Saturday, March 19, 2011

Kes Undang-undang Keluarga Islam : Analisis Kes Tuntutan Nafkah & Pembubaran Perkahwinan


(1) Kes : RASNAH BINTI ARIFFIN LAWAN SHAFRI BIN KHALID (DISEMBER 2003)

Lokasi : Mahkamah Rendah Syariah Butterworth, Pulau Pinang
Hakim : Tuan Hakim Othman bin Ibrahim
Tarikh : 12 Disember 2000
No Kes Mal : 03-125/2000


PIHAK-PIHAK

Pihak-pihak di dalam kes ini terdiri daripada plaintif (Rasnah binti Ariffin) iaitu isteri kepada defendan yang telah membuat tuntutan fasakh, nafkah diri, nafkah anah dan hadhanah (hak penjagaan anak) terhadap defendan (Shafri bin Khalid) sebagai suami kepada plaintif. Di dalam tuntutan ini, Peguam Syarie (Encik Rosdee bin Abd Razak) telah mewakili plaintif dan defendan tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

FAKTA KES
  1. Di dalam kes ini, plaintif telah membuat permohonan kepada Mahkamah untuk mengeluarkan perintah memfasakhkan nikah, tuntutan nafkah diri yang tertunggak, hadhanah dua orang anak beserta nafkah anak-anak.
  2. Plaintif di dalam kes ini telah tidak berseketiduran bersama defendan semenjak 1998.
  3. Defendan juga, telah tidak memberi nafkah semenjak tarikh tersebut.
  4. Saksi-saksi, iaitu anak-anak kepada plaintif dan defendan menyatakan defendan memang tinggal berasingan dengan plaintif dalam bilik yang berasingan.
  5. Selain itu, saksi-saksi juga menyatakan bahawa defendan makan di dalam bilik yang disediakan sendiri oleh defendan.
  6. Anak-anak juga menyatakan, defendan tidak pernah dilihat memberi wang kepada ibu  (plaintif) mereka, bahkan semua keperluan rumahtangga ditanggung oleh ibu (plaintif) mereka.


PENGHAKIMAN

Nafkah Isteri
  1. Plaintif telah mengemukakan keterangan secara bersumpah di hadapan Mahkamah dan saksi-saksi anaknya sendiri semasa memberi keterangan di Mahkamah.
  2. Saksi-saksi iaitu anaknya, merupakan bayyinah kepada Mahkamah kerana keadaaan mereka tidak boleh memberi shahadah menurut Hukum Syarak terhadap ibu bapa mereka.
  3. Berdasarkan keterangan plaintif yang telah disokong oleh saksi-saksi, di dalam Hukum Syarak, suami isteri mestilah bergaul secara makruf iaitu diantaranya berseketiduran bersama dan bantu membantu dalam urusan rumahtangga, bukan tidur secara berasingan seperti di dalam kes ini.
  4. Diantara hak isteri ke atas suami yang wajib ditunaikan menggunakan hak-hak isteri dengan adil dan ikhlas antaranya berseketiduran bersamanya, jika isteri berbilang, maka berhak mendapat giliran yang adil, tidur dan nafkah serta pemberian yang lain.
  5. Perbuatan meninggal isteri dan tidur di bilik yang berasingan bercanggah dengan Hukum Syarak dan isteri itu akan terasa dia diasingkan tempat tidur melainkan beliau dibuktikan nusyuz yang layak dipisahkan tempat tidur sebagai pengajaran terhadap perbuatan nusyuz itu.
  6. Memalingkan muka di atas katil boleh dianggap darar terhadap isteri, apatah lagi tidur di bilik berasingan dalam jangka masa yang lama. Jelas menunjukkan, perbuatan defendan tinggal di bilik lain membuatkan isteri itu menderita batinnya kerana beliau tidak mendapat belaian dan seorang suami itu wajib menunaikan haknya.
  7. Merujuk segala keterangan plaintif, jelas bahawa defendan telah tidak berseketiduran semenjak tahun 1998 lagi dan hampir dua tahun mereka tinggal di bilik yang berasingan beserta nafkah yang tidak diberikan sejak tarikh itu, hanya plaintif yang membelanjakan wangnya sendiri.
  8. Dengan itu, Mahkamah telah meluluskan fasakh dibuat kerana nafkah yang telah tidak diberikan dan tuntutan mengenai nafkah plaintif yang tertunggak mulai Januari 1998.


Hadhanah Dua Orang Anak
  1. Plaintif adalah layak menjaga dua orang ini kerana beliau masih layak dan tidak ada keterangan yang dibawa menunujukkan plaintif hilang kelayakan itu.
  2. Plaintif juga masih mempunyai kelayakan yang sesuai berpandukan Hukum Syarak, maka Mahkamah berpendapat bahawa plaintif layak menjadi hadhanah kepada dua orang anak yang dipohon itu.


Nafkah Anak
  1. Hukum Syarak telah menjelaskan bahawa bapa itu bertanggungjawab memberi nafkah terhadap anaknya.
  2. Dengan pendapatan tetap defendan, sudah tentu nafkah itu mampu pada pandangan dirinya dan Mahkamah bersetuju dalam keadaan biasa, defendan masih boleh menanggung anak-anaknya.


ANALISIS PENGHAKIMAN

Nafkah ialah penunaian belanja daripada harta seseorang untuk sesuatu yang baik, atau untuk dirinya dan untuk orang-orang yang di bawah tanggungannya seperti isteri atau anaknya. (An-Nawawi: Raudah At-Talibin 6/449 & Al-Mawardi: An-Nafakat 29). Kewajipan nafkah itu telah ditentukan oleh Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

"Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya". (al-Baqarah: 233)

Berdasarkan penghakiman yang telah diputuskan dengan meluluskan tuntutan fasakh dibuat dan tuntutan nafkah diri daripada pihak plaintif adalah bertepatan sama sekali. Ini kerana, plaintif telah diabaikan nafkahnya secara zahir dan batin apabila defendan telah tidak berseketiduran  semenjak tahun 1998 dan tidak memberikan nafkah sejak tarikh tersebut. Hal ini apabila diantara hak seorang isteri ialah berseketiduran bersama suami isteri dan sekiranya suami tidak berbuat demikian, bermakna suami tidak memberi haknya itu sebagai isteri. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“bersabarlah kamu dengan perempuan dengan melakukan keadilan kerana ke atas mereka itu hak yang wajib kamu tunaikan”. (Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Begitu juga jika dilihat di dalam buku Undang-Undang Keluarga Islam karangan Haji Muhamad Sanusi, terdapat penjelasan mengenai seorang suami wajib bersama isteri dalam apa keadaan sekali pun. Perbuatan seperti ini juga adalah darar kepada isteri, yang mana darar kepada isteri tidaklah dimaksudkan penganiayaan atau darar terhadap tubuh badan sahaja, bahkan ianya adalah lebih luas daripada itu. Ianya termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan diri atau memalingkan muka semasa di katil, memukul dengan pukulan yang menyakitkan seperti yang dirujuk Dr. Mohamad Khushairi di dalam kitab al-Ahwal al-Syakhsiah.

 Keadaan ini juga boleh dilihat, apabila Saiyidina Umar al-Khattab sendiri pernah memutuskan bala tentera balik selepas enam bulan berperang supaya suami mereka menunaikan hak tehadap isteri iaitu nafkah batin, tidak boleh lebih dari enam bulan. Ini berdasarkan keluhan seorang wanita yang beriman dan Umar telah membuat keputusan tersebut setelah beliau mendapatkan penjelasan daripada anaknya, Habsah.

 Umum mengetahui, nafkah adalah satu kewajipan suami terhadap isteri dan di dalam kes ini, plaintif telah tidak menerima sebarang nafkah daripada defendan sebagai suami setelah tidak berseketiduran semenjak 1998. Segala keperluan rumahtangga telah ditanggung oleh plaintif dengan membelanjakan wangnya sendiri. Oleh hal yang demikian, merujuk kepada Hukum Syarak diantaranya di dalam kitab Kifayatul al-Akhyar ada menyebut “jikalau suami tidak berkemampuan untuk memberi belanja isteri, maka isteri boleh memohon fasakh nikah, begitu juga kalau suami tidak berkemampuan membayar mahar sebelum dukhul”. Begitu juga dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Darulqutni pernah ditanya tentang orang yang tidak mampu memberi belanja terhadap isteri, maka sabda Rasulullah saw, pisahkan mereka. Said Ibnu Musaiyib sendiri juga pernah ditanya tentang hukum menceraikan isteri apabila suami uzur memberi nafkah antara mereka, beliau menyatakan hukumnya sunnah dan itulah juga pendapat daripada Imam al-Shafie.

Dengan ini jelas sekali menunjukkan sebagai ketua keluarga, nafkah tetap menjadi kewajipan seorang suami. Rasulullah saw membenci umatnya yang bersikap tidak bertanggungjawab terutama kepada pasangan yang telah melahirkan zuriatnya. Hal ini termasuklah, suami yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan hanya mengharapkan isteri yang menyara kehidupan rumahtangga. Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang suami perlulah mewujudkan suasana yang harmoni dan aman damai di dalam rumahtangga untuk mengelakkan masalah penganiayaan dan ketidakadilan. Sepertimana sabda Rasulullah saw:

“sebaik-baik diantara kamu, ialah yang paling baik dengan keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu dalam melayan keluargaku”. (Imam Tirmizi).


(2) Kes : SALINA BINTI MOHD DAHLAN LAWAN MOHD SALLEH BIN HAJI HARON (JULAI 2000)

Lokasi : Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang
Hakim : Y.A. Tuan Haji Abd Rahman Bin Haji Yunus
Tarikh : 10 Julai 2000
No Kes Mal : 80/99

PIHAK-PIHAK

Pihak-pihak di dalam kes ini terdiri daripada plaintif (Salina binti Mohd Dahlan) iaitu isteri kepada defendan yang telah membuat permohonan penceraian secara fasakh dan tuntutan nafkah diri yang tertunggak terhadap defendan (Mohd Salleh Bin Haji Haron) sebagai suami kepada plaintif. Di dalam kes ini, plaintif dan defendan tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Plaintif juga telah mengemukakan tiga orang saksi untuk memberi keterangan bagi pihaknya iaitu Mohd Faizal Abd Rahman, Mohd Dahlan Idris (bapa plaintif) dan Rizal Osman manakala pihak defenden tidak membawa sebarang saksi bagi pihaknya.

FAKTA KES
  1. Di dalam kes ini, plaintif telah membuat permohonan penceraian secara fasakh terhadap defenden kepada Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan, Pahang serta permohonan tuntutan tunggakan nafkah sebanyak RM5000.00.
  2. Plaintif telah berkahwin dengan defenden pada 1 Jun 1997 dan semasa berkahwin plaintif adalah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu 3 ½ Jalan Cheras, Kuala Lumpur manakala defenden pula bertugas sebagai seorang polis di Kuantan, Pahang.
  3. Pada 1 Mac 1998 plaintif dapat bertukar tempat kerjanya ke Sekolah Kebangsaan Batu 8, Jalan Gambang, Kuantan dan tinggal bersama-sama defenden di sebuah rumah di Taman Raya 2, Kuantan yang turut dihuni oleh orang-orang bujang yang merupakan kawan kepada defenden.
  4. 5 Jun 1998, plaintif telah membuat aduan ke Pejabat Agama islam Daerah (PAID) Kuantan.
  5. Pada tarikh 16 Jun 1998 plaintif telah keluar dari rumah bujang itu dan berpindah ke Taman Tas, Kuantan tetapi defenden tidak ikut sama berpindah.
  6. Plaintif telah membuat permohonan untuk bercerai pada 22 ogos 1998 di bawah seksyen 47 EUKIP 3/1987 tetapi defenden enggan untuk bercerai. Kemudian, Mahkamah Rendah Syariah telah melantik Ahli Jawatankuasa Pendamai tetapi tidak berjaya.
  7. Pada 1 Mac 1999, PAID berpendapat mereka patut bercerai tetapi tiada laporan lengkap diberikan oleh PAID Kuantan kepada Mahkamah.
  8. Perlantikan hakam berlaku pada 14 Mei 1999, akan tetapi kehadiran hakam di Mahkamah Rendah Syariah hanyalah hakam plaintif. Hakam plaintif menyatakan mereka patut berpisah dan hakam defenden pula menarik diri. Selepas itu, Mahkamah Rendah Syariah memerlukan hakam baru tetapi tidak diteruskan.
  9. Pada bulan Julai 1999, plaintif telah memfailkan kes di Mahkamah untuk penceraian secara fasakh di bawah seksyen 52 EUKIP 3/1987 kerana defenden tidak memberikan nafkah zahir dan batin selama lebih setahun dan plaintif merana (darar) dengan sikap defenden yang mana plaintif mendakwa beliau menyara dirinya sendiri setelah berpindah ke kuantan dan plaintif juga mendakwa defenden adalah seorang homoseks.
  10. Defenden pula mendakwa beliau tidak selesa menyetubuhi plaintif dengan alasan bahawa plaintif telah tiada dara dan menganggap plaintif telah dizinai oleh orang lain.


PENGHAKIMAN

Tuntutan Fasakh & Nafkah Isteri
  1. Hakim telah memutuskan bahawa sah pembubaran perkahwinan Salina Binti Mohd Dahlan dengan Mohd Salleh Bin Haji Haron secara fasakh dan dikira sebagai talak satu bain sughra yang tidak boleh dirujuk.
  2. Antara alasan penghakiman ialah :
  3. Wujudnya darar di pihak isteri oleh perlakuan suami yang meletakkan isterinya bersama di dalam sebuah rumah dengan orang-orang bujang selama isteri berpindah ke Kuantan dari 1 Mac 1998 sehingga 16 Jun 1998 sebelum isterinya berpindah keluar.
  4. Wujudnya darar di pihak isteri oleh perlakuan suami yang tidak memberi nafkah zahir dan batin yang mencukupi selama mereka berkahwin.
  5. Wujudnya darar di pihak isteri oleh perlakuan suami yang tidak menyediakan rumah untuk pergaulan suami dan isteri selama mereka berkahwin sedangkan suami berkemampuan melakukannya.
  6. Defenden juga dengan sengaja tidak mencari jalan penyelesaian sebagai usaha untuk memulihkan hubungan suami isteri.
  7. Defenden hendaklah melepaskan plaintif dengan cara yang baik iaitu jangan menuduhnya tiada dara tetapi masih memegangnya dan tiada dalam keterangan defenden yang menunjukkan plaintif sebagai perempuan liar.
  8. Mengenai keterangan plaintif yang menyatakan defenden seorang homoseks tidak dapat dibuktikan melalui saksi-saksi yang adil dan tiada bukti yang kukuh.
  9. Nafkah eddah dan tunggakan nafkah ditolak oleh Mahkamah.


ANALISIS PENGHAKIMAN

Berdasarkan kes ini, plaintif telah memfailkan permohonan untuk memfasakhkan nikahnya di bawah seksyen 52 EUKIP 3/1987 yang memperuntukkan bahawa :

“ Seorang perempuan yang berkahwin menurut Hukum Syarak adalah berhak mendapat satu perintah untuk membubarkan perkahwinannya atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan berikut :
e) atau apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh menurut Hukum Syarak.”

            Alasan (e) di atas membawa maksud lain iaitu tidak memberi nafkah zahir, batin dan meletakkan isteri dalam keadaan darar. Berdasarkan penghakiman yang telah diputuskan oleh Tuan Hakim dengan meluluskan tuntutan fasakh yang dibuat oleh pihak plaintif adalah bertepatan sama sekali. Hal ini kerana, alasan tersebut juga menepati Hukum Syarak seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Ahkam al-Ahwal al-Syakhsiyah li al-Muslim oleh Syed Omar Abdullah, muka surat 202 yang bermaksud :

“Apabila isteri mendakwa bahawa suaminya memudaratkannya dengan apa jua kemudaratan yang tidak memungkinkan mereka berdua bergaul. Apabila sabit kemudaratan tersebut sebagaimana yang didakwa oleh isteri sama ada sabit melalui pengakuan suami atau keterangan saksi-saksi oleh pihak isteri dan jenis kemudaratan itu  yang tidak memungkinkan mereka berdua bergaul serta Kadi sudah gagal untuk mendamaikan mereka berdua. Dengan itu, Kadi boleh menjatuhkan talak kepada isteri itu.”

            Antara tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha’ sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.
Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud :
“Dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma’ruf (secara layak)”.
Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222 :
“Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu….”
Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla juga menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.
Manakala, berkenaan tuntutan tunggakan nafkah diri plaintif sebanyak RM5000.00 dan Nafkah Eddah yang ditolak oleh pihak Mahkamah adalah kerana  menurut pengkelasan kes mal kategori kes tuntutan dan permohonan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah yang mana di bawah kod 021 iaitu berkenaan tuntutan Nafkah Eddah dan kod 023 yang berkaitan tuntutan tunggakan nafkah menyatakan bahawa:
Bidang kuasa bergantung ke atas nilai tuntutan : tuntutan kurang daripada RM 100,000.00 Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah (MRS) jika tuntutan melebihi RM 100,000.00 Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah (MTS)”.
Pihak mahkamah telah menolak permohonan plaintif kerana tuntutan yang dibuat oleh beliau adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Rendah Syarie kerana tuntutan tunggakan nafkah bernilai RM5000.00 manakala kes ini diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah yang hanya mempunyai bidangkuasa tuntutan melebihi RM100 000.00.
Berkenaan keputusan Mahkamah yang menolak tuntutan Nafkah Eddah plaintif adalah kerana Plaintif tidak layak menerima Nafkah Eddah tersebut disebabkan plaintif bercerai dengan defenden secara fasakh dan dikira sebagai talak satu bain sughra yang tidak boleh dirujuk. Hal ini demikian kerana, isteri yang berhak mendapat Nafkah Eddah adalah Isteri yang diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk) dan juga Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) sehingga anak itu lahir.Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:

“Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”. (Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i) 
“Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya”. ( Surah At-Talaq: 6)

Akan tetapi plaintif berhak untuk mendapat kemudahan tempat tinggal sahaja daripada defenden selama ia di dalam eddah. Sebagaimana menurut Firman Allah swt yang bermaksud: 

“Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu”. 
(Surah At-Talak : 6)



0 comments:

Post a Comment