Saturday, May 21, 2016

Maqasid Syariah : Hifz al-Nasb

Maqasid Syariah, Rahmat Sekalian Alam : Hifz al-Nasb*
Salehan Bin Yatim**


Pendahuluan

Islam adalah cara hidup yang sempurna dan komprehensif yang mana Allah SWT telah menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi bagi membimbing manusia dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini. Terdapat tujuan atau objektif tertentu di sebalik setiap pensyariatan yang telah diturunkan. Tujuan atau objektif inilah disebut sebagai maqasid. Segala pensyariatan yang diturunkan melalui perutusan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat untuk seluruh alam yang memberi keselamatan kepada manusia di dunia dan di akhirat dengan melakukan dan menyeru kepada segala bentuk suruhan dan kebaikan serta menjauhi larangan dan keburukan sepertimana jelas berdasarkan ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud :

“Dan Tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

Skop perbincangan bagi penulisan ini adalah berkenaan aspek penjagaan nasab atau keturunan yang merupakan salah satu daripada al-Dharuriyat al-Khams di dalam Maqasid Syariah. Perbincangan ini akan merangkumi soal cara pengiktirafan nasab, kesan daripada sabitan nasab dan seterusnya akan tertumpu kepada peruntukan undang-undang sedia ada di Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang berkaitan dengan aspek penjagaan keturunan (hifz al-nasb) secara khusus.

Islam sendiri jelas sangat mementingkan institusi kekeluargaan yang merupakan satu keperluan asas kepada fitrah manusia. Islam telah menggariskan beberapa perkara bagi memelihara keturunan antaranya ialah melalui perkahwinan, tanggungjawab kekeluargaan serta batasan pergaulan bagi perhubungan berlainan jenis. Seterusnya, bagi mencegah berlakunya kerosakan terhadap keperluan asas ini, maka Islam juga telah melarang dan menetapkan hukuman yang keras bagi kesalahan seperti penzinaan, jenayah rogol dan sebagainya.

Nasab atau keturunan adalah wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Hal ini kerana apabila keturunan telah rosak akibat daripada menyalahi syariat dan tabiat semula jadi manusia. Maka, ia akan menyebabkan berlakunya kacau bilau pada struktur institusi kekeluargaan dan seterusnya menyebabkan keruntuhan sosial masyarakat Islam. 


1.0       Pengertian Maqasid Syariah.

Secara literalnya, perkataan maqasid Syariah terdiri dari dua perkataan iaitu maqasid dan Syariah. Perkataan maqasid (مقاصد) adalah merupakan jama’ kepada perkataan maqsad (مقصد) yang bererti pegangan, punca, sasaran, keadilan dan kesederhanaan.[1] Manakala, Syariah secara lughawi bermaksud jalan menuju sumber air yang mana ia dapat dikatakan sebagai jalan ke arah sumber kehidupan.[2] Dari segi istilahnya, pengertian Syariah ialah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya sepertimana berpandukan kepada maksud al-Quran yang berikut :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan dan undang-undang) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui”.[3]

Justeru itu, secara ringkasnya Maqasid Syariah dapat ditafsirkan sebagai objektif atau tujuan Syariah. Menurut Wahbah al-Zuhaily, Maqasid Syariah didefinisikan sebagai nilai-nilai dan sasaran syara' yang tersirat dalam segenap atau bahagian terbesar dari hukum-hukumnya. Nilai-nilai dan sasaran-sasaran itu dipandang sebagai tujuan dan rahsia Syariah, yang ditetapkan oleh al-Syari' dalam setiap ketentuan hukum.[4] Al-Qardhawi pula menjelaskan ia sebagai tujuan teks dan hukum-hukum untuk direalisasikan dalam hubungan manusia baik berupa perintah, larangan atau harus sama ada untuk individu, keluarga, bangsa dan umat. Maksud ini juga boleh diertikan sebagai hikmah-hikmah yang menjadi tujuan ditetapkan hukum yang disyariatkan oleh Allah untuk hamba-Nya[5].

Menurut al-Syatibi yang menyatakan bahawa : “Sesungguhnya Syariah itu bertujuan untuk mewujudkan kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat.”[6]. Maka, adalah jelas tujuan bagi setiap pensyariatan adalah menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan. Hal ini yang menjadikan Maqasid Syariah antara eleman penting dalam Islam. Imam al-Ghazali telah menggariskan lima objektif Syariah iaitu[7] :

(a)   Pemeliharaan agama (hifz al-din).
(b)   Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs).
(c)   Pemeliharaan akal (hifz al-‘aql).
(d)   Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasb).
(e)   Pemeliharaan harta (hifz al-mal).


2.0       Kaedah Pengiktirafan Nasab.

Mengikut Syariat Islam, nasab anak boleh disabitkan dengan tiga kaedah utama iaitu firash, pengakuan (iqrar) dan keterangan (bayyinah).[8]

2.1              Firash.

Doktrin al-walad lil firasy merupakan antara mekanisme pensabitan nasab di dalam Islam. Ia membawa maksud seseorang anak yang dilahirkan daripada ikatan perkahwinan adalah dianggap sebagai sah taraf.[9] Doktrin al-walad lil firasy merupakan satu konsep yang diambil daripada hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA[10] :

الولد للفراش وللعاهر الحجر
Bermaksud : Anak yang  lahir daripada hamparan (yang sah) berhak disabitkan nasab keturunan dan penzina berhak dilontar dengan batu.”.
[HR Al-Bukhari, no. 6749].

Secara literalnya hadith ini bermaksud bahawa anak yang dilahirkan di atas tilam yang dipunyai oleh pemiliknya adalah dianggap anaknya yang sah taraf.[11] Al-Shawkani dalam membincangkan hadith ini menyifatkan perkataan al-‘ahir (العاهر) sebagai merujuk kepada penzina lelaki yang tidak akan mendapat apa-apa kecuali batu iaitu kekecewaan atau al-khibah. Terdapat juga yang berpendapat ‘batu’ itu merujuk kepada hukuman rejam. Ia telah diputuskan sebagai kaedah yang sangat penting dalam pensabitan nasab kepada pemilik firasy iaitu merujuk kepada satu akad ikatan perkahwinan.[12] Ia juga diterjemahkan sebagai merujuk kepada al-mar’ah iaitu perempuan tertentu yang melahirkan anaknya[13]. Majoriti ulama telah meletakkan doktrin al-walad lil firasy sebagai salah satu daripada tiga mekanisme utama bagi penentuan nasab disamping penyaksian dan pengakuan.

Namun begitu, bukan semua perkahwinan boleh dijadikan asas kepada sah taraf yang dimaksudkan. Mengikut para fuqaha’, ia perlu mencapai tempoh enam bulan sebelum anak itu dilahirkan.[14] Pandangan ini adalah berasaskan kepada pengertian dua ayat al-Quran yang berkaitan dengan masalah berkenaan. Ayat pertama ialah firman Allah SWT dalam surah al-Ahqaf, ayat 15 yang bermaksud :

“…sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan…”

Sementara ayat kedua pula ialah firman Allah SWT di dalam surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud :

“…dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun... ”

Merujuk kepada ayat yang pertama, Allah SWT telah menyebut tempoh hamil bersama menyusu adalah selama 30 bulan. Manakala, di dalam ayat kedua pula Allah SWT menjelaskan tempoh menyusu selama dua tahun bersamaan 24 bulan. Maka, mengikut kaedah kompromi yang dikombinasikan ketentuan waktu yang ada dalam ayat pertama dengan dikurangkan dengan ketentuan waktu yang ada dalam ayat kedua, maka akan diperoleh baki sebanyak enam bulan dan enam bulan tersebut adalah merupakan waktu minimum atau terpendek bagi tempoh sesorang perampuan itu hamil.[15] Menurut pendapat mazhab Hanafi, anak yang diperoleh oleh pasangan yang berkahwin secara sah boleh disabitkan nasabnya kepada si suami apabila anak tersebut dilahirkan enam bulan daripada tarikh akad.[16] Namun, jumhur berpandangan bahawa apa yang dimaksudkan dengan enam bulan itu bukan merujuk kepada tempoh akad nikah, bahkan juga merujuk kepada awal tempoh kemungkinan persetubuhan boleh berlaku antara pasangan suami isteri berkenaan.[17] Hal ini kerana perkataan al-firash (الفراش) dalam hadis berkenaan bermaksud isteri yang disetubuhi.[18] Enam bulan yang dimaksudkan juga adalah merujuk kepada perkiraan di dalam sistem kalender hijrah.[19] Oleh kerana sifat kalender hijrah yang mempunyai bilangan hari yang tidak tetap, sama ada 29 atau 30 hari, terdapat perbahasan ulama’ mengenai bilangan keseluruhan hari yang merujuk kepada enam bulan tersebut.[20]

Seterusnya, melihat kepada satu syarat lain ialah berkenaan tempoh maksimum yang mana anak berkenaan perlu dilahirkan dalam jangka masa perkahwinan yang tidak lebih dari tempoh yang ditetapkan. Menurut mazhab Hanafi, tempoh yang dimaksudkan ialah selama dua tahun.[21] Mazhab Syafi’i dan Hanbali pula menetapkan tempoh empat tahun berdasarkan kepada keadaan kehidupan pada masa itu yang mana perempuan suku Bani ‘Ajlan mengandung selama 4 tahun.[22] Sementara  mazhab Maliki pula berpendapat lima tahun yang mana menurut Imam Malik yang mendengar ada perempuan yang mengandung selama tujuh tahun.[23] Menurut al-Shaykh Muhammad Abu Zahrah, hukum seperti ini tidak dijelaskan oleh nas. Sebaliknya ditentukan secara andaian semata-mata.[24] Menurut beliau lagi, kajian kuantitatif yang dilakukan pada zaman kita ini menunjukkan tiada kes yang boleh mendokong teori yang mengatakan lima, empat atau dua tahun. Malahan, kebanyakan kes yang didapati adalah selama sembilan bulan.[25] Beliau selanjutnya menyatakan bahawa tempoh paling panjang yang boleh ditolakansur ialah selama setahun berdasarkan kepada prinsip ihtiyat (bercermat).[26]

Selain itu, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam penulisannya menyatakan bahawa sebab-sebab sabit nasab disebelah bapa ialah[27] :

(a)   Perkahwinan yang sah.
(b)   Perkahwinan yang fasid.
(c)   Persetubuhan yang syubhah.

Perkahwinan yang fasid dalam menentukan nasab adalah sama seperti perkahwinan yang sah kerana sebagai langkah berhati-hati dalam menentukan nasab demi untuk mencerahkan hidup anak. Syarat-syarat bagi menentukan nasab dengan sebab perkahwinan yang fasid ada tiga[28] :

(a)   Suami terdiri daripada orang yang boleh menghamilkan iaitu baligh di sisi ulama’ Maliki dan Shafie.
(b)   Berlaku persetubuhan dengan perempuan atau pun khalwat pada pendapat ulama’ Maliki. Jika tidak berlaku persetubuhan selepas perkahwinan fasid maka tidak sabit nasab kerana khalwat pada perkahwinan fasid sama seperti perkahwinan yang sah kerana berpeluang untuk melakukan persetubuhan.
(c)   Perempuan melahirkan anak selepas enam bulan atau lebih dari tarikh persetubuhan atau khalwat di sisi ulama’ Maliki dan dikira dari tarikh persetubuhan di sisi ulama’ Hanafi. Tidak ternafi nasab daripada lelaki itu kecuali dengan li’an pada pendapat Mazhab Maliki, Shafie, dan Hanbali. 

Persetubuhan syubhah pula ialah hubungan jenis bukan zina yang tidak berasaskan kepada akad perkahwinan yang sah atau perkahwinan yang fasid.[29] Merujuk sabda Nabi SAW ada menyebut di dalam hadith yang berbunyi[30] :

قوله: (بشبهة في حقه كأن ظنها زوجته أو أمته) أو وطئ الأمة المشتركة بينه وبين غيره أو أمة فرعه , وكذا لو وطئ بجهة قال بها عالم  يعتدّ بخلافه بحيث يصح تقليده.
Maksudnya : “..wati’ shubhah itu pada hakikatnya  seperti dizan (sangka) bahawa perempuan itu adalah isterinya atau hambanya atau  hamba yang dikongsi baginya dengan lelaki-lelaki lain atau hamba kepada furu’ (lelaki tersebut), begitu juga jika dia menyangka orang yang disetubuhi itu diyakini adalah isterinya atau hambanya tetapi bukan yang disangka, dalam keadaan itu sah pegangannya..”

2.2              Pengakuan (iqrar).

Pengakuan nasab terbahagi kepada dua iaitu pengakuan kepada diri sendiri (pengaku) dan pengakuan terhadap orang lain.[31] Contoh pengakuan yang melibatkan diri pengaku ialah pengakuan seseorang bapa bahawa orang lain sebagai anaknya atau sebaliknya iaitu pengakuan anak tentang bapanya.[32] Seorang lelaki jika mengakui seseorang anak adalah anaknya, tertakluk kepada beberapa syarat iaitu :

(a)   Keadaan fizikal. Contohnya kedua-duanya berada pada peringkat umur yang sesuai untuk dianggap sebagai bapa dan anak.
(b)   Anak tersebut tidak diketahui nasabnya.
(c)   Pengakuan tersebut dibenarkan oleh orang yang diakui sekiranya orang yang diakui itu adalah mukallaf.
(d)   Pengakuan tidak melibatkan orang ketiga.

Pengakuan yang melibatkan orang lain iaitu melibatkan orang lain seperti datuk dan sebagainya memerlukan kepada pengakuan tambahan bagi menguatkan pengakuan tersebut.

2.3              Keterangan (bayyinah)

Pengakuan adalah suatu hujah yang hanya diterimapakai khusus ke atas orang yang membuat pengakuan sahaja, tetapi tidak terpakai ke atas orang lain.[33] Lantaran itu, sekalipun persoalan nasab boleh ditimbulkan melalui bukti pengakuan, namun ia tidak kukuh dan terdapat kemungkinan bahawa pengakuan tersebut boleh dibatalkan melalui keterangan saksi.[34]

Jenis penyaksian yang boleh menentukan nasab sebagaimana keterangan yang lepas ialah saksi dua orang atau seorang bagi lelaki dan dua orang perempuan di sisi Abu Hanifah dan Muhammad. Menurut mazhab Maliki dua orang saksi lelaki sahaja. Manakala, ulama‘ Shafi’i, Hanbali dan Abu Yusuf disaksikan oleh semua ahli waris.[35] Apabila seseorang melihat atau mendengar sendiri mengenai fakta tentang suatu nasab, maka bolehlah ia menjadi saksi. Namun, jika berlaku sebaliknya, maka ia tidak harus menjadi saksi.

Para fuqaha empat mazhab berpendapat tentang harusnya menentukan nasab dengan kesaksian melalui pendengaran sebagaimana dalam masalah perkahwinan, persetubuhan dengan isteri susuan, kelahiran dan kematian.[36] Walau bagaimanapun, para fuqaha’ berselisih pendapat tentang maksud pengdengaran (tasamu’).[37]


3.0       Kesan Sabitan Nasab.

            Terdapat pelbagai hukum kesan daripada sabitan nasab. Antaranya ialah [38]:

(a)   Hukum perkahwinan yang melibatkan perkara halal dan haram.
(b)   Tanggungjawab nafkah.
(c)   Al-Wilayah dan kedudukannya.
(d)   Pembahagian harta pusaka.


4.0       Kedudukan Dan Hak Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syarak.

4.1       Nasab Keturunan dan Penamaan.

Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak tak sah taraf yang dilahirkan tanpa firash, yakni ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak tak sah taraf dengan bapa biologinya.[39] Manakala terdapat segelintir ulama’ yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim, Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakha’iy yang berpendapat bahawa harus menghubungkan anak tak sah taraf dengan lelaki yang menyetubuhi ibunya setelah dikenakan hukuman hudud.[40] Berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 5 :

Maksudnya : “ Panggilah anak-anak itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah ”.

4.2       Tanggungjawab Memberi Nafkah.

Segala nafkah dan kos sara hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya. Ini kerana anak tersebut dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

4.3       Hak Mewarisi Harta Pusaka.

Anak tak sah taraf tidak terpuus hubungan dengan ibunya. Maka kedua-duanya boleh mewarisi antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitulah sebaliknya jika ia meninggal terlebih dahulu. Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang menyebabkan kelahirannya (bapanya yang tak sah taraf) kerana ia bukan ahli waris, begitu juga sebaliknya bapa itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya.

4.4       Hak Perwalian dalam Perkahwinan dan Penjagaan.

Wali kepada anak tak sah taraf secara amnya adalah terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun perwalian dalam pernikahan anak perempuan tak sah taraf ditetapkan kepada wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam urusan perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, sama ada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tetap tidak sah menjadi walinya. Berhubung dengan penjagaan anak tak sahtaraf adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ibu dan saudara mara sebelah ibunya kerana tiada bukti yang boleh disabitkan siapakah sebenarnya lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Walau bagaimanapun perkahwinan seseorang anak tak sahtaraf (perempuan) dengan seseorang lelaki biasa adalah sah.

4.5       Hubungan Mahram.

Perhubungan anak tak sah taraf dengan anak-anak dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu. Jika dia seorang perempuan maka wuduknya dan wuduk suami ibunya tidak batal apabila bersentuhan. Pergaulan antaranya dan suami ibunya adalah pergaulan anak tiri dengan bapa tirinya.

4.6       Kematian dan Perkara yang Berkaitan

Seseorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang Islam maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang Islam.


5.0       Peruntukan Undang-Undang.

 Dalam konteks perundangan Islam di Malaysia, perkara yang berkaitan dengan nasab bagi orang Islam telah digubal dan diperuntukkan di bawah Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Negeri-Negeri. Peruntukan di dalam setiap undang-undang itu telah digubal berdasarkan hukum Syarak dengan mengambil kira prinsip siasah syar’iyyah bagi memastikan konsep keadilan terus terpelihara. Peruntukan undang-undang yang akan diperjelaskan di sini adalah memfokuskan kepada peruntukan undang-undang syariah yang telah diperuntukkan di Negeri Selangor. Antara peruntukan undang-undang tersebut ialah :

5.1       Bidang Kuasa Mahkamah Untuk Menentukan Sabitan Nasab.

Permohonan untuk kesahtarafan anak bagi pensabitan nasab adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah untuk mendengar dan memutuskannya. Ini berdasarkan peruntukan seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan bahawa :
“Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidang kuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk hadhanah dan harta sepencarian).”

Berdasarkan seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama juga telah memperuntukkan :
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah...
(b) dalam bidang kuasa Malnya,  mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan :
i-                   pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq)atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;”

5.2       Permohonan Kesahtarafan Anak.

Permohonan ini hendaklah difailkan di bawah kod kes bernombor 006 dengan merujuk kepada peruntukan seksyen  111  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan bahawa :

“Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

            Penafian nasab secara li’an telah diperjelaskan di dalam peruntukan seksyen 51(1) enakmen yang sama :

“Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”

Peruntukan seksyen 112 enakmen yang sama juga telah menjelaskan tentang persoalan kelahiran anak yang lebih empat tahun selepas pembubaran perkahwinan yang mana menyatakan seperti berikut :

Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu.”

5.3       Sabitan Anak Tak Sah Taraf.

Apa yang dinyatakan tentang anak yang disifatkan tak sah tarafnya adalah kembali merujuk kepada peruntukan seksyen  111  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang telah menjelaskan bahawa :

“Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu”.

Selain itu, peruntukan seksyen 113 enakmen yang sama juga telah menjelaskan :

“Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat, sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian, dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu, melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya atau oleh sebab perceraian”.

Terdapat juga fatwa mengenai garis panduan anak tak sah taraf menurut hukum syarak di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 April 2005 yang menjelaskan sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syarak adalah :

(a)   Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina,rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.
(b)   Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkan ad-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
(c)   Anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkan ad-dukhul’ selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat hukum syarak.

5.4       Persetubuhan Syubhah.

Tempoh maksimum hamil seorang perempuan menurut mazhab Shafie dan Hanbali adalah empat tahun. Hal ini bertepatan dengan peruntukan seksyen 114 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa :

“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

5.5       Pengakuan Yang Mensabitkan Nasab.

Pengakuan pihak-pihak terhadap anak yang dilahirkan membolehkan anak tersebut dinasabkan kepada bapa dan dikategorikan sebagai anak sah taraf apabila pengakuan itu telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana peruntukan seksyen 115 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 :

“Jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada dengan nyata atau dengan tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika, syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu—
(a)   tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;
(b) perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
(c)   jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan, anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;
(d)   lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
(e) pengakuan itu bukannya cuma mengakui anak itu sebagai anaknya, bahkan mengakui anak itu sebagai anak sahtarafnya;
(f)     lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;
(g) pengakuan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan; atau
(h)   pengakuan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.”

Manakala, pengakuan oleh perempuan yang sedang dalam ‘iddah pula dapat dilihat di dalam peruntukan seksyen 117 enakmen yang sama :

Jika orang yang membuat pengakuan itu adalah seorang perempuan yang berkahwin atau yang sedang dalam ‘iddah, suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa kepada orang yang diakui itu melainkan jika pengakuan perempuan itu disahkan oleh suaminya itu atau disahkan dengan keterangan.”

Sementara, peruntukan seksyen 118 dari enakmen yang sama juga turut memperuntukkan peruntukan tentang pengakuan orang lain yang mengakui sebagai ibu atau bapa. Manakala, peruntukan seksyen 119 pula memperuntukkan tentang pengakuan orang lain sebagai anak kepada ibu atau bapa.

Seksyen 118 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 :

Jika seseorang mengakui seorang lain sebagai bapa atau ibunya, maka pengakuan itu, jika disetujui atau disahkan oleh orang yang diakui itu, sama ada dalam masa hayat atau selepas kematian orang yang mengakui itu, adalah menjadi suatu kekeluargaan yang sah, setakat mana perhubungan di antara bapa atau ibu dengan anak itu sahaja, dengan syarat bahawa memandang kepada umur orang yang membuat pengakuan dan umur orang yang diakui itu maka adalah munasabah orang yang diakui itu menjadi ibu atau bapa kepada orang yang mengakui sedemikian.”

Seksyen 119 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 :

Jika seseorang mengakui seorang lain sebagai seorang keluarga, selain sebagai seorang anak, ibu, atau bapa, pengakuan itu tidak boleh menyentuh mana-mana orang lain melainkan orang lain itu mengesahkan pengakuan itu.”

Walau bagaimanapun, peruntukan seksyen 116 enakmen yang sama telah menjelaskan bahawa :

“Anggapan yang berbangkit dari pengakuan yang dibuat oleh seseorang bahawa dia adalah bapa kepada seseorang yang diakuinya sebagai anak boleh dipatahkan hanya dengan—
(a)   penolakan di pihak orang yang telah diakui sebagai anak itu;
(b)   bukti bahawa perbezaan umur antara pihak yang mengaku dan pihak yang diakui adalah sebegitu kecil, atau bahawa umur pihak yang diakui adalah sebegitu tinggi, hingga menyebabkan pertalian yang dikatakan itu mustahil dari segi fizikal;
(c)   bukti bahawa pihak yang diakui itu adalah sebenarnya anak seorang lain; atau
(d)   bukti bahawa ibu anak itu tidak mungkin menjadi isteri yang sah kepada pihak yang mengaku pada masa percantuman benih anak itu

Seterusnya, peruntukan seksyen 120 enakmen yang sama turut menegaskan bahawa setiap pengakuan yang dibuat berhubung dengan sabitan nasab adalah tidak boleh dibatalkan :

“Sesudah sahaja pengakuan atau pengesahan dibuat tentang pertalian sebagai bapa dan anak atau tentang perkeluargaan atau persaudaraan, maka pengakuan atau pengesahan itu tidak boleh dibatalkan.”

5.6       Tanggungjawab Tanggungan Nafkah Bagi Anak Tak Sah Taraf.

Peruntukan seksyen 81 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menjelaskan tentang pihak yang berkewajipan untuk menanggung nafkah anak tak sah taraf sepertimana yang berikut :

“Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.”

5.7       Hak Penjagaan Anak  Tak Sah Taraf.

Seksyen 86 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menetapkan bahawa :

“Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.”

5.8       Perwalian.

Peruntukan seksyen 7(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menetapkan bahawa orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan bagi anak tak sah taraf ialah wali Raja :

“Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.”

5.9       Kesalahan Yang Boleh Merosakkan Nasab. 

            Syariat Islam telah menggariskan perkara yang perlu dijauhi dan tidak boleh dilakukan oleh setiap individu demi menjaga nasab keturunan. Perbuatan yang dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh merosakkan nasab telah diperuntukkan pada Bahagian IV yang bertajuk Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Antara kesalahan tersebut ialah :

(a)     Perbuatan sumbang mahram yang diperuntukkan di dalam peruntukan seksyen 22 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang menyatakan seperti berikut :

“Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” 

(b)     Pelacuran sepertimana peruntukan seksyen 23 enakmen yang sama yang menjelaskan bahawa :

“(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mana-mana orang yang:- 
(a)   melacurkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya; atau 
(b)   menyebabkan atau membenarkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya melacurkan diri,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

(c)     Muncikari di bawah peruntukan seksyen 24 enakmen yang sama :

Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” 

(d)     Persetubuhan luar nikah di bawah peruntukan seksyen 25 enakmen yang sama :

“(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 
(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 
(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya dan sedang dia sedar tentang perbuatannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu. 
(4) Bagi maksud subseksyen (3), seseorang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.”

(e)     Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah yang diperuntukkan di dalam seksyen 26 enakmen yang sama :

“Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, walaupun perbuatan itu tidak sampai ke tahap suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 25, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” 

(f)      Persetubuhan yang bertentangan dengan hukum tabii di bawah peruntukan seksyen 28 juga di bawah enakmen yang sama :

Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

(g)     Khalwat seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 29 enakmen yang sama :

(1) Mana-mana:- 
(a)   orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;
(b)   orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


6.0       Contoh Kes-Kes Mahkamah Yang  Berkaitan.

Merujuk kes mal, Nasirai Bin Kasdi lwn. Ratni Hartini Binti Ramlan[41] yang mana Mahkamah telah mensabitkan bahawa pernikahan antara Pemohon dan Responden yang berlangsung pada 30 Disember 2003 di Sungai Buloh Selangor adalah sebuah perkahwinan yang fasid dan persetubuhan yang berlaku di antara Plaintif dengan Defendan selepas akad nikah pada 30 Disember 2003 adalah wati’ syubhah. Walau bagaimanapun, Mahkamah telah mengesahkan anak yang lahir pada 2 Ogos 2007 di Hospital Slim River Perak yang merupakan hasil daripada pernikahan tersebut boleh dinasabkan kepada  bapanya (Defendan) dan disifatkan sebagai anak sah taraf kerana telah memenuhi syarat-syarat penentuan nasab dengan sebab perkahwinan yang fasid. Hakim Bicara telah mengambil langkah berhati-hati dalam menentukan nasab demi untuk mencerahkan masa depan kehidupan anak tersebut.

Kes Ismail lwn. Kalam[42] yang mana pihak yang menuntut telah menceraikan isterinya pada 28 September 1985. Seorang anak telah dilahirkan pada 23 September 1989. Oleh kerana jarak perceraian dengan tarikh anak itu dilahirkan adalah lebih dari empat tahun, Mahkamah telah memutuskan bahawa anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bekas suami ibu anak tersebut.

Selain itu, kes Fatimah binti Abdullah dan Seorang lagi lwn. Mat Zin bin Kassim[43], Mahkamah di dalam kes ini telah mensabitkan nasab seorang anak yang dilahirkan oleh ibunya selepas lebih kurang setahun perceraian dengan bapanya. Dalam mensabitkan nasab Zainal Abidin kepada Responden, Mahkamah juga telah mengambil kira bahawa sepanjang perkahwinan mereka selama 39 hari, ada berlakunya persetubuhan di antara Pemohon dan Responden sebanyak lima kali dan anak itu telah dilahirkan lebih enam bulan dari tarikh persetubuhan tersebut.

            Seterusnya, di dalam kes jenayah Pendakwa Syarie lwn. Mohd Khairul Anuar bin Mokhtar dan Zaitu Hafilah binti Mat Ariffin[44], atas pengakuan kedua-dua tertuduh Mahkamah telah menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua pesalah di bawah peruntukan seksyen 26 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu kesalahan persediaan melakukan hubungan luar nikah dengan hukuman denda berjumlah RM4900.00 atau penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda mulai dari tarikh hukuman diputuskan bagi setiap seorang. Hakim Bicara dalam alasan penghakimannya berpendapat Mahkamah perlu memberikan pengajaran dan peringatan kepada tertuduh dan juga masyarakat umum tentang betapa beratnya kesalahan perbuatan tersebut dan menjelaskan tujuan undang-undang digubal sedemikian rupa adalah sebagai inzar (peringatan), ihzar (pencegahan), uqubah (pembalasan), taadib (pemulihan) dan sadduzarai’ (menyekat pintu kefasadan). Ruh perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang bertujuan memelihara maqasid syariah yang lima iaitu agama, nyawa, maruah, harta dan keturunan.

Dalam kes jenayah antara Pendakwa Syarie Negeri Sabah lwn. Mad Ranger[45], Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu telah menerima pakai keterangan pakar berdasarkan ujian DNA ke atas tertuduh dan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita tertuduh dalam kes persetubuhan haram di bawah Seksyen 80 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sabah) 1995. Keterangan pakar DNA menunjukkan wujud hubungan nasab antara tertuduh dengan anak yang dilahirkan oleh pasangan wanita Tertuduh. Berdasarkan keterangan melalui ujian DNA dan keterangan lain, Mahkamah Tinggi Syariah telah mensabitkan bahawa tertuduh bersalah.


7.0       Kesimpulan.

Peruntukan undang-undang Syariah yang sedia ada kini telah digubal bagi memelihara nasab dan keturunan umat Islam. Justeru itu, sekiranya wujud pertikaian mengenai nasab atau kesahtarafan seseorang anak, maka ia boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Kita sebagai umat Islam yang prihatin dan progresif perlu menyedari bahawa institusi kekeluargaan adalah perlu dipertahankan kerana punca terbesar keruntuhan bagi sesebuah masyarakat adalah berpunca daripada kehancuran institusi keluarga.

*Seminar Aqidah Sohehah Usrah Sa’idah Peringkat Daerah Gombak.
**Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.




[1] Muhammad Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab , Beirut : Dar al-Sadr, jld. 3, (t.t), hlm. 353.
[2] Ibid., hlm.175.
[3] Surah al-Jathiyah : ayat 18.
[4] Wahbah al-Zuhaily, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik : Dar al-Fikr, (1986), hlm. 1017.
[5] Yusuf al-Qaradhawi, Madkhal Li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut : Muassasah al-Risalah, (1993), hlm. 53.
[6] Al-Syatibi, Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, Kairo, Jil. 1, (t.t), hlm.6.
[7] Al-Ghazali, Al-Mustasfa Fi Usul Al-Fiqh, Jil.1, (t.tp), (t.t), hlm. 172.
[8] Lihat penulisan Che Maryam Ahmad dalam artikel di bawah tajuk “Penentuan Nasab Dan Amalannya Di Mahkamah Syariah Malaysia”, dalam Syariah Dan Undang-Undang Satu Perbandingan, Kuala Lumpur : Utusan Publications, 2004, hlm.258.
[9] Lihat penulisan Fatimah Muliana, Siti Khatijah Ismail dan Najmiah Omar dalam artikel di bawah tajuk “Penggunaan DNA Bagi Penentuan Nasab al-Walad Li al-Firasy dalam Peruntukan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia”, dalam Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari Keluaran Khas, Kuala Terengganu : Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA, 2011, hlm.17.
[10] Lihat “Bab al-Walad Lil Firaasy Hurratan kaanat au Amatan”, dalam kitab al-Faraaid, Fathul Baari, 12/32.
[11] Fatimah Muliana, Siti Khatijah Ismail dan Najmiah Omar, op.cit, hlm.19.
[12] Shawkani, Naylul Authar, Bab Li’an, Beirut : Darul Ibn Hazm, (t.t), hlm. 2399.
[13] Muhammad Uqlah, Nizam al-Usrah fil Islam, Jil. 3, Maktabah ar-Risalah al-Hadithah, (2002), hlm.387.
[14] Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid, Jil.2, Kaherah : Matba‘ah al-Kuliyyat al-Azhariyyah, (1966), hlm.352.
[15] Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jld.7, Damshik : Dar al-Fikr, (1985), hlm.675.
[16] Al-Ramli, Nihayah Al-Muhtaj, Kaherah : Mustafa al-Babi al-Halabi,  jld. 7, (1938), hlm.130.
[17] Al-Kasani, Bada’i‘ al-Sana’i‘, Kaherah : Maktabah al-Jamaliyyah, jld.3, (1328H), hlm.211.
[18] Wahbah al-Zuhayli, op.cit, hlm.675-676.
[19] Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Kaedah Hitungan Tempoh Enam Bulan Dua Lahzah Mengikut Taqwim Hijriy Untuk Penentuan Status Sah Nasab Serta Beberapa Furu’ Masa’il, hlm.6.(Draf laporan kajian dibentang untuk diwacanakan di dalam Muzakarah Falak 2013 anjuran JAKIM bertarikh 27-29 Ogos 2013 di MS Garden Hotel Kuantan).
[20] Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, op.cit.
[21] Ibn al-Humam, Fath al-Qadir, Kaherah : al-Halabi, jld.3, (t.t), hlm.310.
[22] Al-Sharbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, Kaherah : al-Halabi, jld.3, (1957), hlm.390.
[23] Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid, Kaherah : Matba‘ah al-Kulliyah al-Azhariyyah, (1966), hlm.352.
[24] Muhammad Abu Zahrah, al-Ahwal al-Shakhsiyyah, Kaherah : Dar al-Fikr al-Arabi, (1957), hlm.453.
[25] Ibid.
[26] Ibid.
[27] Wahbah al-Zuhayli, op.cit, jld.10, (2002), hlm.7256-7263.
[28] Ibid.
[29] Fiqh & Perundangan Islam (terjemahan), (Wahbah al-Zuhayli), Syed Ahmad Syed Hussain et.al., jld.VII, Kuala Lumpur : DBP, (2001), hlm.861.
[30] Al-Sheikh Sulaiman bin Muhammad, Bujairimi `ala Al-Khatib, jld. 4, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiah, (1996), hlm.175. 
[31] Wahbah al-Zuhayli, op.cit, hlm.688.
[32] Che Maryam Ahmad, op.cit, hlm.263.
[33] Syed Ahmad Syed Hussain et.al., op.cit, hlm.868.
[34] Ibid.
[35] Ibid.
[36] Ibid.
[37] Ibid.
[38] Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam Asy-Syafie (terjemahan), (Dr. Mustafa al-Khin, Dr Musatafa al-
Bugha & ‘Ali al-Sharbaji), jld.4, Kuala Lumpur : Pustaka Salam, (2009), hlm.918.
[39] Hj. Abdul Majid bin Omar, Kedudukan Anak Tak Sah Taraf : Dari Aspek Pandangan Syarak, Nasab Dan Pewarisan Serta Kekeluargaan Islam, (Kertas kerja ini dibentangkan pada Kempen ‘Sah Nikah, Sah Nasab’, anjuran Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, 18 Mac 2013, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor), hlm.8.
[40] Ibid, hlm.9.
[41] Permohonan No. : 10009-006-0105-2009.
[42] (1995) 10 JH 41.
[43] (2001) 14 JH (2) 225.
[44] Jenayah No : 10200-114-0022-2014 & 10200-114-0023-2014.
[45] Jenayah No : S-3/95-7 (03) tahun 2001.

0 comments:

Post a Comment