Friday, November 18, 2011

Analisis Elemen Keterangan : Kes Ketua Pendakwa Syarie lwn. Abd Kahar Ahmad



1.0 PENDAHULUAN

Undang-undang Keterangan adalah penting dalam proses kehakiman kerana melalui keteranganlah yang dapat membantu hakim mencari kebenaran dan menjatuhkan hukuman dengan tepat seperti yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.[1]

Undang-undang keterangan di Mahkamah Syariah digubal bagi membantu semua pihak yang terlibat untuk menegakkan perkara yang didakwa atau dituntut. Undang-undang ini diwujudkan dengan fungsi seperti berikut:

1.  Menentukan apakah fakta yang boleh dikemukakan dalam mahkamah atau menentukan fakta yang relevan (qarinah).
2.       Kaedah pembuktian atau cara bagaimana fakta-fakta relevan dibuktikan.
3.       Siapa dan bagaimana pembuktian dikemukakan dalam 3. sesuatu prosiding.[2]

Untuk tugasan subjek Undang-undang Keterangan Islam (IUEL 3103) ini, saya telah memilih kes Ketua Pendakwa Syarie lwn. Abdul Kahar Bin Ahmad untuk dianalisis. Kes ini merupakan kes jenayah dengan gabungan lima pertuduhan terhadap tertuduh.

Tugasan ini merangkumi enam bahagian. Pertama, bahagian pendahuluan yang menjelaskan serba sedikti tentang Undang-undang keterangan Islam. Kedua, fakta kes, yang mana dalam bahagian ini menerangkan berkaitan fakta-fakta kes antaranya seperti pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini. Ketiga pula, isu kes iaitu masalah kepada jawapan yang akan dikemukakan dalam keputusan penghakiman. Isu yang diketengahkan di dalam analisis kes ini hanyalah isu yang membabitkan elemen keterangan sahaja disamping menyentuh serba sedikit tentang jenayah Islam. Seterusnya yang keempat, pembuktian dan keterangan, yang mana saya akan menerangkan apakah elemen-elemen keterangan yang terdapat dalam kes ini sebagai contoh elemen keterangan dalam kes ini adalah iqrar (pengakuan bersalah) tertuduh dihadapan hakim. Pengakuan atau iqrar yang dilakukan oleh seseorang yang telah sabit dan sah memberi kesan dan mengikat orang yang membuat pengakuan itu[3]. Kelima, alasan penghakiman, yang mana ini adalah berkaitan dengan sebab-sebab hakim memutuskan sesuatu keputusan dalam penghakiman. Manakala bahagian yang terakhir yang adalah bahagian penutup atau kesimpulan.

Antara statut atau undang-undang yang dirujuk dan digunakan dalam tugasan ini adalah Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan Perlembagaan Persekutuan.

2.0 FAKTA KES

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SHAH ALAM
DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA
                                                    KES JENAYAH NO :  
                    
       10200-108-0025/2005
                                                10200-107-0042/2005
                                                10200-136-0043/2005
                                                10200-109-0044/2005
                                                10200-134-0045/2005

DI ANTARA
KETUA PENDAKWA SYARIE
LAWAN
ABDUL KAHAR BIN AHMAD (Tertuduh)

Hakim                                                                   : Y.A Tuan. Haji Abu Zaky bin Mohammad.

Peguam syarie / Ketua Pendakwa Syarie       :

Pendakwa Syarie Selangor                     : Abdul Shukor Bin Abd. Hamid, Nazri Bin Busrowi,
                                                                      Zusyafarain Bin Yusoff.
Tertuduh                                                   : Zulkifli Bin Che Yong, Azmi Bin Tan Sri Mohd Rais
                dari Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co.

Dalam kes ini, Abdul Kahar Bin Ahmad (Tertuduh) telah dituduh atas lima kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu :

1.       Seksyen 7 (1) iaitu kesalahan berkaitan Doktrin Palsu.
2.       Seksyen 8 (a) iaitu kesalahan berkaitan Dakwaan Palsu.
3.       Seksyen 10 iaitu kesalahan berkaitan Menghina Atau Menyebabkan Dipandang  Hina, dan lain-lain, Agama Islam.
4.      Seksyen 12 iaitu kesalahan berkaitan Menghina Pihak Berkuasa Agama.
5.  Seksyen 13 iaitu kesalahan berkaitan Pendapat Yang Bertentangan Dengan Fatwa.

Pada tarikh 26 Julai 2005, Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor telah memfailkan pendakwaan terhadap Tertuduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor yang berbidangkuasa. 27 Julai 2005, tarikh sebutan pertama dan Tertuduh hadir tetapi Tertuduh tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 8 000.00 dan dua orang penjamin iaitu :

1.       En. Mohd Shani Bin Awalludin.
2.       Pn. Norchahaya Binti Abd. Ghani.

Beberapa prosiding dilaksanakan dengan kehadiran Tertuduh dan Penjamin. Namun pada 13 Jun 2007, Tertuduh telah gagal menghadirkan diri ke Mahkamah beberapa kali. Maka, Mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada Tertuduh dan dilanjutkan beberapa kali sehingga akhirnya Tertuduh telah ditangkap pada 16 September 2009.

Berdasarkan rekod Pendakwa Syarie, kes ini telah dicabar di Mahkamah Persekutuan berkaitan keesahan pertuduhan Jenayah Syariah yang dibuat ke atas Tertuduh di Mahkamah Tinggi Syariah. Akan tetapi, keputusan Mahkamah Persekutuan dengan jelas menerangkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah berbidangkuasa untuk mendengar, membicarakan dan memutuskan kes Tertuduh.

Pada 17 September 2009, Tertuduh telah di bawa ke hadapan Mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan sementara sehingga tarikh perbicaraan. Mahkamah membenarkan Tertuduh ditahan sehingga disebut semula pada 24 September 2009.

Pada tarikh tersebut Tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan yang dipertuduhkan. Atas pengakuan tersebut, Mahkamah membenarkan Pesalah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM 2000.00 dan dua orang penjamin yang terdiri dari penjawatan awam Jusa C ke atas bagi setiap pertuduhan. Sekiranya gagal, Mahkamah mengarahkan Pesalah ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga tarikh sebutan akan datang.

Pihak Pendakwa dan Peguam Syarie Pesalah telah membentangkan hujahan masing-masing di hadapan mahkamah pada prosiding yang bertarikh 2 Oktober 2009 dan 7 oktober 2009. Pesalah (melalui Peguam Syarie beliau) telah memohon kepada Mahkamah agar menimbangkan beberapa faktor supaya dapat meringankan hukuman yang akan diputuskan terhadap Pesalah.

3.0 ISU KES
  1. Adakah pengakuan bersalah Tertuduh mengikat diri Tertuduh untuk disabitkan bersalah di atas segala pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.
  2. Sama ada rayuan peringanan hukuman terhadap pihak Pesalah  boleh diambil kira atau tidak.
  3. Keesahan wakalah yang dilafazkan dan difailkan oleh Peguam Syarie Pesalah sebagai mewakili pesalah dalam prosiding kes yang dihadapkan ke atasnya.


4.0  PEMBUKTIAN DAN KETERANGAN

4.1 IQRAR ( PENGAKUAN BERSALAH )

Elemen keterangan yang utama dalam kes ini adalah iqrar. Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak[4]. Menurut Mazhab Syafie iqrar ialah pemberitahuan suatu hak yang sabit ke atas orang yang memberitahu atau pemberitahuan oleh seseorang tentang sesuatu hak ke atas dirinya[5].

Berdasarkan fakta kes ini, pada prosiding bertarikh 24 September 2009, Tertuduh telah menukar pengakuannya kepada pengakuan bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas beliau. Oleh yang demikian, Pengakuan bersalah Tertuduh tersebut merupakan suatu iqrar yang mengikat Tertuduh sendiri selari dengan kaedah yang menyebut :

المرء مؤخذ بإقراره
Maksudnya : “Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya”

Di dalam sesuatu kes jenayah, apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dibentuk,dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan[6].

Dan jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan sama ada atas pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu dengan syarat bahawa sebelum suatu akuan bersalah itu direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui tanpa bersyarat kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu[7].

Kelima-lima pertuduhan telah dibacakan terhadap Tertuduh. Mahkamah telah mendapatkan pengakuan bersalah Tertuduh sebanyak tiga kali yang mana Tertuduh mengakui mendengar dan faham akan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan bersetuju dengan pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan oleh Pembantu Pendaftar Mahkamah.

Mahkamah mensabitkan Tertuduh berslah  berdasarkan pengakuannya bersalah Tertuduh sebanyak tiga kali, secara sukarela, tanpa sebarang paksaan atau pujukan mana-mana pihak dan tanpa sebarang syarat terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan kepada Tertuduh. Tertuduh juga memahami kesan akibat pengakuan salah tersebut ketika disoal oleh Mahkamah.

Mahkamah di dalam kes ini juga merujuk Kitab Khosiah I’anat Talibin , Juzu’ 3 muka surat 187 yang berbunyi :


الإقرار لغة الاثبات وشرعا إخبار الشخص بحق عليه ويسمى اعتراف

Maksudnya : “Iqrar dari segi bahasa beerti mensabitkan manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang ke atas dirinya. Iqrar juga disebut iktiraf”.

Menurut kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2 muka surat 238 menyebut:

واركانه اربعة ك مقر ومقرله وصيغة ومقربة
Maksudnya : “Rukun iqrar itu ada empat perkara iaitu orang yang beriqrar, orang yang diberikan iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar, ucapan atau kata-kata iqrar dan hak atau kepentingan yang didiktiraf oleh pihak yang beriqrar”.

Selain itu, firman Allah S.W.T ada menyebut :

يأيها الذين آمنوا كونوا قوامين بالقسط شهداء لله ولو على أنفسكم...
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri…”[8]

Ayat ini secara jelasnya menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan kesaksian ke atas diri kamu sendiri itu ialah iqrar. Contohnya pada zaman Rasulullah S.A.W, Baginda telah mengenakan had zina ke atas Maiz dan Ghamidiyyah sebagai bukti keesahan pembuktian secara iqrar dalam hukum syarak setelah Baginda menerima iqrar melakukan zina daripada mereka.

Dari sudut perundangan Mahkamah merujuk Seksyen 17(2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang mana memperuntukkan :

“ Sesuatu iqrar hendaklah dibuat :
  1. Dalam Mahkamah, dihadapan hakim atau
  2. luar Mahkamah, dihadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.”

Dalam kes ini rukun iqrar telah dipenuhi sepenuhnya. Orang yang beriqrar ialah Tertuduh sendiri, orang yang diberikan iqrar ialah Hakim, pengakuan bersalah merupakan sighah dan hak yang diiqrarkan ialah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.9 Tahun 1995.

Pihak Pendakwa di dalam kes ini telah berjaya membuktikan fakta-fakta tersebut dan berjaya membuktikan Tertuduh telah melakukan kesalahan-kesalahan tersebut berdasarkan pengakuan salah Tertuduh itu sendiri yang mengakui setiap bait ayat di dalam fakta kes yang dibentangkan yang mana pembuktian dakwaan di dalam kes ini adalah menjadi tanggungjawab Pendakwa selari dengan kaedah fiqh :

البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Maksudnya : “Keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar”
Dan juga telah memenuhi kehendak dan keperluan yang diperuntukkan dalam Seksyen 73,74,75,76 dan Seksyen 77 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

4.2 DOKUMENTAR

Dalam penghujahan Peguam Syarie Pesalah ada menyatakan bahawa Pesalah telah membuat pengakuan bersalah bagi setiap kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas Pesalah dan ini merupakan qarinah kepada taubat dan keinsafan Pesalah terhadap keseluruhan kesalahan tersebut .

Peguam Syarie Pesalah di dalam prosiding telah tampil dan mengemukakan satu dokumen dengan ditandatangani oleh Pesalah sebagai bukti taubat dan keinsafan tersebut. Akan tetapi pihak Peguam Syarie Pesalah gagal menunjukkan kepada Mahkamah bukti bahawa dokumen yang ditanda sebagai MAA-6 sebagai pengakuan memohon maaf dan keinsafan serta taubat Pesalah adalah ditulis sendiri oleh pihak Pesalah dan lahir dari hati Pesalah itu sendiri tanpa ada faktor-faktor lain yang mempengaruhi pengakuan tersebut.

Kemudian, pihak Peguam Syarie juga berhujah berkenaan kegagalan Pesalah menghadirkan diri ke mahkamah selama ini adalah pada hakikatnya tidak bermaksud untuk menyusahkan pihak Mahkamah. Namun, kegagalan tersebut adalah di atas faktor ancaman keselamatan oleh pihak-pihak tertentu ke atas diri Pesalah. Pesalah juga menghujahkan bahawa walaupun gagal menghadirkan diri ke Mahkamah akan tetapi Pesalah langsung tidak meninggalkan Malaysia untuk tujuan menyembunyikan atau melarikan diri.

Untuk menyokong fakta ini dilampirkan satu Laporan Polis yang ditandakan sebagai eksibit MAA-9 berkaitan kes sebuah kereta jenis Kelisa dengan nombor pendaftaran WMX 1555 telah dibakar oleh individu yang dipercayai ingin mengancam keselamatan Pesalah.

Namun, setelah diteliti fakta kes dan dokumen, Mahkamah mendapati bahawa kereta tersebut adalah milik anak Pesalah yang bernama Nur Adilla Bt Abd.Kahar dan bukanlah milik mutlak Pesalah. Berdasarkan perkara ini, Mahkamah berpendapat bahawa Pesalah telah gagal membuktikan fakta yang mengatakan tentang keselamatan Pesalah terancam selama ini. Di samping itu, Pesalah juga turut gagal mengemukakan sebarang bukti lain yang boleh diambil kira untuk diteliti dan dipertimbangkan di dalam isu ini.

Sehubungan dengan itu, pada tarikh 2 oktober 2009, Peguam Syarie Pesalah telah memfailkan satu wakalah bagi kelima-lima kes yang diwakilinya. Walaupun sebenarnya tidak terdapat mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa setiap kes atau pertuduhan hendaklah disertakan dengan satu wakalah khusus.

Merujuk Kitab Terjemahan Fiqh dan Perundangan islam, Jilid V, halaman 86, karangan Dr Wahbah Zuhaily ada menyatakan bahawa jumhur berpendapat bahawa wakalah bertujuan sebagai wakil untuk menjawab dakwaan pendakwa dengan tujuan menjelaskan kebenaran dan mensabitkannnya bukan untuk pertelagahan.

5.0 ALASAN PENGHAKIMAN
               
                Berdasarkan kepada isu adakah pengakuan bersalah Tertuduh mengikat diri Tertuduh untuk disabitkan bersalah di atas segala pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya, Mahkamah berpandangan bahawa pengakuan salah (iqrar) oleh Tertuduh sudah mencukupi untuk Mahkamah mensabitkan keslahan-kesalahan Tertuduh terhadap kelima-lima pertudahan yang telah dibacakan ke atasnya.

                Oleh itu, Mahkamah telah mensabitkanTertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7,8,10,12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.9/1995 seperti yang telah dinyatakan dalam pertuduhan-pertuduhan pihak pendakwa dan setelah  Mahkamah meneliti pandangan ulama’ dan mendapati bahawa pihak Pendakwa telah mengemukakan keterangan-keterangan yang jelas dan kukuh serta membuktikan Tertuduh telah melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Melalui pengakuan bersalah Tertuduh, Mahkamah telah berpuas hati bahawa pengakuan tersebut hendaklah diterima dan boleh direkodkan oleh Mahkamah dan ianya bersesuaian dengan Seksyen 96 (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi :

“Jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan sama ada atas pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu ;”

                Dengan syarat bahawa sebelum sesuatu akuan bersalah itu direkodkan, Mahkamah perlu menentukan bahawa Tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat mengakui tanpa bersyarat terhadap kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu. Di dalam kes ini, Tertuduh juga memahami kesan akibat pengakuan salah tersebut ketika disoal oleh pihak Mahkamah.

                Seterusnya, merujuk kepada isu sama ada rayuan peringanan hukuman terhadap pihak Pesalah  boleh diambil kira atau tidak, Mahkamah berpendapat bahawa Pesalah gagal membuktikan “taubat nasuha” seperti yang diperkatakan di dalam penghujahan pihak Peguam Syarie Pesalah yang gagal membuktikan bahawa Pesalah telah benar-benar bertaubat dari melakukan kesalahan-kesalahan ini.

                Sebenarnya, konsep “Taubat Nasuha” itu perlulah dilaksanakan dengan prosedur-prosedur tertentu seperti sembahyang taubat, istighfar menyesali kesalahan-kesalahan lampau, syahadah di hadapan pihak yang berbidangkuasa dan sebagainya, bukanlah cukup sekadar dengan hanya melafazkan kepada Mahkamah bahawa Pesalah telah mengaku kesilapan dan meminta maaf atas kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Mahkamah berpendapat bahawa tindakan pengakuan Pesalah terhadap kesalahannya itu hanyalah satu tindakan yang umum sahaja.

Mengenai isu keesahan wakalah yang dilafazkan dan difailkan oleh Peguam Syarie Pesalah sebagai mewakili pesalah dalam prosiding kes yang dihadapkan ke atasnya, Mahkamah berpandangan adalah lebih baik jika wakalah tersebut dilafazkan dan difailkan satu persatu berdasarkan kes yang diwakili untuk mengelakkan kekeliruan berlaku dan Nampak lebih teratur dalam menghadiri prosiding Mahkamah.

Perkara ini walaupun ianya Nampak remeh, akan tetapi sebagai seorang Peguam Syarie jelas tugasan seseorang Peguam Syarie itu adalah untuk membantu Mahkamah dalam memudahkan pengurusan kes. Mahkamah juga berpendapat bahawa pihak Pesalah mahupun Peguam Syarie beliau tidak mengambil berat untuk mempertahankan diri dan gagal menunjukkan keseriusan dalam mengendalikan kes ini.  

Maka Mahkamah berpuashati dan memutuskan bahawa :
1.       Bagi kes Jenayah No : 10200-107-0042/2005 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan berkaitan Doktrin Palsu, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun DAN disebat sebanyak 6 kali sebatan.
2.       Bagi kes Jenayah No : 10200-134-0045/2005 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan berkaitan Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam, Mahkamah menjatuhkan hukuman Denda sebanyak RM 4500.00 DAN Penjara selama tempoh dua tahun. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, hendaklah dipenjarakan selama tempoh satu tahun.
3.       Bagi kes Jenayah No : 10200-136-0043/2005 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan berkaitan Menghina Pihak Berkuasa Agama, Mahkamah menjatuhkan hukuman Denda sebanyak RM 3000.00 DAN Penjara selama tempoh satu tahun. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, hendaklah dipenjarakan selama tempoh satu tahun.
4.       Bagi kes Jenayah No : 10200-109-0044/2005 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 13 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan berkaitan Pendapat yang Bertentangan Dengan Fatwa, Mahkamah menjatuhkan hukuman Denda sebanyak RM 3000.00 DAN Penjara selama tempoh dua tahun. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, hendaklah dipenjara selama tempog enam bulan.
5.       Bagi kes Jenayah No : 10200-108-0025/2005 iaitu kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan berkaitan Dakwaan Palsu, Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 4500.00 DAN penjara selama tempoh dua tahun. Sekiranya gagal membayar denda tersebut, hendaklah dipenjarakan selama tempoh satu tahun. Mahkamah juga memerintahkan agar Pesalah dihantar ke Pusat Pemurniaan Akidah Baitul Iman, Hulu Yam Bharu, Selangor bagi mengikuti program Pemulihan Akidah (Istitabah) selama tempoh enam bulan yang terakhir sebelum hukuman pemenjaraan ini tamat.
6.       Mahkamah juga memerintahkan agar hukuman Penjara ini dilaksanakan secara berasingan dan dikuatkuasakan mulai daripada tarikh penahanan ke atas Pesalah dilaksanakan.

6.0 KESIMPULAN

Antara aspek-aspek keterangan dalam kes Ketua Pendakwa Syarie lawan Abdul Kahar Bin Ahmad adalah pembuktian secara iqrar melalui pengakuan bersalah oleh pihak Pesalah serta keterangan secara dokumentar.

Pengakuan, atau iqrar yang boleh dijadikan sebagai salah satu cara pembuktian untuk mensabitkan sesuatu hak atau kepentingan hendaklah memenuhi syarat sah dan ianya mengikat. Daripada keterangan analisis kes di atas, adalah jelas bahawa pengakuan bersalah yang dilakukan oleh seseorang yang telah sabit dan sah hanyalah memberi kesan dan mengikat orang yang membuat pengakuan itu sahaja. Ia tidak mensabit atau mengikat orang lain.

Pihak pendakwa di dalam kes ini telah berjaya membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan-kesalahan tersebut berdasarkan pengakuan salah tertuduh itu sendiri yang mengakui setiap bait ayat dalam Fakta Kes yang dibentangkan yang mana pembuktian dakwaan tersebut adalah menjadi tanggungjawab yang mendakwa (Pendakwa) yang selari dengan kaedah Fiqh dan juga memenuhi kehendak yang telah siyaratkan di dalam Seksyen 73,74,75,76 dan 77 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Kes yang dianalisi ini merupakan kes Jenayah. Oleh yang demikian, kes Jenayah bergantung kepada prinsip amnya iaitu :

1.       Kesalahan tertuduh itu telah menyababkan suatu kejadian dan tanggungjawab diletakkan ke atas bahunya kerana tertuduh telah menyebabkan wujudnya satu keadaan yang dilarang undang-undang ataupun dikenali sebagai actus reus dan berlawanan dengan peraturan undang-undang.
2.       Tertuduh dalam keadaan fikiran yang jelas berhubung dengan sebab kejadian ataupun wujudnya keadaan dan kejadian tersebut ataupun dikenali sebagai mens-rea yang bermakna adalah dengan niat melakukan kesalahan tersebut



[1] Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, hlm. 1.
[3] Ibid, hlm. 54.
[4] Seksyen 17 (1) , Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
[5] Dr. Mahmud Saedon A. Othman, 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, hlm. 41.
[6] Seksyen 96(a), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[7] Seksyen 96(b), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[8] Surah An-Nisa’, ayat 135.

0 comments:

Post a Comment