PENDAHULUAN
Allah S.W.T menjadikan makhluk-makhluk-Nya khususnya manusia yang mana fitrahnya suka kepada ketenangan (sakinah) dengan kehidupan suami isteri dan berkeluarga. Hidup berkeluarga ini pada dasarnya, lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.[1] Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Perkahwinan merupakan salah satu sunnah dan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengannya dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai. Al-Baihaqi R.A meriwayatkanhadis daripada Rasulullah S.A.W bermaksud :
“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”
Galakan supaya berkahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki bagi mereka. Ini diperkuatkan oleh hadis Nabi S.A.W :
من ترك التزويج مخافة العيلة فليس منا
Maksudnya : “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.” [2]
Maksudnya : “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.” [2]
TAKRIF & HUKUM WALIMAH
Dari segi bahasa : perkataan ‘al-Walimah’ berasal sari kata terbitan ‘al-Walm’ yang bermaksud berkumpul, kerana pada waktu itu suami isteri akan berkumpul. Istilah di dalam kamus, ‘al-Walimah’ bermaksud makanan acara majlis perkahwinan yang disediakan kepada para tetamu yang hadir.[3]
Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim: Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus.[4]
Hukum mengadakan walimah atau majlis perkahwinan menurut jumhur ulama’ adalah sunat mu’akkadah. Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Abdul Rahman bin Auf :
أولم ولو بشاة
Maksudnya : “Adakan walimah, sekalipun dengan hanya seekor kambing.”[5]
Manakala, hukum menghadiri walimah adalah wajib bagi orang yang diundang ke majlis tersebut. Dari Ibnu Umar, Rasulullah S.A.W bersabda :
إذا دعي أحدكم إلى وليمة ، فاليأتها
Ertinya : “Jika salah seorang kalangan kamu diundang untuk menghadiri acara walimah, hendaklah dia menghadirinya.”[6]
Ertinya : “Jika salah seorang kalangan kamu diundang untuk menghadiri acara walimah, hendaklah dia menghadirinya.”[6]
ADAB – ADAB MENGADAKAN WALIMAH
1. Walimah dilaksanakan setelah pasangan suami isteri terbentuk dan dilakukan selama tiga hari sepertimana yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.W. Diriwayatkan dari Anas R.A berkata :
بنى رسول الله صلى الله عليه وسلم بامرأة، فأرسلني فدعوت ر جالا على الطعام
Maksudnya : “Tatkala Rasulullah S.A.W menikahi seorang perempuan, beliau mengutus saya untuk mengundang orang-orang untuk makan.”[7]
Diriwayatkan dari Anas juga :
تزوج اانبي صلى الله عليه وسلم صفيةن وجعل عتقها صداقها، وجعل الوليمة ثلاثة آيام
Ertinya : “Tatkala Nabi S.A.W menikahi Shafiyyah, beliau menjadikan pembebasan dirinya sebagai mahar. Beliau mengadakan walimah selama tiga hari.”[8]
2. Hendaklah mengundang orang-orang soleh, baik mereka yang miskin mahupun kaya. Ini merujuk sabda Rasulullah S.A.W :
لا تصاحب إلا مؤمنا، ولا يأكل طعامك إلا تقي
Maksudnya : “Bersahabatlah kamu dengan orang mukmin dan usahakanlah makananmu hanya dimakan oleh orang yang bertakwa.”[9]
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...”[10]
3. Melaksanakan dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing, boleh juga lebih bilangan jika ada kelapangan rezeki. Dari Anas R.A meriwayatkan maksudnya:
“Saya tidak menyaksikan walimah yang diadakan oleh Rasulullah S.A.W ketika beliau menikahi isteri-isterinya seperti walimah ketika beliau menikahi Zainab. Beliau menyembelih seekor kambing.”[11]
Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048).
4. Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan waktu mengadakan walimah ialah apabila selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama. Ibnu as-Subki berkata:
“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”.[12]
5. Dalam memeriahkan pernikahan, boleh menabuh rebana dan menyanyikan lagu-lagu yang tidak memuji-muji kecantikan seseorang atau yang tidak mengandungi pelanggaran syariat. Dari Abu Balaj iaitu Yahya bin Salim berkata, saya pernah menikahi dua orang wanita. Tidak satu pun acara pernikahan saya yang dimeriahkan dengan menabuh rebana. Muhammad bin Yathrib menyahut, Rasulullah S.A.W pernah bersabda mafhumnya:
“Pemisah antara acara yang halal dengan yang haram adalah suara rebana”[13]
6. Majlis walimah tidaklah sewajarnya diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”[14]
Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini yang dapat penulis sebutkan adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam persandingan, menghambur-hambur harta (membazir) untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin dan seumpamanya.
Hal ini dilihat meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah. Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.”[15]
ADAB – ADAB MENGHADIRI WALIMAH
1. Mendoakan orang yang mengundang setelah selesai makan. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W :
اللهم اغفرلهم، وارحمهم، وبارك لهم فيما رزقتهم
Maksudnya : “Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka, dan berilah berkah pada makanan yang telah engkau berikan kepada mereka”[16]
2. Mendoakan kedua mempelai agar mendapat kebaikan dan keberkatan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bila memberi ucapan selamat kepada seseorang yang telah menikah beliayu berdoa :
بارك الله لك، وبارك عليك، وجمع بينكما في حير
Ertinya : “Semoga Allah member berkat kepadamu dalam kesenangan mahupun kesusahan dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”[17]
3. Tidak membezakan undangan, baik undangan itu datangnya dari orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam. Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya jika ia hanya berpuasa sunat. Ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah, tetapi jika ia berpuasa wajib seperti qadak, maka tidaklah ia boleh berbuka. Dalam sebuah hadis dari Abu Said al-Khudri tang bermaksud:
“ Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu”[18]
5. Menolak undangan jika diketahui makanan yang dihidangkan itu dari barang syubahat dan haram, ataupun dalam majlis hiburan yang diharamkan oleh syarak. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik yang halal telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadah kepada-Nya"[19]
Merujuk juga kepada hadis Nabi s.A.W mafhumnya :
“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?.Beliau menjawab:“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.”[20]
Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” [21]
6. Janganlah mengambil makanan secara berlebihan, biarlah dan janganlah makan terlalu banyak jika tidak mendapat keredhaan tetamu yang makan bersama-sama dalam satu hidangan. Wajib bersikap adil terhadap tetamu lain umpamanya jangan makan dua biji tamar atau dua biji anggur sekaligus, melainkan tetamu yang bersama mengizinkannya. Perkara ini disebutkan oleh Abdullah bin Umar R.A:
"Jangan kamu makan secara Qiran (dua biji kurma sekali suap ke mulut) kerana Nabi Sallahu Alaihi Wassalam melarang Qiran. Kemudia dia (Abdullah) berkata: Kecuali seseorang itu telah mendapat izin daripada saudaranya (yang makan bersama)"[22]
KESIMPULAN
Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni.
Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.
Ingatlah pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Oleh itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran.
Hindarilah perkara-perkara tokok tambah yang kian menjadi darah daging dalam diri masyarakat kita. Tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:
“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”[23]
Begitu juga di dalam beberapa hadis yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”[23]
Begitu juga di dalam beberapa hadis yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” [24]
[1] Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat, Kuala Lumpur:Telaga Biru, hlm. 186.
[2] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab galakan supaya berkahwin, 4779, Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud dalam kitab nikah, bab sunat berkahwin bagi mereka yang ingin berkahwin, 1400.
[3] As-sayyid Sabiq, Terjemahan Fiqh Sunnah, Jil IV, 2009. Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publication, hlm.321.
[4] Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, Jil. II, Bab Nikah, Kuala Lumpur : Pustaka Ibnu Katsir, hlm.310.
[5] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab memakai pakaian warna kuning bagi orang yang hendak berkahwin, Jil VII, hlm.27.
[6] Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab nikah, bab walimah adalah suatu hak, Jil VII, hlm.30.
[7] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (IX/189-194), al-Baihaqi (VII/260) dan lainnya.
[8] Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad Hassan sebagaimana dijelaskan dalam Kitab al-Fath(IX/199).
[9] Diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi, al-Hakim (IV/128) dan Ahmad (III/38). Al-Hakim berkata sanad hadis ini shahih.
[10] Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177.
[11] Riwayat Bukhari dalam kitab nikah, bab walimah walaupun dengan seekor kambing, no 4872.
[12] Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, Jil. II, Bab Nikah, Kaherah : Darus Sunnah, hlm.727.
[13] Diriwayatkan oleh an-Nasai (II/91), at-Tirmizi (II/170). Tirmizi berkata hadis ini Hassan.
[14] Surah an-Nuur, 21.
[15] Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani.
[16] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (XII/158/1-2).
[17] Diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dalam kitab Sunannnya (522).
[18] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari.
[19] Al-Baqarah, 172.
[20] Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf.
[21] Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi.
[22] Riwayat Al-Imam Al-Bukhari.
[23] Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097.
[24] Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607.
0 comments:
Post a Comment