Bagi
mencerahkan perlaksanaan prosiding pengkomitan ini, Hakim Mahkamah Rayuan
Syariah telah memberikan garis panduan atau tatacara yang diadaptasikan
dari Aturan 52
Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada
berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003 sebagaimana yang diputuskan
dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, (2012) 35 Bhg. 2 JH 250 dan
juga kes Zetty Binti Zabir lwn. Mohammed Rafi
Bin Mohamed Yaacob, (2013)
36 Bhg. 1 JH 161.
Berpandukan
dua kes tersebut dan adaptasi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah
Tinggi 1980, Tatacara pengkomitan di Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan
peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003 diterjemahkan oleh Mahkamah ini seperti
berikut :
Permohonan
perintah pengkomitan dibuat secara ex-parte dan disokong
dengan Affidavit Sokongan Pemohon yang mengandungi butiran diri Pemohon,
butiran diri orang hendak dikomitkan (Responden) dan alasan permohonan (terma
perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut).
Apabila
kebenaran diberikan, suatu Notis Tunjuk Sebab hendaklah dikeluarkan kepada
Responden dan diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama dengan Perintah
Kebenaran Pengkomitan.
Penyampaian
tersebut hendaklah dibuat 8 hari sebelum tarikh pendengaran kes tersebut.
Sekiranya Responden tidak hadir pada mana-mana tarikh yang ditetapkan oleh
Mahkamah, suatu waran tangkap boleh dikeluarkan kepadanya. Tempoh masa
penyerahan Notis Tunjuk Sebab yang digariskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan
ini agak mengelirukan terutamanya dalam bab penyampaian saman atau notis
berdasarkan peruntukan seksyen 45 ETMMS 2003 iaitu :
- Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
- Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.
Oleh
itu Mahkamah berpendapat bahawa tempoh penyerahan tersebut adalah sesuai dengan
mengikut peruntukan seksyen 45 (2) ETMMS 2003 iaitu 2 hari sebelum tarikh
pendengaran kes.
Prosiding
pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali :
- Jika melibatkan sebahagian atau keseluruhan kes hak jagaan dan pengangkatan anak dan tanggungan (nafkah) atau akses kepada seorang kanak-kanak ; atau
- Jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah bagi kepentingan pentadbiran keadilan.
Pada
tarikh yang ditetapkan, pembelaan
Responden boleh dibuat secara lisan ataupun secara Afidavit dan kandungannya
hendaklah berkisar kepada pembelaan terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut.
Sekiranya
Responden hendak membela dirinya secara lisan, maka Hakim Bicara hendaklah
menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”. Namun
begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan
Responden disoal oleh Pemohon dan/atau Peguamnya sendiri.
Sekiranya
Responden ingin memfailkan pembelaannya melalui Afidavit Pembelaan maka Hakim Bicara
boleh membenarkannya dan disoal-balas dan disoal-semula oleh pihak-pihak
termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.
Hakim
Bicara boleh menangguhkan prosiding dari masa ke semasa mengikut keperluan.
Jika kehadiran Responden berdasarkan waran tangkap, maka suatu jaminan wajar
dikeluarkan kepada Responden untuk mempastikan kehadirannya pada tarikh yang
akan datang.
Selepas
sesi pembelaan oleh Responden selesai, Hakim Bicara hendaklah memutuskan sama ada
:
- Responden melanggar, mengingkari dan/atau cuai perintah/ penghakiman atau tidak;dan
- Responden mempunyai alasan yang munasabah atau tidak dari pembelaannya terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut.
Oleh itu jika ;
Pembelaan
Responden diterima, maka ia hendaklah hendaklah dilepaskan tanpa syarat atau
sebaliknya ; atau
Pembelaan
Responden ditolak, maka ia hendaklah dikomitkan ke penjara berdasarkan tempoh
yang akan ditentukan oleh Hakim Bicara mengikut budi bicaranya.
Hakim
Bicara boleh mengarahkan melalui perintah menggantung pelaksanaan pengkomitan
atas apa-apa terma atau syarat yang dipersetujui oleh pihak-pihak.
Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang
penghakiman dan Responden telah dipenjarakan, ia boleh
dilepaskan jika
penunaian hutang tersebut telah dibuat.
Bagi
perlaksanaan perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan
hendaklah diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat
permohonan dan Afidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3
Tahun 2006.
Setelah
kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran Notis Tunjuk
Sebab beserta Affidavit Sokongan yang
mengandungi butiran diri Responden, butiran diri orang hendak dikomitkan
(Responden) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara
pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah
dipohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana
di Mahkamah Tinggi Syariah setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh
Mahkamah Rendah Syariah.
Oleh
itu, tempoh masa pemenjaraan ini adalah dengan merujuk kepada bidang kuasa asal
jenayah dan jika terbukti bahawa Responden gagal mengemukakan pembelaan yang
sewajarnya di dalam kes ini, Mahkamah ini atas budi bicaranya boleh
melaksanakan pengkomitan ke penjara selama tempoh yang tidak melebihi tiga
tahun. Bagi Mahkamah Rendah Syariah, tempoh masa pemenjaraan yang dibenarkan
adalah tidak melebihi dua tahun.
Mahkamah berpendapat bahawa tujuan pengkomitan ini
adalah di atas keengganan Responden melaksanakan perintah namun jika ianya
telah dilaksanakan maka pengkomitan itu tidaklah perlu diteruskan lagi. Ini
berasaskan kepada kefahaman Mahkamah terhadap satu pandangan yang dinukilkan di
dalam Kitab Fiqh
Al-Islami Wa Adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili, Jilid 7, muka surat 5592
dan 5593, terjemahan Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VI, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, muka surat 209 dan 210 iaitu :
“Penahanan
diharuskan dalam lapan keadaan;
- Ditahan penjenayah kerana mangsanya tidak ada, supaya orang yang akan menjalani hukuman qisas tidak terlepas daripada hukuman.
- Ditahan hamba yang lari selama setahun sebagai menjaga kehilangan harta dengan harapan dapat diketahui tuannya.
- Ditahan orang yang enggan menunaikan haknya sebagai paksaan ke atasnya supaya ia ditunaikan.
- Ditahan meteka yang diragui kedudukannya dalam sama ada kepayahan ataupun kesenangan untuk mengetahui keadaannya.
- Ditahan penjenayah sebagai hukuman takzir atau mencegah daripada berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.
- Ditahan mereka yang terhalang daripada menjalankan tanggungjawab wajib yang tidak boleh diganti oleh orang lain.
- Orang yang membuat pengakuan mengenai sesuatu yang tidak diketahu sama ada benda ataupun dalam tanggungan dan ia tidak dapat menentukannya.
- Ditahan orang yang enggan menunaikan hak Allah S.W.T yang tidak boleh diganti seperti puasa.”
Al-Qarafi
berkata, selain lapan sebab ini, tidak harus seseorang diletakkan dalam tahanan
dan tidak harus ditahan seseorang pada satu hak sekiranya pemerintah mampu
menyempurnakannya.
3 comments:
terima kasih tuan atas perkongsian.
as'kum... sy bertanya sekdr ingin mengetahui je.. seblm bercerai si isteri tlh mempengaruhi sianak utk mmbenci ayahnya termsk lh keluarga si isteri td .... setlh bercerai anak tdk tdk d bnr kn berjumpa dgn si ayah ... kebencian yg d bt msh berterusan... sy ingin bertanya adakah si ayah tdk blh menggunakn perintah komital utk si isteri td sdgkn kes anak tlh selesai d dewan sulh n dh d bg tau bl blh berjumpa anak ... mk blh ke si ayah menggunakan cr sebegitu terhdp si ibu td...
Princess puteri..ya ada sesiapa bleh jawab pertanyaan princess puteri
Post a Comment