daging lembu kisar
5 biji ubi kentang
250ml susu segar
4 ulas bawang putih
2 sudu makan cili boh
3 biji tomato
1 sudu teh oregano
1 sudu teh lada hitam
1 sudu makan mentega
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

Cara-cara :

1. Buang kulit kentang & rebus sampai empuk.
2. Bila dah empuk angkat toskan dulu.
3. Sementara tu, cairkan mentega dan tumiskan bawang putih dengan cili boh.
4. Masukkan daging kisar dan kacau sampai masak.
5. Bubuh oregano, garam & gula secukup rasa.
6. Masukkan tomato yang telah dipotong dadu.
7. Setelah masak tutup api dan ketepikan dulu.
8. Lenyek kentang yang telah direbus tadi guna je apa alat janji lenyek.
9. Masukkan susu segar dan lada hitam dan gaul bersama kentang lenyek tadi sampai sebati.
10. Sediakan acuan/bekas untuk membakar.
11. Ratakan sedikit mentega pada dasar acuan/bekas.
12. Letak beberapa sudu kentang lenyek pada dasar simpan baki yang lebih banyak untuk topping.
13. Masukkan daging kisar yang telah dimasak tadi dan ratakan.
14. Lapiskan lapisan atas sekali dengan baki kentang lenyek tadi.
15. Bakar 180'c selama 45 minit sampai topping kentang lenyek tadi kuning keemasan.
16. Da siap bakar boleh makan tapi tunggu sejuk dulu nanti melecur lidah sebab lapisan daging tadi masih panas walaupun hampak topping dah suam2.