PENDAHULUAN
Bagi sesuatu kesalahan jenayah, elemen-elemen
asas untuk suatu tanggungan jenayah merupakan elemen yang perlu wujud di dalam
semua jenayah. Tanpa dibuktikan salah satu daripadanya, maka tertuduh tidak
boleh didapati bersalah untuk kesalahan jenayah itu. Terdapat dua elemen dalam jenayah
iaitu actus reus dan means rea. Jika kedua-dua elemen dipenuhi, maka seseorang
itu dikatakan melakukan perbuatan jenayah. Akan tetapi, terdapat keadaan di
mana mens rea tidak perlu dibuktikan dan memadai dengan pembuktian melalui
actus reus sahaja.
Terdapat satu jenis kesalahan di mana
tanggungan atau tanggungjawab tetap dikenakan biarpun pelakunya tidak mempunyai
niat jahat sewaktu melakukan sesuatu perbuatan. Kesalahan sebegini
dikategorikan sebagai kesalahan tanggungan keras. Kesalahan-kesalahan tersebut
yang mana mens rea tidak perlu dibuktikan wujud dan memadai dengan adanya
perbuatan atau kesan perbuatan sahaja. Mengikut Osborn’s Concise Dictionary, liability
without fault iaitu sesuatu perbuatan itu dianggap satu kesalahan walaupun
mens rea tiada.
Bagi tugasan untuk subjek Undang-undang
Jenayah ini, saya diminta untuk membuat kajian kes berkenaan dengan kes Sulong
Bin Nain vs Public Prosecutor, (1947) 13 MLJ 138 di mana perayu, telah
disabitkan dengan kesalahan membawa senjata api yang bertentangan dengan
seksyen 3 (1) Arahan Awam dan Perisytiharan Keselamatan. Perayu menyatakan
bahawa semasa ditangkap, beliau berniat untuk membawa barang-barang tersebut
(bom tangan) ke balai polis. Di sini, kita akan melihat samada mahkamah akan
mengambil kira niat perayu tersebut dan samada perayu boleh menggunakan seksyen
76 dan 79 sebagai dalihan bagi kesalahan jenayah tanggungan keras ini.
FAKTA KES
Sulong bin Nain
vs. Public Prosecutor (1947) 13 MLJ 138 (CA, Malayan Union)
Kes ini adalah
berkaitan dengan rayuan perayu iaitu Sulong bin Nain terhadap kesalahan yang
disabitkan kepadanya iaitu kesalahan membawa senjata api iaitu membawa dua bom
tangan yang bertentangan dengan seksyen 3 (1) di bawah Arahan Awam dan
Pengisytiharan Keselamatan 1946. Fakta kes ini adalah semasa perayu ditangkap,
beliau sedang membawa beg, dan di dalam beg tersebut terdapat dua bom tangan
bersama dengan dua sumbu yang sempurna dengan peledak. Semasa perbicaraan,
perayu memberi keterangan bahawa semasa ditangkap, beliau membawa dua bom
tangan dengan niat untuk menyerahkannya kepada pihak polis.
Pada waktu kejadian, pergolakan sedang berlaku di Tanah Melayu dan
sedang berada di bawah pemerintahan Malayan Union. Kekacauan dan peperangan
sering berlaku pada ketika itu. Oleh itu, satu undang-undang telah diwujudkan
iaitu Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan yang mana merujuk kepada
seksyen 3 (1), sesiapa yang memiliki senjata api dikira melakukan kesalahan dan
bertanggungan keras. Perayu telah ditahan di bawah Undang-undang Darurat yang
melarang pemilikan senjata api ketika ditangkap. Beliau didapati memiliki 2 bom
tangan dan menurutnya, beliau berniat hendak membawa beg yang mempunyai bom itu
ke balai polis. Tetapi mahkamah menolak dakwaan dan beliau disabitkan.
Undang-undang Darurat ini bertujuan untuk menghalang pemilikan
senjata api secara berleluasa setelah tamat perang dan sesiapa yang
melakukannya, bertanggungjawab keras (SL).
ISU KES
- · Samada seseorang yang membawa senjata dengan niat untuk
menyerahkannya kepada pihak polis didapati bersalah
- Samada seksyen 76 dan 79 Kanun Keseksaan terpakai dan boleh
digunakan sebagai dalihan di dalam kes kesalahan jenayah tanggungan keras.
ELEMEN-ELEMEN JENAYAH dan DALIHAN AM
ELEMEN-ELEMEN
ASAS BAGI TANGGUNGAN JENAYAH
A.PENGENALAN
Elemen-elemen
asas untuk suatu tanggungan jenayah merupakan elemen yang perlu wujud di dalam
semua jenayah. Tanpa dibuktikan salah satu daripadanya, maka tertuduh tidak
boleh didapati bersalah untuk kesalahan jenayah itu. Elemen asas perbuatan
jenayah ini timbul daripada maksim actus non facitreum, nisi mens sit rea, yang
bermaksud bahawa perbuatan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan menyebabkan
dia bersalah bagi sesuatu jenayah itu, melainkan dia berniat sedemikian. Maksim
ini memperkenalkan dua konsep penting iaitu actus reus dan mens rea. Keperluan
untuk kedua-dua elemen ini wujud dalam suatu kesalahan jenayah adalah penting
kerana masyarakat hanya bersedia untuk menghukum sekiranya tertuduh itu boleh
dipertanggungjawabkan dengan perbuatan jenayah tersebut. Oleh kerana dia
bertanggungjawab terhadap kesalahan jenayah itu maka dia sepatutnya menerima
hukuman seperti mana yang ditetapkan oleh undang-undang.
(1)
Actus reus
Merujuk
kepada perbuatan tertuduh yang menyebabkan berlakunya perbuatan jenayah.
Misalnya, jika A menikam B dengan sebilah pisau yang menyebabkan B meninggal
dunia, maka actus reus dalam kesalahan jenayah ini adalah perbuatan A menikam B
.
(2)
Mens rea
Untuk
bertanggungan bagi sesuatu kesalahan jenayah, selain daripada perlu menunjukkan
adanya actus reus, tertuduh juga mesti dibuktikan sebagai mempunyai mens rea.
Mens rea bermaksud niat jahat atau a guilty mind. Tertuduh melalui perbuatannya
dengan sengaja berniat untuk melakukan kesalahan jenayah itu. Seksyen 39 Kanun
Keseksaan mentakrifkan dengan sengaja sebagai:
Seseorang adalah dikatakan menyebabkan
suatu kejadian dengan ‘dengan sengaja’
apabila ia menyebabkan kejadian itu dengan jalan yang ia telah bermaksud
hendak menyebabkannya, atau dengan jalan yang pada masa menggunakan jalan itu,
ia diketahui atau ada sebab mempercayai mungkin menyebabkan kejadian itu.
Mens
rea merupakan keperluan mental yang mesti dipenuhi dan biasanya boleh dilihat
dalam peruntukan seksyen tertentu. Keperluan mental ini mesti dipenuhi kerana
undang-undang jenayah hanya menghukum orang yang melakukan perbuatan jenayah
itu dengan niat .
Misalnya dalam seksyen 300 (a) Kanun Keseksaan yang berikut:
Kecuali dalam hal-hal
yang dikecualikan kemudian daripada ini, mematikan
orang dengan salah
ialah membunuh orang-jika perbuatan yang menyebabkan
kematian itu dilakukan
dengan niat hendak menyebabkan kematian;…………
Mens rea bagi
seksyen 300 (a) ini adalah niat untuk menyebabkan kematian. Untuk didapati
bersalah bagi kesalahan membunuh di bawah seksyen ini, tertuduh mestilah
dibuktikan mempunyai niat untuk menyebabkan kematian mangsa. Gabungan actus
reus dan mens rea akan membuktikan bahawa perbuatan tertuduh, misalnya
melepaskan tembakan ke kepala mangsa, dibuat dengan niat untuk menyebabkan
kematian mangsa.
Mens rea
bukanlah sesuatu yang boleh dilihat, mens rea disimpulkan melalui tindak tanduk
atau perlakuan tertuduh serta keadaan-keadaan sekeliling tertuduh dalam
melakukan sesuatu perbuatan jenayah. Mahkamah dalam kes Norazam bin Ibrahim
menegaskan bahawa mens rea sebagai elemen mental tidak boleh dibuktikan dengan
bukti langsung. Elemen ini hanya boleh dibuktikan melalui bukti tidak langsung
dengan merujuk kepada fakta dan situasi sesuatu kes yang sedang dipertimbangkan
oleh mahkamah. Bentuk kecederaan dan jenis senjata yang digunakan oleh tertuduh
boleh membantu mahkamah untuk menentukan sama ada tertuduh itu berniat untuk
melakukan perbuatan jenayah itu. Misalnya dalam kes Samer Klom Klom,
tertuduh menggunakan pisau dan menikam mangsa sebanyak 18 kali, menunjukkan dia
berniat untuk menyebabkan kematian mangsa berpandukan senjata dan sifat
kecederaan yang dilakukannya. Di bawah Kanun Keseksaan, elemen mens rea ini
digambarkan dengan menggunakan perkataan tertentu seperti niat, dengan niat
untuk, dengan curang, dengan cuai dan sebagainya .
Kanun Keseksaan menyediakan perkataan tertentu untuk menggambarkan keadaan
mental tertuduh. Antaranya ialah melalui niat, pengetahuan, sebab mempercayai,
gopoh, kecuaian,dengan curang, dengan tipuan dan dengan jahatnya.
Di dalam kes
ini, perayu telah didapati membawa senjata api iaitu dengan membawa 2 buah bom
tangan di dalam sebuah beg dan beliau menyatakan bahawa beliau ingin
menyerahkannya kepada pihak polis. Mahkamah tidak menerima alasan ini kerana
sebagaimana diketahui, pada waktu tersebut, sesiapa yang memiliki senjata api
adalah dikatakan melakukan sesuatu kesalahan kerana pada waktu itu, bom tangan
berada di merata-rata tempat kerana berada pada zaman darurat. Maka,
undang-undang telah mensyaratkan bahawa sesiapa yang memiliki senjata api
adalah melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam kes ini, perayu mengetahui bahawa
beliau memiliki atau membawa senjata tersebut. Oleh itu, didapati bahawa
perbuatan beliau membawa senjata tersebut telah menunjukkan bahawa beliau
memang berniat untuk membawa atau memiliki barang tersebut.
Aspek Tanggungan
Keras
Bagi tertuduh
yang disabitkan dengan satu kesalahan jenayah, dia sepatutnya dibuktikan
memenuhi kedua-dua elemen actus reus dan mens rea bagi kesalahan tersebut.
Peruntukan yang memperkatakan tentang kesalahan jenayah itu akan meletakkan
elemen mens rea ini dengan memasukkan perkataan tertentu seperti niat,
mengetahui, dengan curang, cuai, dengan jahatnya, dengan gopoh dan sebagainya.
Oleh kerana kebanyakan undang-undang kini merupakan undang-undang bertulis,
maka mahkamah biasanya dalam membuat keputusan akan cuba memberikan apakah yang
pada pendapatnya dimaksudkan oleh penggubal undang-undang bertulis itu. Jika
tiada perkataan yang berbentuk mens rea seperti berniat, dengan curangnya,
cuai, dengan jahatnya, dengan sengaja, dengan gopohnya atau pengetahuan yang
dimasukkan di dalam peruntukan itu. Maka mahkamah biasanya akan memutuskan
bahawa niat Parlimen adalah untuk tidak menjadikan elemen tersebut sebagai
elemen yang wajib dibuktikan untuk kesalahan itu. Namun pada masa yang sama,
elemen mens rea merupakan elemen asas yang wajib dipenuhi untuk membuktikan
satu kesalahan, sebelum tertuduh disabitkan. Di sinilah timbulnya isu adakah
peruntukan yang tidak meletakkan elemen mens rea sememangnya tidak berniat
untuk menjadikan elemen itu sesuatu yang perlu dibuktikan. Atau adakah elemen mens
rea itu masih perlu dibuktikan walaupun peruntukan itu membisu mengenainya.
Kesalahan tanggungan keras tidak sama
dengan kesalahan tanggungan mutlak. Kesalahan tanggungan mutlak bermaksud
tertuduh bersalah tanpa memerlukan sebarang elemen mental dan dia tidak
mempunyai sebarang dalihan, samada berasaskan common law ataupun statut.
Kesalahan ini hanya memerlukan actus reus dibuktikan untuk tertuduh disabitkan.
Sementara kesalahan tanggungan keras merupakan kesalahan di mana Mahkamah
mengetepikan elemen mental bagi mendapati tertuduh bersalah. Tertuduh mesti
melakukan perbuatan itu dengan sengaja. Perbuatan itu mestilah berlaku dalam
kawalannya. Ini dibincangkan oleh Mahkamah dalam kes Lemon di mana Mahkamah
memutuskan bahawa tertuduh didapati bersalah kerana menerbitkan karya yang
memfitnah Jesus di dalam majalah miliknya.
Mengikut mahkamah untuk didapati bersalah bagi kesalahan ini, pendakwa tidak
perlu membuktikan bahawa tertuduh berniat untuk memfitnah. Apa yang perlu
dibuktikan adalah penerbitan itu diniatkan dan karya yang diterbitkan adalah
berbentuk kekufuran .
Kes Sulong bin
Nain vs Public Prosecutor ini merupakan kes tanggungan keras yang mana sesiapa
yang melakukan kesalahan ini dikira bertanggungan dan disabitkan dengan kesalahan
tersebut tanpa perlu dibuktikan elemen mens rea atau niat pelaku itu.
Dalihan-Dalihan
Am
Bahagian ini
akan membincangkan dalihan-dalihan am yang boleh digunakan oleh tertuduh
sebagai belaan terhadap pertuduhan melakukan perbuatan jenayah yang dikemukakan
terhadapnya. Selain daripada dalihan am ini, Kanun Keseksaan turut menyediakan
dalihan spesifik yang boleh digunakan oleh tertuduh seperti yang dilihat dalam
seksyen 300 Kanun Keseksaan. Kejayaan untuk menggunakan dalihan spesifik ini
akan menyebabkan kesalahan itu tidak dikategorikan sebagai kesalahan membunuh
tetapi kesalahan mematikan orang dengan salah.
Tertuduh tidak sepatutnya didapati bersalah seandainya dia dapat
menggunakan dalihan-dalihan am yang disediakan kerana walaupun dia melakukan
perbuatan jenayah itu, tertuduh itu mempunyai dalihan mengenai perbuatan itu.
Mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950, seseorang tertuduh mempunyai beban
untuk membuktikan bahawa terdapat keadaan di dalam kesnya yang boleh
menyebabkan dalihan itu terpakai kepada kesnya .
Dalihan-daliham
am ini menunjukkan perbuatan tertuduh itu mempunyai justifikasi atau terdapat
sesuatu pada dirinya yang menjadi alasan kepada perbuatannya itu. Sedikit
perbincangan akan dibuat mengenai justifikasi dan alasan. Apabila tertuduh
dikatakan mempunyai alasan dalam melakukan sesuatu perbuatan jenayah itu,
tingkahlaku tertuduh yang menjadi perhatian. Tertuduh tidak bersalah kerana ada
sesuatu pada dirinya yang menyebabkan dia tidak boleh dipersalahkan, misalnya
jika dia tidak sempurna akal atau melakukan sesuatu dalam keadaan mabuk, atau
tertuduh merupakan seorang kanak-kanak yang belum mencapai umur tertentu
ataupun jika telah mencapai umur, belum mempunyai kematangan.
Apabila
tertuduh melakukan sesuatu perbuatan jenayah kerana adanya justifikasi, ini
bermakna perbuatan jenayah tertuduh itu diterima sebagai dibenarkan untuk dilakukan
oleh undang-undang. Misalnya A membunuh B. Fakta menunjukkan bahawa B telah
datang ke rumah A dengan sebilah pisau dan cuba menyerang A. A cuba merampas
pisau itu dan semasa pergelutan berlaku, A menikam B yang menyebabkan B mati.
Dalam keadaan ini perbuatan A membunuh B dibenarkan kerana A melakukannya
semasa cuba mempertahankan dirinya daripada serangan B. A di sini mempunyai
justifikasi untuk melakukan perbuatan
jenayah itu. Perbuatan A dibenarkan oleh undang-undang untuk mempertahankan
dirinya .
Membahagikan dalihan ini kepada justifikasi ataupun alasan turut membantu
Mahkamah dalam menentukan hukuman kerana bagi kesalahan yang dilakukan kerana
justifikasi, Mahkamah tidak perlu mengkhuatiri untuk kesalahan ini berulang
lagi. Keadaan ini berbeza dengan perbuatan jenayah yang dilakukan dengan
alasan. Kemungkinan perbuatan jenayah yang sama berulang adalah besar kerana
sesuatu yang ada pada tertuduh yang menyebabkan tertuduh melakukan perbuatan
itu. Dalam keadaan ini tertuduh mestilah diletakkan di bawah pengawasan.
Misalnya bagi seorang tertuduh yang tidak sempurna akal, dan dia berjaya
menggunakan dalihan ini, dia mesti diletakkan di tempat yang mempunyai
pengawasan, agar dia tidak mengulangi perbuatan jenayah yang sama di masa
hadapan. Namun apa yang pasti sama ada justifikasi ataupun alasan, tertuduh
tidak didapati bersalah untuk perbuatan jenayah yang telah dilakukan .
B.DALIHAN AM
(4) Silap faham
Dalihan
berbentuk silap faham di sini merujuk kepada silap faham nyataan dan bukan
undang-undang. Jika dalihan silap faham mengenai undang-undang dibenarkan, maka
amatlah sukar untuk digunakan bersama dengan maksim yang menyatakan bahawa
kejahilan undang-undang bukanlah suatu dalihan (ignorance of the law is no
excuse). Dalam kes Bailey (1800) 168 ER 657 di mana tertuduh didapati bersalah
untuk perbuatan jenayah yang telah diwujudkan oleh Parlimen semasa dia berada
di tengah lautan. Walaupun dia tidak mengetahui tentang peruntukan Akta itu dan
dia tidak mempunyai cara untuk mengetahuinya, dia masih dianggap bertanggungan.
Apakah yang dimaksudkan dengan silap faham undang-undang?Silap faham
undang-undang berlaku apabila satu pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai
fakta telah membuat kesimpulan yang salah berkaitan dengan kesan undang-undang
tersebut. Dalam kes Kaluram Nenuram AIR (1934) Sin 52 tertuduh telah ke rumah
pengadu dengan seorang pegawai mahkamah untuk menguatkuasakan waran. Pegawai
mahkamah memanggil nama pengadu tetapi tiada jawapan. Isteri pengadu berada di
dalam rumah pada masa itu. Apabila melihat orang yang tidak dikenalinya, isteri
pengadu telah menutup pintu rumahnya. Tertuduh telah menolak pintu itu sehingga
menyebabkan isteri pengadu terjatuh dan pengsan. Tertuduh didakwa mengikut
Seksyen 352 untuk kekerasan jenayah dan didapati bersalah. Mahkamah berpendapat
bahawa tertuduh bukan orang yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan waran
itu maka dia tidak berhak untuk menolak pintu sehingga mencederakan isteri
pengadu. Silap faham undang-undang ini boleh berlaku samada kerana tertuduh
menyangka bahawa undang-undang mengenai sesuatu perkara itu ada ataupun tidak,
atau silap faham berkaitan dengan subjek yang diperkatakan oleh sesuatu
undang-undang itu .
Seksyen 76 dan
79 Kanun Keseksaan merujuk kepada dalihan berdasarkan silap faham. Seksyen 76
menetapkan bahawa tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang tertuduh yang
melakukan sesuatu kerana silap faham nyataan bahawa dia terpaksa melakukannya
di sisi undang-undang. Sementara Seksyen 79 pula merujuk kepada tertuduh yang
melakukan sesuatu perbuatan jenayah kerana silap faham nyataan bahawa dia
dibenarkan untuk berbuat demikian oleh undang-undang. Di antara kedua-dua
seksyen ini, Seksyen 79 adalah lebih luas kerana dibenarkan oleh undang-undang,
boleh merangkumi terpaksa di sisi undang-undang. Ungkapan dibenarkan oleh
undang-undang merujuk kepada keadaan di mana tertuduh mempunyai sebab yang
mencukupi untuk mempercayai bahawa dia dibenarkan untuk melakukan perkara
tersebut. Dalam keadaan ini perbuatannya tidak menjadi satu kesalahan.
Apakah yang
dimaksudkan dengan silap faham nyataan? Silap faham nyataan merujuk kepada
kesilapan yang melibatkan sesuatu fakta atau nyataan. Keadaan ini mungkin
berlaku kerana tertuduh tidak mempunyai maklumat yang cukup, atau menerima
maklumat yang salah, terlupa, cuai atau mempunyai syak wasangka. Untuk
menggunakan dalihan silap faham nyataan ini, perlu dibuktikan beberapa perkara
iaitu:
(i) Keadaan mengenai perkara yang dipercayai itu, jika benar,
membenarkan perbuatan tertuduh
(ii) Silap faham itu mestilah munasabah, dan
(iii) Silap faham itu mestilah melibatkan silap faham nyataan berkaitan
dengan fakta dan bukan undang-undang
Misalnya dalam
kes Chirangi, AIR (1952) Nag 156 tertuduh membunuh anaknya kerana dia menyangka
anaknya itu adalah seekor harimau. Tertuduh menghadapi masalah bilateral
cataract di samping mengalami keadaan suhu badan yang tinggi menyebabkan dia
mengalami temporary delirium. Akibat daripada gabungan kedua-dua masalah ini,
tertuduh dengan suci hati menyangka yang dibunuhnya adalah seekor harimau dan
bukan anaknya. Dia tidak didapati bersalah kerana adanya silap faham nyataan.
Dalam kes Bonda Kui, 43 Cri LJ 787 tertuduh menyangka dia dibenarkan oleh
undang-undang untuk membunuh mangsa yang dipercayai sebagai satu makhluk yang
memakan manusia. Dia bertindak berdasarkan silap faham nyataan. Lihat pula kes
Abdullah (1954) 20 MLJ 195 tertuduh dituduh merogol dan perbincangan mengenai
Seksyen 79 berbangkit daripada dalihan yang dikemukakan oleh tertuduh bahawa
dia menyangka mangsa berumur lebih daripada enam belas tahun, sedangkan pada
hakikatnya mangsa berusia kurang daripada empat belas tahun. Sementara dalam
kes Sulong Nain (1947) MJL 138
mahkamah mendapati bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang silap faham
mengenai apakah barang yang berada dalam milikannya iaitu dua biji bom tangan
maka dalihan di bawah seksyen 79 ini tidak boleh digunakan.
Selain daripada
membuktikan silap faham nyataan, tertuduh juga perlu membuktikan bahawa
tindakan yang dilakukannya adalah dilakukan dengan suci hati. Seksyen 52
mentakrifkan suci hati sebagai melakukan atau mempercayai sesuatu dengan hemat
dan cermat. Dalam kes Mat Salleh v Sarah (1883) 3 Kyshe 167 mahkamah memutuskan
tindakan tertuduh dilindungi undang-undang kerana tertuduh dengan munasabah
mempercayai bahawa dia mempunyai hak ke atas rumah mangsa kerana dia telah
membeli rumah itu daripada Samat. Tindakan tertuduh dibuat dengan suci hati .
Di dalam kes
ini, peguam tertuduh cuba menggunakan seksyen 76 dan 79 sebagai dalihan kepada
tertuduh. Sebagaimana diketahui, seksyen 76 berkenaan dengan silap faham
nyataan. Manakala seksyen 79 berkaitan dengan silap faham undang-undang. Peguam
tertuduh membawa hujah bahawa anak guamnya telah silap fakta mengenai barang
yang dibawanya dan mahkamah mendapati bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang
silap faham mengenai apakah barang yang berada dalam milikannya dan beliau
sendiri mengetahu bahawa beliau membawa atau memiliki senjata api iaitu dua
biji bom tangan maka dalihan di bawah seksyen 76 ini tidak boleh digunakan. Seksyen
79 juga tidak terpakai di dalam kes ini tertuduh tidak mempunyai silap faham
undang-undang dan sebagaimana diketahui, semua orang dianggap sebagai
mengetahui akan sesuatu undang-undang tersebut.
ALASAN PENGHAKIMAN DAN KEPUTUSAN
Mahkamah dalam penghakimannya terhadap rayuan perayu terhadap
pensabitan bagi kesalahan membawa senjata iaitu dua bom tangan yang
bertentangan dengan Seksyen 3 (1) Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan. Fakta
yang tidak dipertikai, iaitu semasa ditangkap, perayu membawa beg, dan di
dalamnya terdapat dua bom tangan beserta dua sumbu yang lengkap dengan bahan
peledak. Perayu dalam keterangannya kepada pihak mahkamah menyatakan bahawa
semasa ditangkap beliau membawa dua bom tangan dengan niat untuk menyerahkannya
kepada pihak polis.
Hakim dalam alasan penghakimannya menyatakan bahawa perayu didapati
bersalah kerana membawa senjata. Ini kerana, pada masa tersebut, Undang-undang
Darurat melarang pemilikan senjata api dan tujuannya adalah bagi menghalang pemilikan
senjata api secara berleluasa setelah tamat perang dan sesiapa yang
melakukannya, dikira bertanggungan keras (SL).
Bagi alasan perayu yang menyatakan bahawa beliau berniat untuk
menyerahkan bom tangan tersebut kepada pihak polis, Mahkamah tidak menerima
alasan ini. Hakim dalam penghakimannya menyatakan bahawa tidak syak lagi bahawa
tertuduh membawa bom tangan tersebut ke Seremban bagi tujuan dirinya sendiri,
dan beliau tiada niat untuk menyerahkannya kepada pihak polis. Beliau juga
mengetahui bahawa barang yang beliau miliki merupakan senjata api dan dengan
ini beliau didapati bersalah.
Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan bahawa perayu didapati
bersalah kerana memliki senjata api iaitu dua bom tangan yang bertentangan
dengan seksyen 3 (1) Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan. Beliau telah
disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara bagi satu tempoh yang ditentukan.
ANALISIS
Kes ini berkaitan dengan OKT yang menghadapi
tuduhan membawa senjata api yang bertentangan dengan seksyen 3(1) di bawah
Arahan Awam dan Pengisytiharan Keselamatan 1946. Kesalahan tersebut ialah satu
larangan keras dan mutlak. Perayu dalam hujahnya mengemukakan dalihan silap
fakta di bawah Seksyen 76 Kanun
Keseksaan. Namun, mahkamah menolaknya dan menyatakan bahawa sekiranya seseorang
dengan sengaja telah membawa senjata, dengan ini tiada lagi kesilapan fakta
yang boleh diterima dalam perundangan. Oleh itu seseorang itu memang telah tahu
dia membawa senjata dan sekaligus sememangnya berniat membawa senjata itu. Oleh
itu, bagi sesuatu kesalahan jenayah yang bertanggungan keras, maka elemen mens
rea ternyata tidak diperlukan dan memadai dengan wujudnya elemen actus reus
sahaja.
Bagi dalihan am pula, perayu cuba menggunakan seksyen 76 dan 79
sebagai dalihan. Di dalam kes ini, dalihan silap faham fakta atau nyataan tidak
diterima. Ini kerana, perayu memang telah mengetahui bahawa beliau sedang
membawa senjata api ketika ditangkap. Oleh itu, tiada salah faham fakta yang
boleh dibuktikan bagi membuktikan bahawa beliau tidak mengetahu akan barang
yang sedang dibawa itu. Seksyen 79 pula tidak boleh digunakan dalam kes ini
kerana perayu sememangnya mengetahui akan kesalahan membawa atau memiliki
senjata api pada waktu itu dan mustahil beliau tidak mengetahui akan
undang-undang tersebut. Ini kerana semua orang dianggap mengetahu akan
kewujudan undang-undang.
1. Siti
Zaharah, Datin Nor Aini (2010), Undang-undang Jenayah di Malaysia, Kuala
Lumpur: MDC Publishers Sdn Bhd, hlm 13