Saturday, March 19, 2011

Kes Undang-undang Wasiat : Analisis kes Kesahan Wasiat Tempoh Pembahagian Pusaka

Kes : SAEDAH BINTI ABU BAKAR MALEK BIN HAJI MOHAMED YUSUF LAWAN HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI MOHAMAD YUSUF DAN USMAN BIN HAJI MOHAMED YUSUF (1981)FMSLR 352 / [1983] JURNAL HUKUM


PENDAHULUAN

Wasiat dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahasa ia berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semas hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia. [1]

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal  dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut Abdul Karim Zaydan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat. Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.[2]

Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam  (Negeri Selangor) No: 4, 1999, wasiat ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.[3] 

Di Malaysia terdapat satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat menambah syarat pelaksanaan dalam tempoh tertentu sehingga menghalang pembahagian harta mengikut faraid terhadap ahli waris. Justeru itu, melalui kertas tugasan ini akan cuba mengupas isu-isu dan keputusan kes tersebut dengan lebih lanjut.
  
FAKTA KES

            Kes ini berkaitan taraf wasiat yang mengikat pembahagian harta pusaka si mati untuk jangka masa 10 tahun. Si mati iaitu pewasiat telah mewasiatkan supaya pembahagian pusaka akan dibahagikan kepada waris-warisnya selepas 10 tahun dari tarikh kematiaannya. Kes ini melibatkan pihak penuntut yang merupakan balu dan anak kepada pewasiat (si mati)  iaitu Puan Saedah Binti Abu Bakar dan Malek Bin Haji Mohamed Yusof yang menyatakan bahawa wasiat itu tidak sah. Pewasiat mempunyai 10 orang anak yang menjadi waris kepada si mati mengikut undang-undang Islam iaitu lapan orang daripadanya yang mendapat faedah dari wasiat kerana telah mencapai umur dewasa dan berfikiran waras, manakala dua anak lagi adalah anak perempuan yang telah berumahtangga yang berumur lebih kurang 20 tahun dan seorang lagi adalah anak yang cacat akalnya.
  
ISU BERBANGKIT

1.      Adakah amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut?

2.      Sama ada wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah sah ataupun tidak mengikut undang-undang Islam?

PENGHAKIMAN

            Hakim Innes memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah menurut Undang-undang Islam kerana seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa perpindahan harta pusaka kepada waris-waris selepas kematiannya. Hakim juga berkata sekiranya mengikut Undang-undang Inggeris terdapat langkah yang boleh diambil selepas ketidakupayaan waris itu dihindarkan atau diperuntukkan untuk menghapuskan amanah di dalam kes yang dibawa ini akan tetapi kita di sini menyelesaikan kes mengikut Undang-undang Islam.

ANALISIS

            Berdasarkan isu yang pertama, hakim telah memutuskan kes ini mengikut Undang-undang Islam kerana si mati dan warisnya adalah mereka yang beragama Islam walaupun amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut.

            Hakim Innes juga telah memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun menurut Undang-undang Islam adalah tidak sah dan ahli-ahli waris itu berhak menerima pembahagian harta pusakan secara segera.

            Merujuk buku Muhammadan Law oleh Tyabji yang menyatakan bahawa tidak ada siapa (mengikut pendapat yang diterima secara am di dalam undang-undang) yang dibenarkan untuk menyekat perjalanan undang-undang dikuatkuasakan kepada mereka yang diiktiraf sebagai waris-waris.[4]

Islam mengajarkan umatnya agar bersegera dalam pembahagian harta pusaka. Hal ini telah diterangkan di dalam Surah al-Nisa’ yang bermaksud : “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”[5]. Ayat tersebut menggambarkan bahawa Allah begitu memperhatikan orang-orang yang tidak mampu dan memerlukan. Bahkan, dalam masalah pembahagian harta pusaka jika kerabat yang miskin dan amat memerlukan kepada harta pusaka, hendaklah kita memberinya bahagian mereka dengan kadar yang segera.

Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud : “Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”[6]. Ayat ini jelas sekali menunjukkan bahawa setiap waris itu mempunyai hak dan bahagian mereka daripada harta pusaka.

Ayat al-Quran lain yang turut menjelaskan hak-hak waris dalam pusaka secara umum ialah ayat terakhir yang dipetik dari Surah al-Anfaal yang bermaksud : “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu[7].

            Manakala pihak defenden (wasi) yang diwakili peguam Mr.Wagner telah mempersoalkan tentang sahnya pandangan yang dikemukakan bahawa amanah yang dipersoalkan itu bercanggah dengan undang-undang Islam dan pihaknya juga hanya mengemukakan lima kes dari India dan tiada keterangan yang diberikan. Kes-kes yang dikemukakan itu juga tidak menyokong hujahnya antara kes yang dibawa ialah kes Banoo Begum lawan Mir Abed Ali[8] yang mana kes tersebut boleh memberi kesan sekiranya pewasiat adalah seorang yang bermazhab Syi’ah akan tetapi di dalam kes Saedah ini pewasiat dan mereka yang terlibat adalah seorang Melayu yang bermazhab Shafi’i.

        Secara keseluruhannya kes ini memberi kita keputusan bahawa segala wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah mengikut Undang-undang Islam.

KESIMPULAN

Arahan di dalam wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka mengikut Undang-undang Islam untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah. Hal ini demikian kerana, seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa pengagihan harta pusaka kepada waris-waris setelah kematiannya  dan ahli-ahli waris berhak menerima harta pusaka secara segera.

Menyegerakan urusan pembahagian pusaka sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang mana kita dapat lihat wasiat orang Islam dan wasiat orang bukan Islam mempunyai perbezaan besar daripada segi hukum dan kesan menurut undang-undang. Wasiat orang bukan Islam akan mengikat ahli waris untuk membuat pembahagian harta peninggalan si mati, manakala wasiat orang Islam tidak mengikat sepenuhnya waris untuk membuat pembahagian sebagaimana di dalam wasiat itu.[9]



[1] Mohd Zamro Muda, “Instrumen Hibah Dan Wasiat : Analisis hukum Dan Aplikasi Di Malaysia”, Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008,  h.13
[2] Ibid.
[3] Bahagian Baitulmal Jabatan Agama Islam Selangor, Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, h.67.
[4] Tyabji (1940), Muhammadan Law : The Personal Law of Muslims, Bombay : N.M. Tripathi, h.530.
[5] Surah Al-Nisa’ : Ayat 9.
[6] Surah an-Nisa’ : 7
[7] Surah al-Anfaal : 75
[8] 32 Bom 192
[9] http://wasiwasiat.com/tag/segerakan-pusaka/, akses pada 25 Februari 2011.

1 comments:

Anonymous said...

ad x mklumt tentg kes in the good of abdullah..=)

Post a Comment