Wednesday, June 1, 2011

Bulan Rejab

Bulan Rejab ialah salah satu bulan daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah Ta`ala dalam firmanNya:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang empat itu

[ At-Taubah:36 ]

Bulan-bulan haram adalah: Muharam,Rejab,Zulkaedah,Zulhijjah.

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رضي الله عنه عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا , مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ , ثَلاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ : ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ , وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah radiallahu`anhu daripada Nabi Sallallahu`alaihiwasallam bersabda: Satu tahun terdiri dua belas bulan,daripadanya ada empat bulan haram,tiga bulan berturut-turut, Zukaedah,Zulhijjah dan Muharam,sedangkan Rejab Mudhar pula terletak antara Jumada akhir dan Sya`aban.

[ HR Bukhari no:4662, Muslim no:1679 ]

Kenapa Dinamakan Bulan-bulan ini sebagai bulan haram?

1) Diharamkan peperangan pada bulan ini kecuali jika jelas diserang musuh atau berlanjutnya peperangan dari bulan sebelumnya.

2) Pengharaman melakukan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan syariat lebih dahsyat berbanding bulan-bulan lain, sebab itulah Allah melarang melakukan maksiat pada bulan-bulan ini sebagaimana FirmanNya:

فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang empat itu

[ At-Taubah:36 ]

Melakukan maksiat dan dosa adalah terlarang pada bila-bila masa namun melakukannya pada keempat-empat bulan haram ini lebih dahsyat dan kuat pengharamannya dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan haram adalah lebih berbanding pada bulan-bulan yang lain.

Kata Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah:

سمّي رجبٌ رجباً؛ لأنه كان يرجب، أي يُعظَّم، يُقال: رَجَبَ فلانٌ مولاه، أي عظَّمه

Dinamakan Rejab sebagai Rejab kerana ianya dihormati,iaitulah diagungkan, dikatakan; Fulan menghormari tuannya,iaitulah mengagungkannya.

[ Al-Lathoif Al-Ma`arif 1/117 ]

Orang-orang Arab Jahiliyyah sangat mengagungkan bulan Rejab,khususnya kabilah Mudhar sebab itulah disebutkan dalam Hadith " Rejab Mudhar" .

Kata Ibnul Athir :

أضاف رجباً إلى مضر؛ لأنهم كانوا يُعظِّمونه خلاف غيرهم، فكأنهم اختصُّوا به

Disandarkan Rejab kepada Mudhar,kerana dahulu mereka sangat mengagungkannya tidak seperti kabilah yang lain,maka seakan-akan mereka mengkhususkan bulan ini pada mereka.

[ An-Nihayah fi Gharibil Hadith Wal Athar 2/197 ]


Bid`ah-Bid`ah pada bulan Rejab:

Tidak syak lagi bulan Rejab termasuk antara bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah Ta`ala sebagaimana disebut dalam kitabNya dan melarang manusia daripada melakukan kezaliman di dalam bulan ini,namun bukanlah bermaksud untuk melakukan atau mereka cipta ibadah-ibadah tertentu dan mengkhusukan pada bulan ini dengan ibadah tertentu yang tidak ada pada bulan lain,kerana ianya tidak tsabit daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam tentang melakukan ibadah khusus dalam bulan ini.Para Ulama` telah menetapkan bahawa mengkhususkan ibadah pada waktu-waktu tertentu yang tidak dikhususkan oleh Syari`at maka ianya tidak boleh dilakukan kerana tidak ada kelebihan pada ibadah atau waktu tertentu melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh Syari`at.

Sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Sesiapa yang mereka cipta sesuatu dalam urusan kami( syariat Islam) ini apa yang tiada dasarnya maka ianya tertolak.

[ HR Bukhari ]


Antara bid`ah-bid`ah yang sering dilakukan pada bulan Rejab:


1) Menyembelih haiwan sembelihan atau dinamakan ( Al-`Atirah ).

Dahulunya kaum Jahiliyyah menyembelih sembelihan yang dinamakan "Al-`Atirah" apabila datang Islam,Islam membatalkan dan menghapuskan amalan tersebut.

Sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam:

لَا عَتِيرَةَ فِي الْإِسْلَامِ

Tidak ada `Atirah dalam Islam.

[ HR Ahmad no:7135, isnadnya shahih juga asalnya seperti didalam As-Shahihain ]

Berkata Abu `Ubaidah:

العتيرة هي الرجبية ذبيحة كانوا يذبحونها في الجاهلية في رجب يتقربون بها لأصنامهم

Al-`Atirah adalah sembelihan yang dilakukan untuk mengagungkan atau memuliakan bulan Rejab,dahulu mereka menyembelihnya pada zaman Jahiliyyah pada bulan Rejab bertujuan untuk mendekatkan diri mereka dengannya terhadap berhala-berhala mereka.

[ Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari,Ibn Hajar Al-`Asqalani 9/598 ]

Berkata Ibnu Rejab Al-Hanbali:

ويشبه الذبح في رجب اتخاذه موسمًا وعيدًا كأكل الحلوى ونحوها

Menyerupai penyembelihan pada bulan Rejab adalah menjadikan ianya sebagai musim dan perayaan tertentu seperti memakan halwa(manisan) dan yang sepertinya.

[ Lathoif Al-Ma`arif 1/118 ]


2) Meyakini dan beritiqad bahawasanya malam dua puluh tujuh Rejab adalah malam berlakunya Israk dan Mikraj,atau menyambutnya sebagai perayaan.

Tidak ada nas serta dalil yang khusus menjelaskan tarikh berlakunya Israk dan Mikraj,bahkan telah berlaku perselisihan yang besar di kalangan para Ulama` Islam dan ahli sejarah dalam menentukan tarikh berlakunya Israk Mikraj.Maka adalah mustahil jika ditetapkan malam tertentu berlakunya Israk Mikraj tanpa ianya mempunyai dalil yang jelas daripada nas.

Jika benar ada ibadah khusus dan perayaan tertentu yang digalakkan oleh Syariat untuk melakukannya tentulah Nabi sallallahu`alaihiwasallam sudah menjelaskannya,juga tentulah para sahabat serta Salafussoleh sudah menyambutnya,namun tidak ada satu riwayat pun yang menyebutkan hal tersebut, bahkan Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:

لا تَتَّخِذُوا شَهْرًا عِيدًا ، وَلا تَتَّخِذُوا يَوْمًا عِيدًا

Janganlah kamu menjadikan bulan tertentu sebagai perayaan,dan janganlah kamu jadikan hari tertentu sebagai perayaan.

[ Diriwayatkan secara mursal dalam Musannaf Abdul Razak no:7639, perawinya kesemuanya tsiqah,hadith ini boleh berhujjah dengannya-insyaAllah- ]

3) Solat Raghaib

Mereka-cipta solat yang dilakukan pada malam jumaat awal bulan Rejab yang dinamakan dengan solat Raghaib,kemudian mereka membuat hadith-hadith palsu menjelaskan tentang kelebihannya.

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

Begitulah juga hadith-hadith berkenaan solat Raghaib yang dilakukan pada malam jumaat pertama pada bulan Rejab,kesemuanya adalah dusta yang direka cipta atas nama Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam......

Misalnya hadith:

لا تغفلوا عن أول جمعة من رجب ,فإنها ليلة تسميها الملائكة الرغائب....

Janganlah kamu lalai daripada awal jumaat daripada bulan Rejab,kerana padanya terdapat satu malam yang dinamakan oleh malaikat sebagai Raghaib.


Hadith ini adalah palsu,madar( sebabnya) dalam perawinya ada pendusta dan pemalsu hadith iaitulah Ibnu Jahdham beliau ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdham,seorang syeikh Sufi di Mekah.Hal ini sebagaimana diulas oleh Ibnul Jauzi yang menyebut bahawasnya di dalamnya terdapat perawi-perawi yang majhul.

[ Al-Manarul Munif m/s:76 , rujuk juga Al-Laali Al-Masnu`ah 2/30 ]


4) Mengkhususkan puasa pada bulan Rejab.

Telah tsabit bahawasanya `Umar bin Al-Khattab radiallahu`anhu pernah memukul tangan seorang lelaki yang berpuasa (disebabkan memuliakan) bulan Rejab sehinggakan beliau `Umar menarik tangannya menuju kepada makanan (agar dia berbuka),kemudian `Umar berkata: " Apa Rejab?, sesungguhnya bulan Rejab ini hanya diagungkan oleh kaum jahiliyyah,apabila Islam datang maka ianya ditinggalkan

[ Musannaf Ibnu Abi Syaibah 2/345, Ibnu Wadhaah dalam Kitab Al-Bida` ]


Begitu jugalah mengkhususkan amalan-amalan lain seperti sedekah,Umrah dan selainnya dengan keyakinan bahawa ada ganjaran khusus disebabkan bulan Rejab maka kesemuanya adalah terbina di atas bid`ah dan sangka-sangkaan dalam agama.Sebagaimana yang kita ketahui menyintai Nabi sallallahu`alaihiwasallam adalah dengan mengikuti sunnahnya bukan dengan mereka-reka amalan atau perayaan tertentu yang tidak ada dalil dan hujjahnya,maka seharusnya umat Islam berwaspada dengan setiap bid`ah dalam agama dan mencukupkan diri hanya dengan Sunnah-sunnah Nabi sallahu`aihiwasallam berdasarkan dalil-dalil yang shahih.

Wallahu`alam,

0 comments:

Post a Comment