Wednesday, December 17, 2014

Isteri Nusyuz boleh tuntut mut'ah?

Hak mut’ah adalah suatu pemberian dari bekas suami kepada bekas isterinya yang diceraikan. Ia adalah wajib bagi seorang bekas suami yang telah menceraikan isteri samada isterinya telah disetubuhi ataupun tidak, sama ada telah ditentukan mahar (maskahwin) ataupun tidak. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab, ayat 28 iaitu :

Bermaksud :
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (saguhati), dan Aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya”



Juga di dalam firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 241 yang  berbunyi :

Bermaksud :
“Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mut’ah (pemberian  saguhati) dengan cara yang patut sebagai cara tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa”.


Hak seseorang perempuan yang diceraikan untuk memohon mut’ah telah diulas melalui nas atau pendapat muktabar, antaranya dinyatakan oleh Imam Taqiyuddin Abu Bakar Bin Muhammad Al-Husaini di dalam kitab Kifayatul Akhyar, Juzu’ 2, hlm. 42 menyatakan :

المتعه وهى اسم للمال الدى يدفعه الرجل إلى امرأته لمفارقته إياها
Bermaksud :
“Mut’ah ialah nama bagi harta yang dibayar atau diberikan oleh seseorang lelaki kepada isteri disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu”.


Menurut Dr. Wahbah al Zuhaili, dalam kitabnya Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Juzuk 7, halaman 316 menjelaskan bahawa pengertian mut’ah adalah :

بأنها مال يجب على الزوج دفعه لامرأته المفارقة في الحياة بطلاق وما في معناه بشروط ...
Maksudnya :
“…harta yang wajib ke atas lelaki membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup dengan talaq dengan beberapa syarat yang tertentu…


Manakala menurut peruntukan seksyen 2 EUUKIS 2003 pula menafsirkan maksud mut’ah seperti berikut :

“Mut’ah” ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang ‘diceraikan.


Menurut undang-undang bertulis yang terdapat di Negeri Selangor, hak isteri untuk menuntut mut’ah diperuntukkan berdasarkan seksyen 58 EUUKIS 2003 iaitu :

Selain dari haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.


YA Tuan Abu Bakar Bin Ahmad di dalam kes Faridah Binti Sulaiman lwn. Mohd. Noh Bin Othman, JH 19 (1), hlm. 135, di mana Y.A Hakim merujuk kepada prinsip yang digariskan di dalam kes Noorbee lwn. Ahmad Sanusi, JH 1 (2), hlm.63 menyatakan bahawa :

“Mut’ah adalah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana perceraian yang bukan dari sebab isteri kerana keaiban yang ada pada dirinya atau fasakh dari isteri dengan sebab iksar suami (suami tidak mampu beri nafkah) atau aib yang ada pada dirinya. Ia bukan diwajibkan kerana kehilangan kasih sayang sahaja kerana mut’ah itu juga diwajibkan dalam keadaan di mana isteri menebus talaq dari suami. Mut’ah juga bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri dan menghindarkan fitnah serta sebagai asas untuk memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang diceraikan akan merasa malu dan mungkin akan menerima prasangka buruk daripada masyarakat sekelilingnya. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang isteri itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya maka lazim mut’ah diwajibkan ke atas suami”


Berdasarkan panduan di atas jelas sekali mut’ah adalah hak isteri dan ia tidak akan gugur sekalipun isteri dalam keadaan nusyuz disebabkan tiada halangan    seperti itu dinyatakan di dalam perbahasan ayat al-Quran, kitab fiqh dan kes yang   dirujuk sebelum ini. Selain itu, di dalam kes Piah Binti Said lwn. Che Lah Bin Awang, JH 3 (2), hlm. 220, Kadi Besar dalam keputusannya menyatakan bahawa :

“...dalam kes ini jelas perceraian itu berlaku dengan talaq oleh suami terhadap isterinya sekalipun ada tanda-tanda nusyuz. Tetapi nusyuz tidak menafikan hak mut’ah sekiranya ia berlaku”.


Mahkamah  merujuk kepada kes  Zawiyah lwn. Ruslan, JH 1 (2), hlm. 102, Kadi   Besar telah memerintah Pihak Kena Tuntut membayar mut'ah sebanyak RM700.00 dan beliau ada menyatakan di dalam penghakimannya :

“Mut'ah menurut takrif di dalam kitab Kifayatul Akhyar ialah nama bagi harta yang diberikan seseorang lelaki kepada isterinya disebabkan perceraian dengannya. Perceraian yang kena dibayar mut'ah ialah setiap perceraian daripada suami tidak dari sebab pihak perempuan seperti fasakh kerana aib yang ada pada diri perempuan itu, atau perempuan memfasakh nikahnya dengan suaminya disebabkan sara nafkah atau sebagainya. Dalam kes ini perceraian berlaku bukan kerana kecacatan yang ada pada diri perempuan, dan tidak pula dengan sebab perempuan memfasakh nikah. Yang Kena Tuntut mendakwa bahawa perceraian ini disebabkan oleh perangai pihak isteri tetapi tidak membuktikan apa-apa kesalahan, yang didakwanya dilakukan oleh pihak isteri yang boleh menggugurkan hak mut'ah ini. Pada asal syarak, mut'ah digalakkan tetapi jika berlaku pertikaian mengenai kadar mut'ah maka hendaklah diselesaikan oleh Mahkamah. Asas penentuan yang mesti diikuti ialah panduan ayat 230 : Surah Al-Baqarah yang bermaksud : “Dan berilah mut'ah mengikut kadar yang kaya menurut kekayaannya dan yang susah mengikut kesusahannya”. Pasangan dalam kes ini adalah pasangan yang sederhana”


Berdasarkan rujukan nas syarak dan kes-kes yang telah diputuskan sebelum ini, gugurnya hak mut’ah seseorang perempuan yang diceraikan hanyalah merujuk kepada faktor-faktor yang telah dijelaskan sebelum ini dan sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah al-Talibin, Juzu’ 3, hlm. 406 yang dapat disimpulkan seperti berikut  :

 فراق حاصل بغير سببها: أي وبغير سببهما وبغير سبب ملكه لها، وذلك كطلاقه وإسلامه وردته ولعانه، بخلاف ما إذا كان الفراق حصل بسببها كإسلامها وردتها وملكها له وفسخها بعيبه وفسخه بعيبها أو بسببهما: كأن ارتدا معا أو بسبب ملكه لها بأن اشتراها بعد أن تزوجها فلا متعة في ذلك كله (قوله: وبغير موت أحدهما) معطوف على بغير سببها: أي وفراق حاصل بغير موت أحد الزوجين: أي أو موتهما معا

Secara kesimpulannya bermaksud :
a.      Perceraian disebabkan isteri telah masuk Islam.
b.      Perceraian disebabkan isteri telah keluar dari Islam.
c.       Apabila suami isteri menjadi murtad serentak.
d.      Semasa perceraian isteri masih status hamba kepada suami.
e.       Semasa perceraian suami masih status hamba kepada isteri.
f.        Perceraian fasakh disebabkan aib suami.
g.      Perceraian fasakh disebabkan aib isteri.
h.      Perceraian dengan kematian salah satu pihak suami isteri atau keduanya sekali.”  

1 comments:

Ummu Ammar said...

Assalamualaikum mahmudah ��

Post a Comment