Saturday, May 21, 2016

Philips Pressure Cooker : Resepi Sup Ekor Jawa

Sebelum ni aku pernah post pasal Philips Slow Juicer 
Kali ni nak share pasal Philips Pressure Cooker. Untuk makluman, ni bukan segmen tajaan haha! sapelah daku ni tak layak pulak Mr.Philips nak taja. Macam biasa kalau nak cari 'toys' aku kena buat resarch n survey dulu. Dan macam biasa hasil dari survey mestilah yang kena dengan bajet & mampu milik. Di kala orang tengah sibuk2 dengan Noxxa yang berharga RM700++ tu. Siap boleh installment bagai. Aku pun survey la kat mudah.my & carousell. Tapi kecewa...sebab range harga yang preloved pun still RM500++. Husband aku pun advice suruh cari brand lain sebab dia kata Noxxa tu produk Amway yang ala2 direct selling ni selalunya harganya yang mahal tak menjamin kualiti (tu Mr.H kata ye bukan aku heh!). 

Noxxa - gambar ehsan en.google
Hasilnya aku dapat Philips Pressure Cooker 6l dari seller di mudah.my. Harga pasaran paling murah aku jumpa kat 11street.my RM360++ exclude postage. Sebelum ni promo kat Homepro IOI Mall pun around harga tu jugak. Tapi alhamdulillah aku dapat RM300 je dari seller yang baik hati tu. Condition very new, still under warranty 2 years. Dia dapat lucky draw & tak reti nak guna. 


Nasihat aku korang kalau nak cari barang yang bajet2 ni cari dulu online. Banyak tempat contoh fav aku mudah.my, & carousell. Ada rezeki dapat barang yang baru dengan harga yang lebih murah. Sama dengan Philips Slow Juicer aku beli dulu.

Projek pertama aku dengan new toy aku ni ialah Sup Ekor...yummy! kalau beli kat kedai memang tak puas hati. Mahal & sikit. Balik je dari self pickup kat Meru terus pi Tesco Setia Alam cari ekor. Sampai je rumah terus google resepi sup ekor. Bertuah betul dapat resepi dari 1 blog ni yang share resepi sup ekor guna Philips Pressure Cooker. Yela..selalu orang share resepi periuk Noxxa je. Big Thanks to sis Ujie Othman for the sharing.

Untuk post kali ni nak share resepi sup ekor jawa. Resepi sis Ujie Othman Sup Ekor Ala Thai...Aku punya ubah jadi Jawa. Sebab aku buat pedas (letak cili api banyak) & tak letak limau/lemon sebab suami aku memang suka sangat makan pedas & dia tak suka sup thai yang ada masam2 tu.

==================
SUP EKOR JAWA
==================

Bahan-bahan :

1. Ekor lembu (sekitar 500gram)


2. Tiga sudu besar bawang blend / Bawang besar - 2 biji + Bawang putih - 1 ulas (hiris halus)


3. Halia seinci (hiris halus)


4. Serai - 1 batang dititik (aku guna 2 sebab kecik serainya)


5. Tomato (jika besar 1biji, potong 4)


6. Cili padi - belah dua (saya letak le
bih 12 biji)

7. Kayu manis (2 batang)

8. Bunga lawang (2 biji)

9. Buah pelaga (2 biji)

10. Bunga cengkih (4 biji)

11. Daun seleri (hiris)

12. Bawang goreng

13. Air secukupnya

14. Garam secukupnya


15. Lada hitam secukupnya

16. Sedikit minyak untuk menumis



Bahan-bahan yang diperlukan (basuh siap ye)

Bawang blend (aku memang blend bawang merah + putih siap2 letak dalam fridge senang nak masak)

1) On BAKE mode (guna Bake - Fish). 
Biarkan periuk tak bertutup, masukkan sedikit minyak, dah panas tumiskan bawang blend dan serai. 

2) Bila bawang dah keemasan, masukkan  halia, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga. Tumis hingga naik bau. 

3) Masukkan ekor lembu, tumis sekejap. Pastu masukkan cili api, air, garam dan lada hitam secukupnya (yang nak kurang pedas masukkan cili lepas tekanan dilepaskan nanti). Gaul2 sikit. kemudian OFF BAKE mode.

4) Tutup periuk, pastikan tombol pada SEAL. ON pulak BEEF/MUTTON mode. 
Tambah KPT (keep pressure time) kepada 60 minit. START.

5) Bila masa dah time!, lepaskan tekanan (stim) slow2 & careful ye...(saya guna kain untuk tutup bahagian tekanan keluar dan sudip yg panjang, tolak tombol sedikit demi sedikit - follow petua sis Ujie Othman).

6) Kemudian buka tutup periuk dan ON BAKE mode - Fish sekali lagi. Masukkan bahan akhir - tomato dan daun seleri. Tambah lada hitam serta garam secukup rasa (sekiranya kurang). Kacau seketika. Siap dan OFF.
Tabur sedikit bawang goreng dan daun sup/daun seleri.



Ni diaa....
Sup Ekor Jawa yang 1st time aku masak! Kena puji lagi dengan Mr.H. 
Al maklumlah fav dia... Dia yang mengajar aku makan sup ekor ni. Sebelum ni dari kecik tak pernah terdedah pun dengan kesedapan & kenikmatan sup ekor haha!

Makan sup jadi tak lengkat kalau takde sambal kicap. Cara aku buat sambal kicap ambil cili beberapa ketul ikut korang nak pedas mana. Ambil 1 ulas bawang putih. Tumbuk dua2 bahan ni. Aku malas tumbuk aku ketuk je bawang n hiris cili. Panaskan pan tanpa minyak, masukkan cili+bawang putih gaul2 jangan sampai hangit pulak. Lepas tu masukkan kicap gaul2 sikit, tuang dalam mangkuk dan hidang.




Semoga bermanfaat... SHARING is CARING


Cerita Aku & Encik Bubuk

One day, bila ko dah lama tak masak nasi...bila nak masak terkejut beruk nampak makhluk2 kecik warna hitam yang dikenali sebagai kutu beras (aku panggil bubuk) dalam bekas beras ko yang banyak sedang berjalan2..arghhh!! sebelum ni kalau setakat 10 ekor takpe..ni macam banyak betul..geli3... Sebelum ni aku guna petua letak cili kering dalam bekas beras tapi nampaknya macam tak berfungsi je.. Mood aku nak masak hari tu terus spoilt. Sebab aku kena pi buat operasi menghalau bubuk2 tu pulak. Post kali ni aku nak share cara2 nak halau bubuk. 1st aku keluarkan beras dari rice dispenser tu dan letak atas surat khabar atas dulang. Pastu letak atas dapur. Jangan pasang api pulak kang cair dulang ko hangus beras ko... Biarkan bubuk2 ni keluar sendiri dari celah2 beras. Kalau nak cepat lagi letak bawah cahaya. Cam aku buat guna study lamp haha! 


Tengah menyuluh kehidupan encik bubuk
Lepas tu mula lah misi aku untuk me'research' apa cara nak bagi encik2 bubuk ni tak mai lagi kat beras aku. Hasil dari survey di blog2 aku dapat idea untuk beli 1 barang dari DAISO yang perlu diletakkan dalam bekas beras untuk halau Eencik2 bubuk. Malam tu jugak aku p DAISO setia city mall cari benda tu. 

Haa ni lah dia.... ada perisa cili & wasabi...

p/s : jangan makan & jangan koyak dia punya cover uncang
Yang ni dijamin selamat untuk letak dalam bekas beras. Dekat kotak ada info berapa kilo beras & berapa uncang kena letak. Tapi...lepas lebih 2 minggu aku still kecewa sebab encik bubuk telah kembali. Kakak aku kata kalau nak kurangkan bubuk dalam bekas beras kena selalu gerak2kan beras dalam tu. Aku pakai Tupperware Rice Dispenser yang hijau tu. So, at least 2 hari sekali aku kena tarik drawer dia beberapa kali untuk keluarkan beras dan buh balik dalam bekas. Masalahnya aku ni jenis rajiinnnn sangat huhu.

RD ni cantik..style & keep ur rice fresh (fresh macam mana pun aku tak tau) tapi..ada ruang2 udara
Last sekali jalan paling berkesan ialah letak dalam bekas yang kedap udara & transparent. Aku pun terus pindahkan masuk dalam tupperware bekas keropok yang besar tu. Memang kedap udara & encik bubuk tak boleh hidup dalam tu. Sekian! 



Hello Kitty Cafe Review

Untuk entry post kali ni aku nak cerita pasal Hello Kitty. Al maklumlah #hellokittylover katakan. Memandangkan aku ni jenis malas nak update blog. Bila ada mood nak mengupdate..ni la masanya aku nak masukkan semua cerita. Tahun lepas dah launching Hello Kitty Cafe dekat Sunway Piramid. Aku & geng2 #hellokittylover kat ofis beriya duk plan dah nak pi try kat situ. Yang menyebabkan excitednya sebab Hello Kitty je haha.. 1st in Malaysia!

Aku pun plan dengan kawan2 aku yang lain nak buat surprise beday party la kononnya kat salah sorang geng #hellokittylover kitorang tu. Sebenarnya takdela surprise sangat sebab masa nak pergi tu dah habak awai2 kat dia pun haha! Cumanya ada surprise 'Hello Kitty Volcano Brownies' je yang kitorang request kat waiter tu untuk keluar lambat dari makanan lain.

My review overall interior cafe memang cantik. Sesuai sangat nak bergambar or selfie2..makanan pun sedap, unik & cute2, Tapi.... harga dia MEMANG MAHAL... haha! Dia jadi MAHAL sebab portion yang korang makan tu sikit sangat dan tak berbaloi dengan harga dia. Soal HALAL aku yakin je HALAL. Ada ramai Muslim & pekerja Muslim. Tapi...masa aku nak order menu itik waiter girl malay tu cakap slow2 kat aku jangan order menu tu. Sebab supplier dia Cina. Aku terus tanya habis yang lain2 ada ayam tu? Dia pun jawab yang lain2 dia yakin memang ok.. Dan soal status supplier itik cina tu muslim or non muslim aku tak siasat pulak lebih2. Dah sis yang kerja situ bagitau macam tu terus aku tukar menu lain.

Aku rasa ni 1st & last aku jejak kaki kt Hello Kitty Cafe ni lepas dapat bil... Melainkan ada orang nak belanja aku haha! Ok lastly boleh layan gambar2 kat situ. Stay cute with Hello Kitty!


Choc Shake
Spaghetti Olio

Waffle Kitty ^-^

Cupcake
Ni la kek surprise tu.. lain sangat dengan gambar dalam menu
Sandwich + Fries
Posing sat kat entrance
Dont worry kalau nak bergambar byk2 dalam tu sebab ramai orang lain buat jugak

Sweet 28 Kak Tika
Beday girl dapat gift la
Makan pun nak bergambo
Ni kek2 yang ada
artwork
fake
geng #hellokittylover





Misi Pencarian Slow Juicer

Bila bukak Go Shop je nampak promo jual slow juicer Hurom...pi aeon pun ada org buat demo slow juicer macam2 jenis brand...mulalah hati ni dah tergoda dengan slow juicer. Mana taknya dah la tak payah bubuh air..rasa pulak memang pure rasa buah..pekat...urmmm... pastu mulalah misi membuat research dan pencarian slow juicer ni.

Google punya google dapatla info slow juicer yang best2 tapi harga mak datok memang diluar bajet aku la huhu... tengok brand Panasonic dia kecik je slim melim sama bentuk dengan Tefal punya. Panasonic ni best...ada satu part dia (ape entah nama part dia tu) bila kita sejukkan dalam freezer n attach ke slow juicer..jus yang keluar nanti automatik sejuk tak perlu masuk fridge or letak ais dah. Brand Panasonic ni pun orang dah memang familiar dengan barang2nya jenis heavy duty & tahan lama. Tapi bila aku start survey harga dia.. mak aihh...RM700++. Memang terus aku tengok brand lain pulak.

Ni Tefal.. cantik kan dia punya cutting

Ni Panasonic punya... yang biru tu la part yang boleh sejukkan jus tu


Pastu trylah research Hurom pulak. Best jugak brand ni...boleh masuk sebiji terus buah epal. Tempat masuk buah dia memang besar. Tempat collector jus dia pun besar n ada paip yang kita boleh kawal untuk keluarkan jus..tapi harganya lagi la.. RM1000++.. Disebabkan harga kedua-dua tu diluar bajet aku..aku pun tryla search kt mudah.my & carousell. Tapi semua harga pun lebih kurang tu walaupun preloved. haha sedihhh...


Hurom yang femes kat TV

Tengah2 search tu aku ternampak orang jual slow juicer philips... Tengok je bentuk dia lain dari yang lain sampai aku konpius betul ke slow juicer. Dah berjaya tengok review kat youtube & blog. Aku pun decide la nak beli dari orang yang iklan Philips slow juicer tu. Tengok harga market around RM400++. Seller tu jual just RM200 je dahla tak pernah guna sebab dia dapat benda tu free beli barang elektrik lain. Aku pun pi la self pickup kat rumah dia kat Jelatek.

Ni lah dia hasilnya... Ta Daaa......


Bentuk slow juicer Philips ni memang lain dari yang lain..tapi alhamdulillah puas hati..sebab still berfungsi sebagai slow juicer... jus pekat & no water added. Dia ada reverse function untuk lebih perahan. 


Ni resepi jus epal hijau + celery...sesuai untuk menurunkan darah tinggi

Gambar close up dari google

Sejak2 ada slow juicer ni semangat betul Mr.H buat jus. Memang niat nak cari benda ni pun sebab dia. Kira jus ni cara lebih organic la instead of makan ubat. BTW memang aku suggest la beli slow juicer. Korang akan rasa nikmatnya jus sebenar. Boleh la senaraikan resepi2 campuran buah yang sesuai untuk remedy yang korang perlukan. 



Ni Beet Root @ ubi bit..buat jus memang cantik betul warnanya..boleh google khasiat dia.

Kesiapsiagaan Badan Perundangan Syariah Di Malaysia Untuk Melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah

Kesiapsiagaan Badan Perundangan Syariah Di Malaysia Untuk Melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah*
Salehan Bin Yatim**


Pendahuluan

Untuk mengetahui skop perbincangan tajuk di atas dengan lebih jelas maka beberapa perkataan yang terdapat dalam tajuk tersebut perlu dihuraikan. Perkataan kesiapsiagaan merujuk kamus Dewan Edisi Keempat merupakan kata imbuhan kepada siap. Perkataan siap siaga pula merujuk kepada keadaan sudah bersedia untuk melakukan sesuatu dan lain-lain.[1] Manakala, undang-undang jenayah syariah bererti peraturan atau Kanun Jenayah yang ditetapkan oleh syarak dan pemerintah yang meliputi tindakan terhadap perkara yang haram dan meninggalkan perkara yang ada dikenakan hukuman keseksaan.[2] Undang-undang jenayah syariah juga meliputi peruntukan hukuman terhadap jenayah qisas, hudud dan ta’zir[3].

Menurut Abdul Kadir Audah di dalam kitabnya Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami[4] menyatakan bahawa hanya jenayah tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai jenayah hudud dan ia tidak akan berubah mengikut peredaran masa kerana ia telah ditentukan oleh al-Quran serta al-Sunnah. Menurut jumhur ulama, kesalahan-kesalahan jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah hudud ialah murtad, minum arak, mencuri, merompak, berzina, menuduh zina dan memberontak. Jenayah qisas pula jika diperincikan mengandungi perbincangan tentang beberapa jenayah yang menyentuh diri manusia serta hukum-hukum yang berkaitan seperti jenayah pembunuhan, jenayah kecederaan, jenayah ke atas janin, jenayah sihir, pembalasan qisas, pembayaran diat, pembayaran kaffarah dan lain-lain.[5] Sementara itu, jenayah takzir merangkumi kesemua bentuk jenayah yang lain selain dari jenayah-jenayah yang termasuk ke dalam jenayah qisas dan hudud.[6]

Apabila kita bercakap mengenai Badan Perundangan Syariah di Malaysia ruang lingkup perbincangan adalah tidak terhad kepada Mahkamah Syariah semata-mata. Hal ini kerana, berdasarkan Bahagian IV dan V Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas menyatakan bahawa selain memperuntukkan kuasa ke atas Mahkamah Syariah, enakmen tersebut juga telah memperuntukkan kuasa ke atas Ketua Pendakwa dan Pendakwa Syarie serta Pegawai Penguatkuasa Agama. Justeru itu, tiga badan perundangan Syariah di Malaysia yang utama dalam melaksanakan undang-undang berkaitan Jenayah Syariah di Malaysia adalah terdiri daripada Mahkamah Syariah, Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan secara khusus tentang persediaan badan perundangan Syariah di Malaysia khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang merangkumi persediaan yang sedia ada dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana.


Sejarah Perkembangan Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Malaysia.

Ahmad Ibrahim dalam penulisannya telah mendedahkan bahawa bukti terawal kewujudan undang-undang jenayah syariah di Tanah Melayu adalah di Negeri Terengganu sebagaimana yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 yang menjelaskan peruntukan mengenai kesalahan dan hukuman terhadap zina.[7] Catatan tarikh pada batu bersurat itu telah membuktikan Terengganu merupakan negeri terawal menerima kedatangan Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di negara ini.[8] Undang-undang jenayah syariah telah diteruskan pelaksanaannya di Terengganu seawal pemerintahan Sultan Umar (1837) apabila baginda sultan telah melaksanakan hukuman rejam dan potong tangan bagi kesalahan-kesalahan hudud.[9] Undang-undang syariah terus dilaksanakan di Terengganu sehingga mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) yang mana pada era tersebut Mahkamah Kadi telah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti bunuh balas, diyat, potong tangan, penjara dan denda.[10]

Seterusnya bermula pada kurun ke-15, Negeri Melaka pula muncul sebagai sebuah empayar kerajaan Islam dengan pengislaman Raja Melaka Parameswara yang kemudiannya telah menggelar diri baginda sebagai Sultan Iskandar Syah.[11] Pengislaman baginda secara langsung telah memberi kesan kepada penerimaan masuk dan pelaksanaan perundangan Islam di negeri Melaka. Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1450), penulisan teks-teks perundangan seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut telah diperkenalkan.[12] Hukum Kanun Melaka mempunyai peruntukan hukuman bagi kesalahan hudud dalam 10 Fasal.[13] Seterusnya, pelaksanaan undang-undang syariah turut dilaksanakan di negeri Pahang pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafar Maha’yudin Syah (1592-1614).[14] Selain itu, Undang-Undang 99 Perak yang dibawa masuk dari Hadramaut dan diperkenalkan pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah (1577)[15] serta Undang-undang Pelabuhan Dato‘ Seri Paduka Tuan (1667) dan Undang-undang Kedah 1893[16] telah menjadi bukti bahawa undang-undang Islam telah dikanunkan secara sistematik di samping rujukan yang masih berterusan terhadap adat tempatan.

Secara umumnya, kewujudan undang-undang Islam pada zaman awal ini telah menjadi bukti dan petanda wujudnya pelaksanaan undang-undang syariah di Tanah Melayu yang bercampur dengan undang-undang adat sebelum zaman penjajahan Eropah lagi. Namun begitu, tiada rekod jelas yang menyatakan bahawa pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di Tanah Melayu pada ketika itu. Pada era zaman penjajahan pula, British pada zaman pemerintahannya tidak menolak secara menyeluruh undang-undang Islam sebagai undang-undang negeri seperti yang terdapat di dalam kes Ramah lwn. Laton.[17] Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang Inggeris telah diperluaskan dan undang-undang Islam telah dihadkan kepada hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, keagamaan dan undang-undang diri sahaja.

Kelantan merupakan negeri pertama yang menggubal undang-undang mengenai prosedur jenayah syariah secara berasingan daripada undang-undang lain melalui Enakmen Prosedur Jenayah 1983. Susulan daripada enakmen tersebut, telah dilusluskan Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 yang mana kaedah ini bertujuan untuk membezakan kaedah hukuman sebatan syarie dengan kaedah hukuman sebat di bawah Kanun Prosedur Jenayah.[18] Pada tahun 1989, Enakmen Perundangan Islam Selangor No. 2 tahun 1989 telah diluluskan. Berdasarkan enakmen ini, Mahkamah Syariah Selangor ditubuhkan secara rasmi dan telah diasingkan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pada tahun 1991, Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Selangor No. 6 tahun 1991 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September 1991.[19] Pada tahun 1995, Negeri Selangor telah menguatkuasakan Enakmen Janayah Syariah No.9 Tahun 1995.[20] Pada pertengahan tahun 1988, satu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undnag Syarak dan Sivil telah ditubuhkan dan jawatankuasa ini telah berjaya membuat semakan dan mendraf beberapa undang-undang untuk dipakai oleh Mahkamah Syariah seperti Enakmen Acara Mal Mahkamah Syariah, Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah, Enakmen Wasiat, Wakaf, Zakat dan Fitrah. Hampir keseluruhan perundangan tersebut telah diterima oleh negeri-negeri dalam tahun sembilan puluhan.[21] Negeri Selangor turut  menerima dan meminda Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah No. 6 tahun 1991 kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.


Bidang kuasa Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan yang mana kedudukan agama Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan.[22] Namun, peruntukan yang berkaitan dengan hukum syarak adalah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri sepertimana dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan. Kes Che Omar bin Che Soh lwn. Pendakwaraya[23] telah menunjukkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini adalah bersifat terbatas.  Had bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah di Malaysia telah pun ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau enam kali sebatan.[24] Pada tahun 1988 telah berlaku pindaan di dalam artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang telah membawa kepada penambahan kewibawaan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah telah diberi kuasa ekslusif yang mana bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil.

Islam secara jelas telah menggariskan asas tujuan utama perlaksanaan hukuman ialah bertujuan untuk mengajar (ta’dib), pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Merujuk kepada tulisan Dr. Abdul Kadir Audah yang menyatakan bahawa :

فكل عقوبة يجب أن تكون بالقدر الذي يكفى لتأديب المجرم على جريمته تأديبا يمنعه من العودة اليها ويكفى لزجر غيره عن التفكير في مثلها
Yang bermaksud :
“Justeru itu, setiap hukuman hendaklah dengan kadar yang mencukupi bagi mendidik penjenayah supaya tidak mengulanginya dan ia juga mencukupi untuk memberi peringatan kepada orang lain dari berfikir untuk melakukan kesalahan yang sama.”

Pada asasnya undang-undang jenayah Islam di Malaysia hanya meliputi kesalahan di bawah ruang lingkup hukuman takzir sahaja. Sehingga kini masih tiada sebarang Undang-Undang Jenayah Islam yang merangkumi hukuman hudud mahupun qisas telah dilaksanakan di mana-mana negeri walaupun didapati terdapat usaha-usaha untuk melaksanakannya di negeri Kelantan dan juga Terengganu. Selagi mana tiada pindaan dibuat ke atas Akta 355 tersebut, maka Undang-Undang Jenayah Syariah secara keseluruhannya tidak dapat dilaksanakan di mana-mana negeri. Hal ini kerana, isu percanggahan ataupun ultra vires akan wujud antara Undang-Undang Jenayah Islam yang telah digubal dengan Perlembagaan Persekutuan sekiranya tiada pindaan dibuat ke atas had bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah tersebut. Merujuk kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah bersifat terbatal.

Justeru itu, mana-mana undang-undang, termasuk akta/enakmen jenayah syariah mana-mana negeri tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dalam ruang lingkup bidang kuasa masing-masing sepertimana termaktub di dalam Perkara 74 yang telah memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini, undang-undang jenayah Islam itu sendiri telah merangkumi kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang mana sebahagian besarnya adalah kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini juga jelas terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Di Negeri Selangor, peruntukan undang-undang yang memberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes jenayah syariah ialah peruntukan seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana peruntukan seksyen 61 adalah meliputi bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi Syariah manakala sekyen 62 pula menjelaskan tentang bidang kuasa jenayah Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 61. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Tinggi Syariah.

“(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [En. No. 9/1995] atau di bawah manamana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.

Seksyen 62. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Rendah Syariah

“(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.


Persediaan Badan Perundangan Syariah

Persediaan yang akan dikupas di dalam kertas kerja ini adalah merangkumi persediaan dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana yang sedia ada khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang merangkumi pelaksanaannya ke atas orang Islam. Skop perbincangan di dalam kertas kerja ini dikhususkan pelaksanaanya ke atas orang Islam terlebih dahulu kerana jika dibincangkan pelaksanaannya secara keseluruhan ia akan menjadi perbincangan yang lebih luas. Antara persediaan tersebut ialah :

1.        Perundangan.

1.1 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah.

Jika kita melihat kepada akta/enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada yang sedang digunapakai pada hari ini, ianya mengandungi hukuman kesalahan jenayah syariah berbentuk takzir. Contohnya, merujuk kepada peruntukan seksyen 4, 5 dan 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan bahagian kesalahan berhubungan dengan akidah merangkumi pemujaan salah, mendakwa bukan orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan dan doktrin palsu, maka hukuman kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.  Peruntukan seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 pula menjelaskan kesalahan meminum minuman yang memabukkan yang mana peruntukan ini jelas membawa hukuman  denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi mereka yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan hukumannya denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Manakala, peruntukan yang berkaitan dengan bentuk kesalahan seperti zina jelas ditunjukkan pada peruntukan 22, 23, 25, 27 dan 28 enakmen yang sama. Walau bagaimanapun, jenis kesalahan seperti zina di dalam peruntukan enakmen tersebut tidak dinyatakan dengan jelas sebagai kesalahan zina dan dinyatakan seperti kesalahan persetubuhan luar nikah (seksyen 25) dimana hukumannya denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan atau mana-mana kombinasi kesalahan tersebut. .[25] Melihat pula kepada peruntukan seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan qazaf membawa hukuman denda tidak melebihi lima ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Justeru itu, jelas peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedia ada ini berbentuk hukuman takzir meskipun  peruntukan tersebut merupakan kesalahan yang terkandung dalam kesalahan hudud itu sendiri.

Berdasarkan peruntukan hukuman jenayah syariah di dalam akta/enakmen jenayah syariah tersebut, kita dapati bahawa semua peruntukan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah adalah terikat dengan had bidang kuasa yang telah diperuntukkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau enam kali sebatan. Sekiranya hukuman sebatan dikenakan ke atas pesalah yang melakukan persetubuhan luar nikah, maka jumlah sebatan mestilah tidak melebihi 6 kali sebatan. Jika dibandingkan dengan hukuman hudud yang memperuntukkan 100 kali sebatan bagi pesalah zina yang belum berkahwin.

Justeru itu, jika pindaan terhadap Akta 355 ini diluluskan, maka persediaan yang lebih rapi dan teliti  perlu dilaksanakan oleh Badan Perundangan Syariah adalah membantu dalam menggubal draf pindaan enakmen jenayah syariah yang sedia ada di peringkat negeri supaya ianya selaras dengan peruntukan pindaan Akta 355 tersebut dan juga kadar peruntukan hukuman yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
 
1.2 Enakmen Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah.

Pada masa kini, kesemua negeri telah pun mempunyai akta/enakmen prosedur jenayah syariah masing-masing yang tersendiri dan terpisah daripada Akta/Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam. Peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 merangkumi perihal bidang kuasa mahkamah bicara jenayah sama ada di peringkat Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dan juga perbicaraan di mahkamah terbuka.[26] Terdapat juga peruntukan yang menjelaskan bidang kuasa dan bidang tugas para hakim iaitu pada peruntukan seksyen 7 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Selain itu, dijelaskan juga mengenai aspek perjalanan perbicaraan dan langkah-langkah pra perbicaraan seperti tindakan selepas menerima maklumat atau aduan, pengendalian tangkapan, siasatan dan sebagainya sepertimana peruntukan seksyen 10 hingga 27 enakmen yang sama yang mana bahagian ini ditangani oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam. Tugas seterusnya berpindah kepada Bahagian Pendakwaan untuk menyiapkan kertas pertuduhan dan mengendalikan perbicaraan sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 78 hingga 95 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Seterusnya, kaedah-kaedah untuk para hakim membuat penghakiman, menjatuhkan hukuman, mengendalikan rayuan, semakan dan sebagainya sebagaimana peruntukan seksyen 96 hingga 172 enakmen yang sama.[27] Sehubungan dengan itu, dengan adanya undang-undang prosedur jenayah yang sedia ada ini menunjukkan persediaan Mahkamah Syariah itu sendiri dari sudut telah memiliki undnag-undang berkaitan prosedur atau tatacara yang jelas dalam mengendalikan proses perbicaraan kes jenayah syariah.

1.3 Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

Selain itu, dari sudut pembuktian dan keterangan, Mahkamah Syariah Negeri Selangor merujuk kepada Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Enakmen ini mengandungi peruntukan-peruntukan berkaitan beban pembuktian, bentuk keterangan dan sebagainya. Di dalam kes jenayah syariah, Ketua Pendakwa atau Pendakwa Syarie adalah orang yang menanggung beban pembuktian sepertimana yang diperuntukkan oleh seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Asas dakwaan yang digunapakai di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang berbunyi البينة على المدعى واليمين على من انكر yang bermaksud keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar.[28] Konsep ini juga terpakai di dalam pembuktian jenayah hudud. Peruntukan mengenai tatacara pemeriksaan saksi turut diperjelaskan di dalam seksyen 89 hingga 118 enakmen yang sama. Tatacara pemeriksaan saksi terdiri daripada pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.[29] Tujuan pemeriksaan saksi ini dijalankan adalah untuk menguji keterangan fakta yang dikemukakan oleh saksi. Dalam sistem keadilan Islam, iqrar atau pengakuan adalah merupakan kaedah pembuktian yang kuat sehingga ia digelar Sayyid al-Adillah.[30] Cara pembuktian telah dikanunkan di dalam peruntukan seksyen 17 dan 18 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Selain itu juga, dalam perundangan Islam keterangan pakar juga adalah diterima berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Nahl ayat 43 yang menyarankan supaya sebarang pertanyaan dibuat atau dirujuk kepada orang yang berpengetahuan. Ibn Qayyim dalam al-Turuq al-Hukmiyyah telah menafsirkan al-Ra’yu al-Kabir sebagai kesaksian orang yang berkeahlian tentang sesuatu bidang.[31] Peruntukan berkaitan keterangan pakar ini telah diperjelaskan di dalam seksyen 33 dan 34 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Dengan adanya peruntukan undang-undang tersebut, maka secara langsung ia dapat memandu pihak Mahkamah dalam membuat penilaian dan mendapatkan keputusan di  akhir kes.

  
2.        Perjawatan Badan Perundangan Syariah Yang Sedia Ada.

Seperti yang sedia maklum, pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah adalah dari kalangan penjawat awam gred LS (Pegawai Syariah). Hal ini berbeza jika dibandingkan dengan pelantikan Ketua Hakim Negara dan juga Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Walau bagaimanapun, persediaan dalam penaiktarafan gred perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) atau Mahkamah Syariah Negeri (MSN) telah diluluskan di peringkat persekutuan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan dua model perjawatan baru dengan menaiktaraf beberapa jawatan seperti Ketua Hakim Syarie daripada Pegawai Syariah Gred Utama C kepada Pegawai Syariah Gred Utama B, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah daripada gred LS52/LS54 kepada Pegawai Syariah Gred Utama C, Ketua Pendaftar daripada gred LS48/LS52 kepada  Pegawai Syariah Gred Utama C, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah daripada LS48 kepada LS52/LS54, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah gred LS48. Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor juga dilihat sedang dalam proses penaiktarafan dengan pengasingan Bahagian Pendakwaan daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor sendiri, jumlah perjawatan hakim adalah seramai 27 orang yang merangkumi jawatan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang mana 23 orang daripadanya adalah lantikan tetap dan 4 daripadanya adalah lantikan kontrak. Penempatan hakim di lokasi Mahkamah Syariah Selangor adalah sepertimana berikut :

Bil.
Lokasi
Jumlah hakim
1.       
Pejabat Ketua Hakim Syarie
1
2.       
Mahkamah Tinggi Syariah
4
3.       
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
3
4.       
Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya
4
5.       
Mahkamah Rendah Syariah Klang
2
6.       
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat
3
7.       
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat
2
8.       
Mahkamah Rendah Syariah Ampang
2
9.       
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur
1
10.   
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor
1
11.   
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor
1
12.   
Mahkamah Rendah Syariah Sabak Bernam
1
13.   
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat
1
14.   
Mahkamah Rendah Syariah Sepang
1

Selain itu juga, seramai 14 orang pegawai syariah yang lain turut telah diberikan tauliah sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor bagi membantu perjalanan kes di Mahkamah Rendah Syariah apabila diperlukan.


3.        Prasarana Yang Sedia Ada.

Kebanyakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) dan juga Mahkamah Syariah Negeri (MSN) dilihat telah menerima bangunan dan prasarana yang baru. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan 160.59 juta bagi kos pembinaan bangunan baru bagi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang terdiri daripada satu bangunan di ibu pejabat dan 9 buah bangunan di lokasi Mahkamah Rendah Syariah. Bangunan ibu pejabat telah secara rasminya beroperasi pada 18 Julai 2011. Manakala, di lokasi daerah pula hanya Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dan Gombak Timur sahaja yang masih belum berpindah ke bangunan baru. Di Selangor, Mahkamah Rayuan Syariah dilengkapi dengan sebuah dewan bicara, Mahkamah Tinggi Syariah pula dilengkapi dengan 4 buah dewan bicara manakala Mahkamah Rendah Syariah dilengkapi dengan 4 dewan bicara bagi lokasi Mahkamah Rendah Syariah Gombak dan Petaling Jaya. Manakala, lokasi yang selebihnya mempunyai 3 dewan bicara.

Kini, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor turut menggunapakai sistem atas talian yang telah dibangunkan oleh Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu aplikasi E-Syariah yang mana sistem ini merangkumi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah, Portal E-Syariah, e-Nafkah, e-Bicara, e-Faraid, Sistem Automasi Pejabat, Sistem Pengurusan Perpustakaan dan Sistem Pendaftaran Peguam Syarie. Aplikasi ini merupakan satu sistem pengurusan kes yang bersepadu yang mengintegrasikan semua proses yang terlibat di dalam pengendalian kes-kes Mahkamah Syariah. Ia juga dapat menghubungkan Mahkamah-Mahkamah Syariah Negeri dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta agensi-agensi yang berkaitan bagi tujuan penyelarasan dan perkongsian maklumat.  Penggunaan aplikasi atas talian ini secara langsung telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada operasi di Mahkamah Syariah.

            Bercakap mengenai tempat perlaksanaan hukuman bagi jenayah syariah yang sedia ada pula antaranya Jabatan Penjara Malaysia bagi hukuman pemenjaraan dan sebatan. Manakala, pusat bimbingan Islam pula bagi kesalahan berkaitan aqidah dan kepercayaan serta bagi mendapatkan pemulihan, bimbingan dan juga perlindungan bagi golongan-golongan yang bermasalah. Antara pusat bimbingan Islam yang ada di Negeri Selangor adalah seperti Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman di Ulu Yam, Selangor dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor. Majlis Agama Islam Negeri telah diberi kuasa di bawah seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan juga enakmen yang sama di negeri-negeri bagi mewujudkan pusat bimbingan Islam. Jabatan Penjara Malaysia selain itu dilihat turut bersedia untuk menguruskan banduan jenayah syariah di bawah kendalian mereka sekiranya mendapat kerjasama semua pihak seperti persiapan dari segi modul bimbingan dan latihan keagamaan bagi membawa pesalah syarie kembali ke pangkal jalan.[32]

Kesimpulan.

Mahkamah Syariah merupakan badan pelaksana yang menegakkan sistem keadilan syariah di negara kita. Segala apa persediaan yang dibincangkan di dalam kertas kerja ini hanya berkisar tentang persediaan sedia ada masa kini berdasarkan had bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Syariah akan berusaha ke arah persediaan yang lebih komprehensif  untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah sekiranya undang-undang tersebut telah digubal dan diwartakan.

*Seminar Kanun Jenayah Syariah Dalam Perspektif Perlembagaan Malaysia.
** Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.
           



[1] Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm.1485
[2] Lihat penulisan Abdul Halim El-Muhammady dalam artikel di bawah tajuk “Undang-Undang Jenayah Syariah Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, dalam Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, Kuala Lumpur : IKIM, 2005, hlm.373.
[3] Mat Saad Abd Rahman, Undang-Undang Jenayah Islam Jenayah Qisas, Shah Alam : Hizbi, 1990, hlm.1.
[4] Abdul Kadir Audah, Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, Jil.2, Beirut : Dar Al-Kutub Al-Imliah, 2005, hlm.345
[5] Mat Saad Abd Rahman (1990), op.cit, hlm. 5.
[6] Ibid, hlm. 5.
[7] Lihat Penulisan Ahmad Mohamed Ibrahim dalam artikel di bawah tajuk “Pelaksanaan Undang-Undang Hudud di Malaysia, dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : IKIM, 1997, hlm.481-514.
[8]  Syed Naquib Al-Attas, The Correct Date of Terengganu Inscription, Kuala Lumpur : Muzium Negara, 1970, hlm.24.
[9] Hugh Clifford, “Expedition : Terengganu and Kelantan”, JMBRAS, Jil. XXXIV, Part. 1, 1961, hlm.107.
[10] Ahmad Ibrahim (1997), op.cit, hlm. 485,492,493.
[11] Abdul Halim El-Muhammady, Perkembangan Undang-Undang Islam Dari Zaman Rasulullah Hingga Zaman Penjajahan Barat, Petaling Jaya : Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1983, hlm.85.
[12] W.G Shellabear, Sejarah Melayu, Singapura : The Malaysia Publishing House, 1896, hlm.96.
[13] Fasal 5, 7, 11, 12, 36, 37, 39, 40, 41 dan 42. Lihat Ahmad Ibrahim (1997), op.cit, hlm. 481-484.
[14] Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm.45.
[15] Abdul Halim Nasir, Sejarah Perak, Kuala Lumpur : Tanda Jaya, 1977, hlm.177.
[16] R.O Windstedt, “Undang-Undang Kedah”, JMBRAS, Vol.6, Part. 2, hlm.8.
[17] (1927) F.M.S.L.R., 127.
[18] Jurnal Hukum, Jilid XII, Bhg. II, 1998, hlm. 206.
[20] Penulis akan merujuk peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen-enakmen Mahkamah Syariah Negeri Selangor sahaja sebagai rujukan utama di dalam artikel ini. Rujukan kepada enakmen atau akta negeri-negeri yang lain akan dirujuk secara sampingan.
[21] Abdul Monir Yaacob, dalam “Perlaksanaan Perundangan Islam Di Malaysia : Satu Penilaian”, Jurnal Fiqh, No.6,2009, hlm.15-16.
[22] Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.
[23] [1988] 2 MLJ 55. 
[24] Seksyen 2, Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
[25] Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
[26] Seksyen 4 dan 5, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[27] Siti Zubaidah Ismail, dalam “Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah Malaysia : Satu Penilaian”, Jurnal Hukum, Jil.27, Bhg.1, 2009, hlm. 203.
[28] Al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr as-Suyuti. 2001.  al-Asbah wa al-Nazhair fi -Qawa`ed wa furu’ Fiqh al-Syafi’iyyah. Juz 1. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
[30] Zulfakar Ramlee Saad, dalam “Pembuktian Dalam Kes Jenayah Syariah Malaysia : Isu dan Penyelesaian”, Junal Kanun, Januari 2015, hlm.125.
[31] Ibnu Qayyim, al –Turuq al-Hukmiyyah, Mesir : Matbaah al-Madani, 1977, hlm 188.
[32] Siti Zubaidah Ismail, dalam “Pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam Pengurusan Kes Jenayah Syariah”, Jurnal Hukum, Bhg. 1, hlm.38.