Saturday, November 6, 2010

Prosedur Permohonan Sijil Faraid MSWPKL


Undang-undang asas yang terpakai kepada agihan pusaka orang-orang Islam di Malaysia adalah tertakluk kepada hukum Syarak. Ini adalah kerana Mahkamah yang berhak menentukan kesahihan agihan sesuatu pusaka itu ialah mahkamah Syariah. Bcgitu juga Akta-akta yang berkaitan dengan pembahagian Pusaka seperti Akta Pengagihan Pusaka 1958 serta Akta Wasiat 1959 tidak terpakai kepada orang-­orang Islam. Namun begitu beberapa pengecualian bolch diberikan terutama kepada pembahagian tanah adat di Ncgeri Sembilan dan pembahagian tanah rancangan FELDA yang tertakluk kepada undang­-undang tertentu yang mungkin berbeza dengan hukum Syariah.[1]


Namun begitu dari segi pentadbiran dan pengurusan agihan harta pusaka orang Islam itu tertakluk kepada beberapa peruntukan undang-­undang seperti Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (pernbahagian) 1955. Mahkamah Syariah hanya berperanan mengesahkan siapakah waris-waris kepada si mati dan bahagian-bahagian mereka sahaja. Pihak yang berkuasa untuk Pengagihan pusaka ialah pentadbir harta pusaka dan mahkamah sivil. Sungguhpun undang-undang di alas membenarkan masyarakat umum mentadbir harta-harta pusaka, namun lazimnya harta tersebut ditadbir oleh pemegang amanah raya atau peguam yang dibayar bayaran tertentu kerana proses tuntutan yang agak rumit.[2]


Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes penentuan waris dan bahagian setiap orang waris yang dikeluarkan dalam “Sijil Faraid“. Ini berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri atau Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta505). Di samping itu Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dalam hal berkaitan wasiat, hibah, wakaf, sah taraf anak, perkahwinan, harta sepencarian dan nasab yang mana semua ini mempunyai kaitan rapat bahkan keputusan Mahkamah Syariah berkaitan perkara-perkara di atas mempengaruhi pembahagian harta pusaka.[3]


Sijil Faraid atau perakuan ahli waris ialah satu sijil atau perakuan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri berhubung dengan harta pusaka si mati orang Islam. Sijil ini, antara lain mengandungi senarai nama waris-waris yang berhak dan kadar bahagian mereka masing-masing. Sijil faraid dikeluarkan apabila ada permohonan daripada waris-waris atau pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk membahagikan harta pusaka mengikut syarak (faraid).[4]


Menurut peruntukan undang-undang yang ada di Malaysia, Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Faraid. Umpamanya di bawah Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhak menentukan bahagian dan orang-orang yang berhak mendapat harta pusaka[5].



Ahli waris atau pihak-pihak tertentu yang berhak boleh membuat permohonan sijil faraid untuk membahagikan harta pusaka si mati yang beragama Islam mengikut hukum syarak. Prosedur ini bertujuan untuk menguruskan pengiraan dan pengeluaran Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid supaya memenuhi kehendak hukum syarak. Prosedur permohonan ini bermula dari prosedur pendaftaran sehingga Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid dikeluarkan iaitu suatu akuan rasmi yang mengandungi maklumat pembahagian harta pusaka kepada waris-waris si mati (orang Islam) yang telah dikira dan disahkan.


Prosedur bermula dengan ahli waris mengemukakan borang permohonan di Mahkamah Syariah dengan melampirkan dokumen-dokumen yang diperlukan iaitu:


  1. Salinan Surat Mati pewaris-pewaris/Surat Akuan Sumpah.
  2. Salinan Kad Pengenalan/Sijil Kelahiran waris/ Surat Akuan Sumpah.
  3. Salinan Surat Nikah/ Akuan Sumpah (jika berkenaan).
  4. Salinan geran tanah/ rumah/ Perjanjian Jual beli/ penyata bank/ insuran/ Tabung Haji (yang mana berkenaan)


Petugas kaunter akan menyemak borang permohonan berkenaan untuk memastikan sekiranya borang permohonan tersebut tidak lengkap atau tidak tepat. Sekiranya perkara tersebut terjadi, maka borang permohonan itu akan dikembalikan semula kepada pemohon untuk diperbetulkan dan dilengkapkan.


Seterusnya, petugas kaunter akan mendaftarkan kes dalam komputer dan menetapkan tarikh sebutan iaitu dalam tempoh 21 hari daripada permohonan diserahkan termasuk hari cuti. Apabila fi telah diterima, resit dan notis kehadiran akan diserahkan kepada pemohon. Pada masa yang sama, petugas kaunter akan menyediakan dan melengkapkan fail kes dengan maklumat-maklumat seperti berikut:


  1. Nombor kes dan tarikh daftar
  2. Jenis kes
  3. Nama pemohon dan si mati
  4. Tarikh sebutan
  5. Catatan tanda terima bayaran
  6. Kertas minit


Selepas itu, petugas kaunter akan menyerahkan fail kes tersebut kepada Pembantu Hakim.


Apabila Hakim telah menerima fail kes tersebut,satu siasatan dan perbicaraan akan dijalankan ke atas pemohon. Sekiranya siasatan memerlukan kepada keterangan daripada ahli waris atau bukti-bukti tambahan, siasatan akan ditangguhkan dan penetapan tarikh perbicaraan baru akan ditetapkan semula. Jika pemohon dan ahli waris yang tidak mahu hadir dan tidak ingin memberikan kerjasama, kes tersebut akan ditutup dan ditolak. Sebaliknya jika masalah itu tidak terjadi, maka hakim akan membuat pengiraan apabila selesai semua siasatan.


Kemudiannya, Pembantu Hakim akan mengeluarkan Sijil Faraid atau menjana Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian Faraid dalam tempoh masa 7 hari selepas pembahagian hak waris dilakukan. Setelah itu, Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian Faraid akan dikemukakan oleh kepada Hakim untuk ditandatangani. Hakim seterusnya akan menyemak sijil faraid tersebut dan pembetulan akan dibuat sekiranya terdapat sebarang kesilapan.


Pembantu Hakim juga memainkan peranan untuk menguruskan penyerahan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid kepada pemohon dan memfailkan satu salinan sijil atau perintah tersebut ke dalam fail kes dan fail itu disimpan. Seterusnya, mengemaskini segala maklumat di dalam e-syariah.


Manakala akan berlaku pembatalan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid apabila ada waris-waris si mati yang mendakwa seseorang ahli waris yang tertera dalam sijil faraid tersebut bukan dari kalangan ahli waris atau terdapat ahli waris yang berhak tetapi tidak disenaraikan atau tertinggal dan sekiranya terdapat apa-apa kecacatan pada Sijil Faraid yang telah dikeluarkan. Pihak mahkamah akan mengarahkan ahli waris tersebut supaya membuat surat membatalkan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid tersebut dan mengemukakan permohonan yang baru.


Kemudian, Hakim atau Pembantu Hakim akan menyemak semula permohonan baru tersebut dan tindakan yang sama seperti yang telah diterangkan sebelumnya akan dijalankan. Jika mendapat persetujuan daripada pemohon dan ahli waris untuk membatalkan Sijil atau Perintah Pembahagian Faraid tersebut dengan cop ‘BATAL’, maka ianya akan disimpan di dalam fail dan sijil baru akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah.


Namun begitu, jika terdapat pemohon atau waris-waris yang tidak bersetuju, mereka akan diarahkan untuk memfailkan kes mal sabitan waris berdasarkan PKU-MSWP-01.


Antara kes-kes menarik berkenaan pembahagian pusaka orang Islam anda boleh merujuk kepada laporan kes Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary dan juga kes Allahyarham Tan Sri SM Nasimudin.






[1] Ahmad Hidayat Buang (2000), Bagaimana Pusaka Diagihkan?.Kuala Lumpur : Jabatan Syariah dan Undang-Undang UM, h. 19.

[2] Ibid.

[3] Tuan Haji Wan Abdul Halim bin Wan Harun ,“Isu-Isu Pembahagian Harta Pusaka Orang Islam Dalam Konteks Perundangan Malaysia”, http://www.islam.gov.my/portal/pdf/2009/artikel/pusaka.pdf, 26 Oktober 2010.

[4] Mohd Zamro Muda, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan Di Malaysia,Bangi : Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, h. 235.

[5] Ibid.

5 comments:

zainurul said...

Alhamdulilah sangt membantu thankyou :)

♥ Mahmudah Narowi (Ummu Nuha) ♥ said...

sme2...semoga perkongsian ini dpt memberi manfaat bersama...barakallahufeek (:

Sham said...

Salam. saye nak bertanye,simati ad meninggalkan kereta,van,rumah 2 biji. kesemua harte itu di atas nama simati. simati masih mempunyai ibu yang masih hidup. adakah si ibu berhak keatas harte anaknye ? sedangkan simati bersusah payah mencari rezeki untuk keluarganya. contoh la rumah 1 ni keluarga simati menetap,rumah 2 disewakan. kereta pula keluarga gune untuk pergi ke kedai. adakah ibunya berhak ke atas salah 1 harte simati ? saye kurang faham disini..boleh tolong saya? ..

Anonymous said...

Assalammualaikum Puan,

Saya nak bertanya,bagaimana hendak membuat carian berkenaan sijil akuan faraid yang telah dikluarkan oleh mahkamah syariah kepada pentadbir harta tanpa mengetahui nombor I.C pemohon tersebut? adakah terdapatnya cara lain? harap puan boleh membantu.

- Mohd -

Unknown said...

Salam
Sy ingin bertanya jika saya ingin membuat pembatalan faraid arwah adik sy awal2 bapa saudara bersetuju lepaskan hak lepastu diorang tukar surat sumpah tanda kat faraid boleh ke sy buat pembatalan szmula

Post a Comment