Saturday, May 21, 2016

Kesiapsiagaan Badan Perundangan Syariah Di Malaysia Untuk Melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah

Kesiapsiagaan Badan Perundangan Syariah Di Malaysia Untuk Melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah*
Salehan Bin Yatim**


Pendahuluan

Untuk mengetahui skop perbincangan tajuk di atas dengan lebih jelas maka beberapa perkataan yang terdapat dalam tajuk tersebut perlu dihuraikan. Perkataan kesiapsiagaan merujuk kamus Dewan Edisi Keempat merupakan kata imbuhan kepada siap. Perkataan siap siaga pula merujuk kepada keadaan sudah bersedia untuk melakukan sesuatu dan lain-lain.[1] Manakala, undang-undang jenayah syariah bererti peraturan atau Kanun Jenayah yang ditetapkan oleh syarak dan pemerintah yang meliputi tindakan terhadap perkara yang haram dan meninggalkan perkara yang ada dikenakan hukuman keseksaan.[2] Undang-undang jenayah syariah juga meliputi peruntukan hukuman terhadap jenayah qisas, hudud dan ta’zir[3].

Menurut Abdul Kadir Audah di dalam kitabnya Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami[4] menyatakan bahawa hanya jenayah tertentu sahaja boleh dikategorikan sebagai jenayah hudud dan ia tidak akan berubah mengikut peredaran masa kerana ia telah ditentukan oleh al-Quran serta al-Sunnah. Menurut jumhur ulama, kesalahan-kesalahan jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah hudud ialah murtad, minum arak, mencuri, merompak, berzina, menuduh zina dan memberontak. Jenayah qisas pula jika diperincikan mengandungi perbincangan tentang beberapa jenayah yang menyentuh diri manusia serta hukum-hukum yang berkaitan seperti jenayah pembunuhan, jenayah kecederaan, jenayah ke atas janin, jenayah sihir, pembalasan qisas, pembayaran diat, pembayaran kaffarah dan lain-lain.[5] Sementara itu, jenayah takzir merangkumi kesemua bentuk jenayah yang lain selain dari jenayah-jenayah yang termasuk ke dalam jenayah qisas dan hudud.[6]

Apabila kita bercakap mengenai Badan Perundangan Syariah di Malaysia ruang lingkup perbincangan adalah tidak terhad kepada Mahkamah Syariah semata-mata. Hal ini kerana, berdasarkan Bahagian IV dan V Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, jelas menyatakan bahawa selain memperuntukkan kuasa ke atas Mahkamah Syariah, enakmen tersebut juga telah memperuntukkan kuasa ke atas Ketua Pendakwa dan Pendakwa Syarie serta Pegawai Penguatkuasa Agama. Justeru itu, tiga badan perundangan Syariah di Malaysia yang utama dalam melaksanakan undang-undang berkaitan Jenayah Syariah di Malaysia adalah terdiri daripada Mahkamah Syariah, Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan membincangkan secara khusus tentang persediaan badan perundangan Syariah di Malaysia khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang merangkumi persediaan yang sedia ada dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana.


Sejarah Perkembangan Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Malaysia.

Ahmad Ibrahim dalam penulisannya telah mendedahkan bahawa bukti terawal kewujudan undang-undang jenayah syariah di Tanah Melayu adalah di Negeri Terengganu sebagaimana yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 yang menjelaskan peruntukan mengenai kesalahan dan hukuman terhadap zina.[7] Catatan tarikh pada batu bersurat itu telah membuktikan Terengganu merupakan negeri terawal menerima kedatangan Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di negara ini.[8] Undang-undang jenayah syariah telah diteruskan pelaksanaannya di Terengganu seawal pemerintahan Sultan Umar (1837) apabila baginda sultan telah melaksanakan hukuman rejam dan potong tangan bagi kesalahan-kesalahan hudud.[9] Undang-undang syariah terus dilaksanakan di Terengganu sehingga mencapai zaman kegemilangannya pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) yang mana pada era tersebut Mahkamah Kadi telah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti bunuh balas, diyat, potong tangan, penjara dan denda.[10]

Seterusnya bermula pada kurun ke-15, Negeri Melaka pula muncul sebagai sebuah empayar kerajaan Islam dengan pengislaman Raja Melaka Parameswara yang kemudiannya telah menggelar diri baginda sebagai Sultan Iskandar Syah.[11] Pengislaman baginda secara langsung telah memberi kesan kepada penerimaan masuk dan pelaksanaan perundangan Islam di negeri Melaka. Pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1450), penulisan teks-teks perundangan seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut telah diperkenalkan.[12] Hukum Kanun Melaka mempunyai peruntukan hukuman bagi kesalahan hudud dalam 10 Fasal.[13] Seterusnya, pelaksanaan undang-undang syariah turut dilaksanakan di negeri Pahang pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafar Maha’yudin Syah (1592-1614).[14] Selain itu, Undang-Undang 99 Perak yang dibawa masuk dari Hadramaut dan diperkenalkan pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Syah (1577)[15] serta Undang-undang Pelabuhan Dato‘ Seri Paduka Tuan (1667) dan Undang-undang Kedah 1893[16] telah menjadi bukti bahawa undang-undang Islam telah dikanunkan secara sistematik di samping rujukan yang masih berterusan terhadap adat tempatan.

Secara umumnya, kewujudan undang-undang Islam pada zaman awal ini telah menjadi bukti dan petanda wujudnya pelaksanaan undang-undang syariah di Tanah Melayu yang bercampur dengan undang-undang adat sebelum zaman penjajahan Eropah lagi. Namun begitu, tiada rekod jelas yang menyatakan bahawa pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di Tanah Melayu pada ketika itu. Pada era zaman penjajahan pula, British pada zaman pemerintahannya tidak menolak secara menyeluruh undang-undang Islam sebagai undang-undang negeri seperti yang terdapat di dalam kes Ramah lwn. Laton.[17] Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang Inggeris telah diperluaskan dan undang-undang Islam telah dihadkan kepada hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan, keagamaan dan undang-undang diri sahaja.

Kelantan merupakan negeri pertama yang menggubal undang-undang mengenai prosedur jenayah syariah secara berasingan daripada undang-undang lain melalui Enakmen Prosedur Jenayah 1983. Susulan daripada enakmen tersebut, telah dilusluskan Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 yang mana kaedah ini bertujuan untuk membezakan kaedah hukuman sebatan syarie dengan kaedah hukuman sebat di bawah Kanun Prosedur Jenayah.[18] Pada tahun 1989, Enakmen Perundangan Islam Selangor No. 2 tahun 1989 telah diluluskan. Berdasarkan enakmen ini, Mahkamah Syariah Selangor ditubuhkan secara rasmi dan telah diasingkan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pada tahun 1991, Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Selangor No. 6 tahun 1991 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September 1991.[19] Pada tahun 1995, Negeri Selangor telah menguatkuasakan Enakmen Janayah Syariah No.9 Tahun 1995.[20] Pada pertengahan tahun 1988, satu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undnag Syarak dan Sivil telah ditubuhkan dan jawatankuasa ini telah berjaya membuat semakan dan mendraf beberapa undang-undang untuk dipakai oleh Mahkamah Syariah seperti Enakmen Acara Mal Mahkamah Syariah, Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah, Enakmen Wasiat, Wakaf, Zakat dan Fitrah. Hampir keseluruhan perundangan tersebut telah diterima oleh negeri-negeri dalam tahun sembilan puluhan.[21] Negeri Selangor turut  menerima dan meminda Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah No. 6 tahun 1991 kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.


Bidang kuasa Undang-Undang Jenayah Islam di Malaysia.

Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan yang mana kedudukan agama Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan.[22] Namun, peruntukan yang berkaitan dengan hukum syarak adalah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri sepertimana dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan. Kes Che Omar bin Che Soh lwn. Pendakwaraya[23] telah menunjukkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini adalah bersifat terbatas.  Had bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah di Malaysia telah pun ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau enam kali sebatan.[24] Pada tahun 1988 telah berlaku pindaan di dalam artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang telah membawa kepada penambahan kewibawaan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah telah diberi kuasa ekslusif yang mana bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil.

Islam secara jelas telah menggariskan asas tujuan utama perlaksanaan hukuman ialah bertujuan untuk mengajar (ta’dib), pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Merujuk kepada tulisan Dr. Abdul Kadir Audah yang menyatakan bahawa :

فكل عقوبة يجب أن تكون بالقدر الذي يكفى لتأديب المجرم على جريمته تأديبا يمنعه من العودة اليها ويكفى لزجر غيره عن التفكير في مثلها
Yang bermaksud :
“Justeru itu, setiap hukuman hendaklah dengan kadar yang mencukupi bagi mendidik penjenayah supaya tidak mengulanginya dan ia juga mencukupi untuk memberi peringatan kepada orang lain dari berfikir untuk melakukan kesalahan yang sama.”

Pada asasnya undang-undang jenayah Islam di Malaysia hanya meliputi kesalahan di bawah ruang lingkup hukuman takzir sahaja. Sehingga kini masih tiada sebarang Undang-Undang Jenayah Islam yang merangkumi hukuman hudud mahupun qisas telah dilaksanakan di mana-mana negeri walaupun didapati terdapat usaha-usaha untuk melaksanakannya di negeri Kelantan dan juga Terengganu. Selagi mana tiada pindaan dibuat ke atas Akta 355 tersebut, maka Undang-Undang Jenayah Syariah secara keseluruhannya tidak dapat dilaksanakan di mana-mana negeri. Hal ini kerana, isu percanggahan ataupun ultra vires akan wujud antara Undang-Undang Jenayah Islam yang telah digubal dengan Perlembagaan Persekutuan sekiranya tiada pindaan dibuat ke atas had bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah tersebut. Merujuk kepada Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah bersifat terbatal.

Justeru itu, mana-mana undang-undang, termasuk akta/enakmen jenayah syariah mana-mana negeri tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan persekutuan dan negeri hanya boleh membuat undang-undang dalam ruang lingkup bidang kuasa masing-masing sepertimana termaktub di dalam Perkara 74 yang telah memperuntukkan agihan kuasa antara negeri dan Persekutuan berdasarkan Jadual Kesembilan. Seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini, undang-undang jenayah Islam itu sendiri telah merangkumi kesalahan-kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak yang mana sebahagian besarnya adalah kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini juga jelas terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan.

Di Negeri Selangor, peruntukan undang-undang yang memberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes jenayah syariah ialah peruntukan seksyen 61 dan 62 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana peruntukan seksyen 61 adalah meliputi bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi Syariah manakala sekyen 62 pula menjelaskan tentang bidang kuasa jenayah Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 61. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Tinggi Syariah.

“(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [En. No. 9/1995] atau di bawah manamana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.

Seksyen 62. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Rendah Syariah

“(2)Mahkamah Rendah Syariah hendaklah—
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu”.


Persediaan Badan Perundangan Syariah

Persediaan yang akan dikupas di dalam kertas kerja ini adalah merangkumi persediaan dari sudut perundangan, perjawatan dan prasarana yang sedia ada khususnya di Mahkamah Syariah Negeri Selangor untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah yang merangkumi pelaksanaannya ke atas orang Islam. Skop perbincangan di dalam kertas kerja ini dikhususkan pelaksanaanya ke atas orang Islam terlebih dahulu kerana jika dibincangkan pelaksanaannya secara keseluruhan ia akan menjadi perbincangan yang lebih luas. Antara persediaan tersebut ialah :

1.        Perundangan.

1.1 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah.

Jika kita melihat kepada akta/enakmen-enakmen jenayah syariah yang sedia ada yang sedang digunapakai pada hari ini, ianya mengandungi hukuman kesalahan jenayah syariah berbentuk takzir. Contohnya, merujuk kepada peruntukan seksyen 4, 5 dan 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan bahagian kesalahan berhubungan dengan akidah merangkumi pemujaan salah, mendakwa bukan orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan dan doktrin palsu, maka hukuman kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.  Peruntukan seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 pula menjelaskan kesalahan meminum minuman yang memabukkan yang mana peruntukan ini jelas membawa hukuman  denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi mereka yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan hukumannya denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Manakala, peruntukan yang berkaitan dengan bentuk kesalahan seperti zina jelas ditunjukkan pada peruntukan 22, 23, 25, 27 dan 28 enakmen yang sama. Walau bagaimanapun, jenis kesalahan seperti zina di dalam peruntukan enakmen tersebut tidak dinyatakan dengan jelas sebagai kesalahan zina dan dinyatakan seperti kesalahan persetubuhan luar nikah (seksyen 25) dimana hukumannya denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan atau mana-mana kombinasi kesalahan tersebut. .[25] Melihat pula kepada peruntukan seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan berkaitan qazaf membawa hukuman denda tidak melebihi lima ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Justeru itu, jelas peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah yang sedia ada ini berbentuk hukuman takzir meskipun  peruntukan tersebut merupakan kesalahan yang terkandung dalam kesalahan hudud itu sendiri.

Berdasarkan peruntukan hukuman jenayah syariah di dalam akta/enakmen jenayah syariah tersebut, kita dapati bahawa semua peruntukan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah adalah terikat dengan had bidang kuasa yang telah diperuntukkan oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) [Akta 355] yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000.00 atau enam kali sebatan. Sekiranya hukuman sebatan dikenakan ke atas pesalah yang melakukan persetubuhan luar nikah, maka jumlah sebatan mestilah tidak melebihi 6 kali sebatan. Jika dibandingkan dengan hukuman hudud yang memperuntukkan 100 kali sebatan bagi pesalah zina yang belum berkahwin.

Justeru itu, jika pindaan terhadap Akta 355 ini diluluskan, maka persediaan yang lebih rapi dan teliti  perlu dilaksanakan oleh Badan Perundangan Syariah adalah membantu dalam menggubal draf pindaan enakmen jenayah syariah yang sedia ada di peringkat negeri supaya ianya selaras dengan peruntukan pindaan Akta 355 tersebut dan juga kadar peruntukan hukuman yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
 
1.2 Enakmen Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah.

Pada masa kini, kesemua negeri telah pun mempunyai akta/enakmen prosedur jenayah syariah masing-masing yang tersendiri dan terpisah daripada Akta/Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam. Peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 merangkumi perihal bidang kuasa mahkamah bicara jenayah sama ada di peringkat Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dan juga perbicaraan di mahkamah terbuka.[26] Terdapat juga peruntukan yang menjelaskan bidang kuasa dan bidang tugas para hakim iaitu pada peruntukan seksyen 7 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Selain itu, dijelaskan juga mengenai aspek perjalanan perbicaraan dan langkah-langkah pra perbicaraan seperti tindakan selepas menerima maklumat atau aduan, pengendalian tangkapan, siasatan dan sebagainya sepertimana peruntukan seksyen 10 hingga 27 enakmen yang sama yang mana bahagian ini ditangani oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam. Tugas seterusnya berpindah kepada Bahagian Pendakwaan untuk menyiapkan kertas pertuduhan dan mengendalikan perbicaraan sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 78 hingga 95 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Seterusnya, kaedah-kaedah untuk para hakim membuat penghakiman, menjatuhkan hukuman, mengendalikan rayuan, semakan dan sebagainya sebagaimana peruntukan seksyen 96 hingga 172 enakmen yang sama.[27] Sehubungan dengan itu, dengan adanya undang-undang prosedur jenayah yang sedia ada ini menunjukkan persediaan Mahkamah Syariah itu sendiri dari sudut telah memiliki undnag-undang berkaitan prosedur atau tatacara yang jelas dalam mengendalikan proses perbicaraan kes jenayah syariah.

1.3 Enakmen Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

Selain itu, dari sudut pembuktian dan keterangan, Mahkamah Syariah Negeri Selangor merujuk kepada Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Enakmen ini mengandungi peruntukan-peruntukan berkaitan beban pembuktian, bentuk keterangan dan sebagainya. Di dalam kes jenayah syariah, Ketua Pendakwa atau Pendakwa Syarie adalah orang yang menanggung beban pembuktian sepertimana yang diperuntukkan oleh seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Asas dakwaan yang digunapakai di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang berbunyi البينة على المدعى واليمين على من انكر yang bermaksud keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar.[28] Konsep ini juga terpakai di dalam pembuktian jenayah hudud. Peruntukan mengenai tatacara pemeriksaan saksi turut diperjelaskan di dalam seksyen 89 hingga 118 enakmen yang sama. Tatacara pemeriksaan saksi terdiri daripada pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.[29] Tujuan pemeriksaan saksi ini dijalankan adalah untuk menguji keterangan fakta yang dikemukakan oleh saksi. Dalam sistem keadilan Islam, iqrar atau pengakuan adalah merupakan kaedah pembuktian yang kuat sehingga ia digelar Sayyid al-Adillah.[30] Cara pembuktian telah dikanunkan di dalam peruntukan seksyen 17 dan 18 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Selain itu juga, dalam perundangan Islam keterangan pakar juga adalah diterima berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Nahl ayat 43 yang menyarankan supaya sebarang pertanyaan dibuat atau dirujuk kepada orang yang berpengetahuan. Ibn Qayyim dalam al-Turuq al-Hukmiyyah telah menafsirkan al-Ra’yu al-Kabir sebagai kesaksian orang yang berkeahlian tentang sesuatu bidang.[31] Peruntukan berkaitan keterangan pakar ini telah diperjelaskan di dalam seksyen 33 dan 34 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Dengan adanya peruntukan undang-undang tersebut, maka secara langsung ia dapat memandu pihak Mahkamah dalam membuat penilaian dan mendapatkan keputusan di  akhir kes.

  
2.        Perjawatan Badan Perundangan Syariah Yang Sedia Ada.

Seperti yang sedia maklum, pelantikan Ketua Hakim Syarie, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah adalah dari kalangan penjawat awam gred LS (Pegawai Syariah). Hal ini berbeza jika dibandingkan dengan pelantikan Ketua Hakim Negara dan juga Hakim Mahkamah Tinggi Malaya. Walau bagaimanapun, persediaan dalam penaiktarafan gred perjawatan bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) atau Mahkamah Syariah Negeri (MSN) telah diluluskan di peringkat persekutuan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan dua model perjawatan baru dengan menaiktaraf beberapa jawatan seperti Ketua Hakim Syarie daripada Pegawai Syariah Gred Utama C kepada Pegawai Syariah Gred Utama B, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah daripada gred LS52/LS54 kepada Pegawai Syariah Gred Utama C, Ketua Pendaftar daripada gred LS48/LS52 kepada  Pegawai Syariah Gred Utama C, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah daripada LS48 kepada LS52/LS54, Hakim Kanan Mahkamah Rendah Syariah gred LS48. Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor juga dilihat sedang dalam proses penaiktarafan dengan pengasingan Bahagian Pendakwaan daripada Jabatan Agama Islam Selangor. Di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor sendiri, jumlah perjawatan hakim adalah seramai 27 orang yang merangkumi jawatan Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang mana 23 orang daripadanya adalah lantikan tetap dan 4 daripadanya adalah lantikan kontrak. Penempatan hakim di lokasi Mahkamah Syariah Selangor adalah sepertimana berikut :

Bil.
Lokasi
Jumlah hakim
1.       
Pejabat Ketua Hakim Syarie
1
2.       
Mahkamah Tinggi Syariah
4
3.       
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
3
4.       
Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya
4
5.       
Mahkamah Rendah Syariah Klang
2
6.       
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat
3
7.       
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat
2
8.       
Mahkamah Rendah Syariah Ampang
2
9.       
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur
1
10.   
Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor
1
11.   
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor
1
12.   
Mahkamah Rendah Syariah Sabak Bernam
1
13.   
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat
1
14.   
Mahkamah Rendah Syariah Sepang
1

Selain itu juga, seramai 14 orang pegawai syariah yang lain turut telah diberikan tauliah sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor bagi membantu perjalanan kes di Mahkamah Rendah Syariah apabila diperlukan.


3.        Prasarana Yang Sedia Ada.

Kebanyakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) dan juga Mahkamah Syariah Negeri (MSN) dilihat telah menerima bangunan dan prasarana yang baru. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan 160.59 juta bagi kos pembinaan bangunan baru bagi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang terdiri daripada satu bangunan di ibu pejabat dan 9 buah bangunan di lokasi Mahkamah Rendah Syariah. Bangunan ibu pejabat telah secara rasminya beroperasi pada 18 Julai 2011. Manakala, di lokasi daerah pula hanya Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dan Gombak Timur sahaja yang masih belum berpindah ke bangunan baru. Di Selangor, Mahkamah Rayuan Syariah dilengkapi dengan sebuah dewan bicara, Mahkamah Tinggi Syariah pula dilengkapi dengan 4 buah dewan bicara manakala Mahkamah Rendah Syariah dilengkapi dengan 4 dewan bicara bagi lokasi Mahkamah Rendah Syariah Gombak dan Petaling Jaya. Manakala, lokasi yang selebihnya mempunyai 3 dewan bicara.

Kini, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor turut menggunapakai sistem atas talian yang telah dibangunkan oleh Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu aplikasi E-Syariah yang mana sistem ini merangkumi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah, Portal E-Syariah, e-Nafkah, e-Bicara, e-Faraid, Sistem Automasi Pejabat, Sistem Pengurusan Perpustakaan dan Sistem Pendaftaran Peguam Syarie. Aplikasi ini merupakan satu sistem pengurusan kes yang bersepadu yang mengintegrasikan semua proses yang terlibat di dalam pengendalian kes-kes Mahkamah Syariah. Ia juga dapat menghubungkan Mahkamah-Mahkamah Syariah Negeri dengan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta agensi-agensi yang berkaitan bagi tujuan penyelarasan dan perkongsian maklumat.  Penggunaan aplikasi atas talian ini secara langsung telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada operasi di Mahkamah Syariah.

            Bercakap mengenai tempat perlaksanaan hukuman bagi jenayah syariah yang sedia ada pula antaranya Jabatan Penjara Malaysia bagi hukuman pemenjaraan dan sebatan. Manakala, pusat bimbingan Islam pula bagi kesalahan berkaitan aqidah dan kepercayaan serta bagi mendapatkan pemulihan, bimbingan dan juga perlindungan bagi golongan-golongan yang bermasalah. Antara pusat bimbingan Islam yang ada di Negeri Selangor adalah seperti Pusat Pemulihan Aqidah Baitul Iman di Ulu Yam, Selangor dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor. Majlis Agama Islam Negeri telah diberi kuasa di bawah seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan juga enakmen yang sama di negeri-negeri bagi mewujudkan pusat bimbingan Islam. Jabatan Penjara Malaysia selain itu dilihat turut bersedia untuk menguruskan banduan jenayah syariah di bawah kendalian mereka sekiranya mendapat kerjasama semua pihak seperti persiapan dari segi modul bimbingan dan latihan keagamaan bagi membawa pesalah syarie kembali ke pangkal jalan.[32]

Kesimpulan.

Mahkamah Syariah merupakan badan pelaksana yang menegakkan sistem keadilan syariah di negara kita. Segala apa persediaan yang dibincangkan di dalam kertas kerja ini hanya berkisar tentang persediaan sedia ada masa kini berdasarkan had bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Syariah akan berusaha ke arah persediaan yang lebih komprehensif  untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah sekiranya undang-undang tersebut telah digubal dan diwartakan.

*Seminar Kanun Jenayah Syariah Dalam Perspektif Perlembagaan Malaysia.
** Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.
           



[1] Kamus Dewan, Edisi Keempat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm.1485
[2] Lihat penulisan Abdul Halim El-Muhammady dalam artikel di bawah tajuk “Undang-Undang Jenayah Syariah Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, dalam Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam, Kuala Lumpur : IKIM, 2005, hlm.373.
[3] Mat Saad Abd Rahman, Undang-Undang Jenayah Islam Jenayah Qisas, Shah Alam : Hizbi, 1990, hlm.1.
[4] Abdul Kadir Audah, Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, Jil.2, Beirut : Dar Al-Kutub Al-Imliah, 2005, hlm.345
[5] Mat Saad Abd Rahman (1990), op.cit, hlm. 5.
[6] Ibid, hlm. 5.
[7] Lihat Penulisan Ahmad Mohamed Ibrahim dalam artikel di bawah tajuk “Pelaksanaan Undang-Undang Hudud di Malaysia, dalam Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia, Kuala Lumpur : IKIM, 1997, hlm.481-514.
[8]  Syed Naquib Al-Attas, The Correct Date of Terengganu Inscription, Kuala Lumpur : Muzium Negara, 1970, hlm.24.
[9] Hugh Clifford, “Expedition : Terengganu and Kelantan”, JMBRAS, Jil. XXXIV, Part. 1, 1961, hlm.107.
[10] Ahmad Ibrahim (1997), op.cit, hlm. 485,492,493.
[11] Abdul Halim El-Muhammady, Perkembangan Undang-Undang Islam Dari Zaman Rasulullah Hingga Zaman Penjajahan Barat, Petaling Jaya : Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1983, hlm.85.
[12] W.G Shellabear, Sejarah Melayu, Singapura : The Malaysia Publishing House, 1896, hlm.96.
[13] Fasal 5, 7, 11, 12, 36, 37, 39, 40, 41 dan 42. Lihat Ahmad Ibrahim (1997), op.cit, hlm. 481-484.
[14] Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm.45.
[15] Abdul Halim Nasir, Sejarah Perak, Kuala Lumpur : Tanda Jaya, 1977, hlm.177.
[16] R.O Windstedt, “Undang-Undang Kedah”, JMBRAS, Vol.6, Part. 2, hlm.8.
[17] (1927) F.M.S.L.R., 127.
[18] Jurnal Hukum, Jilid XII, Bhg. II, 1998, hlm. 206.
[20] Penulis akan merujuk peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen-enakmen Mahkamah Syariah Negeri Selangor sahaja sebagai rujukan utama di dalam artikel ini. Rujukan kepada enakmen atau akta negeri-negeri yang lain akan dirujuk secara sampingan.
[21] Abdul Monir Yaacob, dalam “Perlaksanaan Perundangan Islam Di Malaysia : Satu Penilaian”, Jurnal Fiqh, No.6,2009, hlm.15-16.
[22] Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.
[23] [1988] 2 MLJ 55. 
[24] Seksyen 2, Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
[25] Seksyen 25, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
[26] Seksyen 4 dan 5, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
[27] Siti Zubaidah Ismail, dalam “Undang-Undang Prosedur Jenayah Syariah Malaysia : Satu Penilaian”, Jurnal Hukum, Jil.27, Bhg.1, 2009, hlm. 203.
[28] Al-Imam Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr as-Suyuti. 2001.  al-Asbah wa al-Nazhair fi -Qawa`ed wa furu’ Fiqh al-Syafi’iyyah. Juz 1. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
[30] Zulfakar Ramlee Saad, dalam “Pembuktian Dalam Kes Jenayah Syariah Malaysia : Isu dan Penyelesaian”, Junal Kanun, Januari 2015, hlm.125.
[31] Ibnu Qayyim, al –Turuq al-Hukmiyyah, Mesir : Matbaah al-Madani, 1977, hlm 188.
[32] Siti Zubaidah Ismail, dalam “Pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam Pengurusan Kes Jenayah Syariah”, Jurnal Hukum, Bhg. 1, hlm.38.

1 comments:

Blogger said...

This way my associate Wesley Virgin's tale starts with this SHOCKING AND CONTROVERSIAL video.

You see, Wesley was in the army-and shortly after leaving-he found hidden, "self mind control" secrets that the CIA and others used to obtain whatever they want.

THESE are the same methods lots of celebrities (especially those who "come out of nothing") and top business people used to become rich and successful.

You probably know that you only use 10% of your brain.

That's because most of your BRAINPOWER is UNTAPPED.

Perhaps this conversation has even occurred IN YOUR very own head... as it did in my good friend Wesley Virgin's head about 7 years ago, while driving a non-registered, beat-up garbage bucket of a vehicle with a suspended license and $3 on his banking card.

"I'm very frustrated with going through life check to check! When will I get my big break?"

You've been a part of those those types of thoughts, ain't it so?

Your very own success story is waiting to start. You need to start believing in YOURSELF.

Watch Wesley Virgin's Video Now!

Post a Comment