Saturday, April 9, 2011

Kes Undang-undang Keluarga Islam : Analisis Kes Tuntutan Nafkah Isteri - Hj Ali v Aishah

KES : HAJI ALI BIN HUSSEIN lwn. AISHAH BINTE YUSOF (1981) JURNAL HUKUM 241

Lokasi  : Mahkamah Rayuan Kelantan
Hakim : Jemaah Pengadilan Kelantan (Dato’ Haji Ismail bin Haji Yusof,Timbalan Mufti, Dato’ Haji Yusof bin Hussan dan Tuan Haji Mohamed bin Haji Yusof)
Tarikh : 21 November 1981
No Kes Mal : Bil. 1 1981

PIHAK-PIHAK

Pihak-pihak di dalam kes ini terdiri daripada plaintif / yang menuntut (Aishah Binte Yusof) iaitu isteri kedua kepada defendan yang telah membuat permohonan tuntutan nafkah isteri terhadap defendan / yang kena tuntut (Haji Ali Bin Husssein) sebagai suami kepada plaintif. Di dalam kes ini, plaintif dan defendan tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

FAKTA KES
  1. Kes ini bermula apabila plaintif telah membuat tuntutan nafkah diri kepada pihak defenden di Mahkamah Kadi Besar.
  2. Plaintif dan defenden telah berkahwin pada tahun 1972 dan lebih kurang satu tahun mereka tinggal bersama.
  3. Plaintif telah berpindah ke rumah lain dan kemudian ke rumah ibunya kerana tidak tahan disebabkan selalu berselisihan faham dengan isteri tua.
  4. Plaintif juga mendakwa suaminya tidak memberi nafkah dan tidak pulang lagi bersama-sama dengannya dari 1975.
  5. Oleh itu plaintif menuntut nafkah dari pihak defenden dari tahun 1975.
  6. Pihak defenden pula berkata bahawa dia tidak memberi nafkah kepada plaintif dalam tempoh yang dituntut oleh plaintif tersebut kerana plaintif berlaku derhaka iaitu plaintif telah keluar dari rumahnya dan tidak mahu balik dengannya.
  7. Akan tetapi pihak defenden tidak dapat membuktikan bahawa pihak plaintif telah menderhaka kepadanya walaupun dia telah mengemukakan seorang saksi dan saksi tersebut tidak dapat memberi puashati kepada pihak mahkamah.
  8. Defenden juga telah mengakui bahawa dia tidak memberi nafkah kepada plaintif selama 2 tahun kecuali 5 bulan sahaja yang mana defenden mendakwa plaintif tidak serah diri kepadanya.
  9. Manakala pihak plaintif pula menyatakan bahawa dia telahpun menyerah dirinya kepada pihak defenden dan tiada saksi bagi pihak plaintif.
  10. Oleh kerana saksi-saksi plaintif dan defenden tidak memberi puashati kepada Mahkamah, maka kedua-dua pihak dikehendaki untuk bersumpah iaitu plaintif Aishah binte Yusof bersumpah menafikan derhaka kepada kepada defenden selama 2 tahun yang mana defenden telah mengaku tidak memberi nafkah selama 2 tahun kecuali 5 bulan sahaja.
  11. Manakala pihak defenden bersumpah plaintif tidak menyerahkan diri kepadanya selama 5 bulan.
  12. Kemudiannya, setelah Mahkamah Kadi Besar memutuskan kes ini, pihak suami telah membuat rayuan kepada Jemaah Pengadilan.


PENGHAKIMAN

Mahkamah Kadi Besar

 Mahkamah Kadi Besar telah membuat keputusan dengan sumpah defenden tersebut maka gugurlah tuntutan selama 5 bulan dan pihak Mahkamah telah membenarkan tuntutan isteri serta menghukum defenden membayar $1710.00 kepada pihak plaintif.

Mahkamah Rayuan

  • Pihak suami telah membuat rayuan kepada Jemaah Pengadilan kerana :

  1. Dia telah tua dan selalu uzur serta tidak mempunyai pendapatan yang secukupnya untuk menanggung nafkah anak isteri sekarang.
  2. Dia juga tidak mempunyai apa-apa harta yang boleh diberi kepada plaintif sebagai ganti wang itu.
  3. Plaintif juga selalu derhaka yang lebih dari 5 bulan sebagaimana keputusan Mahkamah.

  • Jemaah Pengadilan telah meneliti dan mendengar rayuan di hadapan kedua-dua pihak dan berpendapat bahawa dalam kes ini perkara penting yang perlu dibuat penelitian untuk mendapatkan natijah adalah :

  1. Perkara keluarnya plaintif dari rumah tempat tinggalnya adakah dengan segera nusyuz atau tidak?
  2. Perkara keupayaan yang merayu dari segi cara hidup.
  3. Penelitian tentang perkara tersebut tidak timbul dalam perbicaraan kes ini. Maka, kemungkinan besar keputusan hukum menjadi tidak tepat.

  • Oleh itu, Jemaah Pengadilan dengan sebulat suara menerima rayuan tersebut, hukuman Al-Fadhil Tuan Timbalan Kadi Besar dibatalkan dan kes ini diperintahkan dibicara semula oleh Kadi lain.


ANALISIS PENGHAKIMAN

Antara isu yang dapat dianalisi di dalam kes ini ialah berkaitan tanggungjawab terpenting suami adalah untuk menanggung dan memberi nafkah zahir ke atas isteri. Nafkah zahir adalah dalam bentuk wang ringgit secara bulanan kepada isteri bagi memastikan segala keperluan rumah tangga cukup dan selesa mengikut kemampuan.  Sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”[1]

Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978, Bahagian VI – Nafkah Tanggungan Dan Hadhanah di bawah Seksyen 133 (1) iaitu seorang isteri boleh dengan permintaanya di dalam Mahkamah mendapat satu perintah terhadap suaminya kerana bayaran dari semasa ke semasa sebanyak mana wang berkenaan dengan nafkah yang ia boleh berhak menerimanya mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah isteri itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun Masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu. [2]

            Akan tetapi terdapat dua isu yang wujud di dalam rayuan suami di dalam kes ini iaitu sama ada perkara keluarnya plaintif dari rumah tempat tinggalnya adalah secara nusyuz atau pub tidak? Dan yang kedua adalah berkenaan keupayaan suami dari segi sara hidup.  

            Bagi mengimbangi kewajipan nafkah yang terletak di atas bahu suami, dalam keadaan-keadaan tertentu isteri akan hilang haknya untuk mendapatkan nafkah daripada suaminya. Dengan perkataan lain, hukum wajib memberi nafkah akan gugur sekiranya isteri melakukan tindakan nusyuz terhadap suaminya.

Yang dimaksudkan dengan nusyuz ialah penderhakaan isteri terhadap suaminya tanpa alasan yang diharuskan syara' dengan tidak mentaati perintahnya atau keluar dari rumah suami tanpa keizinannya atau tidak membenarkan suami memasuki kerumahnya atau tidak mahu memasuki ke rumahnya atau tidak mahu memasuki ke rumah suaminya atau seumpama dengannya.[3]

Isteri yang telah disabitkan oleh Mahkamah Kadi Nusyuznya, maka menurut Ijma" Ulama" bahawa nafkah kepadanya gugur kerana nafkah diwajibkan kepada isteri disebabkan ianya terkurung dalam rumah tangga. Isteri yang nusyuz ialah isteri isteri yang membebaskan dirinya dari kurungan suami dengan tidak mentaatinya, tanpa alasan yang diharuskan syara' maka gugurlah nafkah ke atasnya. Adapun isteri yang belum disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Kadi, walaupun ada angapan nusyuz, maka nafkah ke atasnya masih wajib.[4]

Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 diperuntukkan bahawa Mahkamah berhak tertakluk kepada hukum Syarak memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, sesorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya iaitu antara lain :
a)      Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya.
b)      Apabila dia meninggalkan rumah suaminya.
c)      Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah menurut hukum Syarak.

            Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah menjadi nusyuz (s 59).[5]

Dalil al-Quran surah an-Nisa" ayat 34 turut menyatakan tentang keadaa isteri yang nusyuz :

"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan nusyuz (derhaka) hendaklah kamu menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya) kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkna mereka. Sesungguhnya Allah maha tinggi lagi maha besar".
Manakala hadith Rasulullah S.A.W tentang isteri yang nusyuz :
"Jika seseorang perempuan engkar untuk tidur bersama suaminya maka dia dilaknat oleh malaikat sehingga waktu subuh".
            Kadar nafkah atau belanja yang diwajibkan adalah setakat keperluan dan hajat menurut keadaan dan kemampuan serta kekuasaan orang yang berkewajipan menigikut kelaziman dan adat sesuatu tempat. [6]
            Menurut ulama’ Syafi’I, kadar nafkah yang ditetapkan ialah mengikut kemampuan orang yang bertanggungan iaitu di pihak suami[7] sama ada susah atau senang (orang berada) mengikut kebiasaan atau ‘uruf setempat dan hendaklah secara berpatutan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah S.W.T  dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 233 dan juga surah at-Talaaq ayat 7 yang bermaksud :

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, Maka tidak ada dosa atas keduanya. dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, Maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahwa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.”[8]

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”[9]


[1] Al-Nisa’ : 34
[4] Ibid.
[5] Ahmad Ibrahim, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, MLJ 1999, h. 75
[6] Suwaid Tapah, “Nafkah isteri”, Manual Undang-undang Keluarga Islam, Cet I, Kuala Lumpur : IKIM,2006, h. 66.
[7] Abu Ishaq al-Syirazi, Al-Muhadhdhab, Jil 2, h.161.
[8] Al-Baqarah : 233
[9] At-Talaaq : 7

0 comments:

Post a Comment