Tuesday, December 7, 2010

Nusyuz Isteri VS Nusyuz Suami

        Assalamualaikum w.b.t buat semua pembaca blog saya...tak terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 H...semoga kedatangan tahun baru kali ini memberi sinar harapan kepada kita untuk menjadi yang lebih baik daripada tahun lepas. Semoga dengan kedatangan tahun baru ini juga menjadikan saya lebih matang untuk menghadapi segala ujian dan memikul tanggungjawab yang semakin bertambah dalam hidup saya. 

        Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi tentang Nusyuz yang juga merupakan salah satu subtopik di dalam Subjek Undang-undang Keluarga Islam. Sebenarnya, saya lebih mula tertarik untuk berkongsi tentang Undang-undang Jenayah Islam selepas berkongsi cerita dan beberapa fakta bersama seorang rakan saya Tasha yang menuntut di Fakulti Undang-undang UM yang telah mengambil subjek tersebut tapi saya pula belum berkesempatan untuk mengambilnya, takut nanti saya seronok-seronok cerita rupanya tersalah cerita, lagi bahaya... Insya Allah semester depan baru berkesempatan rasanya untuk saya  mengambil subjek itu.

        Berbalik kepada tajuk entri saya, Nusyuz selalunya dikaitkan dengan isteri. Bila timbul masalah atau isu berkenaan Nusyuz saja kebanyakan orang akan terbayang seorang isteri yang tidak mendengar kata suami...yang keluar rumah tanpa izin suami dan lain-lain yang sewaktu dengannnya. Secara faktanya, isu Nusyuz ini bukan sahaja berlaku dikalangan isteri malah banyak juga kes-kes Nusyuz dicatatkan dikalangan suami. Ingin tahu dengan lebih lanjut sila baca artikel di bawah ini..Oh, ya... Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya saudari Hanani kerana sudi menyumbangkan assignment beliau untuk dikongsikan pada entri saya kali ini. Ingatlah rumahtangga yang bahagia itu di bina di atas dasar agama. Terapkanlah nilai-nilai keagamaan di dalam diri isteri mahupun suami anda. Ikuti apa kata al-Ghazali yang menyatakan bahawa struktur asas bagi pembinaan rumah tangga bahagia hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: ‘al-sakinah’ (ketenangan), ‘al-mawaddah’ (kemesraan) dan ‘al-tarahum’ (timbang rasa). Asas-asas ini akan saya huraikan lebih lanjut pada entri saya akan datang Insya Allah.




KONSEP NUSYUZ

Perkataan nusyuz ialah bermakna menderhaka. Makna nusyuz dari segi bahasa ialah derhaka. Nusyuz dari segi istilah iaitu dari segi perhubungan di antara suami isteri ialah kebencian salah seorang dari suami atau isteri terhadap yang lain. Dalam Islam, suami diberi satu kelebihan daripada isterinya sebagaimana firman Allah yang bermaksud[1]:

‘Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka(lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di balik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatillah mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya’[2]

Dalam ayat di atas dijelaskan bahawa isteri mestillah mentaati suaminya. Apabila isteri tidak mentaati atau menderhakai suaminya, Allah s.w.t menetapkan bahawa suami boleh bertindak menasihati isterinya itu. Jika masih tidak berjaya, suami boleh memisahkan tempat tidurnya dan sekiranya isteri masih lagi nusyuz, maka suami boleh memukul isterinya dengan pukulan mengajar dan bukannya pukulan yang menyiksakan. Sekiraya isteri itu telah taat dan tidak nusyuz, Allah s.w.t melarang suami mencari-cari jalan menyusahkan isteri.[3]

Nusyuz juga membawa maksud ingkar daripada menunaikan hak suami atau derhaka kepadanya seperti isteri, yang menahan suami dari mengambil kesedapan daripadanya seperti bermasam muka apabila mengadap suami atau berbuat dalih sakit  atau datang haid (bulan) dengan berdusta atau keluar rumah tanpa izin suami. Sekiranya seorang isteri membuat sesuatu daripada yang tersebut di atas, nescaya gugurlah nafkah isteri itu, yakni suaminya tidak wajib memberinya nafkah hingga isteri kembali taat kepadanya.[4]

Mazhab Syafie: seseorang isteri hanya akan mendapat nafkahnya apabila dia bersedia untuk menyerahkan dirinya kepada suaminya. Jika si isteri membuat sesuatu yang menunjukkan keingkaran, maka gugurlah haknya untuk mendapat nafkah.(Apabila berlaku nusyuz, isteri tidak berhak mendapat nafkah)[5].

Nusyuz ialah satu perkataan yang digunakan dalam penghidupan rumahtangga atau dalam penghidupan suami isteri. Isteri-isteri yang cuba untuk melepaskan diri dari tanggungjawab dan tugas sebagai seorang isteri, mencabar kepimpinan suami, menyeleweng dari prinsip-prinsip rumahtangga dan melanggar undang-undang kekeluargaan, maka isteri-isteri seperti ini dianggap  isteri yang nusyuz. Begitu juga halnya bagi suami-suami yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang suami, bertindak di luar prinsip-prinsip rumahtangga hingga menimbulkan kebencian isteri, maka suami seperti ini juga dianggap telah berlaku nusyuz. Oleh itu, dapat difahami bahawa nusyuz ini boleh berlaku dari pihak isteri dan boleh berlaku juga dari pihak suami.

DALIL NUSYUZ MENURUT AL-QURAN DAN AL-HADITH

Terdapat dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Hadith yang membahaskan tentang nusyuz. Antaranya ialah:

(1) Dalil al-Quran.

Firman Allah s.w.t:

“ Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”[6]

Ayat ini diturunkan ketika perselisihan suami isteri iaitu anak perempuan Muhammad bin Salamah dengan suaminya Saad bin al-Rabie, salah seorang pemimpin golongan Ansar. Beliau telah menempeleng isterinya yang nusyuz, lalu isterinya telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang telah berlaku dan perbuatan suaminya itu telah meninggalkan kesan di mukanya. Rasulullah s.a.w telah berkata: ‘ Engkau balaslah dia(Qisas) dan hendaklah bersabar’ maka turunlah ayat (النسأ على قوامون الرجال ( menerangkan bahawa lelaki mempunyai kuasa kepada perempuan dan seolah-olah Allah telah menjadikan lelaki sebagai Amir atau ketua ke atas perempuan untuk menjalankan hukuman.[7]

Firman Allah Taala:

“ dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar.”[8]

Firman Allah Taala:

“ Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).”[9]

(2) Dalil Al-Hadith

Dalam hadis Shahih bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إذا دعا الرجل امرأته إلى فراشة, فلم تأت لعنتها الملائكة حتى تصبح

Maksudnya:
“ jika suami mengajak isterinya tidur, sedangkan isterinya tidak mahu melayaninya, maka dia akan dikutuk oleh malaikat sehingga ke pagi hari ”[10]

Menurut hadith ini pula,

Maksudnya:

“Daripada Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi, bahawa dia pernah bertanya kepada beliau: “ Ya Rasulullah? Apakah hak isteri seorang kami atas suaminya?”( Ertinya apakah kewajipan kami sebagai suami terhadap isteri kami?). Beliau menjawab: Jika engkau makan, dia pun hendaklah diberi makan. Jika engkau membuat pakaian, dia pun hendaklah diberi pakaian. Dan kalau memukul, janganlah mukanya dipukul dan janganlah dikatakan dia buruk(jelek).”[11]

Dari Jabir bahawa Nabi s.a.w bersabda:

ثلاثة لا يقبل الله لهم صلاة, ولا ترفع لهم إلى السمأ حسنة : العبد الآبق حتى يرجع إلى مواليه فيضع يده في أيديهم, والمرأة الساخة عليها زوجها حتى يرضى عنها,  والسكر ان حتى يصحو.                                                                 

Maksudnya:

“Tiga golongan yang tidak akan diterima Allah s.w.t solat mereka, tidak sempat ke langit kebaikannya, iaitu:
1.      Budak yang melarikan diri kecuali kembali kepada tuannya dengan meletakkan tangannya pada tangan tuannya( meminta maaf).
2.      Isteri yang mendapat kemurkaan suaminya, kecuali suaminya itu memaafkannya.
3.      Orang mabuk kecuali dia telah sedar.”[12]

ISTERI YANG NUSYUZ

Isteri-isteri yang nusyuz ialah isteri-isteri yang menderhaka suaminya, yang meninggalkan tugas dan kewajipannya sebagai seorang isteri, yang berperasaan meninggi dan melebihi dari suaminya serta berlaku curang terhadap suami dan rumahtangganya atau dengan perkataan lain, derhaka terhadap suami. [13]

Diriwayatkan dalam hadith yang bermaksud :
‘ Demi Allah jiwa Muhammad berada dalam genggamanNya! Seseorang isteri tidak menunaikan hak tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya’[14]

Seseorang isteri dikatakan nusyuz apabila dia tidak menjalankan amanah, ingkar, atau tidak mentaati suaminya. Di antara perbuatan yang boleh dianggap sebagai nusyuz ialah:

a)      Apabila isteri keluar rumah tanpa alasan yang munasabah
b)      Keluar rumah tanpa mendapat keizinan suami terlebih dahulu
c)      Isteri bermusafir tanpa kebenaran suami
d)     Isteri enggan membuka pintu rumah supaya suami boleh masuk
e)      Isteri enggan bersetubuh dengan suami
f)       Isteri bergaul dengan orang-orang yang suami tidak suka tanpa alasan yang munasabah
g)      Isteri berhias untuk orang lain, bukan untuk suaminya
h)      Isteri enggan menjaga rumahtangga suami
i)        Isteri enggan berpindah ke rumah suami
j)        Isteri enggan menghormati suami dan keluarga suami(mertua)
k)      Isteri sentiasa bermasam muka dengan suami
l)        Isteri sentiasa bercakap kasar dengan suami
m)    Isteri membuka keaiban suami dan bertindak merendah-rendahkan suami
n)      Isteri tidak beramanah dalam menjaga harta suami[15]

Kebanyakan undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia ada memperuntukan hukuman ke atas isteri yang disabitkan tidak menurut perintah suami atau nusyuz. Seksyen 130  Enekmen undang-undang Keluarga Islam ( Negeri Selangor ) 2003 telah menetapkan hukuman bagi isteri yang tidak menurut perintah suami seperti berikut :

‘ seseorang perempuan yang bersengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi oleh suaminya yang sah mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ratus ringgit atau, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi lima ratus ringgit.’[16]

Apabila isteri diisytiharkan nusyuz, maka haknya untuk mendapatkan pembiayaan nafkah dari suaminya akan hilang.

Dalam hal yang sama, suami juga dikatakan nusyuz terhadap isterinya apabila ia berlaku zalim, berkelakuan buruk, sering menyakiti hati dan memukul isterinya. Seseorang suami yang tidak menunaikan hak isterinya seperti hak giliran bermalam yang adil (bagi suami yang berpoligami), hak nafkah, perlindungan dan belaian kasih sayang yang mesra terhadap isteri adalah mengingkari perintah Allah s.w.t dan Rasulnya. Firman Allah bermaksud :

‘ Dan bergaullah kamu dengan mereka(isteri-isteri) kamu itu dengan cara yang baik. Dan kemudian jika kamu merasai benci kepada mereka(disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak(untuk kamu).’

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w telah bersabda :

‘ sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik kepada ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik di kalangan kamu kepada ahli keluargaku’[17]

TANDA-TANDA NUSYUZ ISTERI

  1. Menjawab panggilan daripada suaminya dengan perkataan yang keras yang mana dahulunya ia lemah lembut
  2. Berpaling daripada suaminya sedangkan dahulu ia memberi layanan yang baik
  3. Bermasam muka yang mana dahulunya ia bermanis muka kepada suaminya
  4. Keluar rumah tanpa izin daripada suaminya yang mana dahulunya ia minta izin
  5. Enggan menurut kehendak suaminya dalam hal berseronok-seronok dengannya [18]

Walau bagaimanapun, setiap nusyuz yang dilakukan oleh isteri tentu mempunyai sebab-sebab yang tertentu yang menyebabkan ia berlaku nusyuz, di antaranya:

        i.           1.  Sebab dari isteri sendiri

Boleh jadi si isteri merasai yang ia lebih cantik dari suaminya atau kerana kekayaannya sehingga ia yang membelanjakan hartanya untuk keperluan rumahtangga, atau boleh jadi kerana kecantikannya, atau boleh jadi kerana salah didikannya sebelum ia mendirikan rumahtangga bahkan banyak lagi sebab lain yang sengaja diadakan oleh pihak isteri.

      ii.            2. Sebab dari suami

Tidak semestinya setiap isteri yang nusyuz itu adalah disebabkan dari pihak isteri semata-mata bahkan kadangkala adalah berpunca atau disebabkan oleh suami seperti si suami memiliki sifat-sifat yang kurang sopan dalam pergaulannya, perangai yang buruk seperti bersifat bakhil atau terlampau memboroskan wang atau boleh jadi kerana suami bermata keranjang dan sebagainya yang boleh menyebabkan isteri berperasaan benci terhadapnya sehingga menderhakainya.

    iii.           3.  Pengaruh Luar

Pengaruh luar juga memainkan peranan untuk memporak perandakan keadaan rumahtangga, boleh menyebabkan salah seorang dari suami isteri berlaku nusyuz, pergaulan dengan perempuan jahat yang tidak bermaruah, perempuan-perempuan yang hanya mementingkan hawa nafsu lebih-lebih lagi yang suka masuk campur dalam urusan rumahtangga orang lain.

Kadangkala mertua juga tidak kurang hebatnya dalam usaha menghasut dan mencampuri urusan rumahtangga anaknya (tidak semua mertua) berlainan jika sekiranya mertua itu sedia memahami soal perkahwinan dan kekeluargaan.

CARA UNTUK MENGATASI

Pentadbiran dalam sesebuah rumahtangga adalah dipertanggungjawabkan kepada kaum suami sebagai ketua dalam rumahtangganya. Ketetapan ini adalah ketetapan azali yang tidak boleh diubah dan dipinda di mana diwajibkan para isteri mematuhinya selagi tidak terkeluar dari dasar kepimpinan yang sebenarnya. 

Firman Allah S.W.T :

الرجال قومون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما انتفوا من اموالهم

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kaum perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan di atas kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari harta mereka.[19]     
                                                                                             
Ketaatan isteri terhadap suami begitu diutamakan oleh Islam sehingga Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:

“Kalau aku orang yang boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, nescaya akan aku suruh si isteri supaya sujud kepada suaminya”

Berdasarkan kenyataan dia atas, maka si suamilah orang yang pertama dipertanggungjawabkan untuk mengatasi masalah dalam rumahtangganya. Suami mestilah bertindak segera berdasarkan prinsip-prinsip kepimpinan dalam rumahtangga untuk mengatasi krisis dalam dihadapinya.

CARA BERTINDAK

Al-Quran telah menggariskan cara-cara yang perlu dilakukan oleh pihak suami sebagai tindakan ke atas isteri yang melakukan nusyuz. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

والتى تخافون نشوزهن فعظوهن واهجروهن فى المضاجع واضربوهن فان أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا ان الله كان عليا كبيرا

Maksudnya: ‘Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbang berlakunya nusyuz (derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan). Kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar’.[20]

                                                                                                                    ( Surah An-Nisa’:34)
Cara-cara tersebut ialah:

1.      Nasihat
2.      Tinggalkan isteri di tempat tidur
3.      Pukul [21]

   Suami hendaklah menasihatinya supaya takut kepada Allah tentang cuai taat kepada suami dan memberitahunya bahawa nusyuz boleh menggugurkan nafkah.Jika ia enggan menerima nasihat, pulaukan tempat tidur, jangan tidur sekatil, tidur di tempat lain dalam rumah itu juga. Jika masih berdegil, maka suami berhak memukulnya, tetapi jangan sampai merosakkan badannya seperti memukul dengan siwak (kayu sugi) atau sapu tangan yang dipintal-pintal dan seumpamanya. Jika berdegil juga, maka gugurlah nafkah dan gilirannya.[22]

Pertama : Nasihat

Langkah pertama dalam bertindak ialah memberi nasihat dengan menyatakan tentang kesalahan yang dilakukannya serta akibatnya, mencari jalan penyelesaian dengan menasihatinya dengan cara yang baik, menggunakan kata-kata yang halus yang boleh melembutkan perasaan dan tidak menggunakan kata-kata kasar yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Seorang suami hendaklah menerangkan kepada isterinya tentang kewajipan yang harus dilakukan sebagai suami isteri di dalam sesebuah rumahtangga dan si suami hendaklah bersedia memaafkan kesalahan isterinya jika ia mengaku salah dan ingin kembali ke pangkal jalan.

Seorang isteri pula haruslah haruslah memahami bahawa nasihat dan teguran dari pihak suami itu adalah sebagai satu tindakan untuk kebaikan dan bukan untuk memporak perandakan lagi keadaan. Dalam suasana seperti ini, suami hendaklah menahan perasaan, sabar, bijak dan pandai memilih keadaan untuk cuba mententeramkan suasana. Boleh juga dikatakan bahawa dalam keadaan seperti ini, seorang isteri yang tersalah membuat anggapan dan penilaian, tetapi sekiranya isteri menyedari hakikat ini dan mengakui kesalahannya serta meminta maaf pada ketika itu, suami hendaklah memaafkannya. Tetapi sekiranya nasihat dan teguran yang diberikan oleh suami tidak mendatangkan apa-apa kesan malah bertambah buruk keadaan , maka pada ketika itu Islam mengharuskan bagi suami menggunakan tindakan kedua terhadap isterinya.

Kedua : Tinggalkan isteri di tempat tidur

Ulama–ulama tidak sependapat dalam mentakrifkan makna ‘tinggalkan di tempat tidur’. Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan meninggalkan di tempat tidur itu ialah tidak menyetubuhinya. Ada pula pendapat lain yang mengatakan tidur di bilik yang berasingan dan ada pula pendapat lain yang mengatakan tidak bercakap dengan isteri.

Walau bagaimanapun, terpulanglah kepada kebijaksanaan suami memilih salah satu daripada pendapat-pendapat di atas dengan tujuan memperbaiki keadaan nusyuz isterinya dan bukan untuk menzaliminya bahkan jauh sekali untuk menyiksa isteri dan seorang isteri haruslah memahami bahawa tindakan suami ini adalah bertujuan untuk kebaikan dan bukan satu tindakan ganas dan juga bertujuan supaya isteri yang nusyuz itu kembali ke pangkal jalan.

Walau bagaimanapun, adalah salah bagi suami bertindak meninggalkan isterinya dari rumah atau isteri lari meninggalkan rumah suami jika suaminya bertindak sedemikian.[23]

Isteri harus memahami bahawa selagi ikatan perkahwinan masih terjalin atau dengan erti kata lain masih lagi sebagai suami isteri, maka isteri tidak dibenarkan meninggalkan rumah setiap kali berlaku nusyuz atau setiap kali suami cuba untuk bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam.

Suami hendaklah bertindak menggunakan tindakan kedua ini setelah ternyata bahawa isterinya itu nusyuz dan setelah tindakan pertama iaitu nasihat tidak mendatangkan apa-apa kesan. Dan suami juga dikehendaki supaya memberhentikan tindakannya setelah isterinya kembali ke pangkal jalan dan mengakui kesalahannya serta kembali mentaatinya.

 Firman Allah SWT:

فان أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا

Maksudnya : ‘Maka, jika sekiranya isteri-isteri kamu yang nusyuz itu telah mentaati kamu, janganlah kamu mencari jalan lagi untuk menyusahkan mereka’.[24]

Tempoh yang diharuskan oleh syarak bagi suami meneruskan tindakan ini ialah selama sebulan (30 hari) selama mana isteri masih lagi dalam keadaan nusyuz. Ini dikiaskan kepada apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W iaitu baginda tidak menggauli isterinya Sayidah Safiah selama sebulan disebabkan beliau membocorkan sedikit rahsia rumahtangganya kepada Saidatina Aisyah.

Ketiga : Pukul

Jika isteri masih lagi tidak mendengar nasihat atau masih tidak berubah setelah dipulaukan di tempat tidur, maka pada ketika ini syariat mengahruskan bagi suami menggunakan tindakan yang berikutnya iaitu pukul. Ini adalah bertujuan untuk menyedarkan dan memberi pengajaran  kepada para isteri tentang perkara nusyuz yang telah dilakukannya, supaya ia kembali ke pangkal jalan. Pukulan yang dimaksudkan di sini bukanlah bererti suami berhak memukul isteri yang nusyuz mengikut kehendak dan kemahuannya yang tersendiri, tetapi telah ditentukan garis panduan yang perlu diikuti sebelum melaksanakan tindakan tersebut.

Cara memukul :

Setelah ternyata bahawa isteri telah berlaku nusyuz yang mana berpunca daripada isteri itu sendiri, dan segala tindakan sebelumnya iaitu iaitu nasihat dan pulau tidak memberi apa-apa kesan, dan suami masih lagi berkeinginan untuk meneruskan hidup bersama isterinya, maka gunakan tindakan yang ketiga iaitu pukul.

Syarak telah menentukan cara memukul iaitu pukulan yang tidak sekali-kali mencederakan dan tidak pula mencacatkan serta tidak melukakan dan tidak memberi kesan dan bekas akibat dari pukulan itu dan seboleh-bolehnya hendaklah menghindarkan muka dari menjadi sasaran pukulan kerana muka adalah nilai kecantikan seseorang.[25]

Ulama-ulama fiqh juga menerangkan bahawa suami hendaklah menahan perasaan dan jangan mengikut hati ketika memukul kerana tindakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk memperbaiki bukan untuk menyiksa atau membalas dendam, jauh sekali untuk melepaskan geram. Ulama fiqh juga menegaskan tidak seharusnya bagi suami memukul isterinya dengan menggunakan tongkat atau rotan atau dengan sesuatu yang boleh mencederakan, akan tetapi hendaklah dengan sesuatu yang lembut, yang tidak mendatangkan kesan seperti tuala yang diikat di hujungnya.

Dalam pada itu suami harus mengetahui bahawa sebenarnya Islam tidak begitu menggalakkan suami memukul isterinya walaupun dengan apa cara sekalipun, lebih-lebih lagi memukul isteri yang tidak berlaku nusyuz. Oleh sebab itulah Allah S.W.T mendahulukan dua cara yang lain yang lebih selamat iaitu nasihat dan pulau (meninggalkan isteri di tempat tidur) dengan harapan agar keadaan rumah tangga kembali tenang.
Setelah isteri kembali ke pangkal jalan atau kembali mentaati suami, maka janganlah suami mencari jalan lain lagi untuk menyusahkan mereka serta segera menghentikan tindakan ini. 

Firman Allah S.W.T:

فان أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا

Maksudnya: ‘Maka jika sekiranya isteri-isteri kamu kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari helah lagi untuk menyusahkan mereka’.[26]

Bahkan Islam juga menghendaki supaya suami kembali menggauli isterinya yang telah kembali ke pangkal jalan dengan pergaulan yang baik.

SUAMI YANG NUSYUZ

Walaupun nusyuz seringkali dilakukan oleh isteri, terdapat juga dalam kalangan suami yang melakukan nusyuz. Suami yang nusyuz ialah suami yang bertindak di luar garis panduan yang ditetapkan oleh syarak, bersikap dingin terhadap isteri, berlaku curang atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai kerukunan rumahtangga yang tidak disukai oleh isteri. [27]

TANDA-TANDA NUSYUZ SUAMI

  1. Tidak memberi nafkah kepada isterinya dan kewajipan yang lain
  2. Menyuruh melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak syarak
  3. Tidak memberi giliran jika isterinya dua tiga
  4. Tidak membayar mahar kepada isterinya yang telah ditentukan
  5. Memukul dengan pukulan yang dilarang, pukul kuat di muka dan mencederakan
  6. Mencegah dari melakukan perkara-perkara yang wajib seperti solat[28]

CARA UNTUK MENGATASI

Firman Allah S.W.T :

وان امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلها بينهما صلحا والصلح خير وأحضرت الأنفس الشح وان تحسنوا وتتقوا فان الله كان بما تعملون خبيرا

Maksudnya: ‘Dan jika seseorang perempuan bimbang dari suaminya akan nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian di antara mereka berdua, kerana perdamaian itu adalah lebih baik dari perceraian, sedangkan sifat bakhil itu (tidak suka bertolak ansur) memang tabiat semulajadi yang ada pada manusia dan jika kamu berlaku baik, takut untuk melakukan kezaliman maka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan’.[29]

Tindakan yang harus dilakukan isteri terhadap suami yang nusyuz ialah diharuskan bagi isteri jika suaminya nusyuz serta tidak menunaikan kewajipan untuk bertindak iaitu menghadapkan perkara tersebut kepada qadi,(hakim nikah) dan sesorang isteri tidak boleh bertindak dengn sendirinya seperti memaki suaminya atau menegur secara tidak sopan. Setelah itu, qadi hendaklah memanggil suami tersebut untuk memastikan adakah benar ia nusyuz sepertimana yang didakwa oleh isterinya. Dan jika sabit suaminya itu nusyuz, maka hendaklah tuan qadi bertindak seperti berikut :


Memerintahkan supaya suaminya itu menyempurnakan kewajipannya seperti memberi nafkah dan memberi giliran tanpa menjatuhkan apa-apa hukuman pada kali pertama. Jika suami mengulangi perbuatan itu, maka bolehlah tuan kadi menghukum suami itu mengikut budi bicaranya yang munasabah seperti ta’zir (denda).[30]

Tetapi isteri juga boleh menebus dirinya dengan memberikan sesuatu agar dapat menghindar dari nusyuznya suami atas dirinya. Isteri harus berusaha mencari kebaikan bagi suami iaitu berhias untuk menyenangkan suaminya dengan mempercantikkan dirinya agar suami tertarik bila memandangnya, mempesonakan suami sehingga suami bertambah sayang padanya.

Ibn Abbas berkata: Sungguh saya berhias untuk isteriku sebagaimana saya akan berasa senang bila isteriku bersolek untukku atau memperelok dirinya.[31]



AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984

BAHAGIAN VI (NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN) 

Seksyen 59
Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz. Tertakluk kepada Hukum Syara’, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.  Tertakluk kepada Hukum Syara’ dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain :

a)  Apabila dia menjauhkan diri dari suaminya
b)  Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya
c)   Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara’.
d) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz[34]

Seksyen 65
Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian

1)   Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz
2)  Hak isteri yang diceraikan untuk menerima pemberian daripada bekas suaminya di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri itu[35]

Seksyen 129
Isteri tidak menurut perintah.
Seseorang perempuan yang bersengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi oleh suaminya yang sah mengikut Hukum Syara’ adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ratus ringgit atau, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi lima ratus ringgit[36]

Arahan Amalan No. 11 Tahun 2001

Kes Nusyuz

Kes ini hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat berasingan. Mana-mana kes Nusyuz yang telah diputuskan sebelum daripada permohonan cerai, tidak boleh dibuka semula dalam kes permohonan cerai tersebut. Arahan ini adalah berkuatkuasa serta merta.

Arahan bil. 1 Tahun 2000 [058 – Tuntutan Sabitan Nusyuz].
Diguna pakai di semua negeri
Arahan amalan ini bermaksud tuntutan pengesahan nusyuz tidak boleh difailkan bersendirian kecuali mempunyai kes induk. (Contohnya: perceraian seksyen 47)

Biasanya ada suami yang memfailkan permohonan kembali taat. Terdapat pilihan jika isteri gagal mentaati suami, diisytihar dan diperintah sebagai nusyuz[37]

 Nusyuz tiada ditafsirkan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam. Suatu yang timbul dalam kes tuntutan nafkah atau nafkah iddah. Tidak banyak diketengahkan oleh suami. Tidak banyak kes nusyuz diterima dilaporkan.

Piah v Che Lah (1983) 3 JH 220: Defendan menggunakan pembelaan nusyuz terhadap plaintif, bahawa plaintif telah lari meninggalkan rumah dengan tanpa izinnya dan tiada sebab munasabah. Tuntutan asal plaintif nafkah eddah ditolak.

Jaliah v Abu Bakar (1987) 7 JH 72: Dalam tuntutan eddah, hakim yakin isteri tidak nusyuz dan dapat nafkah eddah.

Perintah nusyuz hanya menggugurkan hak nafkah harian bagi isteri dan nafkah eddah bagi isteri yang dicerikan. Tidak kepada perkara-perkara lain (mutaah, nafkah kebelakangan yang tidak termasuk dalam kuatkuasa perintah, tunggakan nafkah anak, harta sepencarian dan sebagainya). Kebanyakan kes berlaku adalah perintah nusyuz setelah berlaku perceraian dan wujudnya kes tuntutan berbangkit.

Terdapat juga kes yang mahkamah kaitkan perintah nusyuz dengan hak mutaah. Contohnya kes Tengku Anum Zahrah v Dato’ Dr Hussein (1980) 3 JH 125. Mahkamah mendapati defendan gagal mengemukakan apa-apa perintah berkaitan plaintif pernah diisytiharkan nusyuz.[38]

PROSEDUR PERMOHONAN KES NUSYUZ

Sebelum perbicaraan diadakan, terlebih dahulu seorang suami yang ingin membuat tuntutan nusyuz terhadap isterinya mestilah membuat permohonan kepada kadi bahawa isterinya telah nusyuz. Oleh itu, seorang suami mestilah tahu apakah peruntukan yang digunakan untuk permohonannya samada s.48(2) mengenai kuasa mahkamah memerintahkan nusyuz dan natijah nusyuz ataupun s.103 yang menyentuh tentang keingkaran isteri. Jika di dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pula berdasarkan s.59 dan s.129 dengan pengertian yang sama iaitu berkaitan dengan nusyuz. Apabila terbukti bahawa isteri itu nusyuz, maka kes tersebut akan dibawa kepada peguam syar’ie. Sejurus itu, permohonan akan difailkan di mahkamah.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan isteri membangkitkan sebarang kes apabila suaminya membuat permohonan bahawa isterinya nusyuz. Isu membangkitkan kes di sini ialah untuk mengelakkan isterinya menuntut nafkah kerana dengan mensabitkan isterinya nusyuz maka suami tidak lagi bertanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya.

Lazimnya, dalam membuat permohonan nusyuz, saman akan dihantar kepada pihak yang kena tuntut(isteri). Sejurus selesai sahaja proses tuntutan permohonan, suami dikehendaki membuat permbayaran bagi kes yang difailkan itu dan perbicaraan akan dijalankan.[39]



[1] Dr Haji Mohd Radzuan Ibrahim, Munakahat:Undang-undang & Prosedur, Perpustakaan Universiti Malaya, halaman 64.
[2] Surah An-Nisa’:34
[3] Dr Haji Mohd Radzuan Ibrahim , Opcit, h
[4] Haji Mohd Sanusi B Haji Mahmood.(1978) Undang-undang Keluarga Dalam Islam.kelantan:Syarikat Dian Sdn.Bhd.hh 48-49
[5] Prof Madya Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid,Raihanah Hj Azhari. (1989).Undang-undang Keluarga Islam, Konsep dan Pelaksanaannya di Malaysia.Kuala Lumpur:Karya Abazie.hal. 175
[6] Surah An-Nisa’:34
[7] Al-Fakr al-Razi, al-Tafsir al-Kabir Li al-Imam al-Fakhr al-Razi, (1983), juz 10, cet.1, Mesir, hal.90, dalam thesis Suhaida Binti Ismail, Kajian Kes Nusyuz Di Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan, hh 13-14.
[8] Surah An-Nisa’:34
[9] Surah An-Nisa’:128
[10] Hadith riwayat al-Syaukani
[11] Hadith riwayat Abu Daud
[12] Hadith riwayat al-Baihaqi
[13] Ustaz Abu Hassan Din Al Hafiz. (1984).Koleksi Persidangan Perkahwinan Dan Kekeluargaan Dalam Islam. hlm.91-92. Kuala Lumpur. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
[14] Riwayat Ahmad, 4/381; Ibn Majah dalam kitab nikah, bab hak suami terhadap isterinya, nombor 1853 dalam buku, Dr Haji Mohd Radzuan Ibrahim(2006), Munakahat:Undang-undang&Prosedur, Perpustakaan Universiti Malaya, hal.66
[15] Dr Haji Mohd Radzuan Ibrahim(2006), Munakahat:Undang-undang&Prosedur, Perpustakaan Universiti Malaya, hh.66-67
[16] Seksyen 130 Enekmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
[17] Dr Haji Mohd Radzuan Ibrahim(2006), opcit, hal 68
[18] Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.(1995).Panduan Lengkap Bakal Pengantin dan Keluarga Bahagia.Selangor:Pustaka Ilmi.hh 176-177
[19] Suran An-nisa’:34
[20] Surah An-Nisa’:34)
[21] Ustaz Abu Hassan Din Al Hafiz. (1984).Koleksi Persidangan Perkahwinan Dan Kekeluargaan Dalam Islam. hlm. 97. Kuala Lumpur. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
[22] Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.(1995).Panduan Lengkap Bakal Pengantin dan Keluarga Bahagia.Selangor:Pustaka Ilmi.hal 178
[23] Ustaz Abu Hassan Din Al Hafiz. (1984).Koleksi Persidangan Perkahwinan Dan Kekeluargaan Dalam Islam.hlm. 98-99. Kuala Lumpur:  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

[24] Surah An-Nisa’:34
[25] Ustaz Abu Hassan Din Al Hafiz. (1984).Koleksi Persidangan Perkahwinan Dan Kekeluargaan Dalam Islam.hlm. 99-101. Kuala Lumpur:  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
[26] Surah An-Nisa’:34
[27] Ustaz Abu Hassan Din Al Hafiz. (1984).Koleksi Persidangan Perkahwinan Dan Kekeluargaan Dalam Islam.hlm. 102-103,107. Kuala Lumpur:  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
[28] Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.(1995). Panduan Lengkap Bakal Pengantin dan Keluarga Bahagia.Selangor:Pustaka Ilmi.hal. 179
[29] Surah An-Nisa’:128
[30] Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.(1995), opcit, hh.180-181
[31] Muhamad Al Mansur(1998), Hukum Hakam Perkahwinan.Johor,  Perniagaan Jahabersa.hal.250
[32] ibid.hal 194
[33] Muhamad Al Mansur(1998), Hukum Hakam Perkahwinan.Johor,  Perniagaan Jahabersa.hal.195
[34] Abd Jalil Borham. Ahkam Syar’iyyah Johor,  Kod undang-undang Keluarga Islam Kerajaan Negeri Johor 1935. Johor:Universiti Teknologi Malaysia (2002). hh 119-120
[35] Ibid, h.120

[36] Abd Jalil Borham. Ahkam Syar’iyyah Johor,  Kod undang-undang Keluarga Islam Kerajaan Negeri Johor 1935. Johor:Universiti Teknologi Malaysia (2002). hh 120-121
[37] Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, s. 59
[38] Ibid, s.65
[39] Ibid, s 129


3 comments:

Missed Hanani said...

wow..gempak ah..:)
congrate..

KUSAI said...

salam...saye juga mrupkn student yg mngambil course syariah dengn undang2...inilah kali pertama saya melihat blog yg berbentuk undang2 ditulis oleh student undang2...BTW tahniah saya ucapkan...teruskan usaha

Anonymous said...

tahniah saya ucapkan tetapi perlu di ingatkan bahawa nusyuz membawa erti lain jadi jangan kita samakan dia dengan nusyuz suami. saya berkata demikian kerana kita perlu melakukan kajian yg mendalam sebelum kita membuat interpritasi yang menyeleweng. letak kan hak pada hak. jagan di salah ertikan pula pendapat saya dengan mengatakan bahawa saya berat sebelah kerana saya adalah seorang lelaki. undang undang adalah jelas kalau putih katakan putih dan hitam katakan hitam.tiada kelabu.insyaallah saya akan cubamenjalankan kajian saya dan kita kongsi bersama.

Post a Comment