Kesiapsiagaan Badan Perundangan Syariah Di Malaysia Untuk Melaksanakan
Undang-Undang Jenayah Syariah*
Salehan Bin Yatim**
Pendahuluan
Untuk mengetahui skop perbincangan tajuk di atas
dengan lebih jelas maka beberapa perkataan yang terdapat dalam tajuk tersebut
perlu dihuraikan. Perkataan kesiapsiagaan merujuk kamus Dewan Edisi Keempat merupakan
kata imbuhan kepada siap. Perkataan siap siaga pula merujuk kepada keadaan
sudah bersedia untuk melakukan sesuatu dan lain-lain.
Manakala, undang-undang jenayah syariah bererti peraturan atau Kanun Jenayah
yang ditetapkan oleh syarak dan pemerintah yang meliputi tindakan terhadap
perkara yang haram dan meninggalkan perkara yang ada dikenakan hukuman
keseksaan. Undang-undang
jenayah syariah juga meliputi peruntukan hukuman terhadap jenayah qisas,
hudud dan ta’zir.
Menurut Abdul Kadir Audah di dalam kitabnya Al-Tasyri’
al-Jina’i al-Islami menyatakan bahawa hanya jenayah tertentu
sahaja boleh dikategorikan sebagai jenayah hudud dan ia tidak akan
berubah mengikut peredaran masa kerana ia telah ditentukan oleh al-Quran serta
al-Sunnah. Menurut jumhur ulama, kesalahan-kesalahan jenayah yang dikategorikan
sebagai jenayah hudud ialah murtad, minum arak, mencuri, merompak,
berzina, menuduh zina dan memberontak. Jenayah qisas pula jika
diperincikan mengandungi perbincangan tentang beberapa jenayah yang menyentuh
diri manusia serta hukum-hukum yang berkaitan seperti jenayah pembunuhan,
jenayah kecederaan, jenayah ke atas janin, jenayah sihir, pembalasan qisas,
pembayaran diat, pembayaran kaffarah dan lain-lain. Sementara itu, jenayah takzir
merangkumi kesemua bentuk jenayah yang lain selain dari jenayah-jenayah yang
termasuk ke dalam jenayah qisas dan hudud.
Apabila kita bercakap mengenai Badan Perundangan
Syariah di Malaysia ruang lingkup perbincangan adalah tidak terhad kepada
Mahkamah Syariah semata-mata. Hal ini kerana, berdasarkan Bahagian IV dan V
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas menyatakan bahawa
selain memperuntukkan kuasa ke atas Mahkamah Syariah, enakmen tersebut juga
telah memperuntukkan kuasa ke atas Ketua Pendakwa dan Pendakwa Syarie serta
Pegawai Penguatkuasa Agama. Justeru itu, tiga badan perundangan Syariah di
Malaysia yang utama dalam melaksanakan undang-undang berkaitan Jenayah Syariah
di Malaysia adalah terdiri daripada Mahkamah Syariah, Bahagian Penguatkuasaan
dan Bahagian Pendakwaan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan
membincangkan secara khusus tentang persediaan badan perundangan Syariah di
Malaysia khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang merangkumi
persediaan yang sedia ada dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana.
Sejarah
Perkembangan Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Malaysia.
Ahmad Ibrahim dalam penulisannya telah mendedahkan
bahawa bukti terawal kewujudan undang-undang jenayah syariah di Tanah Melayu
adalah di Negeri Terengganu sebagaimana yang tercatat pada Batu Bersurat
Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 yang menjelaskan peruntukan mengenai
kesalahan dan hukuman terhadap zina. Catatan tarikh pada batu bersurat itu telah
membuktikan Terengganu merupakan negeri terawal menerima kedatangan Islam dan
melaksanakan undang-undang Islam di negara ini. Undang-undang jenayah syariah telah
diteruskan pelaksanaannya di Terengganu seawal pemerintahan Sultan Umar (1837)
apabila baginda sultan telah melaksanakan hukuman rejam dan potong tangan bagi
kesalahan-kesalahan hudud. Undang-undang syariah terus dilaksanakan
di Terengganu sehingga mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan
Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) yang mana pada era tersebut Mahkamah Kadi
telah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti bunuh balas, diyat,
potong tangan, penjara dan denda.
Seterusnya bermula pada kurun ke-15, Negeri Melaka
pula muncul sebagai sebuah empayar kerajaan Islam dengan pengislaman Raja
Melaka Parameswara yang kemudiannya telah menggelar diri baginda sebagai Sultan
Iskandar Syah. Pengislaman baginda secara langsung telah
memberi kesan kepada penerimaan masuk dan pelaksanaan perundangan Islam di
negeri Melaka. Pada zaman
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1450), penulisan teks-teks perundangan
seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut telah diperkenalkan. Hukum
Kanun Melaka mempunyai peruntukan hukuman bagi kesalahan hudud dalam 10
Fasal. Seterusnya,
pelaksanaan undang-undang syariah turut dilaksanakan di negeri Pahang pada
zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafar Maha’yudin Syah (1592-1614).
Selain itu, Undang-Undang 99 Perak yang dibawa masuk dari Hadramaut dan
diperkenalkan pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah (1577)
serta Undang-undang Pelabuhan Dato‘ Seri Paduka Tuan (1667) dan Undang-undang
Kedah 1893
telah menjadi bukti bahawa undang-undang Islam telah dikanunkan secara
sistematik di samping rujukan yang masih berterusan terhadap adat tempatan.
Secara umumnya, kewujudan undang-undang Islam pada zaman
awal ini telah menjadi bukti dan petanda wujudnya pelaksanaan undang-undang syariah
di Tanah Melayu yang bercampur dengan undang-undang adat sebelum zaman
penjajahan Eropah lagi. Namun begitu, tiada rekod jelas yang menyatakan bahawa
pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di Tanah Melayu pada ketika
itu. Pada era zaman penjajahan pula, British pada zaman pemerintahannya tidak
menolak secara menyeluruh undang-undang Islam sebagai undang-undang negeri
seperti yang terdapat di dalam kes Ramah lwn. Laton.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang Inggeris telah diperluaskan dan
undang-undang Islam telah dihadkan kepada hal-hal yang berkaitan dengan
kekeluargaan, keagamaan dan undang-undang diri sahaja.
Kelantan merupakan negeri pertama yang menggubal
undang-undang mengenai prosedur jenayah syariah secara berasingan daripada
undang-undang lain melalui Enakmen Prosedur Jenayah 1983. Susulan daripada
enakmen tersebut, telah dilusluskan Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 yang mana
kaedah ini bertujuan untuk membezakan kaedah hukuman sebatan syarie dengan kaedah
hukuman sebat di bawah Kanun Prosedur Jenayah. Pada tahun 1989, Enakmen Perundangan Islam
Selangor No. 2 tahun 1989 telah diluluskan. Berdasarkan enakmen ini, Mahkamah
Syariah Selangor ditubuhkan secara rasmi dan telah diasingkan dari Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS). Pada tahun 1991, Enakmen Kanun Prosedur Jenayah
Syariah Selangor No. 6 tahun 1991 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada
1 September 1991.
Pada tahun 1995, Negeri Selangor telah menguatkuasakan Enakmen Janayah Syariah
No.9 Tahun 1995. Pada pertengahan tahun 1988, satu
Jawatankuasa Teknikal Undang-Undnag Syarak dan Sivil telah ditubuhkan dan
jawatankuasa ini telah berjaya membuat semakan dan mendraf beberapa undang-undang untuk dipakai oleh Mahkamah
Syariah seperti Enakmen Acara Mal Mahkamah Syariah, Enakmen Kanun Prosedur
Jenayah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah, Enakmen Wasiat, Wakaf,
Zakat dan Fitrah. Hampir keseluruhan perundangan tersebut telah diterima oleh
negeri-negeri dalam tahun sembilan puluhan. Negeri Selangor turut menerima dan meminda Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah No. 6 tahun 1991 kepada Enakmen
Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Bidang kuasa
Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia.
Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan
pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan yang mana kedudukan
agama Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan. Namun,
peruntukan yang berkaitan dengan hukum syarak adalah diletakkan di bawah bidang
kuasa negeri sepertimana dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan. Kes Che Omar bin
Che Soh lwn. Pendakwaraya
telah menunjukkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini adalah bersifat
terbatas. Had bidang kuasa Jenayah Mahkamah
Syariah di Malaysia telah pun ditetapkan di bawah Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang
memperuntukkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau
enam kali sebatan.
Pada tahun 1988 telah berlaku pindaan di dalam artikel 121(1A) Perlembagaan
Persekutuan yang telah membawa kepada penambahan kewibawaan Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah telah diberi kuasa ekslusif yang mana bidang kuasa Mahkamah
Syariah tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil.
Islam secara jelas telah menggariskan asas tujuan utama perlaksanaan hukuman ialah bertujuan untuk mengajar (ta’dib),
pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan
ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang
lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Merujuk kepada tulisan Dr. Abdul Kadir Audah yang menyatakan bahawa :
فكل
عقوبة يجب أن تكون بالقدر الذي يكفى لتأديب المجرم على جريمته تأديبا يمنعه من
العودة اليها ويكفى لزجر غيره عن التفكير في مثلها
Yang bermaksud :
“Justeru itu,
setiap hukuman hendaklah dengan kadar yang mencukupi bagi mendidik penjenayah
supaya tidak mengulanginya dan ia juga mencukupi untuk memberi peringatan
kepada orang lain dari berfikir untuk melakukan kesalahan yang sama.”
Pada asasnya undang-undang jenayah Islam di Malaysia
hanya meliputi kesalahan di bawah ruang lingkup hukuman takzir sahaja.
Sehingga kini masih tiada sebarang Undang-Undang Jenayah Islam yang merangkumi
hukuman hudud mahupun qisas telah dilaksanakan di mana-mana
negeri walaupun didapati terdapat usaha-usaha untuk melaksanakannya di negeri Kelantan
dan juga Terengganu. Selagi mana tiada pindaan dibuat ke atas Akta 355
tersebut, maka Undang-Undang Jenayah Syariah secara keseluruhannya tidak dapat
dilaksanakan di mana-mana negeri. Hal ini kerana,
isu percanggahan ataupun ultra vires akan wujud antara Undang-Undang
Jenayah Islam yang telah digubal dengan Perlembagaan Persekutuan sekiranya
tiada pindaan dibuat ke atas had bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah
tersebut. Merujuk kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang jelas
menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara
dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah bersifat terbatal.
Justeru itu, mana-mana undang-undang,
termasuk akta/enakmen jenayah syariah mana-mana negeri tidak boleh bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat
undang-undang dalam ruang lingkup bidang kuasa masing-masing sepertimana
termaktub di dalam Perkara 74 yang telah memperuntukkan agihan kuasa antara
negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Seperti yang telah
diperjelaskan sebelum ini, undang-undang jenayah Islam itu sendiri telah
merangkumi kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang mana sebahagian
besarnya adalah kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan,
Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini juga jelas terdapat dalam
undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.
Di Negeri Selangor, peruntukan undang-undang
yang memberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes jenayah syariah ialah
peruntukan seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam
(Negeri Selangor) 2003 yang mana peruntukan seksyen 61 adalah meliputi bidang
kuasa jenayah Mahkamah Tinggi Syariah manakala sekyen 62 pula menjelaskan
tentang bidang kuasa jenayah Mahkamah Rendah Syariah.
Seksyen 61. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Tinggi
Syariah.
“(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya,
membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan
boleh dihukum di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [En. No. 9/1995]
atau di bawah manamana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa
yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh
mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.
Seksyen 62. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Rendah
Syariah
“(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya,
membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di
bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang
bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama
Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau
mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau
pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan
mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.
Persediaan Badan Perundangan Syariah
Persediaan yang akan dikupas di dalam kertas kerja ini
adalah merangkumi persediaan dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana
yang sedia ada khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor untuk melaksanakan
undang-undang jenayah syariah yang merangkumi pelaksanaannya ke atas orang
Islam. Skop perbincangan di dalam kertas kerja ini dikhususkan pelaksanaanya ke
atas orang Islam terlebih dahulu kerana jika dibincangkan pelaksanaannya secara
keseluruhan ia akan menjadi perbincangan yang lebih luas. Antara persediaan tersebut
ialah :
1.
Perundangan.
1.1 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah.
Jika kita melihat kepada akta/enakmen-enakmen jenayah
syariah yang sedia ada yang sedang digunapakai pada hari ini, ianya mengandungi
hukuman kesalahan jenayah syariah berbentuk takzir. Contohnya, merujuk kepada
peruntukan seksyen 4, 5 dan 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang
memperuntukkan bahagian kesalahan berhubungan dengan akidah merangkumi pemujaan
salah, mendakwa bukan orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan dan doktrin
palsu, maka hukuman kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi lima ribu ringgit
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Peruntukan seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 pula menjelaskan kesalahan meminum minuman yang memabukkan yang
mana peruntukan ini jelas membawa hukuman
denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua
tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi mereka yang membuat, menjual, menawarkan
untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman
yang memabukkan hukumannya denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Manakala,
peruntukan yang berkaitan dengan bentuk kesalahan seperti zina jelas
ditunjukkan pada peruntukan 22, 23, 25, 27 dan 28 enakmen yang sama. Walau
bagaimanapun, jenis kesalahan seperti zina di dalam peruntukan enakmen tersebut
tidak dinyatakan dengan jelas sebagai kesalahan zina dan dinyatakan seperti kesalahan
persetubuhan luar nikah (seksyen 25) dimana hukumannya denda tidak melebihi
lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak
melebihi 6 kali sebatan atau mana-mana kombinasi kesalahan tersebut. . Melihat
pula kepada peruntukan seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang
memperuntukkan kesalahan berkaitan qazaf membawa hukuman denda tidak
melebihi lima ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Justeru itu, jelas peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah yang
sedia ada ini berbentuk hukuman takzir meskipun peruntukan tersebut merupakan kesalahan yang
terkandung dalam kesalahan hudud itu sendiri.
Berdasarkan peruntukan hukuman jenayah
syariah di dalam akta/enakmen jenayah syariah tersebut, kita dapati bahawa
semua peruntukan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah adalah terikat
dengan had bidang kuasa yang telah diperuntukkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang memperuntukkan hukuman tidak
melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau enam kali sebatan. Sekiranya hukuman sebatan
dikenakan ke atas pesalah yang melakukan persetubuhan luar nikah, maka jumlah
sebatan mestilah tidak melebihi 6 kali sebatan. Jika dibandingkan dengan
hukuman hudud yang memperuntukkan 100 kali sebatan bagi pesalah zina
yang belum berkahwin.
Justeru itu, jika pindaan terhadap Akta 355
ini diluluskan, maka persediaan yang lebih rapi dan teliti perlu dilaksanakan oleh Badan Perundangan
Syariah adalah membantu dalam menggubal draf pindaan enakmen jenayah syariah
yang sedia ada di peringkat negeri supaya ianya selaras dengan peruntukan
pindaan Akta 355 tersebut dan juga kadar peruntukan hukuman yang telah
ditetapkan oleh hukum syarak.
1.2 Enakmen
Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah.
Pada masa kini, kesemua negeri telah pun mempunyai akta/enakmen
prosedur jenayah syariah masing-masing yang tersendiri dan terpisah daripada Akta/Enakmen
Pentadbiran Undang-Undang Islam. Peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Tatacara
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 merangkumi perihal bidang kuasa mahkamah
bicara jenayah sama ada di peringkat Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi
Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dan juga perbicaraan di mahkamah terbuka. Terdapat
juga peruntukan yang menjelaskan bidang kuasa dan bidang tugas para hakim iaitu
pada peruntukan seksyen 7 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003. Selain itu, dijelaskan juga mengenai aspek perjalanan perbicaraan dan
langkah-langkah pra perbicaraan seperti tindakan selepas menerima maklumat atau
aduan, pengendalian tangkapan, siasatan dan sebagainya sepertimana peruntukan
seksyen 10 hingga 27 enakmen yang sama yang mana bahagian ini ditangani oleh
Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam. Tugas seterusnya berpindah kepada
Bahagian Pendakwaan untuk menyiapkan kertas pertuduhan dan mengendalikan perbicaraan
sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 78 hingga 95 Enakmen Tatacara
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Seterusnya, kaedah-kaedah untuk para
hakim membuat penghakiman, menjatuhkan hukuman, mengendalikan rayuan, semakan
dan sebagainya sebagaimana peruntukan seksyen 96 hingga 172 enakmen yang sama. Sehubungan
dengan itu, dengan adanya undang-undang prosedur jenayah yang sedia ada ini
menunjukkan persediaan Mahkamah Syariah itu sendiri dari sudut telah memiliki
undnag-undang berkaitan prosedur atau tatacara yang jelas dalam mengendalikan
proses perbicaraan kes jenayah syariah.
1.3 Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.
Selain itu, dari sudut pembuktian dan keterangan, Mahkamah
Syariah Negeri Selangor merujuk kepada Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) 2003. Enakmen ini mengandungi peruntukan-peruntukan berkaitan
beban pembuktian, bentuk keterangan dan sebagainya. Di dalam kes jenayah
syariah, Ketua Pendakwa atau Pendakwa Syarie adalah orang yang menanggung beban
pembuktian sepertimana yang diperuntukkan oleh seksyen 73 Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Asas dakwaan yang digunapakai di
Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang
berbunyi “البينة على المدعى واليمين على من انكر ”
yang bermaksud keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar.
Konsep ini juga terpakai di dalam pembuktian jenayah hudud. Peruntukan mengenai tatacara pemeriksaan saksi
turut diperjelaskan di dalam seksyen 89 hingga 118 enakmen yang sama. Tatacara
pemeriksaan saksi terdiri daripada pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan
pemeriksaan semula.
Tujuan pemeriksaan saksi ini dijalankan adalah untuk menguji keterangan fakta
yang dikemukakan oleh saksi. Dalam sistem keadilan Islam, iqrar atau pengakuan adalah merupakan kaedah pembuktian
yang kuat sehingga ia digelar Sayyid
al-Adillah.
Cara pembuktian telah dikanunkan di dalam peruntukan seksyen 17 dan 18 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri
Selangor) 2003. Selain itu juga, dalam perundangan Islam keterangan pakar juga adalah
diterima berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Nahl ayat 43 yang menyarankan supaya sebarang pertanyaan dibuat
atau dirujuk kepada orang yang berpengetahuan. Ibn Qayyim dalam al-Turuq
al-Hukmiyyah telah menafsirkan al-Ra’yu al-Kabir sebagai
kesaksian orang yang berkeahlian tentang sesuatu bidang.
Peruntukan berkaitan keterangan pakar ini telah diperjelaskan di dalam seksyen
33 dan 34 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Dengan
adanya peruntukan undang-undang tersebut, maka secara langsung ia dapat memandu
pihak Mahkamah dalam membuat penilaian dan
mendapatkan keputusan di akhir kes.
2.
Perjawatan Badan Perundangan Syariah Yang Sedia Ada.
Seperti yang sedia maklum, pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim-hakim
Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah adalah dari kalangan
penjawat awam gred LS (Pegawai Syariah). Hal ini berbeza jika dibandingkan
dengan pelantikan Ketua Hakim Negara dan juga Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.
Walau bagaimanapun, persediaan dalam penaiktarafan gred perjawatan bagi Jabatan
Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) atau Mahkamah Syariah Negeri (MSN) telah
diluluskan di peringkat persekutuan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan
dua model perjawatan baru dengan menaiktaraf beberapa jawatan seperti Ketua
Hakim Syarie daripada Pegawai Syariah Gred Utama C kepada Pegawai Syariah Gred
Utama B, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah daripada gred LS52/LS54 kepada
Pegawai Syariah Gred Utama C, Ketua Pendaftar daripada gred LS48/LS52 kepada Pegawai Syariah Gred Utama C, Hakim Mahkamah
Tinggi Syariah daripada LS48 kepada LS52/LS54, Hakim Kanan Mahkamah Rendah
Syariah gred LS48. Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor juga dilihat
sedang dalam proses penaiktarafan dengan pengasingan Bahagian Pendakwaan daripada
Jabatan Agama Islam Selangor. Di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor sendiri,
jumlah perjawatan hakim adalah seramai 27 orang yang merangkumi jawatan Ketua
Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah
yang mana 23 orang daripadanya adalah lantikan tetap dan 4 daripadanya adalah lantikan
kontrak. Penempatan hakim di lokasi Mahkamah Syariah Selangor adalah
sepertimana berikut :
Bil.
|
Lokasi
|
Jumlah hakim
|
1.
|
Pejabat Ketua Hakim Syarie
|
1
|
2.
|
Mahkamah Tinggi Syariah
|
4
|
3.
|
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
|
3
|
4.
|
Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya
|
4
|
5.
|
Mahkamah Rendah Syariah Klang
|
2
|
6.
|
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat
|
3
|
7.
|
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat
|
2
|
8.
|
Mahkamah Rendah Syariah Ampang
|
2
|
9.
|
Mahkamah
Rendah Syariah Gombak Timur
|
1
|
10.
|
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor
|
1
|
11.
|
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor
|
1
|
12.
|
Mahkamah Rendah Syariah Sabak Bernam
|
1
|
13.
|
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat
|
1
|
14.
|
Mahkamah Rendah Syariah Sepang
|
1
|
Selain itu juga, seramai 14 orang pegawai syariah yang lain turut telah
diberikan tauliah sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor bagi membantu
perjalanan kes di Mahkamah Rendah Syariah apabila diperlukan.
3.
Prasarana Yang Sedia Ada.
Kebanyakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) dan
juga Mahkamah Syariah Negeri (MSN) dilihat telah menerima bangunan dan
prasarana yang baru. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan 160.59 juta
bagi kos pembinaan bangunan baru bagi Jabatan
Kehakiman Syariah Selangor yang terdiri daripada satu bangunan di ibu pejabat
dan 9 buah bangunan di lokasi Mahkamah Rendah Syariah. Bangunan ibu pejabat
telah secara rasminya beroperasi pada 18 Julai 2011. Manakala, di lokasi daerah
pula hanya Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dan Gombak Timur sahaja yang
masih belum berpindah ke bangunan baru. Di Selangor, Mahkamah Rayuan Syariah
dilengkapi dengan sebuah dewan bicara, Mahkamah Tinggi Syariah pula dilengkapi
dengan 4 buah dewan bicara manakala Mahkamah Rendah Syariah dilengkapi dengan 4
dewan bicara bagi lokasi Mahkamah Rendah Syariah Gombak dan Petaling Jaya.
Manakala, lokasi yang selebihnya mempunyai 3 dewan bicara.
Kini, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
turut menggunapakai sistem atas talian yang telah dibangunkan oleh Koridor Raya
Multimedia (MSC) iaitu aplikasi E-Syariah yang mana
sistem ini merangkumi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah, Portal
E-Syariah, e-Nafkah, e-Bicara, e-Faraid, Sistem Automasi Pejabat, Sistem
Pengurusan Perpustakaan dan Sistem Pendaftaran Peguam Syarie. Aplikasi
ini merupakan satu sistem pengurusan kes yang bersepadu yang mengintegrasikan
semua proses yang terlibat di dalam pengendalian kes-kes Mahkamah Syariah. Ia
juga dapat menghubungkan Mahkamah-Mahkamah Syariah Negeri dengan Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta agensi-agensi yang berkaitan bagi
tujuan penyelarasan dan perkongsian maklumat.
Penggunaan aplikasi atas talian ini secara langsung telah membawa perubahan dan
pembaharuan kepada operasi di Mahkamah Syariah.
Bercakap mengenai tempat
perlaksanaan hukuman bagi jenayah syariah yang sedia ada pula antaranya Jabatan
Penjara Malaysia bagi hukuman pemenjaraan dan sebatan. Manakala, pusat
bimbingan Islam pula bagi kesalahan berkaitan aqidah dan kepercayaan serta bagi
mendapatkan pemulihan, bimbingan dan juga perlindungan bagi golongan-golongan
yang bermasalah. Antara pusat bimbingan Islam yang ada di Negeri Selangor adalah
seperti Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman di Ulu Yam, Selangor dan Pusat
Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor. Majlis Agama Islam
Negeri telah diberi kuasa di bawah seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah Selangor
dan juga enakmen yang sama di negeri-negeri bagi mewujudkan pusat bimbingan
Islam. Jabatan Penjara Malaysia selain itu dilihat turut bersedia untuk
menguruskan banduan jenayah syariah di bawah kendalian mereka sekiranya
mendapat kerjasama semua pihak seperti persiapan dari segi modul bimbingan dan
latihan keagamaan bagi membawa pesalah syarie kembali ke pangkal jalan.
Kesimpulan.
Mahkamah Syariah merupakan badan pelaksana yang menegakkan sistem keadilan
syariah di negara kita. Segala apa persediaan yang dibincangkan di dalam kertas
kerja ini hanya berkisar tentang persediaan sedia ada masa kini berdasarkan had
bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah
Syariah akan berusaha ke arah persediaan yang lebih komprehensif untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah sekiranya undang-undang tersebut telah digubal dan diwartakan.
*Seminar Kanun Jenayah Syariah Dalam Perspektif Perlembagaan Malaysia.
** Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.
Kamus Dewan, Edisi
Keempat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm.1485
Lihat penulisan
Abdul Halim El-Muhammady dalam artikel di bawah tajuk “Undang-Undang Jenayah
Syariah Dan Pelaksanaannya Di Malaysia”, dalam Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, Kuala
Lumpur : IKIM, 2005, hlm.373.
Lihat Penulisan
Ahmad Mohamed Ibrahim dalam artikel di bawah tajuk “Pelaksanaan Undang-Undang
Hudud di Malaysia”, dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur :
IKIM, 1997, hlm.481-514.
Al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr as-Suyuti. 2001. al-Asbah wa al-Nazhair fi -Qawa`ed wa
furu’ Fiqh al-Syafi’iyyah. Juz 1. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.