Sunday, January 30, 2011

Underage Marriage by Islamic Law


     Alhamdulillah pada 29 Januari lepas saya telah berpeluang menghadirkan diri ke Seminar Kebangsaan Undang-undang Keluarga Islam bertempat di Hotel Putra KL walaupun pendaftaran penyertaan dibuat pada saat-saat akhir. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana sudi memberi saya peluang untuk menjadi peserta seminar tersebut. Tujuan utama saya menyertai seminar itu adalah untuk mencari bahan untuk tugasan subjek Undang-undang Islam & Masyarakat iaitu berkaitan isu Perkahwinan Bawah Umur (PBU).  


   Seminar anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan juga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ini membincangkan tajuk yang agak menarik iaitu "Nikah Bawah Umur : Patut Atau Tidak" yang mana pembentangan kertas kerja berkenaan isu ini dikupas dari empat aspek iaitu dari perspektif undang-undang, kemudiaannya dari aspek perubatan dan hukum syarak, seterusnya dilihat juga dari sudut psiko sosial. 

     Pada entri saya yang lepas, kita dapat lihat konflik perundangan tentang kesahan perkahwinan bawah umur Natrah. Untuk entri kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca berkenaan apa yang dibentangkan oleh  pembentang pertama iaitu Prof. Dato' Dr Zaleha Kamaruddin (Timbalan Ketua Pengarah IKIM) yang mana pembentangan beliau berkaitan isu PBU ini dari perspektif undang-undang. Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa :

Seorang lelaki yang layak untuk berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

Walaubagaimanapun dalam undang-undang yang sama juga turut membenarkan lelaki atau perempuan yang di bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan mendapat kebenaran bertulis daripada pihak Mahkamah Syariah.

    Oleh itu isu perkahwinan bawah umur sering menjadi kontroversi dari semasa ke semasa.Yang mana pada Mac 2010, negara kita telah digemparkan dengan berita perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan Siti Nur Zubaidah Hussin (11 tahun) dengan seorang lelaki Shamsuddin Che Derahman @ Sudin Ajaib ( 40 tahun) di Kelantan. Selanjutnya pada November 2010 , seorang perempuan bernama Siti Maryam Binti Mahmod ( 14 tahun ) telah berkahwin dengan seorang lelaki berumur 21 tahun di dalam satu majlis meraikan pasangan pengantin 1MALAYSIA yang berkahwin secara beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Siti Maryam & Suaminya
     Menurut Prof. Dato’ Zaleha isu ini menjadi kontroversi hangat apabila terdapat media asing yang melaporkannya dan mengaitkannya dengan isu hak asasi antaranya perkara 10 International convention on Economic, Social & Cultural Rights dan juga Deklarasi Hak Asasi Sejagat yang memperuntukkan perkahwinan perlu persetujuan bebas daripada kedua-dua pihak dan peruntukan yang mempunyai maksud yang sama di dalam perkara 23 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil & Politik. Selain itu, Konvensyen Hak Kanak-kanak mendefinisikan kanak-kanak sebagai orang yang berusia kurang dari 18 tahun. Faktor usia dikaitkan dengan pertanggungjawaban dari segi undang-undang iaitu jika kanak-kanak itu mengatakan ‘Ya’ keputusan itu tak boleh diterima dan persetujuannya tidak terpakai dari segi undang-undang. Dalam konteks konvensyen ini, Siti Mariam dikira sebagai kanak-kanak. Oleh itu, keputusannya tidak terpakai dari segi undang-undang. Tapi, apa yang saya telah pelajari di dalam Undang-undang Kontrak semester lepas terdapat juga kes perkahwinan bawah umur iaitu kes sivil, Kes Rajeswary yang mana kes tersebut berkaitan ‘promise to marry’ adalah terkecuali daripada pengecualian pertanggungjawaban kontrak. Maknanya jika kanak-kanak itu berjanji untuk berkahwin maka dia akan terikat dengan kontrak tersebut dan tiada pengecualian untuk pertanggungjawaban dari segi undang-undang. Adakah ada kaitan kes itu dengan keputusan kanak-kanak yang dikatakan bawah umur dan ingin berkahwin itu tidak terpakai dari sudut undang-undang?

     Jika dibandingkan dengan Undang-undang Syariah, seorang kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti undang-undang kecuali apabila ia telah mencapai usia baligh. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan akal yang tidak semestinya 18 tahun. Kanak-kanak mula memperolehi kapasiti pertanggungjawaban ketika dia mencapai usia baligh yang berbeza mengikut pelbagai mazhab. Sebagai contoh, perkahwinan boleh dilakukan walaupun di bawah umur, tetapi apabila telah sampai umur baligh, sekiranya gadis tersebut tidak bersetuju dengan perkahwinan yang diaturkan oleh walinya, ia bolehlah membubarkannya. Berbeza dengan prinsip-prinsip am yang digunakan oleh Undang-undang Sivil yang terpakai dalam semua instrument antarabangsa. Undang-undang Islam mempunyai tahap-tahap kapasiti pertanggungjawaban undang-undang yang tertentu menikut kematangan.

    Aktivis-aktivis wanita dalam Negara juga turut menunjukkan keprihatinan mereka dengan menggunakan kerangka hak asasi. Dan kenapa media-media barat berminat tentang isu ini dan memberi fokus kepada Negara kita? Sedangkan di Negara-negara di Benua Afrika dan Negara-negara seperti Bangladesh dan Afghanistan perkahwinan bawah umur ini mencatatkan jumlah yang lebih tinggi berbanding Malaysia yang hanya 0.75% sahaja perkahwinan bawah umur dilaporkan.



     Antara jawapan yang ditemui adalah kerana Malaysia adalah model Negara Islam moden, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan PBU ini dan Malaysia juga dilihat sebagai Negara maju, oleh itu PBU ini dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman dan Malaysia juga seharusnya menghormati komitmennya terhadap instrument-instrumen antarabangsa yang telah diratifikasi olehnya. Adakah alasan-alasan ini relevan? Jawapan-jawapan terhadap persoalan tersebut sebenarnya tidaklah semudah yang disangka kerana ia menyentuh banyak perkara dari aspek agama, sosial, politik dan juga undang-undang.

     Perdebatan yang berlaku ini juga bukan berkaitan dengan isu umur baligh tetapi berdasarkan kepada pesoalan sama ada seseorang itu telah mencapai usia kematangan untuk berkahwin dan faktor inilah yang menjadi satu faktor tambahan selain faktor umur baligh.

     Apa yang perlu dilihat di dalam hal ini, untuk membenarkan lelaki atau perempuan yang di bawah umur untuk berkahwin ialah dengan mendapat kebenaran bertulis daripada pihak Mahkamah Syariah iaitu hakim Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk menggunakan budibicaranya untuk meneliti dan melihat sama ada kebenaran boleh diberikan kepada pemohon. Sepatutnya, kita harus hormati keputusan dan alasan penghakiman yang telah dibuat oleh Hakim kerana hakim membuat keputusan berdasarkan tafsiran peruntukan Undang-undang dalam konteks fakta kes yang ada di hadapannya bukan dengan mudah nak memberikan kebenaran secara suka hati.  

     Prof. Datuk juga ada menyatakan pendapat peribadi beliau iaitu jika pindaan ingin dibuat terhadap enakmen tentang PBU ini adalah dengan meningkatkan lagi takat umur iaitu daripada 16 kepada 17 atau awal 18 tahun demi menjaga kemaslahatan si isteri sekiranya ditinggalkan suami, sekurang-kurangya si isteri masih mempunyai kelayakan SPM untuk mencari rezeki bagi menanggung hidupnya. Dan beliau juga menyatakan kebanyakan pemohon yang membuat permohonan PBU ini adalah remaja yang telah terlibat dengan sexual intercourse.

     Perbincangan tentang isu PBU ini dari aspek selanjutnya akan saya sambung pada entri yang akan datang. Insya Allah…






0 comments:

Post a Comment