Monday, April 4, 2011

Kes Undang-undang Keluarga Islam : Analisis Kes Tuntutan Nafkah Isteri - Sakdiah v Ahmad

KES  : SAKDIAH LAWAN AHMAD [1981] II JURNAL HUKUM 101

Lokasi : Mahkamah Rayuan Syariah, Kedah.
Hakim : Shaik Abdul Halim bin Haji Othman, Datuk Wan Ibrahim bin Wan Suluh dan Haji Tajuddin bin Abdul Rahman.
Tarikh : 6 Oktober 1968.
No Kes Mal : No.2 Tahun 1968.

Kes ini merupakan kes rayuan yang dibuat oleh plaintif atau tuntutan di Mahkamah Rayuan Syariah setelah permohonannya mengenai tuntutan nafkah di Mahkamah Kadi ditolak.

PIHAK-PIHAK

Pihak-pihak di dalam kes ini terdiri daripada plaintif atau tuntutan (Sakdiah) iaitu isteri kepada defendan atau jawapan (Ahmad) yang telah membuat tuntutan nafkah daripada hasil bendang apabila suaminya telah dikategorikan sebagai papa (musir).

FAKTA KES

  1. Di dalam kes ini, plaintif atau tuntutan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah mengenai tuntutan nafkah terhadap defendan atau jawapan selaku suaminya setelah permohonanya yang dibuat di Mahkamah Kadi telah ditolak.
  2. Plaintif atau tuntutan (isteri) telah menuntut sara nafkah selama enam bulan pada sehari tiga ringgit, jumlahnya $540.00.
  3. Defendan atau jawapan (suami) telah memberi keterangan bahawa mereka berdua membuat kerja bendang berkongsi dan mereka mendapat hasil padi, maka defendan (suami) memikirkan bahawa dia tidak perlu memberi sara nafkah lagi.
  4. Plaintif telah membuat pengakuan ingin mengikut defendan duduk bersama di rumah yang disediakan oleh defendan dengan mengenakan syarat bahawa defendan mesti membayar sara nafkah yang dituntut.
  5. Defendan pula menyatakan sendiri bahawa plaintif merupakan seorang yang taat kepadanya sebagai seorang suami dan tidak ingkar, cuma ibu mertuanya sahaja yang tidak suka kepada plaintif.
  6. Defendan juga membuat pengakuan bahawa dia tidak mempunyai kerja dan tiada harta sendiri yang boleh mengeluarkan perolehan untuk membayar sara nafkah tersebut dan plaintif sendiri tidak menafikannya.

PENGHAKIMAN

MAHKAMAH KADI

  1. Melihat kepada pengakuan yang telah diberikan oleh kedua-dua pihak iaitu plaintif dan defendan, bahawa defendan ada membuat bendang bersama-sama dengan plaintif. Ketika itu, semasa ia tinggal didapati padi itu cukup untuk sara nafkah selama enam bulan.
  2. Oleh kerana pihak plaintif atau tuntutan tidak dapat memberi keterangannya daripada saksinya dan dirinya sendiri yang terang atas hutangnya hanya yang dapat diketahui oleh Mahkamah sudah memadai dengan padi perolehan yang dibuat oleh defendan.
  3. Dengan itu, Mahkamah telah menolak permohonan yang dibuat oleh plaintif atau tuntutan mengenai tuntutan nafkah terhadap defendan atau jawapan. (Mahkamah buang kes).

MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH

  1. Menurut pengakuan yang dibuat oleh pihak-pihak plaintif dan defendan, Mahkamah berpendapat bahawa plaintif atau tuntutan masih taat kepada defendan atau jawapan.
  2. Oleh hal demikian, sara nafkah wajib dibayar oleh defendan kepada plaintif kerana isteri yang tidak nusyuz berhak mendapat nafkah.
  3. Akan tetapi, defendan tidak mempunyai kerja dan tiada harta sendiri yang boleh mengeluarkan perolehan untuk membayar sara nafkah tersebut terhadap plaintif tanpa dinafikan oleh plaintif.
  4. Dengan itu, Mahkamah berpendapat adalah defendan telah jatuh papa (musir) tiada berdaya lagi untuk memberi nafkah kepada plaintif.
  5. Maka, Mahkamah telah membuat keputusan berdasarkan hukum syarak yang mana plaintif boleh memilih diantara dua jalan:
                                i.            Plaintif bersabar sehingga defendan mendapat kerja yang boleh memberi hasil untuk membayar sara nafkah yang tertanggung ke atas dirinya; atau
                              ii.            Plaintif dibenarkan menuntut fasakh nikah kepada pihak yang berkenaan iaitu defendan jika plaintif tidak mahu bersabar.
  1. Hukuman telah dibuat berdasarkan hukum fiqh yang tersebut di dalam kitab (Sunan al-Matalib, bi Syarhi Raudi al-Matalib) yang menyatakan:
“bagi seorang isteri kepada seorang suami yang tidak mampu meberi nafkahnya, dia mempunyai hak fasakh atas perkahwinannya. Dan ringkasan dari susunan asal bagi kitab di atas, bahawa jika ia (isteri) memilih untuk bersabar ia boleh bersabar dan membelanjakan wang ringgitnya sendiri untuk dirinya dengan perkiraan perbelanjaan itu ditanggung oleh suaminya hingga si suami itu terlepas daripada kesusahan yang dihadapi. Dan jika sekiranya ia (isteri) memilih fasakh, maka ia berhak berbuat demikian”

ANALISIS PENGHAKIMAN

Suami adalah merupakan ketua rumah atau pemimpin dalam sesebuah institusi keluarga, maka suamilah yang bertindak menjadi pemerintah yang bertanggungjawab terhadap pemerintahannya iaitu keluarganya termasuklah isteri. Oleh itu, tanggungjawab suami itu sekaligus memberi nafkah tehadap isterinya sebagai orang yang di bawah pemerintahannya. Hal ini boleh dilihat dalam firman Allah s.w.t “tempatkanlah mereka (iaitu isteri-isteri kamu) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal yang disediakan) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”.[1] Dan antara hadis Nabi s.a.w “ bertakwalah kepada Allah kerana kamu sebenarnya (mengambil) menikahi wanita sebagai suatu amanah Allah…..menjadi tanggungjawab kamu kepada mereka (iaitu isteri-isteri kamu) memberikan mereka rezeki (makan minum) dan pakaian sekadar yang sesuai dan patut”. (Riwayat Jabir).[2]

Berdasarkan keputusan yang telah diputuskan di Mahkamah Kadi, yang mana Mahkamah Kadi telah menolak tuntutan isteri untuk membuat permohonan tuntutan nafkah tehadap suaminya adalah bertepatan. Ini kerana berdasarkan pengakuan yang telah diberi oleh kedua-dua pihak, hasil bendang tersebut masih mencukupi untuk sara nafkah selama enam bulan berikutan hasil kerja mereka bersama-sama. Oleh yang demikian, suami dalam hal ini seolah-olah masih memberikan nafkah terhadap isterinya walaupun mungkin tidak mencukupi seperti yang dituntut oleh pihak isteri sebanyak sehari tiga ringgit dan jumlahnya $540.00. Akan tetapi, kadar nafkah atau belanja yang diwajibkan adalah setakat keperluan dan hajat menurut keadaan dan kemampuan serta kekuasaan orang yang berkewajipan mengikut kelaziman dan adat sesuatu tempat. Menurut ulama Syafie, kadar nafkah yang ditetapkan ialah mengikut kemampuan orang yang bertanggungan iaitu dipihak suami[3] samada susah atau senang mengikut kebiasaan dan hendaklah secara berpatutan seperti dalam firman Allah s.w.t “Dan kewajipan bapa (suami) pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (isteri) menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya".[4]

Pihak plaintif atau tuntutan (isteri) juga tidak dapat memberi keterangannya daripada saksinya dan dirinya sendiri yang jelas atas hutangnya daripada defendan atau jawapan (suami), dan apa yang diketahui oleh Mahkamah apa yang diperolehi dari hasil padi yang telah diusahakan oleh defendan sudah memadai. Dalam hal ini, plaintif dikatakan telah gagal untuk mengemukakan bukti untuk membuat tuntutan tersebut. Yang mana, pembuktian adalah merujuk kepada kepercayaan mahkamah terhadap sesuatu fakta atau kes yang dibentangkan dihadapan mahkamah. Apabila mahkamah percaya sesuatu fakta itu sebagai wujud maka ia disebut sebagai telah dibuktikan. Sebaliknya jika mahkamah tidak dapat mempercayai atau tidak menerima kewujudan sesuatu fakta maka ia dibuktikan sebaliknya. Sementara itu, apabila sesuatu fakta tidak dapat dibuktikan atau tidak mencukupi, maka ia dikira sebagai tidak dibuktikan.

Namun demikian, berbeza pula dengan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah apabila plaintif telah dibenarkan membuat rayuan setelah permohonannya ditolak oleh Mahkamah Kadi. Mahkamah telah menyatakan bahawa plaintif merupakan isteri yang taat kepada defendan setelah mendengar pengakuan kedua-duanya, maka plaintif berhak untuk mendapat nafkah daripada defendan seperti yang dituntut. Akan tetapi, defendan telah dianggap (musir) tidak berdaya memberi nafkah apabila defendan tidak mempunyai kerja dan sebarang harta yang boleh mengeluarkan perolehan untuk membayar nafkah tersebut. Oleh itu, plaintif diberi pilihan samada bersabar sehingga defendan mendapat kerja untuk membayar nafkah seperti yang dituntut atau plaintif memohon untuk memfasakhkan nikah.

Oleh hal yang demikian, merujuk kepada Hukum Syarak diantaranya di dalam kitab Kifayatul al-Akhyar ada menyebut “jikalau suami tidak berkemampuan untuk memberi belanja isteri, maka isteri boleh memohon fasakh nikah, begitu juga kalau suami tidak berkemampuan membayar mahar sebelum dukhul”. Begitu juga dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Darulqutni pernah ditanya tentang orang yang tidak mampu memberi belanja terhadap isteri, maka sabda Rasulullah saw, pisahkan mereka. Said Ibnu Musaiyib sendiri juga pernah ditanya tentang hukum menceraikan isteri apabila suami uzur memberi nafkah antara mereka, beliau menyatakan hukumnya sunnah dan itulah juga pendapat daripada Imam al-Syafie dan ulama Maliki.

Walaubagaimanapun, ada juga dinyatakan oleh Imam al-Syafie dan ulama fiqh Hanbali yang memberi hak kepada isteri untuk memilih samada kekal bersama suami dengan bersabar atau pun berpisah daripada suaminya. Pendapat mereka ini adalah berdasarkan al-Quran[5] dan Hadis[6] menyuruh para suami supaya menjaga isteri dengan baik (memberi nafkah) dan tidak sesekali mendatangkan mudarat ke atas isteri. Jika dilihat secara praktikalnya, perpisahan adalah boleh dijadikan alasan terakhir sekiranya berlaku mudarat dipihak isteri jika suami tidak mampu memberi nafkah. Sekiranya isteri tersebut masih mampu, maka secara umumnya ia tidak boleh dikatakan memberi mudarat atau darar kepada isteri itu. Oleh hal demikian, mahkamah perlulah melihat sejauh mana mudarat yang boleh menjejaskan kehidupan isteri, kerana tidak rasional sekiranya perceraian sebagai jalan penyelesaian sedangkan keduanya (suami dan isteri) masih menyayangi antara satu sama lain.

Dengan ini jelas sekali menunjukkan sebagai ketua keluarga, nafkah tetap menjadi kewajipan seorang suami walau dalam apa jua keadaan selagi suami itu mampu. Rasulullah s.a.w membenci umatnya yang bersikap tidak bertanggungjawab terutama kepada pasangan yang telah melahirkan zuriatnya. Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang suami perlulah mewujudkan suasana yang harmoni dan aman damai di dalam rumahtangga untuk mengelakkan sebarang masalah. Sepertimana sabda Rasulullah saw: “sebaik-baik diantara kamu, ialah yang paling baik dengan keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu dalam melayan keluargaku”. (Imam Tirmizi).



[1] Surah at-Talaq: 6.
[2] Abi al-Husin Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairiy, Sahih Muslim, jld. 2 (Kaherah: Maktabah ‘Isa al-Babi al-Halabi wa Syuraka’ahu, 1375H, hal. 890.
[3] Abu Ishaq al-Syirazi, al-Muhadhdhab, jld. 2, hal. 161; Al-Imam Taqiy al-Din al-Husayni, jld. 2, hal. 89-90.
[4] Surah al-Baqarah: 233.
[5] Surah al-Baqarah: 229 dan 231.
[6] Hadis yang berbunyi “la darar wa la dirar”, disamping riwayat Ibn al-Mundhir yang menyebut bahawa Umar al-Khattab menulis kepada ketua-ketua tentera supaya para suami yang meninggalkan isteri-isteri mereka diarahkan memberi nafkah ataupun menceraikan mereka. Jika mereka menceraikan isteri-isteri mereka, maka tunggakan nafkah hendaklah dihantar kepada mereka dalam tempoh nafkag tidak diberi.

0 comments:

Post a Comment