Monday, December 19, 2011

Analisis Kes Tort : Tort Kecuaian (Negligence)

PENDAHULUAN

Tajuk kajian kes bagi tugasan subjek Undang-undang Tort (IUEL3303) ialah Kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police [1991] 4 All ER. Secara amnya, kes ini mengandungi prinsip tort yang berkaitan dengan kecuaian iaitu pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diingini kepada plaintif. Sebagaimana yang diketahui,terdapat 3 elemen kecuaian iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage). Kajian kes ini terbahagi kepada  lima bahagian iaitu:

1)      Fakta
2)      Isu Kes
3)      Prinsip Tort
4)      Alasan Penghakiman
5)      Keputusan Kehakiman

Plaintif 
Alcock and others

Defendan
Chief Constable of the South Yorkshire Police

Hakim
Lord Keith of Kinkel, Lord Ackner, Lord Oliver of Alymerton, Lord Jauncey of Tullichettle and Lord Lowry


FAKTA KES

Pada 15 April 1989,  satu perlawanan bola sepak telah diadakan di Stadium Hillsborough, Sheffield di antara Liverpool dan Nottingham Forest yang merupakan perlawanan separuh akhir Piala FA. Pasukan polis South Yorkshire merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengawal penonton yang terlalu ramai pada perlawanan yang mana mereka telah membenarkan sejumlah besar bilangan penonton  yang melebihi had untuk memasuki Leppings Lane, iaitu  kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Mereka berasak-asak ke dalam pen 3 dan 4, di bawah Stand Barat Stadium Hillsborough dan menyebabkan 95 orang terbunuh dan lebih daripada 400 telah cedera dari segi fizikal. Tragedi ini telah disiarkan secara langsung di televisyen dari semasa ke semasa ketika kejadian berlaku dan rakaman tragedi itu juga disiarkan.

 Ketua Konstabel South Yorkshire (Chief Constable of the South Yorkshire Police) mengakui bahawa beliau menanggung liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku. Enam belas tindakan yang berasingan dibawa terhadapnya oleh orang-orang yang tiada seorang pun yang hadir di kawasan di mana bencana berlaku, walaupun empat daripada mereka berada di tempat lain sewaktu kejadian. Semua plaintif menuntut ganti rugi bagi kejutan saraf yang menyebabkan mereka mengalami penyakit psikiatri yang disebabkan oleh tragedi tersebut.

Seramai 16 orang plaintif telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Konstabel Polis South Yorkshire yang mana 13 orang yang menuntut terdiri daripada saudara mara dan sahabat mereka yang terbunuh. Manakala 2 orang lagi adalah saudara mara dan sahabat mereka yang tercedera serta seorang lagi adalah mangsa yang dapat menyelamatkan diri sewaktu berlakunya tragedi tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa 10 sahaja daripada pihak plaintif telah menang dalam tuntutan ini.

Kemudian, defendan yang tidak berpuashati telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap 9 plaintif yang berjaya, dan 6 pihak plaintif yang kalah juga membuat rayuan. Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan defendan dan telah menolak rayuan daripada pihak plaintif.

Disebabkan tidak berpuashati terhadap keputusan ini, pihak plaintif telah membuat rayuan ke Mahkamah Agung.





ISU KES

  1. Samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock).
  2. Samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan


PRINSIP TORT

Prinsip tort yang wujud dalam kes ini adalah prinsip kecuaian yang mana di dalam prinsip ini, wujudnya tiga elemen iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Di dalam kes ini,Ketua Konstabel Polis South Yorkshire menanggung liabiliti dalam elemen kecuaian yang pertama iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care) yang mana beliau bertanggungan terhadap tugasnya untuk memastikan keselamatan para penonton sewaktu perlawanan. Beliau mengakui akan liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku akibat tragedi tersebut.

Elemen kecuaian yang kedua iaitu pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty), yang mana pasukan polis South Yorkshire yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal bilangan kemasukan penonton ke dalam stadium, telah melakukan pelanggaran kewajipan iaitu dengan membenarkan sejumlah besar penonton memasuki Lane Leppings iaitu suatu kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Seterusnya, elemen kecuaian yang ketiga turut dipenuhi yang mana di dalam tragedi ini, 95 orang telah terbunuh dan menyebabkan lebih 400 orang lagi tercedera akibat daripada pelanggaran kewajipan berjaga-jaga yang telah dilakukan oleh pasukan polis South Yorkshire.

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang defendan itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap plaintif iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.   


ALASAN PENGHAKIMAN

Berdasarkan kepada isu yang pertama iaitu samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock), pihak plaintif tidak berhak untuk mendapat gantirugi atas kejutan saraf kerana tidak wujud hubungan yang rapat antara plaintif dengan mangsa utama. Hubungan mereka dengan mangsa juga tidak begitu dekat bagi membolehkan tuntutan ini diterima. Berkenaan dengan kelas orang, iaitu kemungkinan hubungan yang paling rapat dalam keluarga ialah antara ibu bapa dan kanak-kanak atau suami dan isteri. Sebagai contoh, di dalam kes ini, Robert Alcock telah kehilangan adik iparnya, Catherine Jones juga telah kehilangan adiknya dalam tragedi ini, Brian Harrison kehilangan kedua-dua saudaranya, Brenda Hennessey pula kehilangan abangnya, Denise Hough juga kehilangan abangnya, Stephen Jones pula kehilangan saudaranya, Joseph Kehoe kehilangan cucunya dan Alexander Penk pula kehilangan tunangnya. Tetapi, hanya Encik dan Puan Copoc yang kehilangan anak mereka. Akan tetapi, hal ini belum dapat meyakinkan mahkamah bagi  membenarkan tuntutan plaintif terhadap kes ini.

Bagi isu yang kedua iaitu samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan. Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja.


KEPUTUSAN KEHAKIMAN

House of Lords (Mahkamah Agung) memutuskan bahawa Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif juga tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja. Hubungan mereka kepada mangsa juga tidak menunjukkan cukup dekat untuk membolehkan rayuan mereka diterima. Oleh itu, Mahkamah menolak rayuan daripada plaintif.


KESIMPULAN

Berdasarkan kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police, bagi membuktikan seseorang itu telah melakukan kecuaian, ia hendaklah memenuhi tiga elemen kecuaian iaitu mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap pihak lain iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.  


*Baru tahu fakta baru hari ini bila ada sahabat present kes berkenaan suami / isteri tidak boleh menyaman pasangan mereka atas kesalahan tort berdasarkan seksyen 9 (2) Akta Perempuan Bersuami 1957.

0 comments:

Post a Comment