Sunday, December 14, 2014

Tatacara Prosiding Permohonan Pengkomitan Mahkamah Syariah

Bagi mencerahkan perlaksanaan prosiding pengkomitan ini, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah telah memberikan garis panduan atau tatacara yang diadaptasikan dari Aturan 52  Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003 sebagaimana yang diputuskan dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal(2012) 35 Bhg. 2 JH 250 dan juga kes Zetty Binti  Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob(2013) 36 Bhg. 1 JH 161.



Berpandukan dua kes tersebut dan adaptasi Aturan 52  Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, Tatacara pengkomitan di Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003 diterjemahkan oleh Mahkamah ini seperti berikut :

Permohonan perintah pengkomitan dibuat secara ex-parte dan disokong dengan Affidavit Sokongan Pemohon yang mengandungi butiran diri Pemohon, butiran diri orang hendak dikomitkan (Responden) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut).

Apabila kebenaran diberikan, suatu Notis Tunjuk Sebab hendaklah dikeluarkan kepada Responden dan diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama dengan Perintah Kebenaran Pengkomitan.

Penyampaian tersebut hendaklah dibuat 8 hari sebelum tarikh pendengaran kes tersebut. Sekiranya Responden tidak hadir pada mana-mana tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah, suatu waran tangkap boleh dikeluarkan kepadanya. Tempoh masa penyerahan Notis Tunjuk Sebab yang digariskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan  ini agak mengelirukan terutamanya dalam bab penyampaian saman atau notis berdasarkan peruntukan seksyen 45 ETMMS 2003 iaitu :

  1. Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. 
  2. Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.


Oleh itu Mahkamah berpendapat bahawa tempoh penyerahan tersebut adalah sesuai dengan mengikut peruntukan seksyen 45 (2) ETMMS 2003 iaitu 2 hari sebelum tarikh pendengaran kes.

Prosiding  pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali :

  1. Jika melibatkan sebahagian atau keseluruhan kes hak jagaan dan pengangkatan anak dan tanggungan (nafkah) atau akses kepada seorang kanak-kanak ; atau
  2. Jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah bagi kepentingan pentadbiran keadilan.


Pada tarikh yang ditetapkan, pembelaan Responden boleh dibuat secara lisan ataupun secara Afidavit dan kandungannya hendaklah berkisar kepada pembelaan terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut.

Sekiranya Responden hendak membela dirinya secara lisan, maka Hakim Bicara hendaklah menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”. Namun begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan Responden disoal oleh Pemohon dan/atau Peguamnya sendiri.

Sekiranya Responden ingin memfailkan pembelaannya melalui Afidavit Pembelaan maka Hakim Bicara boleh membenarkannya dan disoal-balas dan disoal-semula oleh pihak-pihak termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.

Hakim Bicara boleh menangguhkan prosiding dari masa ke semasa mengikut keperluan. Jika kehadiran Responden berdasarkan waran tangkap, maka suatu jaminan wajar dikeluarkan kepada Responden untuk mempastikan kehadirannya pada tarikh yang akan datang.

Selepas sesi pembelaan oleh Responden selesai, Hakim Bicara hendaklah memutuskan sama ada :

  1. Responden melanggar, mengingkari dan/atau cuai perintah/ penghakiman atau tidak;dan
  2. Responden mempunyai alasan yang munasabah atau tidak dari pembelaannya terhadap Notis Tunjuk Sebab tersebut. 


Oleh itu jika ;

Pembelaan Responden diterima, maka ia hendaklah hendaklah dilepaskan tanpa syarat atau sebaliknya ; atau

Pembelaan Responden ditolak, maka ia hendaklah dikomitkan ke penjara berdasarkan tempoh yang akan ditentukan oleh Hakim Bicara mengikut budi bicaranya.

Hakim Bicara boleh mengarahkan melalui perintah menggantung pelaksanaan pengkomitan atas apa-apa terma atau syarat yang dipersetujui oleh pihak-pihak.

Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman dan Responden telah dipenjarakan, ia boleh dilepaskan jika penunaian hutang tersebut telah dibuat.

Bagi perlaksanaan perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan hendaklah diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat permohonan dan Afidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun 2006.

Setelah kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran Notis Tunjuk Sebab beserta Affidavit Sokongan yang mengandungi butiran diri Responden, butiran diri orang hendak dikomitkan (Responden) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah dipohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana di Mahkamah Tinggi Syariah setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah.

Oleh itu, tempoh masa pemenjaraan ini adalah dengan merujuk kepada bidang kuasa asal jenayah dan jika terbukti bahawa Responden gagal mengemukakan pembelaan yang sewajarnya di dalam kes ini, Mahkamah ini atas budi bicaranya  boleh melaksanakan pengkomitan ke penjara selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun. Bagi Mahkamah Rendah Syariah, tempoh masa pemenjaraan yang dibenarkan adalah tidak melebihi dua tahun.

Mahkamah berpendapat bahawa tujuan pengkomitan ini adalah di atas keengganan Responden melaksanakan perintah namun jika ianya telah dilaksanakan maka pengkomitan itu tidaklah perlu diteruskan lagi. Ini berasaskan kepada kefahaman Mahkamah terhadap satu pandangan yang dinukilkan di dalam Kitab Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili, Jilid 7, muka surat 5592 dan 5593, terjemahan Fiqh & Perundangan Islam, Jilid VI, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, muka surat 209 dan 210 iaitu :

“Penahanan diharuskan dalam lapan keadaan;

  1. Ditahan penjenayah kerana mangsanya tidak ada, supaya orang yang akan menjalani hukuman qisas tidak terlepas daripada hukuman.
  2. Ditahan hamba yang lari selama setahun sebagai menjaga kehilangan harta dengan harapan dapat diketahui tuannya.
  3. Ditahan orang yang enggan menunaikan haknya sebagai paksaan ke atasnya supaya ia ditunaikan.
  4. Ditahan meteka yang diragui kedudukannya dalam sama ada kepayahan ataupun kesenangan untuk mengetahui keadaannya. 
  5. Ditahan penjenayah sebagai hukuman takzir atau mencegah daripada berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.
  6. Ditahan mereka yang terhalang daripada menjalankan tanggungjawab wajib yang tidak boleh diganti oleh orang lain. 
  7. Orang yang membuat pengakuan mengenai sesuatu yang tidak diketahu sama ada benda ataupun dalam tanggungan dan ia tidak dapat menentukannya. 
  8. Ditahan orang yang enggan menunaikan hak Allah S.W.T yang tidak boleh diganti seperti puasa.”



Al-Qarafi berkata, selain lapan sebab ini, tidak harus seseorang diletakkan dalam tahanan dan tidak harus ditahan seseorang pada satu hak sekiranya pemerintah mampu menyempurnakannya.

2 comments:

Maziah Md Yamin said...

terima kasih tuan atas perkongsian.

PRINCESS PUTERI said...

as'kum... sy bertanya sekdr ingin mengetahui je.. seblm bercerai si isteri tlh mempengaruhi sianak utk mmbenci ayahnya termsk lh keluarga si isteri td .... setlh bercerai anak tdk tdk d bnr kn berjumpa dgn si ayah ... kebencian yg d bt msh berterusan... sy ingin bertanya adakah si ayah tdk blh menggunakn perintah komital utk si isteri td sdgkn kes anak tlh selesai d dewan sulh n dh d bg tau bl blh berjumpa anak ... mk blh ke si ayah menggunakan cr sebegitu terhdp si ibu td...

Post a Comment